Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia
YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri
YB Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua
YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
(Mukadimah)
1. Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan syukur yang tidak
terhingga ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya dapat kita
berkumpul pada pagi yang berbahagia ini. Begitulah ucapan selawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
2. Dalam Majlis ini, kita berhimpun bersama-sama, sebahagian pimpinan
dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang
korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan.
Seterusnya, yang dikasihi seluruh rakyat Malaysia, sama ada yang di
dalam dewan, atau yang sedang menonton juga mendengar perutusan khas
ini.
3. Tujuan saya berucap, adalah untuk memberi penjelasan terkini
tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara.
Mutakhir ini, terdapat laporan-laporan, kebimbangan dan pertanyaan
terutamanya berkait harga minyak dan kedudukan nilai matawang ringgit.
4. Ketahuilah bahawa, Kerajaan memang sentiasa memantau keadaan ini
sejak awal. Sehubungan itu, hari ini, Kerajaan akan mengumumkan beberapa
langkah proaktif, untuk membuat pengubahsuaian yang spesifik, bagi
menjajar semula dasar-dasar kita, beriring dengan perubahan senario
ekonomi global, yang faktor-faktornya, berada di luar kawalan kita. Ini
dilakukan, untuk kita terus mencapai pertumbuhan ekonomi yang
menyakinkan lagi boleh dibanggakan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
5. Dalam erti kata lain, I am here today to announce specific and
proactive measures to align ourselves with the recent global economic
developments.
6. We are not in crisis. Indeed, we are taking preemptive measures
following the changes of the external global economic landscape, which
are beyond our control.
7. This is to ensure that our economy continues to attain a
respectable and reasonable growth. And at the same time, we want to
ensure and must ensure development of the nation and socio economic
welfare of the people to be continue to be the main focus of the
government.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
8. Sesungguhnya takwim 2014 yang lalu, merupakan tahun yang amat mencabar dan begitu menduga bagi kita dengan pelbagai tragedi.
9. Pada penghujung tahun lepas, Malaysia diuji dengan musibah banjir
yang luar biasa. Ia telah melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur
dan Utara Semenanjung, antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan
Perak.
10. Di beberapa negeri lain, sungguhpun tidak begitu kritikal, banjir
turut memberi kesan kepada penduduk di sesetengah tempat di Johor,
Sabah dan Sarawak.
11. Demikianlah, seperti yang difirmankan bahawa, manusia merancang,
Allah merancang, sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik Perancang.
12. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, dalam segala kudrat
Kerajaan dan pentadbiran, kita telah cuba merencana, merangka, menyusun
dan berikhtiar untuk melaksanakan setiap sesuatu dengan sehabis baik
demi kepentingan dan keperluan rakyat.
13. Justeru, jika diimbau, secara keseluruhannya, kira-kira hanya
sekitar tiga bulan lebih yang lalu, sewaktu Bajet 2015 dibentangkan,
perancangan Kerajaan adalah berpremiskan, antaranya, pertama, unjuran
harga minyak Dated Brent pada kadar 100 dolar Amerika setong.
14. Kedua, pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negeri Kasar
(KDNK) dijangka mencatat antara 5 hingga 6 peratus. Ketiga, kadar
pertukaran matawang yang kekal stabil pada 3.2 ringgit berbanding dolar
Amerika; dan
15. Keempat, semasa bajet itu digubal, pertumbuhan ekonomi dunia pada
2015 diunjurkan oleh World Bank dan IMF adalah pada kadar 3.4 dan 3.9
peratus. Kini, mereka telah mengkaji semula kadar dan meletakkan paras
yang lebih rendah di antara 3 hingga 3.8 peratus.
16. Perlu difahami juga, sewaktu Bajet 2015 digubal, it was based on
strong fundamentals, yakni asas 2014 yang teguh. Oleh sebab itulah,
defisit fiskal tahun 2015 telah diunjurkan pada kadar 3 peratus,
berbanding pada kadar 3.5 peratus pada 2014.
17. Walau bagaimanapun, kontemporari ini, mahu tidak mahu, kita harus
menerima hakikat bahawa, persekitaran dan percaturan ekonomi dunia
telah berubah, yang secara langsungnya memberi impak kepada Malaysia
sebagai, antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia.
18. Maksudnya, berbanding situasi beberapa bulan yang lepas, kini,
the global economic landscape has changed in very significant ways.
Beberapa perkara pokok yang telah Kerajaan unjurkan, bagi merancang
ekonomi dan kewangan negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan
kedudukan semasanya.
19. Turut dibangkitkan adalah keupayaan Kerajaan untuk mencapai
sasaran fiskal pada tahun 2015. Ramai ingin tahu, persoalannya,
berdasarkan situasi semasa ini, adakah ekonomi dan kewangan negara akan
terjejas?
20. Oleh yang demikian, perutusan khas hari ini disampaikan supaya
rakyat Malaysia mendapat penjelasan langsung daripada Kerajaan tentang
perkara ini. Saya juga turut akan mengumumkan beberapa strategi,
berikutan kedudukan ekonomi semasa.
21. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus merintis
serta mencari jalan bagi mempastikan negara terus membangun dan
kesejahteraan rakyat terjamin.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
22. Kita sedar mutakhir ini, wujud pertanyaan di kalangan rakyat,
komuniti perniagaan dan para penganalisis bersabit kejatuhan mendadak
harga minyak mentah dunia ke atas ekonomi Malaysia.
23. Merujuk kepada trend harga minyak mentah global, dalam tempoh
enam bulan kebelakangan ini, ia telah menjunam lebih 50 peratus. Ini
adalah disebabkan, salah satunya, oleh kerana lebihan bekalan dan
permintaan global yang berkurangan.
24. Selain daripada itu, ini juga adalah disebabkan oleh pengeluaran
gas dan minyak shale yang meningkat ketara di Amerika Syarikat berikutan
kemajuan teknologi industri pengeluaran minyak.
25. Dalam masa yang sama, keadaan ini menjadi lebih buruk, dengan
pertambahan bekalan daripada kalangan negara-negara bukan OPEC.
Manakala, negara-negara OPEC pula enggan mengurangkan pengeluaran mereka
bagi mengekalkan penguasaan pasaran.
26. Di sinilah pihak Kerajaan sering ulang-ulangkan dan berharap,
agar rakyat dapat sama-sama memahami bahawa, isu harga minyak mentah
bukanlah sesuatu yang berada dalam kawalan langsung Kerajaan Persekutuan
kita.
27. Kerana itulah, penanda aras harga minyak mentah Dated Brent
terkini telah turun kepada sekitar 48 dolar Amerika setong pada hari
semalam, yakni 19 Januari 2015. Walaupun begitu, para penganalisis
menjangkakan harga minyak akan mengambil tempoh tertentu untuk kembali
stabil.
28. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, apabila berlakunya penurunan harga
minyak seperti sekarang ini, hikmahnya, ia membawa manfaat kepada negara
pengimport bersih minyak seperti Malaysia.
29. Sebagai contoh, apabila pengurangan harga runcit petrol dan
diesel pada 35 dan 30 sen seliter baru-baru ini, tambahan pendapatan
boleh guna atau disposable income pengguna rakyat Malaysia secara
kasarnya adalah di sekitar 7.5 bilion ringgit. Dengan andaian pengguna
membelanjakan 40 peratus daripada jumlah tersebut, ini akan meningkatkan
penggunaan swasta sebanyak 3 bilion ringgit.
30. Selain itu, Bank Dunia mengunjurkan bahawa, harga minyak mentah
yang lebih rendah akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi
global. Malah, penurunan harga minyak sebanyak 30 peratus, mampu
meningkatkan pertumbuhan KDNK dunia sehingga 0.5 peratus.
