Jumaat, 30 Oktober 2020

Nasib mu Najib!…


DATUK Seri Najib Tun Razak sudah jelaskan apa yang berlaku pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi (26 Oktober 2020).

Beliau kata, kerjasama dengan Anwar Ibrahim tanpa DAP itu hanya sekadar cadangan, bukan keputusan. Bila ada cadangan, itu tugas ahli jawatankuasa untuk berbincang cari kata putus.

Kata putus pada mesyuarat itu ialah MT sepakat menolak cadangan itu. Bila keputusan dah dibuat, maka selesailah di situ.

Tetapi, lain pula berlaku di luar. Bila perkara itu sampai ke telinga di luar sana, lain pula jadinya. Najib dituduh mahu bekerjasama dengan Presiden PKR. Najib dikatakan tikam kawan-kawan dalam parti. Macam-macam tuduhan dan gelaran dilontarkan kepada Najib.

Maka portal-portal mesra pembangkang pun ambil kesempatan untuk menghangatkan situasi. Inilah masanya nak memburuk-burukkan nama Najib. Rakyat pasti akan percaya dengan laporan-laporan berbaur fitnah ini.

Tidak sampai 12 jam selepas mesyuarat MT selesai, sudah heboh seantero Malaysia mendakwa Najib tolak kerajaan Perikatan Nasional (PN), Najib nak naikkan Anwar sebagai Perdana Menteri dan bentuk kerajaan baharu.

Ramai mengiyakan dan amat sedikit menafikan laporan itu. Tiba-tiba nama Najib menjadi bualan. Bukan perkara kebaikan, tetapi keburukan. Peliknya, yang dalam partinya sendiri pun percaya dengan berita itu.

Terpaksalah Najib luangkan masa memperbetulkan keadaan. Menceritakan semula dari A sampai Z apa yang berlaku pada mesyuarat itu dan berhubung cadangan-cadangannya untuk dibincangkan.

Namun, sebaran cerita sebenar dari mulut Najib tidaklah sepantas sebaran fitnah dari portal pro-pembangkang atau dari mulut orang parti sendiri. Terpaksalah Najib akur dengan perkara itu.

Yang penting Najib sudah menjelaskan hal sebenar, supaya orang ramai atau netizen dapat hadam dan tapis semula yang telah mereka telan itu.

Kata Najib, dalam mesyuarat malam tadi, dia kemukakan tiga cadangan. Pertama, kerjasama bersyarat UMNO dengan Anwar tanpa DAP sehingga PRU 15 diadakan.

Cadangan kedua, adakan PRU 15 pada suatu tarikh yang tetap pada masa depan selepas pandemik Covid-19 terkawal.

Cadangan ketiga pula, UMNO teruskan kerjasama dengan PN dengan syarat UMNO diberikan lebih peranan dalam kerajaan untuk menentukan halatuju ekonomi.

Selepas tiga cadangan itu dikemukakan, terserah kepada MT yang hadir mesyuarat untuk bincang dan capai kata putus. Kalau setuju kata setuju, kalau tidak setuju kata tidak setuju.

Cadangan yang tidak setuju dikira habis di situ, tutup buku. Bukan dijadikan isu atau point untuk menghangatkan keadaan. Nama lagi cadangan. Dan cadangan pula bukan bersifat arahan atau perintah atau keputusan.

Kerana ramai yang bebal dengan maksud cadangan ini, maka ia menjadi isu. Maka, betullah kata Najib, buat apa adakan mesyuarat kalau tidak ada cadangan. Selalunya dengan cadangan itulah ahli-ahli mesyuarat bermesyuarat.

Cadangan yang dicapai kata sepakat untuk bersetuju baru dinamakan keputusan. Selagi ditolak, ia hanya sekadar cadangan yang tidak lagi digunapakai. Umpama wang kertas yang koyak rabak, hancur sehingga hilang nombor sirinya. Tidak bernilai lagi.

Tetapi perangai manusia, tidak seronok kalau tidak diapi-apikan. Hilang seri berpolitik kalau keluar mesyuarat tidak ada benda nak dihebohkan kepada media. Maka, jalan terbaik perbesarkan cadangan yang sudah tidak digunapakaikan lagi itu kepada media.

Media yang mereka pilih pula yang mesra pembangkang. Baru ada umphh!, Kalau setakat beri maklumat kepada media arus perdana, berita itu tidak ke mana. Tidak hangat.

Sehari semalam Najib dimaki hamun, dicerca, dikeji dan dihina dengan pelbagai tuduhan, hanya kerana cadangan yang tidak digunapakai oleh MT itu diperbesarkan.

Namun, dia masih tenang. Dia masih mampu tersenyum, walaupun dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.

Bab bekerjasama dengan Anwar ini bukan Najib seorang. Sebelum ini pun Tun Dr. Mahathir Mohamad bekerjasama dengan Anwar. Muhyiddin bekerjasama dengan Anwar. Azmin Ali bekerjasama dengan Anwar. Pas pun bekerjasama dengan Anwar. Tetapi tidak bising.

Tidak pula portal mesra pembangkang memperbesarkan isu kerjasama pemimpin dari Bersatu dan Pas itu bekerjasama dengan Anwar. Najib juga yang mereka pilih untuk direbahkan.

Kalau direbahkan musuh politik, itu biasa, tetapi Najib direbahkan oleh orang-orangnya sendiri. Orang-orang yang bertindak bukan dari arahan, tapi dari mata hati mereka yang buta.

Mereka tidak pernah mahu ambil pengajaran dari apa yang berlaku kepada parti mereka selepas PRU 14. Mereka tidak nampak kifarah yang menimpa parti mereka. Masih juga mahu berseronok dengan tikam menikam sesama sendiri. – MalaysiaGazette

Ahad, 25 Oktober 2020

"Tiada Darurat" - titah Yang di-Pertuan Agong


KUALA LUMPUR, 25 Oktober 2020 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis mengadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu (23 Oktober 2020).

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.

Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak -pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin

Sabtu, 17 Oktober 2020

Pandangan Bossku keputusan Biro Politik Umno

 

ADA yang sokong dan ada yang kritik kenyataan UMNO pada 13 Oktober 2020 untuk pertimbangkan sokongan pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meletakkan syarat.

Keputusan ini adalah keputusan sebulat suara Biro Politik UMNO dan disokong oleh semua ketua perhubungan setiap negeri.

Sememangnya, pemimpin-pemimpin UMNO tidak akan membuat keputusan yang tidak mengambil kira suara akar umbi.

Jika akar umbi tak mahu, pemimpin UMNO tidak akan membuat keputusan.

Walaupun saya bukan lagi ahli Biro Politik UMNO atau ketua perhubungan mana-mana negeri (dan tidak hadir mesyuarat tersebut), saya ingin memberi pendapat saya.

Semasa PM7 (Mahathir Mohamad) letak jawatan secara mengejut, pendirian UMNO masa itu ialah untuk pilihan raya umum diadakan untuk menyelesaikan kemelut politik masa itu.

Namun, Majlis Raja-raja tidak bersetuju dan kita diminta untuk memberi sokongan untuk mewujudkan kerajaan PN.

Di sebalik kegembiraan bahawa kerajaan PH sudah tumbang, ramai penyokong dan akar umbi UMNO masa itu juga membantah kita bekerjasama dengan PPBM, sebab PPBM telah banyak mengambil Ahli Parlimen serta ahli parti dan kita baru bertembung di PRK Tanjung Piai.

Selama berbulan-bulan selepas kerajaan PN dibentuk, ramai yang juga mahu kita tolak PN dan kukuhkan MN.

Ramai yang juga percaya bahawa jika kita tidak membentuk kerajaan PN bersama, PPBM serta geng yang lompat keluar PKR untuk masuk PPBM juga akan terkubur pada PRU15.

Namun, apa yang berlaku di Sabah (termasuk mengambil kerusi UMNO dan PN letak calon bebas untuk pecahkan undi BN), kenyataan-kenyataan dari ketua Armada PPBM serta perkongsian kuasa yang dilihat berat sebelah telah terus membakar ketidakpuasan dan kemarahan ramai ahli-ahli UMNO.

Sebagai contoh, PM adalah dari PPBM dan pengganti PM iaitu Azmin juga dari PPBM sekarang.

Dalam hal ekonomi, menteri kewangan bukan dari BN mahupun PAS.

Menteri yang jaga ekonomi dan yang jaga perdagangan luar juga bukan dari BN ataupun PAS.

Begitu juga dengan Khazanah dan Petronas.

Malah, tiada seorang pun dari UMNO atau PAS dilantik dalam Majlis Tindakan Ekonomi untuk melawan Covid.

Sebaliknya, individu seperti boss The Edge dilantik ke dalam pula bersama tiga orang menteri PPBM.

(UMNO kini digelar gila kuasa pulak?)

Sebab kita bersama dalam kerajaan PN, suka atau tidak, UMNO dan BN juga akan turut dipersalahkan jika adanya keputusan ekonomi yang meragukan ataupun ekonomi bertambah teruk walaupun tiada seorang dari BN atau PAS terlibat dalam sebarang keputusan yang melibatkan ekonomi.

Contohnya, seperti gesaan berulang kali UMNO untuk moratorium pinjaman dilanjutkan atau diberi kepada Sabah tidak didengar oleh kerajaan PN serta penggabungan UEM Sunrise dengan Eco World yang diteruskan dan bakal menyebabkan kerajaan hilang syarikat hartanah terbesar negara dengan pemilikan tanah terbesar walaupun UMNO sudah bantah langkah ini sejak tahun lalu.

Dari segi pengawalan Covid pula, Majlis Keselamatan Negara menolak cadangan Menteri Kesihatan dari UMNO untuk melaksanakan kuarantin wajib untuk mereka yang pulang dari Sabah sebelum PRN.

Keputusan MKN untuk mula-mula tidak mewajibkan kuarantin mandatori di pusat kuarantin kerajaan bagi mereka yang pulang dari luar negara serta kegagalan Menteri PPBM untuk mengasingkan tahanan serta SOP yang sepatutnya turut menyebabkan kluster Sivagangga di Kedah dan penularan amat teruk di Sabah serta beberapa lagi pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Jika kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid ini di Malaysia.

Dan kini, UMNO turut dipersalahkan bagi gelombang ketiga Covid pada masa kini.

Sejak kerajaan PN dibentuk, pemimpin BN mempertahankannya (termasuk saya yang juga sering memberi pelbagai saranan yang seterusnya diambil kerajaan) biarpun ramai keputusan atau kesilapan adalah dilakukan oleh menteri PPBM sebab itu adalah janji kami semasa membentuk kerajaan PN.

Namun, ramai yang rasa ini tidak adil sebab yang buat silap mereka, tapi yang mempertahankan mereka adalah kita pula.

Keputusan UMNO pada 13 Oktober 2020 adalah untuk mempertimbangkan semula sokongan pada PN, memberi syarat baru kerjasama serta mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi sebagai parti politik.

Keputusan mesyuarat UMNO hari itu, tidak menyentuh tentang sokongan kepada Anwar jadi PM ataupun bekerjasama dengan DAP (namun, Guan Eng tentu happy jika dia berpeluang kerjasama dengan saya).

Memandangkan sentimen akar umbi serta lapisan pemimpin UMNO, saya rasa keputusan semalam adalah munasabah dan tidak keterlaluan sebab ianya mampu membuka ruang lebih besar dan lebih adil untuk kami menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi dan membendung Covid.

Dan jika Perikatan Nasional boleh didaftarkan sebagai parti politik, kenapa pula Muafakat Nasional tidak boleh?

Ini selaras dengan jawapan saya bulan lepas bahawa saya adalah “orang parti” dan akan menyokong penuh keputusan rasmi parti biarpun ada kala saya tak setuju secara peribadai, tetapi saya akan bincang melalui saluran dalaman dan tidak akan mengkritik  secara terbuka.

“Najib to support party's decision on Anwar” https://www.msn.com/en-my/news/berita/najib-to-support-partys-decision-on-anwar/vp-BB19pw3I

Pendirian saya tiada kena mengena dengan kes mahkamah saya seperti dimainkan propaganda PH dan Mahathir, sebab saya tetap percaya saya tidak bersalah.

Apa yang saya buat selama ini ialah demi rakyat serta parti dan saya boleh jawab pada Allah.

Saya yakin dan pasti, saya dapat membersihkan nama saya dan didapati tidak bersalah termasuk di Mahkamah Rayuan jika sistem perundangan adalah adil dan bebas dari pencaturan Mahathir dan kerajaan PH dahulu untuk memangsakan saya.

Berhubung dengan itu juga, saya tidak mahu menerima apa-apa jawatan menteri biarpun dalam kerajaan PN ataupun apa-apa kerajaan baru selama kes-kes saya belum selesai dan nama saya belum dibersihkan.

Bagaimanapun, nasihat saya pada UMNO dan kerajaan PN secara am ialah pemulihan ekonomi, pengawalan Covid serta kebajikan rakyat adalah keutamaan dan apa-apa langkah politik yang dilakukan tidak boleh dibenarkan untuk menjejaskannya.

Menteri-menteri dari UMNO dan BN dalam kerajaan PN sekarang perlu sentiasa menumpukan fokus sepenuhnya kepada keutamaan ini pada ketika ini. – Blog Manzaidi