Isnin, 22 Mei 2023
Kenapa wakil rakyat sekarang tak lagi dipandang mulia?
By Manzaidi Mohd Amin - 8 May 2023
KITA lupakan dulu pasal isu penyanyi Hattan dengan seorang pembaca berita. Isu pun dah lama berlalu dan macam biasa ia akan hilang begitu saja.
Kali ini Bawah Kolong nak bincang isu politik. Sehari dua baru ni timbul isu pembangkang dakwa mereka sudah dapat nombor. Angkanya 126.
Jumlah ini, kalau era sebelumnya, pembangkang sudah boleh bertukar jadi kerajaan, manakala kerajaan pula bertukar menjadi pembangkang.
Tetapi, era sekarang, ia tak akan berlaku lagi sebab negara sudah ada Akta Lompat Parti.
Kalau dulu, sebelum ada akta ini, mana-mana Ahli Parlimen yang rasa nak lompat parti kerana rasakan parti baharu itu boleh jadi kerajaan, mereka akan lompat. Parlimen membenarkan, Istana Negara mengizinkan.
Tapi sekarang, sorry to say. Akta ini menyekat mereka bentuk kerajaan, walaupun tak larang mereka lompat parti.
Dalam akta ini kata, kalau sesiapa rasa nak lompat parti, parti boleh isytiharkan kerusi Ahli Parlimen katak itu kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu.
Jadi, untuk lompat parti sekarang, mereka kena fikir banyak kali, walaupun mereka yakin boleh menang dengan adanya PRK. Hari ini, rakyat dah makin matang dan sedar, buat apa lagi nak pilih calon katak kalau asyik melompat sana sini. Rugikan masa, rugikan duit rakyat.
Pegangan pengundi ini menyebabkan Ahli Parlimen yang ada rancangan nak lompat akan fikir panjang. Dulu tak apalah, lompat saja mereka akan diraikan oleh parti baharu. Malah, diberi jawatan lagi dalam kerajaan sebagai tanda terima kasih.
Kali ini, tak boleh dah. Sesiapa lompat, rakyat atau pengundi akan tolak. Rakyat pilih dulu pun bukan untuk suka-suka lompat. Rakyat pilih supaya mereka bela rakyat. Bila mereka tak bela rakyat dan asyik lompat, rakyat akan tendang.
Sekali fikir, elok juga ada Akta Lompat Parti. Sekurang-kurangnya kerajaan dapat bertahan sehingga habis penggal kalau nak bertukar pun, bukan macam penggal PRU14, tiga kali tukar kerajaan. Kalahkan Thailand.
Berbalik kepada angka 126. Bawah Kolong sendiri pun pening fikir darimana mereka dapat jumlah ini. Selepas PRU15 pada 19 November 2022 dan keputusan rasmi keluar 20 November 2022, Perikatan Nasional (PN) hanya dapat 73 kerusi.
Kalau 74 kerusi nak capai 126 kerusi, maknanya mereka dapat ‘curi’ seramai 53 Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH-BN), yang kini ada 148 kerusi.
Siapakah 53 Ahli Parlimen itu? Dan dari parti manakah mereka ini? Kalau diadakan PRK, bolehkah 53 kerusi yang kosong ini dimenangi semula oleh calon yang lompat parti? Bagaimana kalau separuh saja menang?
Separuh menang bermakna 26 atau 27 orang. Campur dengan 74 yang sedia ada, baru dapat 100 atau 101 orang. Mana nak dapat 26 atau 25 orang lagi?
UMNO yang ada 30 kerusi pun dah beri jaminan tak akan ada seorang pun Ahli Parlimennya akan lompat.
Begitu juga parti Gabungan Rakyat Sabah dan Sarawak, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM). Mereka tak mungkin akan belakangkan keputusan rakyat pada PRU15.
Maknanya, yang kata dah ada angka 126 itu mungkin mengigau. Mungkin juga mimpi di siang hari. Atau mungkin alat kira-kira atau kalkulatornya rosak. Tekan satu campur satu keluar lima. Itulah gamaknya jadi 126.
Bawah Kolong nak nasihat sikit kepada mereka yang tengah pasang angan-angan nak tukar kerajaan. Nak tukar tak salah, tapi tunggulah PRU16 empat tahun lebih lagi. Nak menang majoriti pula kenalah kerja kuat dari sekarang.
Nak ubah minda rakyat supaya undi kita, tak susah pun. Kalau acap dan kerap turun padang jumpa mereka, selesaikan masalah mereka, bantu mereka yang kesempitan hidup walau sekadar pembangkang, rakyat akan kenang budi dan beri sokongan.
Rakyat tak pernah jasa wakil rakyat kepada mereka. Rakyat rasa wakil rakyat itu seorang yang baik dan cakna, rakyat tak teragak-agak nak beri undi atau sokongan lagi walaupun dalam PRK sekali pun.
Lainlah kalau yang menang itu walaupun sekadar pembangkang tak pernah turun jumpa rakyat. Kalau turun pun hanya sekali ketika kempen PRU15. Yang ni dah tentu rakyat akan tolak mentah-metah pada PRU16 nanti.
Cubalah jadi pembangkang yang gentleman atau pembangkang budiman. Pembangkang yang terima hakikat mereka jadi pembangkang. Cukup-cukuplah langkah itu langkah ini. Tak ke mana pun.
Hidup ini ibarat roda. Hari ini kita jatuhkan orang, esok orang jatuhkan kita balik. Jadi, kalau tak nak kita dijatuhkan suatu hari nanti, terimalah hakikat kita adalah pembangkang.
Rakyat akan menilai siapa pembangkang budiman, siapa pembangkang suka makan kawan. Tak rugi pun jadi pembangkang seperti sebelum PRU14. Sabar menunggu penggal demi penggal untuk jadi kerajaan.
Tapi, kalau jadi kerajaan kerana curi angka dan lompat parti, ia bukan wakil rakyat yang gentlemen atau wakil rakyat budiman. Ia adalah wakil rakyat yang jilake kata ayahnda Rani Kulup.
Suatu ketika dulu seseorang wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan dipandang mulia oleh rakyat kerana mereka seorang yang berprinsip. Sekarang, mereka dipandang hina, malah jadi bahan ketawa rakyat.
Wakil rakyat tidak boleh salahkan rakyat kalau mereka tidak lagi dipandang mulia atau darjatnya diangkat tinggi seperti dulu. Mereka sendiri yang meletakkan maruah diri berada di tahap paling rendah.
Bawah Kolong bukan nak hina, Bawah Kolong hanya nak sedarkan mereka bahawa maruah mereka bukan lagi semahal emas tulen, tetapi semurah emas tiruan. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan