Rabu, 27 Oktober 2010

Akhirnya Mbah Maridjan tewas dimamah lahar

YOGYAKARTA: Penjaga 'kunci' Gunung Merapi Mbah Maridjan alias Mas Penewu Suraksohargo akhirnya tumpas kepada debu panas merapi yang memuntahkan laharnya lewat petang Selasa.

Kematiannya disahkan oleh Raja Kraton Yogyakarta, Sri Sultan HamengkuBuwono X yang menghantar adiknya untuk membuat pengecaman ke atas jenazah Mbah Maridjan.

Pelantikan Mbah Maridjan sebagai 'penjaga' Gunung Merapi merupakan sebahagian daripada adat turun temurun Kesultanan Jawa sejak dahulu kala lagi.

Allahyarham dilantik sebagai pemegang kunci gunung tersebut oleh ayahanda kepada Sultan HamengkuBuwono X iaitu Sri Sultan HamengkuBuwono IX.

Sejarah kuno Jawa percaya, penjaga gunung ini mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan tuannya iaitu gunung berapi tersebut.

Atas sebab itu jugalah nama Mbah Maridjan menjadi popular ketika Gunung Merapi meletus pada tahun 2006. Ia bersama sejumlah warga Kinahrejo Kecamatan Cangkringan Sleman yang tinggal di kawasan yang disifatkan sebagai kawasan bencana itu enggan berpindah kerana menurut firasatnya gunung tersebut tidak akan memuntahkan laharnya.

Padahal saat itu, Gunung Merapi sudah masuk ke peringkat bakal meletuskan lahar pada bila-bila masa sahaja.

Bahkan Sri Sultan Hamengku Buwono X sempat memerintahkan dia untuk turun dari pergunungan itu. Rumah Mbah Maridjan hanya terletak empat kilometer sahaja dari puncak Merapi.

Namun beliau enggan mendengar arahan itu yang dianggap sebagai ingkar perintah Sultan.

Benar sungguh, Merapi tidak segawat yang diperkatakan ahli-ahli geologi. Firasat Mbah Maridjan itu menjadikannya popular.

Namanya terus melambung dan kemudian menjadi bintang iklan sebuah minuman bertenaga. Duit pun mengalir deras ke kantongnya.

Namun selebriti tua ini tidak menikmati keuntungan dari hasil duit iklan itu sendirian. Sebaliknya, dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat. Di daerah Kinahrejo, beliau bukan sahaja membangunkan masjid malah gereja hasil daripada wang tersebut.

Beliau dipetik sebagai berkata, biar warga di sana beribadah sesuai mengikut keyakinan masing-masing. Mbah Maridjan sendiri adalah seorang penganut Islam yang warak.

Jasadnya ditemui para penyelamat dalam keadaan sedang sujud menyembah tuhan yang maha kuasa.

Selain itu, Mbah Maridjan acap kali menyalurkan beras kepada warga yang memerlukannya.

Mbah Maridjan dilahirkan di Dukuh Kinahrejo, Desa Umbulharjo, Cangkringan, Sleman pada tahun 1927.

Penglibatannya sebagai penjaga Gunung Merapi bermula pada tahun 1970 apabila ayahanda kepada Sultan Kraton sekarang melantiknya sebagai pembantu kepada pemegang kunci gunung.

Beliau dilantik sebagai pemegang kunci Gunung Merapi pada tahun 1982. Mbah Maridjan mempunyai beberapa anak, yakni Mbah Ajungan, Raden Ayu Surjuna, dan Raden Ayu Murjana.

Isnin, 25 Oktober 2010

370 Pakar Bahasa Inggeris Asing Akan Diambil Tahun Depan

MELAKA - Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara mulai tahun depan bagi memantau pengajaran bahasa itu di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengambilan pakar tersebut selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk pelajar tahun satu sekolah rendah yang akan bermula tahun depan.

"Mereka akan melihat bagaimana guru-guru mendidik anak-anak kita dalam bahasa Inggeris, ini kita akan mulakan pada tahun depan," katanya pada sesi dialog program Titipan Naluri bersama guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini, Isnin.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012 setelah mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan tidak bimbang untuk memartabatkan bahasa Melayu kerana sebahagian besar guru yang sedang berkhidmat sudah terlatih dalam bahasa itu. "Yang agak mencabar bagaimana hendak kita perkukuhkan bahasa Inggeris?. (Oleh itu) kita juga mahu guru yang sudah tersedia dalam sistem pendidikan mesti didedahkan semula dengan kursus-kursus dalam cuti supaya mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih mahir lagi," katanya.

Beliau juga berkata penguasaan guru pelatih di IPG dalam bahasa Inggeris juga akan ditingkatkan agar mereka tidak menghadapi masalah apabila mengajar di sekolah.

"Secara terperincinya, kita akan kemukakan kepada orang ramai tidak berapa lama lagi supaya rakyat tahu dan mereka dapat membantu supaya dasar MBMMBI kita dapat dilaksanakan secara terbaik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pelajaran akan mencari jalan untuk menyeimbangkan jumlah guru pelatih lelaki dan wanita berikutan bilangan guru pelatih lelaki lebih rendah pada masa sekarang.

Beliau berkata sehingga Ogos lepas, jumlah guru pelatih di 27 IPG seluruh negara ialah 34,512 orang dan daripada jumlah itu, seramai 22,805 orang adalah guru pelatih wanita manakala 11,707 orang adalah guru pelatih lelaki.

Selain menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan semasa di IPG, Muhyiddin mahukan guru pelatih lebih kreatif dan inovasi dalam bidang pendidikan. - BERNAMA

Khamis, 21 Oktober 2010

Ucapan Dasar Presiden UMNO

Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran
UCAPAN YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK, PRESIDEN UMNO SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KALI KE-61, 2010 DI DEWAN MERDEKA PWTC

“MENDAYA BANGSA MENERAJU KEMAKMURAN”

Bismillahirrahmanirrahim Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu qauli.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul Rahman,
YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah Ali,
YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi & Tun Jeanne Abdullah,
Naib Presiden-Naib Presiden,
Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL,
Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan,

Para Perwakilan dan Pemerhati,

MUKADDIMAH

Meng-awali ucapan, marilah kita bersama-sama merenung dua firman Allah SWT. Dalam surah al-Baqarah, ayat 143, berbunyi:

“Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam, umat pertengahan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas
perbuatan kamu”.

Dalam surah a-li Imran, ayat 159 pula terkandung firman yang menyebut:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka.
Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan itu”.

Saudara dan Saudari sekalian,

1. Alhamdulillah, kita merafakkan sepenuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh
bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya.

2. Jika dihitung dan dicongak, Perhimpunan Agung kali ke-61 menandakan Dewan Merdeka yang bertuah ini, telah menyaksikan persidangan dilangsungkan sebanyak 25 kali
semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO telah bertatih dan berjalan begitu jauh didewasakan oleh waktu.

3. Dalam pada itu, secara sedar atau tidak, selama lebih enam dekad UMNO telah berada di lapangan, menyalakan obor kebangkitan orang-orang Melayu dan membela untung
nasib bangsa. Sehubungan itu, dengan tegas kita mahu menyatakan bahawa sepanjang 64 tahun ini, United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu yakni UMNO, adalah satu-satunya, suluh yang terang-benderang, kepada cita rasa dan nurani orang-orang Melayu.

4. Kerana itulah, tidak ada seorang pun dapat menafi apatah lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepimpinannya telah menongkah arus, menghilir pasang, sebagai teraju perubah tanah air.

TALI-TEMALI WAWASAN NEGARA

Saudara dan Saudari sekalian,

5. Apa yang kita perjuangkan hari ini, bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya ia adalah penerusan kepada aspirasi bangsa Melayu serta rakyat Malaysia di kala kita membuat keputusan untuk menuntut kemerdekaan. Begitulah, semenjak dahulu, tiga prinsip dan pegangan utama kita yang sentiasa konsisten yakni pertama, kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional. Kedua, Islam sebagai Addin dan ketiganya kemakmuran negara bertonggakkan keadilan sosial.

