Isnin, 30 Ogos 2021

Biarkan jawatan TPM, fikir yang penting dahulu


By Manzaidi Mohd Amin

RAMAI berpendapat, daripada Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob penat memikirkan siapa bakal calon Timbalan Perdana Menteri, lebih baik jawatan itu dikosongkan sementara waktu ini.

Jawatan yang tidak ada dalam Perlembagaan Negara itu bukan fokus utama memandangkan ada tugas yang lebih besar menanti Perdana Menteri kesembilan.

Begitu juga, mereka beranggapan, daripada penat memikirkan untuk memilih siapa layak dilantik Menteri dan Timbalan Menteri, adalah lebih baik beliau mengekalkan Jemaah Kabinet sebelum ini.

Cara itu bukan sahaja menjimatkan masa, wang dan tenaga kerja, malah memudahkan kerja bagi seorang Perdana Menteri baharu yang pernah bersama mereka selama 17 bulan 15 hari sebelum ini.

Dalam tempoh itu semua Jemaah Menteri berkhidmat, jadi, tidak elok jika berlaku pertukaran tempat di sana sini, kerana perpindahan itu menyebabkan semua stok dokumen terpaksa dibuang begitu sahaja. Ini satu pembaziran.

Lebih memeningkan kepala, terutama rakyat ialah senarai ‘Menteri Kabinet’ lima kali bertukar dalam masa tiga hari sebaik Ismail Sabri diperkenankan sebagai Perdana Menteri yang baharu oleh Yang di-Pertuan Agong pada 20 Ogos lalu.

Kerja team cybertrooper parti-parti politik turut memberi cabaran besar kepada pihak media, kerana hampir saban hari berdepan dengan kenyataan, maklumat dan poster palsu.

Seorang ahli akar umbi UMNO, Mohd Mazlan Mat berpendapat, senarai nama ‘menteri’ yang dikeluarkan dalam tempoh tiga hari ini, tidak boleh dipercayai.

“Pada pandangan peribadi saya, untuk memastikan keharmonian dan meredakan krisis politik, elok Ismail Sabri kekalkan sahaja kabinet seperti sebelumnya.

“Jawatan Timbalan Perdana Menteri rasanya biarkan kosong buat sementara, sebab nampak seperti tidak ada keperluan mendesak pun,” katanya.

Apa yang harus difikir dan dilakukan oleh Ismail Sabri ialah mendahulukan yang penting serta mengutamakan yang paling penting

Yang paling penting sekarang ialah soal pengurusan krisis pandemik Covid-19. Bagaimana untuk mengurangkan kes jangkitan baharu dan apa kaedah untuk menyelamatkan nyawa rakyat dari wabak itu.

Oleh itu, portfolio seperi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri antara paling penting disambung tugas semula oleh Menteri sebelum ini.

Namun, Ismail Sabri yang terlibat dalam politik sejak tahun 1986, sudah tentu mempunyai pengalaman yang banyak dan mampu melaksanakan strategi yang matang untuk merancang bagi memastikan perjalanan pentadbirannya lancar. – MalaysiaGazette

Henti berpolitik, beri peluang PM 9 tadbir negara


 By Manzaidi Mohd Amin


TANDA tanya siapa Perdana Menteri kesembilan sudah terjawab.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepakat memperkenankan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pengganti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.

Dengan pengumuman titah Seri Paduka Baginda itu, diharapkan keadaan politik kembali tenang bagi membolehkan Ismail Sabri menyusun pentadbiran baharunya untuk menyelesaikan banyak masalah yang berlaku dalam negara.

Masalah paling utama ketika ini ialah pandemik Covid-19, rakyat hilang pekerjaan, hilang mata pencarian, ekonomi merudum dan boleh dikatakan, negara berada dalam keadaan genting atau meruncing.

Sekarang masa untuk Perdana Menteri yang baharu memperbaiki mana-mana yang rosak, menambahbaik mana-mana yang dirasakan perlu bagi meletakkan negara ini pada landasan yang betul.

Semua ahli-ahli politik, tidak kira dari UMNO, Pas, PKR, DAP, Amanah, Gerakan, Putra, MCA, MIC, hatta Bersatu sekali pun, tolong jangan ganggu pentadbiran Ismail dengan karenah politik murahan buat masa ini.

Beri masa dan ruang secukupnya kepada beliau untuk menyelesaikan masalah Covid, menyusun atur memulihkan ekonomi negara dan terpenting, memilih Kabinetnya sendiri yang difikirnya mampu membantunya dalam pentadbiran baharu.

Nak berpolitik juga, tunggu PRU-15 iaitu setahun atau satu setengah tahun lagi, bukan sekarang. Ketika itu, berpolitiklah kalau nak berpolitik sangat. Sekarang adalah masa untuk tunjukkan sikap sebenar kamu sebagai pemimpin – cakna kepada rakyat.

Ahli-ahli politik di Malaysia tak pernah henti berpolitik, 24 jam sehari semalam bermain politik tanpa fikirkan masalah rakyat. Kesian kepada rakyat, hilang tempat bergantung harap.

Jadi, redakanlah mainan politik seketika. Ikan pun ada masa pulang ke lubuk, belut pulang ke lumpur, burung pulang ke sarang, ahli politik tidak pernah ada masa berehat.

Sewajarnya ketika inilah ambil peluang berehat. Beri peluang kepada otak, anggota tubuh badan daripada bekerja mencatur politik

Jangan pula berehat itu bagai burung gagak pulang ke benua. Nama saja rehat, kata saja nak rehat, tetapi perangai tidak berubah, masih mencatur politik untuk kepentingan diri.

Rakyat sudah penat dengan mainan politik ahli-ahli politik Malaysia. Rakyat malu pada warga asing, rakan-rakan negara jiran dengan kemelut yang berlaku.

Negara lain ada juga krisis politik, tetapi tidak sampai menjejaskan kehidupan rakyat dan ekonomi negara. Di Thailand, ribuan rusuhan berlaku, beberapa kali bertukar Perdana Menteri, tetapi ekonomi mereka makin kuat dan kukuh.

Nilai mata wang Malaysia sekarang jauh ketinggalan berbanding mata wang Thailand, Singapura dan Brunei. Malah, ekonomi Indonesia juga dikatakan semakin ke depan.

Ahli-ahli politik kita sepatutnya merasa malu dengan situasi ini. Pemimpin negara lain berebut kuasa untuk kestabilan rakyat dan negara. Kita berebut kuasa, rakyat dan negara menjadi mangsa.

Sudah-sudahlah wahai ahli-ahli politik Malaysia. Tidak mahu malu kepada rakyat, malulah kepada Allah Yang Maha Melihat. – MalaysiaGazette