Sabtu, 17 Februari 2024

Hebat sangatkah jadi tukang fitnah?

DUA tiga hari lepas Pak Dee ada terbaca pasal dua tiga orang ‘budak’ suruhan parti politik pembangkang yang cuba nak jadi hero. Kerjanya tak lain tak bukan, buat fitnah dan tabur fitnah. Dengan tujuan untuk menjatuhkan aib musuh politik tuan yang mengupahnya. Bila fitnah tersebar secara meluas di media sosial, maka gembira dan banggalah penyebar fitnah akan hasil kerjanya. Nama memuncak naik dan menjadi bualan para netizen. Si tuan badan yang menjadi mangsa fitnah pula menanggung malu dan aib atas fitnah yang tersebar. Untuk tutup fitnah itu berterusan, maka laporan polis pun dibuat. Polis yang banyak kerja lain nak dibuat, terpaksa tambah tugasan untuk siasat tukang-tukang pembuat dan penyebar fitnah ini. Biasanya dua tiga jam masa dihabiskan untuk soal siasat pemfitnah ini, sebelum kertas siasatan yang dah siap dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Kadang-kadang Pak Dee terfikir, apa untungnya jadi tukang fitnah? Betul dapat upah, tapi berbaloikah tinggal anak bini tak berteman di rumah? Tak kesiankah kepada mereka yang akan berdepan dengan saudara mara dan jiran tetangga? Kita tentu rasa bangga dicekup polis, tidur dalam lokap dan turun naik mahkamah, kononnya itulah satu perjuangan. Tetapi, bagaimana dengan ahli keluarga? Isteri dan anak-anak? Apakah mereka bangga dan gembira melihat suami dan ayah mereka memakai baju oren, tangan bergari? Sudah-sudahlah dengan kerja menabur fitnah. Tak untung pun. Orang yang mengupah senang lenang di rumah dan makan angin di luar, kita yang menabur fitnah pula berdepan dengan saman. Betullah, untuk mahkamah putuskan bersalah atau tidak, mengambil masa bertahun-tahun, tapi senangkah hidup sekiranya asyik menunggu tarikh perbicaraan dan sentiasa pula menghabiskan masa dengan peguam-peguam kita? Dan, tahukah kamu, fitnah adalah amalan keji lagi dibenci oleh seluruh umat manusia? Malah, Islam sendiri memandang berat budaya ini dalam kalangan umatnya. Larangan ini jelas termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai Larangan ini jelas termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai satu bentuk ancaman daripada Allah SWT dan Rasul-Nya mengenai besarnya dosa menabur fitnah. Jika pembawa fitnah itu orang Islam, maka ketahuilah bahawa azab yang berat sedang menantinya sebaik sahaja jasad dan rohnya berpisah. Sementara akhirat pula dia akan dihumban dalam api neraka jika dia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT. Sungguh menakutkan sekali azabnya. Tapi, disebabkan dosa fitnah ini tidak boleh dilihat dan tidak nampak dengan mata kasar besar kecilnya, maka kerja memfitnah ini dianggap biasa dan dijadikan pula sebagai punca pendapatan. Rasulullah SAW mengecam keras kepada pengadu domba seperti hadis daripada Huzaifah RA bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba” - (Riwayat Muslim). Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hukum fitnah adalah haram dan termasuk antara dosa yang besar kerana perbuatan ini boleh menyebabkan musibah yang besar dalam masyarakat. Jadi, fikir-fikirkanlah kalau kita makan gaji hasil daripada memfitnah. Duit pendapatan itu diberi makan pula kepada anak isteri. Allahuakbar. Bertaubatlah. Layari portal www.nasionaldaily.com

Tiada ulasan: