Selasa, 26 Januari 2010

Budaya cah keting dalam Pas memang wujud

Pengakuan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung ada budaya cah keting dalam Pas bukan pengakuan yang boleh dianggap mengejutkan semua pihak.

Bahkan, apabila saya membaca kenyataan itu pun, saya tersenyum sendirian.
Dalam hati tertanya-tanya, kenapa baru hari ini beliau membuat pengakuan itu?

Adakah pengaruhnya semakin hilang dan tidak lagi dihormati anak-anak buah. Atau beliau sudah tak dapat membendung atau menyembunyikan lagi gelegak air mendidih dalam parti itu sehingga keluar membuak-buak tanpa dapat dihalang-halang lagi.

Sepanjang 26 tahun terlibat dalam dunia media dan lebih tiga per empat daripada jumlah itu bertugas di Kelantan, saya secara tidak langsung walaupun tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya separuh daripada perjalanan politik Pas Kelantan ada tersimpan dalam kepala.

Jadi, sama sekali saya tidak terkejut kalau Nik Aziz membuat pengakuan itu, kerana selepas ini pengakuan lain pula akan menyusul.

Budaya cah keting dalam Pas Kelantan ini bermula sejak sekian lama, bukan kelmarin, semalam atau hari ini.

Cuma kebijaksanaan pemimpin Pas di peringkat negeri, kawasan dan ranting membendung atau menyembunyikan salah laku, kegoncangan, keretakan dan sindrom bermasam muka si T dengan si H telah meletakkan Pas seperti sebuah parti yang dilihat 'baik' atau dianggap 'elok' pada kaca mata rakyat.

Hakikatnya, selama ini ia tidak sebagaimana yang digambarkan oleh golongan kurang arif dengan mainan politik Pas.

Umum tahu ada dua Exco Kanan yang juga pemimpin tertinggi dalam Pas Kelantan bertengkar, berbalah, bermasam muka dan keting mengeting antara satu sama lain. Perbalahan antara si T dengan si H ini sudah sampai ke tahap kronik.

Walaupun ramai kalangan ahli Pas tahu secara samar-samar, hakikat kejadian itu bukan setakat samar-samar lagi, bahkan kalau sebuah gunung berapi, ia sudah pun meletup dan mengeluarkan lahar yang banyak.

Inilah budaya cah keting dalam Pas makin parah. Ia bukan berlaku hari ini. Ia bermula pada zaman Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda dan Allahyarham cikgu Musa Salleh lagi.

Dia pemimpin ini yang teruk kena belasah oleh lapisan baru diketuai si NA bertindak meninggalkan Pas. Arwah Datuk Mohd Asri menubuhkan parti baru Hisbul Muslimin Malaysia (HAMIM), manakala arwah cikgu Musa menyertai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Saya pernah menemu bual secara eksklusif si T dan si H. Saja nak cungkil rahsia di sebalik perbalahan mereka. Ternyata, sebagai manusia berakal, mereka tidak mengaku yang mereka bergaduh atau berbalah.

Ini samalah seperti kita tanya orang gila, sudah tentu dia tak mengaku dia gila, walaupun kelakuan macam orang gila.

Begitulah halnya dengan si T dan si H. Walaupun dua-duanya kata mereka tak berbalah, malah amat 'baik' dan sering bertegur sapa, hakikatnya mereka bagaikan anjing dengan kucing. Masing-masing mempunyai gerakan bawah tanah untuk menjatuhkan antara satu sama lain.

Kerana perbalahan ini, Pas pimpinan Nik Aziz berpecah kepada dua kumpulan. Dua-duanya pernah disebut-sebut layak mengganti tempat Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar.

Masing-masing ada ego, masing-masing ada kuasa, maka masing-masing memasang strategi untuk menawan hati Nik Abdul Aziz supaya memilihnya menjadi menteri besar.
Bagaimanapun, keadaan reda seketika.

Masing-masing pula mengambil sikap berdiam diri dan buat kerja masing-masing. Namun, walaupun pada mata kasar dilihat kedua-duanya seperti menumpukan kepada kerja parti dan kerajaan, tetapi orang suruhan mereka tetap bergerak dari akar umbi ke akar umbi untuk mencantas pihak lawan, di samping mencari pengaruh dan mengukuhkan kedudukan.

Tiada ulasan: