Ahad, 30 April 2023
Ada sambungan sikit lagi Tan Sri!
By Manzaidi Mohd Amin - 18 April 2023
ASSALAMUALAIKUM Tan Sri, hari ini saya ada sedikit kelapangan untuk sambung isu “oleh” dan “yang” yang dikatakan telah dibunuh oleh pengamal media.
Tan Sri kata, akibat pembunuhan karektor itu, ayat bagi satu-satu berita atau lebih mudah dengan panggilan ‘story’ jadi tidak lengkap atau lari dari maksud asal.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, perkataan “oleh” dan “yang”, ada pun tidak apa, tidak ada pun tidak apa. Ia ibarat peribahasa seperti melukut di tepi gantang.
Cuma, kalau diajukan persoalan itu kepada saya, saya lebih suka menggunakan dua perkataan ini pada ayat yang terlalu mendesak untuk dipakaikan. Kalau sekadar untuk menyedapkan ayat itu, saya tak akan guna sama sekali.
Sebolehnya saya cuba bina ayat yang boleh hilangkan perkataan “oleh” dan “yang” ini. Contohnya, “Rumah itu dibina oleh dua kontraktor yang berpengalaman” kepada “Rumah itu dibina dua kontraktor berpengalaman”.
Begitu juga, “Mayat yang dipercayai warga asing itu ditemui oleh sekumpulan penduduk kampung” kepada ayat “Mayat warga asing itu ditemui sekumpulan penduduk”.
Jadi, kedua-dua ayat itu kalau digunakan pun boleh menjadi satu ayat yang lengkap, kalau tidak menggunakannya pun akan menjadi ayat yang lengkap. Cuma kalau dibunuh keduanya, ia menjadi ayat yang lebih ringkas dan padat.
Oleh itu, pada saya, kehilangan atau kewujudan “oleh” dan “yang” bukan suatu masalah besar, sebaliknya ia adalah rencah penyedap kepada ayat berkenaan jika digunakan.
Saya pernah diberi tanggungjawab oleh sebuah syarikat akhbar untuk membukukan gaya penulisan bagi akhbar berkenaan suatu ketika dahulu, dan saya tunaikan hasrat syarikat itu.
Saya juga minta syarikat berkenaan anjurkan bengkel kepada wartawan dan penyunting untuk saya latih dan biasakan diri mereka dengan perkataan yang patut digunakan atau ditiadakan, perkataan yang patut dihilangkan atau diadakan, perkataan yang patut ditukarkan atau dikekalkan dan perkataan yang patut digantikan atau diteruskan penggunaannya.
Contoh ayat yang patut digunakan dan patut dihilangkan seperti “oleh”, “yang” dan “di”, manakala ayat yang wajar diganti ialah perkataan “tentang” ditukar kepada “mengenai”. Contoh ayat, “Kita bercakap tentang seseorang” kepada “Kita bercakap mengenai seseorang”.
Ternyata penukaran perkataan “tentang” kepada “mengenai” ini lebih relevan berbanding menggunakannya, yang kita rasa agak janggal apabila dibaca. “Tentang”, kita nak menentang siapa? Sedangkan kita bercakap “mengenai” seseorang, bukan “tentang” seseorang.
Itulah yang saya belajar daripada seorang wartawan kanan akhbar Berita Harian di awal tahun 2000, yang secara kebetulan akhbar berkenaan sedang mereformikan ayat pemberitaannya agar tidak sama dengan akhbar pesaingnya.
Dan, saya bersetuju seratus peratus dengan penukaran atau penggantian ayat itu kerana ianya nampak lebih kemas, teratur, padat, ringkas dan tidak hilang mesej atau maksud asalnya.
Sebab itu, walaupun sudah lebih 20 tahun berlalu saya mengikuti bengkel pembelajaran itu, sampai sekarang saya masih kekal dengan ayat yang ringkas dan padat.
Satu lagi contoh ayat yang saya cukup anti membaca dan menggunakannya ialah contohnya, “Polis berkata, mayat itu masih belum ditemui”. Saya lebih selesa membina ayat, “Polis berkata, mayat itu belum ditemui”.
Perkataan “masih” tidak perlu digunakan kalau bersambung dengan “belum”. Kenapa perlu guna perkataan “masih” kalau situasinya yang hendak dimaklumkan polis itu “belum” ditemui?
Ini juga sama seperti “dijangka akan” dengan “dijangka” sahaja. Kalau sudah “dijangka”, tidak perlu lagi ada “akan”.
Contohnya, “Majlis itu dijangka akan diadakan jam 10 pagi”. Kan lebih sesuai dibina ayat, “Majlis itu dijangka diadakan jam 10 pagi”. Ia nampak lebih padat dan kemas.
Sepanjang saya bekerja sebagai wartawan sejak tahun 1984 sehingga hari ini, saya cukup menjaga kualiti penulisan.
Prinsip saya, apabila saya ulang baca berita yang ditulis, saya akan buang perkataan “oleh” dan “yang” sebanyak mungkin sehingga saya berpuas hati dengannya, sebelum diserahkan kepada penyunting dan editor untuk siaran.
Banyak hendak saya perkatakan di sini mengenai gaya penulisan berita, tetapi penyampaian secara lisan lebih sampai maksudnya daripada menerangkannya secara tulisan.
Walaupun dunia penulisan berubah mengikut peredaran masa dan sejak wujudnya media sosial, semua sudah boleh jadi ‘wartawan’. Semua sudah boleh melaporkan kejadian dan peristiwa dengan gaya penulisan tersendiri, walaupun tulisan itu lari dari gaya penulisan pemberitaan yang saya belajar sejak awal 80-an.
Tulisan wartawan sekarang boleh diumpamakan kalau baca al-Quran, sebutan tajwid dan taranumnya tidak tepat. Tetapi, asalkan sedap, ia diteruskan juga pembacaannya, walau lari dari maksud.
Begitulah dengan gaya penulisan berita. Asalkan hendak menyampaikan mesej, mereka hentam (tulis) saja, biarpun ayatnya tunggang terbalik, lintang pukang dan tidak tersusun.
Saya pun tidak tahu dari mana mereka belajar kaedah penulisan berita seperti ini, tiba-tiba mereka sudah bergelar wartawan.
Sebab itu, di zaman 80-an, 90a-an dan di awal tahun 2000, media ketika itu ada enam sahaja iaitu Berita Harian, Utusan Malaysia, RTM, TV3, Bernama dan The Star, sebelum wujudnya Harian Metro, Kosmo, portal berita dan TV Internet.
Era 90-an, empat atau lima wartawan yang hadir untuk satu-satu liputan, berbanding sekarang sudah cecah puluhan media.
Saya masih ingat ketika bertugas di Kelantan dahulu, kalau Perdana Menteri datang melawat, hanya lima atau enam wartawan dari media ini sahaja yang hadir untuk buat liputan.
Sekarang berpuluh, malah mencecah ratusan wartawan hadir untuk satu-satu program melibatkan Perdana Menteri atau Menteri. Hinggakan kita yang sudah veteran ini ditolak, diasak oleh wartawan baharu hingga jauh terperosok ke belakang.
Begitulah perkembangan dunia kewartawanan, yang semakin maju dan canggih, tetapi berita yang dihasilkan pula tidak mempunyai asas pemberitaannya iaitu 5W 1H.
Kalau ada pun, keadaannya tunggang terbalik dan lintang pukang. 5W 1H ialah How (Bagaimana), What (Apa), Why (Kenapa), Where (Di mana), When (Bila) dan Who (Siapa).
Kadang-kadang dalam intro pun tidak ada pun 5W 1H. Tapi kalau kita rajin membacanya sampai habis, asas itu ada di kedudukan para kedua, ketiga dan di penamat story. Ini jauh dari yang saya belajar dahulu.
Namun, untuk mendidiknya semula agar berada di landasan yang betul, rasanya agak sukar. Gaya penulisan pemberitaan sekarang ini umpama nasi sudah menjadi bubur. Tidak boleh diperbetulkan lagi kerana seseorang wartawan akan menulis mengikut gaya sendiri.
Kalau 100 wartawan begini, maknanya 100 gaya penulisan akan terhidang di media-media sepertimana yang kita hadap hari ini.
Kadang-kadang saya terfikir, sudah jauh ketinggalan zaman gaya penulisan aku. – MalaysiaGazette
Selasa, 18 April 2023
Tan Sri! Bukan setakat “oleh”, “yang” juga dibunuh
By Manzaidi Mohd Amin - 2 April 2023
BARU-BARU ini Bawah Kolong ada terbaca satu artikel berkaitan persoalan dibangkitkan Tan Sri Johan Jaaffar (JJ) berkenaan pembunuhan perkataan “oleh” dalam pemberitaan.
Bekas Pengerusi Media Prima Berhad yang juga bekas Pengarah Kumpulan New Straits Times Berhad itu mempersoalkan kenapa perkataan “oleh” dibunuh atau ditalkinkan oleh sebahagian besar editor akhbar Bahasa Melayu.
Untuk pengetahuan Tan Sri JJ, karektor “oleh” mula dihilangkan oleh akhbar Berita Harian pada akhir 1999 atau awal tahun 2000-an.
Bawah Kolong antara pemberita yang turut tersenarai dalam kursus gaya bahasa anjuran Berita Harian, yang mana panelnya diketuai wartawan Ahmad Tajuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Ataj.
Dalam kursus tiga hari itu, kami didedahkan dengan kaedah penggunaan ayat atau perkataan yang sesuai untuk penulisan satu-satu berita. Baginya, berita harus ringkas dan padat.
Justeru, untuk meringkas dan memadatkan berita itu, beberapa ayat atau perkataan perlu dikorbankan daripada digunakan, dan ayat atau perkataan ini jika tidak digunakan, berita tetap kemas atau sedap dibaca.
Sebagai contoh, Bawah Kolong boleh sahaja introkan tulisan ini seperti berikut;
Baru-baru ini Bawah Kolong ada terbaca satu artikel berkaitan persoalan “yang” dibangkitkan “oleh” Tan Sri Johan Jaafar (JJ) berkenaan pembunuhan perkataan “oleh” dalam pemberitaan.
Tetapi, Bawah Kolong lebih sedap meringkaskannya kepada ayat yang menjadi intro kepada artikel ini sebagaimana permulaannya di atas.
Dalam kursus tiga hari itu, Bawah Kolong dan rakan pemberita yang lain dimaklumkan mengenai beberapa perkataan yang bakal ditalkinkan. Antaranya, “oleh”, “yang”, “di”, “telah” dan “ekor”.
Contohnya, “majlis itu telah dirasmikan oleh Tan Sri JJ”, tetapi lebih padat dan kemas kalau ditulis, “majlis itu dirasmikan Tan Sri JJ”.
Begitu juga perkataan “yang”. Contohnya, “meja yang digunakan oleh Tan Sri JJ didapati telah hilang”, tetapi lebih padat dan kemas kalau ditulis, “meja digunakan Tan Sri JJ telah hilang”.
Gaya pemberitaan tidak sama dengan gaya penulisan kreatif seperti cerpen dan novel. Genre cerpen, novel, rencana, analisis dan pojok boleh gunakan “oleh” dan “yang” sebanyak mungkin.
Bagaimanapun, dalam pemberitaan, perkataan “oleh” atau “yang” sebolehnya dikurangkan atau ditiadakan langsung. Ayat-ayat itu umpama melukut di tepi gantang, ada tidak menambah, tiada tidak berkurangan.
Bukan setakat itu, perkataan “dijilat api”, “orang”, “buah”, “sawah padi” juga turut dipinda kepada yang lebih ringkas.
Begitu juga perkataan, “dijangka akan dirasmikan”, “lima ekor ayam mati”, tiga biji buah limau” dan “lima orang kanak-kanak”, setiap ayat yang mempunyai penjodoh bilangan akan dibuang.
Ia lebih sedap dan kemas dibaca begini, “dijangka dirasmikan”, “lima ayam mati”, tiga biji limau” dan “lima kanak-kanak”.
Ini termasuk ayat seperti, “Abdul Rahman mengusahakan lima ekar sawah padi” kepada yang lebih kemas dan ringkas, “Abdul Rahman mengusahakan lima ekar bendang”.
Contoh lain, “Rumah agam itu musnah dijilat api dalam kejadian jam 5 pagi tadi” kepada ayat yang lebih kemas “Rumah agam itu musnah terbakar dalam kejadian jam 5 pagi tadi”.
Seingat Bawah Kolong, Berita Harian juga tidak menggunakan perkataan “melibatkan”, sebaliknya menggunakan “terbabit”, “menelan belanja” ditukar kepada “melibatkan”.
Contoh, “pembinaan rumah itu menelan belanja kira-kira RM5 juta”, ditukar kepada ayat, “pembinaan rumah itu melibatkan belanja RM5 juta”.
Berita Harian juga ketika itu sebolehnya mahu meringkaskan penulisan berita dengan gaya bahasa yang mantap dan kemas selaras dengan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sebab itu, gaya bahasa Berita Harian tidak sama dengan Utusan Malaysia. Walaupun dua akhbar ini menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, tetapi masing-masing mempunyai nilai atau gaya bahasa tersendiri.
Bawah Kolong pernah mendengar perbualan pembaca mengenai struktur ayat pemberitaan Berita Harian dan Utusan Malaysia. Ada menyatakan, ayat Berita Harian lebih intelek berbanding ayat Utusan Malaysia yang lebih disukai ramai.
Sebab itu, apabila Bawah Kolong menerima pelawaan daripada sebuah akhbar kompak pada tahun 2004, Bawah Kolong minta untuk menetapkan gaya bahasa sendiri pada akhbar baharu itu.
Untuk gaya bahasa akhbar kompak itu, Bawah Kolong campur daripada gaya bahasa Berita Harian dan gaya bahasa Utusan Malaysia. Namun, perkataan “oleh”, “yang” “di”, “dijangka akan” dimatikan sama sekali.
“Oleh”, “yang” dan “di” boleh digunakan, tetapi sekurang-kurangnya satu atau dua dalam satu berita atau stori. Kalau kebetulan Bawah Kolong yang sunting stori berkenaan, Bawah Kolong cantas seboleh mungkin perkataan itu.
Untuk maklumkan juga, ayat-ayat itu boleh digunakan dalam penulisan rencana, analisis, pendapat dan pojok, tetapi sebolehnya dilarang sama sekali dalam penulisan berita. Boleh digunakan, tapi tertakluk kepada pembinaan ayat.
Harap Tan Sri JJ tahu reformasi perkataan yang dibangkitkan itu dimulakan di era Tan Sri mengetuai akhbar arus perdana lagi, tetapi mungkin ketika itu Tan Sri sibuk dengan aktiviti kesusasteraan.
Berita adalah penulisan diskriptif atau penjelasan, manakala sastera adalah penulisan kreatif, iaitu mengikus Kamus DBP, biasanya digunakan bagi merujuk kepada tindakan menghasilkan idea baru.
Penulisan kreatif sesuai dengan Tan Sri yang berasal dari orang sastera. Tan Sri banyak menulis cerpen, novel, puisi, sajak dan gurindam hingga corak penulisan terbawa-bawa dalam penulisan rencana, berita dan pojok.
Semua genre ini berbeza antara satu sama lain dari segi penggunaan perkataan. Ada yang boleh guna sebanyak mungkin “oleh” dan “yang”. Ada yang langsung tidak perlukan “di”, “telah” dan “akan”.
Namun, ayatnya atau jalan ceritanya tetap dapat memberi kefahaman kepada pembaca, walaupun digunakan atau tidak digunakan.
Dalam konteks hendak pendekkan berita, ia tidak perlu digunakan, tetapi kalau mahu panjangkan berita, boleh digunapakai.
Seingat Bawah Kolong, gaya bahasa ini hanya kekal kepada pemberita yang seangkatan dengan Bawah Kolong sahaja, selainnya, yang baharu masuk selepas era Ataj, gaya bahasanya kembali kepada zaman dulu-dulu.
Kadang-kadang malu bila baca berita kejadian kebakaran di akhbar Berita Harian, ada wartawan menulisnya “dijilat api”. Kata Ataj, kalau kita guna perkataan dijilat api, ia menggambarkan seolah api itu ada lidah.
Sama juga perkataan “kejar mengejar”. Kita tidak guna perkataan kejar mengejar kerana menggambarkan seolah polis dan pencuri saling berhambatan. Mula-mula polis kejar pencuri, kemudian pencuri kejar polis pula.
Malah, banyak lagi yang Bawah Kolong nak terang dan jelaskan jika dapat duduk semeja dengan Tan Sri JJ. – MalaysiaGazette
Selasa, 28 Mac 2023
Kenapa perlekeh lawatan Anwar ke Arab Saudi?
By Manzaidi Mohd Amin - 27 March 2023
SELEPAS pulang dari lawatan rasmi ke Arab Saudi dua hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan misinya mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dengan Kemboja.
Anwar berada di negara yang sebelum ini pernah memakai nama Kampuchea itu hanya satu hari sahaja.
Menurut kenyataan dari Wisma Putra, lawatan sulung Anwar sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan empat bulan lalu, adalah atas jemputan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Nama penuh Perdana Menteri Kemboja ialah Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, tetapi dipanggil Hun Sen sahaja untuk memudahkan urusan rasmi atau diplomatik dengan negara-negara luar.
Namun, begitu, sebagai antara 33 juta rakyat Malaysia, Bawah Kolong menaruh harapan agar lawatan Anwar ke Kemboja kali ini dapat menutup mulut pembangkang yang mempersendakan lawatan Anwar ke Arab Saudi sebelum ini.
Memang dasar pembangkang, mereka bukan melihat hal positif di sebalik lawatan pemimpin kerajaan, sebaliknya mencari dan menyelak hal-hal negatif yang berlaku.
Bagi mereka, itulah point penting untuk menjatuhkan maruah pemimpin negara. Sebolehnya, mereka mahu rakyat benci dan marah kepada Perdana Menteri. Mereka mahu tanam dalam minda rakyat bahawa Anwar gagal menjadi Perdana Menteri.
Seolah pada mereka, orang yang paling layak dan berjaya menjadi Perdana Menteri adalah pemimpin mereka, dan pemimpin itu pula kini sedang berdepan dengan tuduhan salahguna kuasa bagi projek yang kononnya untuk bumiputera, tetapi diberikan kepada bukan bumiputera.
Inilah pemimpin yang mereka sanjung dan puja. Lebih lagi, dengan sombong dan angkuhnya mereka mendakwa, bekas perdana menteri mereka menerima layanan istimewa daripada kerajaan Arab Saudi ketika melawat negara itu dahulu.
Mereka mendabik dada, bekas perdana menteri mereka dibawa masuk ke dalam Kaabah, sedangkan Anwar sekadar tawaf di luar Kaabah. Memalukan kata mereka.
Itulah layanan antara dua darjah yang cuba diungkit dan dibangkitkan oleh pembangkang. Tanpa mereka sedar, tindakan dan perbuatan itu sebenarnya telah memburuk-burukkan pemimpin Arab Saudi.
Mereka puji kerajaan Arab Saudi kerana memberi layanan istimewa kepada bekas perdana menteri mereka, tetapi pada masa sama, mereka menjadikan kerajaan Arab Saudi sebagai papan sasar untuk kecaman rakyat.
Wajarkah pembangkang buat demikian kepada kerajaan Arab Saudi? Nak perlekehkan perdana menteri sendiri, tetapi meletakkan Arab Saudi sebagai sebuah negara yang tidak baik pada kaca mata rakyat Malaysia.
Dalam lawatan mana-mana pemimpin ke luar negara, memang tidak dinafikan perlu menerima sambutan daripada pimpinan tertinggi negara berkenaan. Dalam kes, Anwar, Arab Saudi sudah memaklumkan Raja Salman dan Putera Mahkota sibuk dengan urusan lain yang telah diatur terlebih dahulu.
Namun, kedua pemimpin tertinggi Arab Saudi itu ada meminta Anwar supaya menyambung tempoh keberadaannya di situ untuk membolehkan mereka bersama dengan Perdana Menteri ke-10 itu.
Tetapi, kerana jadual padat Perdana Menteri dalam negara, yang sudah dari awal berjanji akan hadir ke majlis berbuka puasa dengan Yang di-Pertuan Agong, maka Anwar terpaksa menolak pelawaan itu.
Anwar pulang ke Malaysia mengikut jadual yang diatur. Sepanjang tiga hari itu, beliau bukan menunggu jemputan kerajaan Arab Saudi untuk masuk ke Kaabah, sebaliknya sebaik mungkin memenuhi setiap aturcara yang 99 peratus adalah berkaitan dengan dagangan dua hala.
Ini menunjukkan Anwar ke Arab Saudi bukan untuk mengumpul pahala untuk dirinya, tetapi mencari peluang ekonomi yang ada untuk mulut dan perut 33 juta rakyatnya.
Kepada pemimpin muda dari pembangkang, mana lebih penting, mencari pahala untuk diri sendiri atau menyelamatkan 33 juta rakyatnya? Kalau dihitung, Anwar mendapat lebih banyak pahala kerana rakyatnya.
Ini samalah seperti pahala solat bersendirian dengan pahala solat berjemaah. Allah mengurniakan jumlah atau ganjaran pahala yang berbeza.
Walhal pemimpin muda pembangkang ini dikelilingi rakan ulamak dari parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, mustahil beliau tidak mendapat nasihat mengenai hukum ini.
Bawah Kolong untuk pertama kalinya bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam hal ini.
Beliau menyatakan, perbuatan melanggar protokol diplomatik oleh kerajaan dan keluarga raja Arab Saudi terhadap Anwar tidak wajar dijadikan bahan sindiran oleh parti politik pembangkang.
Malah, katanya, Anwar wajar dipertahankan kerana ia melibatkan maruah negara.
Memang betul dan tepat sekali pandangan YB Hassan ini. Kenapa kita perlu perlekehkan Perdana Menteri kita? Walaupun kita orang politik dan berperanan sebagai pembangkang, kita tidak boleh lupa yang kita adalah rakyat Malaysia.
Walau kita orang politik pembangkang sekali pun, Anwar adalah Perdana Menteri kita. Anwar bertanggungjawab meluluskan peruntukan kepada setiap wakil rakyat termasuk pembangkang.
Bawah Kolong sudah 59 tahun hidup dan lebih separuh dari usia dihabiskan dengan jiwa politik Malaysia. Hanya kebelakangan ini Bawah Kolong dapat rasakan jiwa politik Malaysia sudah jauh berbeza dengan jiwa politik sebelum ini.
Dahulu, ada tikanya pembangkang bersetuju dengan dasar kerajaan, tetapi hari ini, kerajaan buat baik pun pembangkang nampak negatif. Jadi, tidak mustahillah kalau Bawah Kolong katakan, politik sekarang macam politaik. – MalaysiaGazette
Kenapa kes mahkamah ambil masa lama nak selesai?
By Manzaidi Mohd Amin - 14 March 2023
KENAPA satu-satu kes yang dituduh di mahkamah lambat selesai? Persoalan ini sering kali bermain di kotak minda rakyat Malaysia, lebih lagi tertuduh dan mereka yang rapat dengan tertuduh.
Biar Bawah Kolong terangkan. Setiap kes akan bermula dengan dihadapkan ke mahkamah untuk dibaca pertuduhan. Jika tertuduh mengaku bersalah, maka kesnya dianggap selesai.
Keputusan hukuman bagi yang mengaku bersalah dibuat tertakluk kepada kes yang dituduh di bawah seksyen apa. Kalau bunuh, tertuduh terus dimasukkan ke penjara untuk menunggu tarikh hukuman gantung sampai mati atau menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Kalau kes rasuah, bergaduh, mencuri, dadah dan jenayah lain yang tidak melibatkan bunuh, kalau tertuduh mengaku bersalah, mahkamah akan menjatuhkan hukuman penjara atau denda. Kes pun dianggap selesai. Jimatkan kos dan masa mahkamah.
Tetapi, sekiranya tertuduh dalam semua kes itu mengaku tidak bersalah, mahkamah terpaksa menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes, tarikh untuk penyerahan dokumen dan tarikh untuk macam-macam prosedur lagi sebelum tiba kepada hari mahkamah menetapkan tarikh seterusnya.
Berdasarkan pengalaman Bawah Kolong membuat liputan pelbagai jenis kes di mahkamah, prosedurnya hampir sama, iaitu bagi yang mahu dibicarakan, mahkamah akan kenakan ikat jamin dan tetapkan tarikh berikutnya.
Di sinilah bermulanya lambat atau cepat sesuatu kes akan diketahui, kerana jurubahasa mahkamah akan melihat tarikh yang tidak banyak kes atau tarikh yang tidak ada kes untuk ditetapkan kepada tertuduh yang tidak mengaku bersalah.
Sebagai contoh, tertuduh dihadapkan pertama kali ke mahkamah pada hari ini 14 Mac 2023, selepas tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah, mahkamah kena ikat jamin dan jurubahasa mahkamah akan meneliti tarikh yang sesuai untuk ditetapkan bagi sebutan semula kes.
Dalam penelitian itu, jurubahasa mahkamah jumpa satu tarikh yang dianggap sesuai untuk ditetapkan hari berikutnya, seperti 14 Ogos 2023. Tarikh ini dimaklumkan kepada peguam bela dan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya.
Kedua pihak ini pula akan merujuk dairi masing-masing, apakah mereka tidak ada kes lain pada tarikh 14 Ogos 2023. Katakan, peguam bela setuju dengan tarikh itu, tetapi Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya pula tidak dapat hadir pada tarikh berkenaan kerana ada kes lain.
Lalu, mahkamah teliti lagi tarikh seterusnya dan dikatakan tarikh 1 Disember 2023 sesuai untuk mahkamah, maka peguam bela dan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya akan rujuk tarikh berkenaan sama ada mereka ada kes lain atau tidak.
Jika peguam bela tertuduh pula ada kes lain pada 1 Disember 2023, sedangkan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya sesuai dengan tarikh itu, maka tarikh lain yang masuk tahun 2024 akan dipilih dan ditetapkan.
Inilah punca kenapa satu-satu kes menjadi lambat. Selain, ada juga faktor peguam bela memerlukan masa untuk mendapatkan bahan bukti bagi mengukuhkan hujahan membela anak guamnya atau minta tarikh pertuduhan atau perbicaraan ditangguhkan kerana anak guam sakit, uzur atau perlukan bukti yang lebih kukuh.
Ada yang tanya, bagaimana pula jika tertuduh yang tidak dikenakan ikat jamin kerana kesnya amat berat atau ada tertuduh tidak dapat membayar ikat jamin kerana tidak mampu? Jawabnya, mereka akan dimasukkan ke penjara dahulu sehingga tarikh sebutan semula kes ditetapkan.
Selama mana mereka perlu berada dalam penjara? Selama tarikh baharu ditetapkan. Tidak kiralah sebulan, enam bulan atau satu tahun. Itu memang prosedurnya.
Tetapi, kebanyakan yang dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan dan keputusan mahkamah, jika tertuduh didapati bersalah dan dihukum penjara satu atau dua tahun, selalunya mahkamah menggunakan budi bicara, menjatuhkan hukuman pada tarikh tertuduh dipenjarakan atau ada juga hukuman dijatuhkan pada hari keputusan dibuat. Mahkamah ada perkiraannya.
Maknanya, kalau tertuduh yang gagal membayar ikat jamin di awal pertuduhan dan dimasukkan ke penjara sementara menunggu kesnya selesai, tertuduh sudah dianggap menjalani hukumannya, kerana tertuduh sudah merasai nikmat berada dalam penjara, tetapi ada juga sebaliknya.
Dan jika, tempoh hukuman itu berbaki tiga bulan lagi dengan tempoh tertuduh dipenjarakan sebelum ini, tertuduh hanya perlu berada dalam penjara sepanjang baki yang ditetapkan.
Jika tertuduh berada dalam penjara hampir satu setengah tahun dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah atas kesalahannya selama satu tahun, selalunya, dia akan dimasukkan ke penjara untuk sehari dua lagi bagi proses pembebasannya.
Tidak adillah tertuduh sudah berada satu setengah tahun dalam penjara, sedangkan hakim mengenakan hukuman satu tahun penjara. Itu kira nasiblah. Kita tidak boleh salahkan mahkamah dan tidak boleh salahkan pihak penjara.
Dalam hal ini, tertuduh adalah mangsa kepada tarikh atau masa yang diperlukan oleh peguam mereka. Mahkamah cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan kes. Mahkamah turut mengambil kira azab tertuduh berada dalam penjara sementara menunggu tarikh perbicaraan sehingga kes selesai, tetapi tarikh dan faktor-faktor lain tidak menyebelahi tertuduh.
Sebab itu, dalam kebanyakan kes, kalau melibatkan orang berada atau orang pertengahan atau orang miskin sekali pun, mereka akan usaha cari ahli keluarga atau sahabat untuk membantu sumber kewangan bagi membolehkan tertuduh membayar ikat jamin.
Kalau wang ikat jamin dibayar, tertuduh bebas berada di luar, tetapi tidak boleh pergi jauh melangkaui negara kerana pasport antarabangsanya telah dipegang oleh mahkamah.
Untuk yang dikenakan ikat jamin, mahkamah selalunya dengan tegas memperingatkan kepada orang yang membayar ikat jamin, terutama tugasannya kena pastikan tertuduh hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.
Kalau tertuduh tidak hadir, mahkamah boleh keluarkan waran tangkap ke atas tertuduh dan wang ikat jamin itu hangus, dirampas oleh mahkamah dan menjadi sebahagian harta kerajaan.
Di sini, bukan saja pembayar ikat jamin berputih mata hilang duit berpuluh atau ratusan ribu ringgit, tertuduh juga akan menerima nasib bagai jatuh ditimpa tangga. Selepas ini, tertuduh tidak lagi dibenarkan ikat jamin, sebaliknya dihantarkan ke penjara sementara menunggu kesnya selesai.
Bagaimana pula tertuduh yang tidak dapat bayar ikat jamin, berada dalam penjara sementara menunggu perbicaraan serta keputusannya, dan selepas beberapa tahun kemudian tertuduh didapati tidak bersalah? Sedangkan tertuduh sudah begitu lama berada dalam penjara? Jawapannya, anggap sahajalah itu sebagai pengalaman dan pengajaran.
Kesimpulannya, kenapa kes lambat selesai sehingga ada yang mengambil masa dua tahun, tiga tahun, malah tujuh tahun pun ada? Sebabnya tarikh dan faktor peguam bela ada kes lain menyebabkan kesnya ditangguh dan tertangguh.
Sebab, untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi peguam bela dan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya bersama pada hari ditetapkan bukannya senang.
Mereka perlu mengendalikan puluhan kes setiap bulan. Ada kes di mahkamah Kelantan, ada kes di mahkamah Johor, malah kes yang dikendalikan melibatkan mahkamah di seluruh negara, bukan tertumpu pada satu mahkamah sahaja.
Itulah ceritanya. – MalaysiaGazette
Jumaat, 3 Mac 2023
Apa dalil Pejuang, Berjasa mahu sertai PN?
By Manzaidi Mohd Amin - 2 March 2023
PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) khabarnya telah menghantar surat memohon untuk menjadi rakan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Dua parti ini, sebelum ini adalah rakan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dicetuskan penubuhannya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengetuai Pejuang.
Sebelum PRU15 pada November 2022, Pejuang dan Berjasa melaungkan kesetiaannya bersama GTA. Kononnya GTA sahaja yang memperjuangkan nasib orang Melayu. Seolah tidak ada parti lain selain mereka dan GTA lah yang benar-benar mendengar denyut nadi orang Melayu.
GTA ini juga disertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang kononnya tidak boleh menerima perjuangan parti lain seperti UMNO, Pas, PKR dan Amanah.
Bila tiba tarikh PRU15, masing-masing meletakkan calon untuk bertanding melawan calon dari tiga gabungan gergasi, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PN.
Ada yang konfiden menang. Ada yang konfiden dapat bentuk kerajaan atas alasan rakyat sudah tolak BN, PH dan PN.
Mereka buat andaian itu bersandarkan kepada corak pentadbiran Kerajaan PH selama 22 bulan, Kerajaan Prihatin 17 bulan dan Kerajaan Keluarga Malaysia 15 bulan. Tiga kerajaan sepanjang tempoh penggal PRU14.
Bila keputusan diumumkan malam 19 November dan berlarutan sehingga dinihari 20 November, satu kerusi pun tak dimenangi oleh calon-calon GTA. Apatah lagi, penyandang dari Pejuang, Dr. Mahathir dan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz pun gagal pertahan kerusi.
Keputusan undi dan kehendak pengundi ternyata memihak kepada PH yang menang 82 kerusi, PN 74 kerusi. Paling teruk BN yang dikatakan bakal membentuk kerajaan baharu pun hanya menang 30 kerusi.
Inikan pula Pejuang, Berjasa dan Putra, yang merupakan parti-parti kecil yang tidak bergabung dengan parti-parti besar.
Mungkin disebabkan kekalahan itu, maka Pejuang dan Berjasa melihat parti mereka tidak ada harapan lagi untuk menang pada PRU akan datang, lalu membuat keputusan keluar dari GTA.
Tinggallah Putra satu-satunya parti tunggal dalam GTA. Syabas kepada Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, yang tidak tamak dalam mengejar kepentingan diri. Masih kekal setia menerajui dan menakhoda partinya menempuh badai dan ombak berseorangan.
Yang lain semua hipokrit. Kalah dalam gabungan ini, lompat ke gabungan yang lebih kuat. Entah apa yang mereka cari sebenarnya. Tetapi, pakar politik berpandangan, mereka mahukan kerusi.
Memang logik akal pandangan pakar politik ini. Kalau Pejuang dan Berjasa menyatakan penyertaan mereka dalam PN untuk bela nasib Melayu, adakah suara mereka akan didengar oleh Pas, Bersatu dan Gerakan?
Adakah mereka yakin, dengan menyertai PN, setiap mereka akan mendapat sekurang-kurangnya 10 kerusi? Pas, Bersatu dan Gerakan tidak sedangkal itu untuk berikan mereka masing-masing 10 kerusi.
Pada PN, satu kerusi pun sangat penting untuk mereka menang pada PRN ini dan PRU16 akan datang. Inikan pula nak korbankan 20 kerusi yang belum tentu akan dimenangi oleh Pejuang dan Berjasa.
Kalau sekadar untuk memeriahkan gabungan, mungkin PN boleh terima penyertaan mereka, tapi kalau mereka tuntut beberapa kerusi untuk bertanding, walaupun menggunakan logo PN, mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Dr. Domonic Lau berfikir sepuluh kali.
Jadi, jawapan kepada permohonan mereka berdua untuk menyertai PN adalah kerana mereka tersangat yakin PN akan dapat menawan enam negeri pada PRN ini.
Mereka sudah nampak gelombang sokongan rakyat dalam PRN ini adalah pada PN, bukan pada PH. Sebab itu, mereka buat keputusan sekarang untuk menyertai PN, bukan PH, walaupun PH adalah kerajaan.
Bermain politik mesti kena cerdik, selain ada strategi. Soal perjuangan, slogan, pendirian, buang ke tepi. Yang penting cita-cita peribadi mesti kesampaian, walaupun mereka sebenarnya kecapaian.
Setakat coretan ini ditulis, PN belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menerima borang penyertaan mereka atau sebaliknya.
PN pun ada agenda tersendiri juga. Mereka mesti mengadakan mesyuarat terlebih dahulu untuk dapatkan pandangan daripada ketua parti masing-masing, bukan main terima begitu sahaja.
Kalau sebelum PRU15, mungkin kedua mereka ini diterima bagai menatang minyak yang penuh, tetapi sekarang selepas PN menang besar, walaupun tidak dapat bentuk kerajaan, mereka pun tahu jual mahal. – MalaysiaGazette
Urus jenazah pun boleh kaut untung
By Manzaidi Mohd Amin - 15 February 2023
RUPANYA mengurus jenazah yang selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital (UFH) adalah satu perniagaan bagi sesetengah pihak.
Bawah Kolong (BK) langsung tidak tahu mengenai perniagaan ini sehinggalah BK ikuti kes empat Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) yang menghadapi tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam (Selasa).
Dari kertas pertuduhan itu baharulah BK tahu, jenazah atau mayat yang diserahkan polis ke UFH untuk urusan selanjutnya dan setelah selesai menjalani proses tertentu, ada syarikat yang akan menguruskannya untuk pengebumian atau sebagainya.
Selama ini, BK ingat semua itu percuma atau ditanggung oleh kerajaan atau keluarga. Rupanya tidak.
Jenazah atau mayat itu mempunyai nilai tertentu sehingga ada syarikat yang mungkin berebut dengan pesaing untuk mengendalikannya.
Tetapi bagaimana pula boleh libatkan unsur rasuah? Sini yang mulanya BK tertanya-tanya. Namun, apabila kertas pertuduhan dibaca dan disoal jawab oleh Yang Arif Hakim, baharulah BK tahu sedikit daripadanya.
Tertuduh bercerita, setiap mayat atau jenazah yang diserahkan polis ke UFH akan melalui beberapa proses oleh mereka yang berjawatan PPK. Selesai proses itu, jenazah atau mayat berkenaan akan diserahkan kepada syarikat untuk urusan seterusnya. Mungkin pengebumian.
Di sinilah, PPK akan menetapkan harga tertentu sebagai suapan jika syarikat berkenaan nak mendapatkan hak milik ke atas mayat atau jenazah itu untuk diuruskan. Seperti yang BK kata, mungkin pengebumian, mungkin pembakaran atau sebagainya.
Dan, unsur rasuah berlaku selepas ada proses tawar menawar antara PPK dengan syarikat. Kalau syarikat mahukan mayat atau jenazah itu, mesti kena bagi ‘duit kopi’. Kalau tak bagi, mungkin mayat atau jenazah itu diberikan kepada pihak lain. Mungkin begitu gamaknya.
Sebab kalau bukan itu kaedahnya, masakan boleh berlaku rasuah antara syarikat dengan PPK. Sudah tentulah mayat atau jenazah itu berharga hingga jadi rebutan syarikat.
Kisah realiti ini mengingatkan BK pada filem Tiga Abdul arahan Allahyarham P. Ramlee yang mana babak seorang saudagar unta gembira kerana dua hamba abdi yang dibelinya di pasar Isketambola dengan harga 2,000 pound dibayar dua kali ganda pula oleh seorang pembeli lain.
Selepas dua beradik hamba abdi itu, iaitu Abdul Wahab dan Abdul Wahib dibeli oleh adiknya Abdul Wahub dengan harga 4,000 pound sterling, Husin Lempoyang suka bukan kepalang.
“Hehehehehe… dunia! dunia, berniaga manusia lagi bagus daripada unta…wow!”
Rupanya di zaman P. Ramlee yang filemnya itu sudah berusia hampir 60 tahun menjadi realiti di zaman sekarang, yang mana berniaga manusia, sama ada hidup atau mati boleh buat keuntungan besar.
Dalam kes empat PPK yang dituduh itu, BK tidak tahu berapa harga untuk satu mayat atau jenazah yang akan diperoleh oleh syarikat berkenaan. Tetapi, setiap seorang PPK yang dituduh itu didakwa menerima lebih RM1,000 tiap seorang.
Ada yang terima RM6,500 sepanjang berurusan. Ada yang dapat RM3,500 dan ada yang peroleh RM1,100. Jumlah yang diterima untuk beberapa kali bagi penyerahan mayat atau jenazah kepada syarikat.
Pendek kata, rasuah berlaku di mana-mana tempat dan dalam apa keadaan sekalipun. Ia berlaku dan dilakukan dari setinggi-tinggi penjawat hingga serendah-rendah jawatan. Asalkan duit.
Jenuh Yang Arif Hakim memberi nasihat, rasuah ini haram. Perbuatan memberi dan menerima rasuah ini serius dan boleh mengakibatkan kehilangan kerja jika disabitkan kesalahan.
Yang Arif Hakim juga mengingatkan tertuduh. “Walau gaji kecil, kerja ini sangat mulia dan kalau kerja kerana Allah Taala, duit gaji yang kecil mendapat keberkatan Allah”.
“Malangnya, kamu pilih jalan yang salah. Kamu guna duit haram itu beri makan minum kepada anak, isteri dan keluarga kamu. Astagfirullah…” ucap Yang Arif Hakim.
Tertuduh di kandang OKT menangis teresak-esak, menyesal atas perbuatannya. Ada yang bertaubat di depan Yang Arif Hakim. Bertaubat tidak akan melakukan lagi perbuatan rasuah.
Moral ceritanya, menangislah sekuat mana pun, insaflah seikhlas dan setulus mana sekali pun, mereka tetap menerima hukuman penjara dan kehilangan pekerjaan.
Bayangkan, disebabkan terima rasuah berjumlah RM1,000, mereka hilang kerja tetap dan berpencen untuk selama-lamanya.
Sedangkan, dalam hal ini, jabatan tidak rugi apa-apa dengan kehilangan mereka. Jabatan boleh ambil sesiapa sahaja di luar sana yang ada kelayakan sebagai ganti.
Bagi jabatan, patah tumbuh hilang berganti. Bagi pesalah, patah hilang selama-lamanya. Siapa yang salah? – MalaysiaGazette
Sabtu, 4 Februari 2023
Beri masa Nurul buat kerja, jangan cepat latah
By Manzaidi Mohd Amin - 31 January 2023
NURUL Izzah Anwar adalah bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh. Dia menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selama tiga penggal, sebelum tewas dalam PRU15 November tahun lalu.
Sepanjang menjadi Ahli Parlimen, tidak ada cerita-cerita menarik mengenai peranannya di kawasan itu, melainkan dia menjadi masyhur kerana dia anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam parti, dia dilantik sebagai Naib Presiden PKR. Peranannya dalam parti juga tidak menonjol, melainkan namanya sahaja yang menjadi sebutan dan idola kaum wanita yang sebaya dengannya.
Dia mendapat jolokan Puteri Reformasi kerana mempertahan dan membela ayahnya yang didakwa atas kesalahan jenayah di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat.
Selebihnya mengenai Nurul tidak ada dalam kamus politik mahupun pentadbiran kerajaan ketika Pakatan Harapan (PH) pertama kali berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 tahun 2018.
Dalam parti, dia didapati ‘menghilangkan’ diri bersama seorang lagi pemimpin PKR, Rafizi Ramli.
Tidak diketahui dengan jelas apa alasan mereka berdua berdiam diri dan membiarkan parti diurus oleh ayah dan ibunya bersama pemimpin lain.
Dia hanya muncul ketika musim pemilihan pimpinan parti dan bila menang jawatan dipertandingkan, dia diam semula.
Tiba-tiba, Ahad lalu dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, dia mengesahkan dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dia kata, yang melantiknya ke jawatan itu adalah Perdana Menteri ke-10 yang juga Menteri Kewangan. Namun, tak ada gaji, tak ada elaun, katanya.
Maknanya Nurul Izzah bekerja secara sukarelawan dan pejabatnya di Pejabat Perdana Menteri, berdekatan dengan ayahnya.
Inilah keajaiban seorang anak kepada pemimpin tertinggi parti dan kerajaan. Dengan secara mengejut, baru orang ramai tahu Nurul yang dilihat gitu-gitu rupanya seorang yang pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan.
Selama ini tidak ada siapa pun tahu dia pakar dalam dua bidang itu, kerana selama ini pun Nurul tidak pernah tunjuk kelebihan yang ada pada dirinya itu kepada umum.
Nurul juga bukan calang-calang orang. Dia mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam bidang dasar awam dan sosial dari University Johns Hopkins, Amerika Syarikat.
Tak ramai anak Melayu belajar di universiti ini dan tak ramai yang ada kepakaran sebagaimana dimiliki Nurul. Tahniah Bawah Kolong ucapkan. Semoga pelantikan Nurul ini dapat meletakkan ekonomi dan kewangan negara pada tempat yang betul.
Bawah Kolong yakin dan percaya, kebimbangan Perdana Menteri dengan kesuraman ekonomi dunia yang diramalkan akan berlaku tahun ini, mendorongnya melantik orang yang ada kepakaran dan pengalaman untuk menasihatinya bagaimana untuk berdepan dengan suasana itu.
Ini selaras dengan ramalan penganalisis ekonomi yang menjangkakan 2023 adalah tahun getir dari segi ekonomi. Malah, ada ura-ura mendakwa akan berlaku kemelesetan ekonomi dunia terutama kepada negara besar di Eropah, China, Amerika Syarikat dan Rusia.
Sudah tentu kemelesetan itu turut memberi kesan kepada Malaysia. Jadi, sebagai langkah persediaan kerajaan berdepan dengan situasi itu, bertepatan sekalilah dengan pelantikan Nurul.
Walaupun ramai orang-orang politik tidak berpuas hati dengan pelantikan yang disifatkan mereka sebagai amalan nepotisme itu, Nurul tidak boleh lemah semangat. Nurul perlu abaikan kritikan itu dan terus bekerja untuk memastikan ekonomi dan kewangan negara tidak merudum.
Rakyat perlukan ekonomi dan kerajaan yang stabil untuk meneruskan kehidupan. Cukuplah lebih dua tahun rakyat kehilangan mata pencarian, keadaan ekonomi merosot akibat pandemik Covid-19.
Sekaranglah masanya untuk Nurul buktikan kepada suara-suara kritikan di luar sana bahawa Nurul akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.
Suara yang memekak di luar sana, biarkan mereka dengan labu-labunya. Mereka pun dua kali lima juga, cakap tak serupa bikin. Nepotisme wujud di mana-mana saja sepanjang mereka memerintah.
Cuma Bawah Kolong nak nasihatkan Nurul, selepas ini kena lebih aktiflah sama ada dalam parti mahupun dalam kerajaan. Jangan berdiam diri sehingga orang ramai tertanya-tanya, Nurul ni ada ke tidak? Nurul ni buat kerja ke tidak?
Jangan sampai orang ramai jadikan isu ‘berdiam diri’ Nurul sebagai modal debat dan bahas di kedai-kedai kopi. Jaga nama baik ayah yang lantik kita ke jawatan penting itu.
Untuk membantu Nurul nanti, carilah rakan yang boleh bekerja, jangan diambil rakan yang pandai bodek untuk menolong kita. Tugasan sebagai penasihat ini penting. Nurullah yang akan mencorakkan pentadbiran ayah nanti. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...