31. Ini secara tidak langsung, akan juga memberi kelebihan kepada
permintaan produk buatan Malaysia. Dengan kedudukan ekonomi Amerika
Syarikat yang semakin kukuh pula, permintaan terhadap eksport Malaysia
terus mampan terutamanya bagi produk elektrik dan elektronik.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
32. Ironisnya, kejatuhan harga minyak mentah dunia, memberi impak
secara langsung dalam mengurangkan pendapatan negara. Pendapatan inilah,
yang Kerajaan gunakan bagi tujuan pembangunan seperti membina
sekolah-sekolah, jalan raya dan rumah-rumah ibadat. Ia juga digunakan
antaranya, untuk perbelanjaan termasuklah seperti gaji penjawat awam,
kos ubat-ubatan di hospital Kerajaan, subsidi pertanian dan kos
perbelanjaan keselamatan untuk anggota RELA, tentera. polis dan
sebagainya.
33. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, harga minyak mentah dunia
telah menjunam. Berdasarkan paras tertinggi minyak mentah Dated Brent,
iaitu sebanyak 115 dolar Amerika setong, yang direkodkan pada 19 Jun
2014, harga semasa telah menunjukkan kemerosotan melebihi 50 peratus.
34. Selaras itu, ahli-ahli ekonomi berpendapat bahawa unjuran paras
harga asas 100 dolar Amerika setong semasa Bajet 2015 dibentangkan,
adalah tidak lagi realistik. Mereka kini, mengganggarkan purata harga
minyak bagi tahun 2015 adalah antara 40 hingga 70 dolar Amerika setong.
35. Lantaran itulah, Kerajaan perlu menyemak semula untuk merendahkan
unjuran purata paras harga asas minyak, kepada 55 dolar Amerika setong
bagi tahun 2015 ini, berasaskan kepada unjuran bajet yang disemak
kembali.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
36. Jika berasaskan kepada harga minyak mentah pada 100 dolar Amerika
setong, serta mengambil kira penjimatan dari pelaksanaan mekanisme
pengapungan terkawal harga runcit minyak mulai Disember 2014, Kerajaan
dijangka memperoleh tambahan lebihan semasa akaun fiskal, sebanyak 3.7
bilion ringgit.
37. Dalam kata lain, seandainya harga minyak mentah kekal pada 100
dolar Amerika setong, Kerajaan mampu menampung pelaksanaan semua langkah
yang telah diumumkan dalam Bajet 2015, dengan sasaran defisit fiskal
tidak melebihi 3 peratus.
38. Namun begitu sebaliknya, pada harga 55 dolar Amerika setong yang
diunjurkan sekarang, Kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak
13.8 bilion ringgit.
39. Maknanya di sini, jika dibuat perbandingan, di antara angka-angka
semakan terkini dengan Bajet 2015, yang telah dibentangkan pada Oktober
lalu, sekalipun peruntukan subsidi bahan api dapat dijimatkan sebanyak
10.7 bilion ringgit, melalui pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal
harga runcit minyak, namun, Kerajaan masih mengalami kekurangan hasil
sebanyak 8.3 bilion ringgit, bagi menampung langkah-langkah Bajet 2015.
40. Jelasnya, jika dibiarkan, paras deficit tanpa intervensi
kerajaan, defisit akan meningkat kepada 3.9 peratus daripada KDNK,
berbanding sasaran 3 peratus bagi tahun 2015.
41. Keadaan ini, memaksa Kerajaan mengambil langkah untuk
mengurangkan defisit, selaras dengan komitmen kerajaan ke arah
konsolidasi fiskal.
42. Oleh itu, dengan mengambilkira unjuran yang disemak tersebut,
kita dengan ini, menetapkan sasaran defisit yang dikaji semula kepada
3.2 peratus, daripada KDNK pada tahun 2015.
43. Kadar ini masih rendah berbanding defisit fiskal 3.5 peratus
daripada KDNK pada tahun 2014. Dan realitinya, dengan faktor luaran ini,
kita harus menerima hakikat, bahawa kita tidak mungkin mencapai sasaran
asal Bajet, dengan defisit fiskal pada kadar 3 peratus daripada KDNK
seperti yang telah diumumkan. Namun yang penting, adalah komitmen kita,
untuk terus mengurangkan defisit fiskal daripada paras 3.5 peratus pada
penghujung tahun sudah.
44. Yang paling utama juga, kita tidak akan berkompromi ke atas
perancangan pembangunan negara, kerana ia akan meningkatkan kapasiti
produktif kepada ekonomi negara. Sekaligus, kita tidak akan sesekali
mengabaikan kebajikan semua rakyat, khususnya golongan pendapatan isi
rumah 40 peratus terbawah atau the bottom 40
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
45. Seperkara lagi yang perlu diketahui oleh kita semua, perihal
turun-naik nilai matawang, asasnya, adalah berdasarkan pengaruh ekonomi
global. Oleh kerana itu, Ringgit bukanlah satu-satunya mata wang yang
nilainya menyusut berbanding dolar Amerika. Malah, hampir semua mata
wang serantau turut menyusut berbanding dolar Amerika sejak September
2014.
46. Ketidaktentuan dalam aliran modal dan penyusutan nilai ringgit
yang signifikan baru-baru ini juga, disebabkan kebimbangan terhadap
impak kejatuhan harga minyak yang mendadak ke atas ekonomi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
47. Sehubungan itulah, Kerajaan perlu mempastikan perkara-perkara
berikut dipantau dengan sebaik mungkin. Pertama, akaun semasa dalam
imbangan pembayaran, perlu sentiasa kekal dalam lebihan. Kedua,
meneruskan langkah-langkah fiscal reform dan consolidation dan ketiga,
aktiviti ekonomi negara perlu terus dipelbagai dengan sewajarnya, supaya
negara mampu menghadapi kejatuhan harga minyak dan komoditi.
48. Namun begitu, Kerajaan yakin kadar tukaran Ringgit, akan
mengalami penyesuaian dalam tempoh tertentu dan kembali ke paras yang
menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Apa yang penting, our financial
system continues to function in an orderly manner.
49. Paling mustahak, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan atau
financial intermediation dengan aktiviti pinjaman kekal lancar.
Selanjutnya, aktiviti perniagaan terus mendapat akses kepada pembiayaan
kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.
50. Pucuk pangkalnya, Kerajaan yakin, kesemuanya ini, diiringi dengan
polisi atau dasar yang lebih dinamik, rizab antarabangsa yang mencukupi
dan kukuh, pasaran kewangan yang pelbagai dan mendalam, sistem
perbankan yang teguh serta pelabur institusi tempatan yang kukuh,
seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, akan terus meningkatkan daya
tahan Malaysia untuk menampan sebarang turun naik aliran modal.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
51. Menyentuh tentang Imbangan Akaun Semasa negara pula, perlu
diketahui bahawa ia berkait langsung dengan imbangan perdagangan import
dan eksport.
52. Seperti yang ramai tahu, kita merupakan negara pengeksport
minyak. Maka, wujudlah tanggapan bahawa, apabila harga minyak merudum
baru-baru ini, pendapatan daripada eksport keseluruhan kita, akan turut
merosot secara mendadak, yang seterusnya mengakibatkan berlakunya
defisit akaun semasa.
53. Sesungguhnya, tanggapan ini tidak benar. Sebetulnya, bagi minyak
mentah, kita merupakan pengeksport bersih dengan nilai lebihan eksport
sebanyak 7.7 bilion ringgit, untuk tempoh bulan Januari hingga bulan
November 2014.
54. Manakala, bagi produk petroleum, kita adalah pengimport bersih
dengan nilai lebihan import sebanyak 8.9 bilion ringgit untuk tempoh
yang sama.
55. Justeru itu, dengan gabungan kedua-dua minyak mentah dan produk
petroleum ini, kita sebenarnya adalah pengimport bersih dengan nilai
lebihan import sebanyak 1.2 bilion ringgit.
56. Satu hakitat yang ramai tidak sedar. Oleh itu, tanggapan atau
persepsi umum selama ini, bahawa Malaysia merupakan pengeluar minyak
yang surplus atau berlebihan, adalah juga tidak tepat.
57. Sebaliknya, jika dicampur eksport serta import minyak mentah, dan
ditolak produk petroleum, maka, Malaysia sebenarnya, merupakan negara
pengimport bersih petroleum. Perkara ini namun tidak termasuk Gas Cecair
Asli atau LNG, di mana Malaysia masih merupakan negara pengeksport
bersih.
58. Tambahan lagi, situasi kita masih utuh, berikutan kejayaan kita
selama ini dalam mempelbagaikan ekonomi negara, sehingga dapat menampung
kejatuhan harga minyak.
59. Sememangnya lagi, kesan kejatuhan harga minyak, dijangka dapat
ditampung oleh peningkatan permintaan bagi barangan pembuatan seperti
barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kayu-kayan, produk
tekstil serta lain-lain, yang terdiri daripada 76 peratus jumlah
eksport. Manakala, eksport minyak mentah hanyalah mewakili 4.5 peratus
daripada jumlah eksport.
60. Bersandarkan yang demikian, Kerajaan yakin imbangan akaun semasa
akan kekal mencatat lebihan pada tahun ini, walaupun nilainya mengecil
kepada 2 hingga 3 peratus, daripada Pendapatan Negara Kasar atau PNK,
berbanding pada 2014, imbangan lebihan semasa dianggar mencatat 5.1
peratus daripada PNK.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
61. Jelasnya, sebentar tadi, saya telah menghuraikan beberapa isu
atau perkara yang akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara.
Berdasarkan situasi ini, Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah bagi
mempastikan pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang kukuh.
Insya-Allah, kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5
peratus pada tahun ini, dengan melaksanakan strategi-strategi berikut.
Pertama: Mempastikan pertumbuhan ekonomi yang balanced, inclusive and sustainable yakni seimbang, inklusif dan mampan;
Kedua: Meneruskan fiscal reform and consolidation; serta
Ketiga: Menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi membina semula infrastruktur yang terjejas akibat banjir.
62. Strategi Pertama: Mempastikan Pertumbuhan Ekonomi Yang Seimbang,
Inklusif Dan Mampan. Bagi merancakkan eksport barangan dan perkhidmatan,
beberapa tindakan berikut akan diambil:
Pertama, mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import atau
import-substitution seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan,
pendidikan dan profesional. Ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada
sumber luar bagi perolehan barangan dan perkhidmatan;
Kedua, menyegerakan pelaksanaan cadangan daripada National Export
Council iaitu, membantu pengeksport terutamanya Perusahaaan Kecil dan
Sederhana atau PKS untuk mendapat prospek pelanggan baharu di pasaran
yang baharu, di bawah program jaringan antarabangsa menggunakan
penghubung pasaran dan pakar industri.
Seterusnya, mempergiat program promosi eksport di 46 negara meliputi
Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat; memperkenalkan SME-Go
melalui SME Bank, sebuah program eksport untuk PKS, dan memanfaatkan
Dana Perkhidmatan Eksport serta program promosi PKS untuk meningkatkan
kemampanan eksport ke luar negara;
Ketiga, menambah baik last mile connectivity ke Pelabuhan Klang
seperti jalan masuk, jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik,
bagi mempercepatkan pelaksanaan Logistik dan Fasilitasi Dagangan.
Selain itu, menaik taraf terminal keretapi Padang Besar; menambah
baik kecekapan operasi proses import dan eksport, serta menubuhkan
sistem hab dan jaringan perhubungan udara;
Keempat, mempergiatkan keseluruhan industri pelancongan negara;
Kelima, mengambil langkah-langkah untuk mengkaji semula kadar levi yang dikenakan ke atas pekerja-pekerja asing; dan
Keenam, visa diberi secara percuma kepada para pelancong antaranya dari negara China
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Selanjutnya, bagi meningkatkan penggunaan swasta pula, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama, memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan kelas G1 yakni
kelas F, G2 yakni kelas E dan G3 yakni kelas D, yang berdaftar dengan
CIDB, untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih di kawasan masing-masing
yang terjejas akibat banjir;
Kedua, mempergiatkan promosi pembelian barangan buatan Malaysia;
Ketiga, meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh operasi jualan mega di seluruh negara;
Keempat, mempergiatkan promosi pelancongan domestik dengan menawarkan tambang penerbangan yang kompetitif; dan
Kelima, menggalakkan sektor swasta meraih peluang daripada pewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Seterusnya, dalam usaha merancakkan pelaburan swasta di Malaysia, Kerajaan akan:
Pertama, menubuhkan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah 5
bilion ringgit kepada PKS dalam Sektor Perkhidmatan, dengan pembiayaan
maksimum 5 juta ringgit dan jaminan Kerajaan sebanyak 70 peratus;
Kedua, menggalakkan GLC dan GLIC melabur dalam negara;
Ketiga, mengurangkan kos kendalian perniagaan melalui penangguhan
cadangan kenaikan tarif elektrik pada tahun 2015; dan penangguhan
cadangan kenaikan harga gas untuk sektor industri pada tahun 2015;
Keempat, memperuntukkan 30 peratus daripada perbelanjaan tahunan
agensi Kerajaan dan GLC untuk perolehan bekalan serta perkhidmatan
kepada PKS tempatan bertaraf pembuat; dan
Kelima, mempergiatkan penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan Kerajaan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
63. Seterusnya, Strategi Kedua: Meneruskan Fiscal Reform and Consolidation
Antara langkah yang akan diambil bagi meningkatkan hasil Kerajaan adalah:
Pertama, meluaskan asas percukaian dengan menggalakkan syarikat
mendaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, bagi meningkatkan hasil
daripada kutipan GST. Ini akan menyumbang kepada tambahan kutipan GST
sebanyak satu bilion ringgit. Sehingga pertengahan Januari 2015, lebih
304 ribu syarikat telah berdaftar; dan
Kedua, meningkatkan kutipan dividen daripada GLC dan GLIC serta
badan-badan Kerajaan yang lain yang dapat menyumbang tambahan hasil
sebanyak 400 juta ringgit
Bagi langkah merasionalisasi perbelanjaan pula, Kerajaan akan:
Pertama, mengoptimumkan perbelanjaan ke atas bekalan dan
perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan
profesional yang memberi penjimatan sebanyak 1.6 bilion ringgit;
Kedua, menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara tahun 2015, dengan
penjimatan sebanyak 400 juta ringgit bagi membolehkan program dikaji
semula dan ditambah baik;
Ketiga, mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun
Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan, terutamanya yang
mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab yang tinggi.
Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak 3.2 bilion ringgit; dan
Keempat, menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal
terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi
penjimatan sebanyak 300 juta ringgit
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
64. Strategi Ketiga adalah Penyediaaan Bantuan Kepada Rakyat Dan
Komuniti Perniagaan Serta Membina Semula Infrastruktur Yang Terjejas
Akibat Banjir
Banjir baru-baru ini, telah melibatkan sekitar 400 ribu mangsa di
seluruh negara. Anggaran terkini kemusnahan infrastruktur mencecah
hampir 2.9 bilion ringgit.
Antara tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir, adalah seperti berikut:
Kerajaan telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta
ringgit sebagai bantuan permulaan, atau initial allocation untuk
kerja-kerja baik pulih, dan program kebajikan mangsa banjir, tambahan
kepada tabung Majlis Keselamatan Negara, menjadikan jumlah
keseluruhannya sebanyak 787 juta ringgit;
Sebagai peruntukan awalan, Kerajaan menyediakan 800 juta ringgit
untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah,
hospital, jalan raya dan jambatan;
Menyediakan 893 juta ringgit bagi Bajet 2015 untuk rancangan tebatan banjir;
Membina rumah-rumah kampung bertiang atau stilt houses setinggi 8
kaki yang telah musnah akibat banjir kepada mereka yang mempunyai tanah
sendiri;
Menyerahkan 1,000 unit rumah kos rendah yang sudah siap di Gua Musang;
Memberi bantuan 500 ringgit bagi setiap keluarga yang terlibat bermula hari ini; dan
Menghulur sumbangan 5 ribu ringgit kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga.
65. Bagi perniagaan yang terjejas pula, tambahan 100 juta ringgit
disediakan kepada TEKUN dan 100 juta ringgit kepada Amanah Ikhtiar
Malaysia (AIM), bagi menyediakan pinjaman mudah untuk menyokong PKS dan
perusahaan mikro.
66. BSN, Agrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan menangguhkan tempoh
bayaran balik pinjaman yang telah diambil, sehingga enam bulan.
67. Berkait itu, Bank Negara Malaysia akan menubuhkan Special Relief
Facility, berjumlah 500 juta ringgit untuk menyediakan pembiayaan
pinjaman SME pada kadar yang lebih rendah (concessionary rate) iaitu
2.25 peratus, dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga
enam bulan melalui institusi pembangunan kewangan dan perbankan.
68. Bank Rakyat pula, akan menawarkan Skim Pinjaman Peribadi sehingga
50 ribu ringgit pada kadar keuntungan serendah 3.9 peratus, dan bayaran
balik pinjaman bermula selepas enam bulan dari tarikh pengeluaran.
69. Selain itu, sejumlah 500 juta ringgit akan disediakan oleh
institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di
bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir. Skim ini akan diuruskan oleh
ProKhas; dan
70. Pengecualian pembayaran levi oleh majikan kepada Tabung
Pembangunan Sumber Manusia, untuk tempoh enam bulan bagi PKS di kawasan
yang terjejas berkuat kuasa 1 Februari 2015.
(Penutup)
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Secara keseluruhannya, dalam perutusan saya pada pagi ini, dapat saya rumuskan 6 perkara as the key take-away points:
Pertama, kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana
pada tahun-tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti tahun 2009
yang lalu, sehingga pakej-pakej stimulus perlu dilaksanakan.
Kedua, Strategi-strategi Kerajaan yang diumumkan tadi, adalah langkah
proaktif untuk melakukan penyesuaian atau adjustment, berikutan
faktor-faktor luaran yang di luar kawalan kita. Ini merupakan satu
reality check, berikutan antaranya perubahan harga minyak dunia.
Ketiga, Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran kita, Insya-Allah, dijangka kekal positif dan tidak berada dalam defisit.
Keempat, Pasaran kewangan tetap teratur dan kukuh. Malah, matawang
ringgit, walaupun mengalami penyesuaian ketika ini, akan kembali ke
paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Insya-Allah.
Kelima, Perbelanjaan Pembangunan atau Development Expenditure yang
diperuntukkan dalam Bajet 2015 sebanyak 48.5 bilion ringgit tidak
berubah dan akan tetap dibelanjakan.
Ini termasuklah, projek-projek bersifat people economy, yakni
perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan pengangkutan
awam seperti Lebuhraya Pan Borneo.
Di samping itu, projek-projek MRT jajaran kedua, LRT dan High Speed
Rail Kuala Lumpur-Singapura, Rapid di Pengerang akan tetap diteruskan.
Malah, pada bulan Mei nanti, saya akan membentangkan Rancangan
Malaysia Kesebelas, bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan
negara sehingga tahun 2020, dan akhirnya;
Yang ke-enam, Perbelanjaan Mengurus atau Operating Expenditure
dijangka akan dikurangkan sebanyak 5.5 bilion ringgit, dengan
mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
71. Akhir kalam, marilah kita banyakkan berdoa, dan bertawakkal
supaya Allah SWT sentiasa memberi bantuan-Nya, kepada ikhtiar-ikhtiar
kita dalam terus membangun dan memakmurkan negara.
72. Sesungguhnya jua, dalam segala kudrat manusiawi, kepada Allah
kita bergantung dan mengembalikan segala urusan. Apa yang paling
mustahak, kepada seluruh rakyat Malaysia, sederap dalam satu solidariti,
kita mampu menongkah dan melangkah apa jua cabaran serta rintangan yang
mendatang.
73. Pastinya, pada setiap kesukaran itu, ada janji-janji kesenangan dan bahagia yang menanti.
74. Mudah-mudahan, Tuhan yang Maha Berkuasa terus melindung-lindung
tanahair tercinta ini, dari segala keburukan dan mara bahaya. Bak kata
orang tua-tua, kita berserah rugi dan untung, kepada Allah meminta
tolong.
Sekian, Terima Kasih. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.