6. Jika diimbau sebenarnya, pada awal tahun 50-an, Presiden UMNO ketika itu, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar telah mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian
parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat realiti, bahawa kemerdekaan, tidak mampu dicapai tanpa kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.

7. Namun, rancangan Dato’ Onn pada masa itu adalah terlalu progresif bagi ahli UMNO yang merasakan kedudukan bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya, ia telah
ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO. Akibat dari itu, Dato’ Onn telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu bagi
meneruskan cita-citanya.

Kendatipun begitu, kita orang-orang UMNO ini bak kata pantun:

Hidup sebumbung, di bawah teratak,
Berlain bantal, satu hati,
Bercerai kasih, bertalak tidak,
Ibarat rambut, bersimpul mati.

8. Di sudut lain, sekalipun idea Dato’ Onn pada masa itu tidak dapat diterima UMNO, penggantinya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang telah dipilih menggantikan beliau, menyedari peri pentingnya kerjasama politik pelbagai kaum untuk mencapai kemerdekaan. Tunku kemudiannya mengambil strategi yang pada pandangannya adalah lebih realistik dan mampu diterima majoriti orang-orang Melayu serta pelbagai ras dengan mempelopori satu gabungan bitara antara kaum.

9. Kerjasama ini, telah dizahirkan buat kali pertama pada tahun 1955, melalui perkongsian kuasa Parti Perikatan yang mengumpulkan UMNO, MCA dan MIC, masing-masing, mewakili kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian pula, pasca tragedi 13 Mei 1969, kepimpinan negara menyedari bahawa, perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisma politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial.

10. Oleh kerana itu, selanjutnya, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggubal dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat membaikpulih ketidakseimbangan
sosioekonomi antara kaum yang sebelum itu hampir memusnahkan keutuhan perpaduan nasional. Pendekatan baru ekonomi ini, sebetulnya telah dimungkinkan dengan
kedinamikan sistem pasaran yang dibina oleh Almarhum Tunku sebelum itu.

Saudara dan Saudari,

11. Di sini, suka saya menarik kembali perhatian sebahagian daripada kita dah pihak-pihak yang barangkali terlepas pandang bahawa, matlamat Dasar Ekonomi Baru sebenarnya, adalah, untuk membina perpaduan nasional. Cumanya, alat dasar yang telah digunapakai bersifat sosioekonomi, bukannya politik semata-mata sepertimana yang dilakukan pimpinan terdahulu melalui penubuhan Parti Perikatan.

12. Dalam helaan nafas yang sama, Tun Razak tidak melupakan kepentingan mekanisma siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Beliau, telah memperbesarkan Parti Perikatan dan membentuk tapaknya melalui penubuhan Barisan Nasional. Menerusi landasan kerjasama serta perkongsian kuasa antara kaum, ia diperluaskan melalui negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

13. Hendaklah jangan kita lupa, jambatan pertama yang dibina antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merentasi Laut China Selatan adalah jambatan politik
Barisan Nasional, yakni 11 tahun selepas penubuhan Malaysia. Ia dimantapkan lagi kemudiannya, dengan kehadiran UMNO di Sabah, bumi di bawah bayu, pada tahun 1991.

14. Sejurus, apabila Dasar Ekonomi Baru tamat pada tahun 1990, Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu, telah memperkenalkan penyataan arah tuju kebangsaan
Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Melalui kertas kerja bertajuk “Malaysia; Melangkah ke Hadapan” yang disampaikannya semasa melancarkan
Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, beliau mevisikan bahawa, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh tiga dasawarsa.

15. Pada saat itu, diimpikan menjelang tahun 2020, Malaysia akan menikmati taraf hidup yang sama dengan Amerika Syarikat. Pendapatan per kapita Amerika Syarikat pada
masa itu adalah kira-kira dua puluh ribu dolar. Sungguhpun kita tahu, ada pihak yang mengatakan matlamat ini adalah angan-angan Mat Jenin, alasan Tun Dr. Mahathir adalah begitu kemas sekali. Beliau menyatakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru, pukul rata pertumbuhan tahunan negara adalah 6.7 peratus. Jika dalam tempoh tiga puluh tahun hingga 2020, pertumbuhan boleh ditingkatkan kepada tujuh peratus yakni perpuluhan
tiga peratus lebih tinggi daripada pukul rata tahun-tahun 1971 hingga 1990, maka wawasan yang dicitakan tidak mustahil untuk dicapai.

16. Di samping aspek ekonomi, beliau telah menggariskan sembilan lagi cabaran sosio-politik yang perlu dihadapi sebelum Wawasan 2020 boleh direalisasikan. Paling utama
adalah, mengukuhkan perpaduan nasional atau matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia. Pengalaman Dasar Ekonomi Baru menunjukkan bahawa pengagihan saksama hanya akan berlaku dalam ekonomi yang teguh.

17. Apa yang sangat jelas di sini, bagi memastikan perpaduan nasional, kedua-dua mekanisma, politik dan sosioekonomi harus diguna dan dipertemukan. Ertinya, perpaduan
nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial, manakala keadilan sosial pula tidak mampu dicipta tanpa kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan
perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Saudara dan Saudari,

18. Setelah diamanahkan untuk memimpin parti dan negara kira-kira lapan belas bulan yang lepas, dengan penuh tradisi harmoni kesinambungan kepimpinan UMNO yang diserahkan oleh Tun Abdullah, saya telah membuat keputusan untuk tidak mencipta semula roda tetapi untuk mengambil teladan akan kebijaksanaan dan pandangan jauh pendahulu kepimpinan parti dan negara melalui formula yang dicuba serta telah teruji oleh zaman.

19. Maka, lahirlah falsafah induk 1Malaysia yang merupakan penerusan kepada wawasan pragmatik bapa-bapa kita dalam parti dan kerajaan. Perpaduan nasional adalah sesuatu yang dinamik. Ia harus sentiasa dibajai dan dijaga, jika tidak, ia akan hancur berkecai. Parti Perikatan terbentuk diambang Merdeka bertepatan waktunya, namun pasca tragedi 13 Mei 1969, menyaksikan model ini perlu dipulih rawat melalui Barisan Nasional dan elemen keadilan sosial melalui Dasar Ekonomi Baru.

20. Kesimpulannya, susur galur dan tali-temali usaha yang dipasak oleh Almarhum Tunku disambung oleh Allahyarham Tun Razak melalui Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Hussein pula dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang tegas dan tulus dalam melaksanakan khidmatnya. Kemudiannya Tun Dr. Mahathir meneruskannya dengan konsep Bangsa Malaysia. Disusuli Tun Abdullah yang membina usaha memantapkan modal insan dan mengolah Misi Nasional dalam meneraju negara.

Saudara dan Saudari,

21. Sekiranya perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial adalah saling mengikat dan berpilin, maka, selain 1Malaysia, kita memperkenalkan inisiatif Pelan
Transformasi Kerajaan atau GTP dan 6 NKRAnya serta Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP untuk membina kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

22. Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, ETP adalah satu pelan yang komprehensif, merangkumi garis-garis besar Model Baru Ekonomi dan lapan prakarsa strategik. Ia juga mengandungi arah tuju yang jelas dengan 12 NKEAnya serta mekanisma pelaksanaan jitu melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.

23. Dalam hubungan ini lagi, Gagasan 1Malaysia juga adalah selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang ditunjukkan sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan
negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun lagi harmoni, berasaskan Perlembagaan yang mengutamakan serta mempertahankan agama serta
keadilan kepada semua pihak. Perlembagaan itu juga melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam.

Saudara dan Saudari,

24. Jelasnya, ini bukanlah impian baru. Inilah impian abadi negara dari dahulu dan selamanya. Ia adalah gagasan Allahyarham Dato’ Onn, cita-cita Almarhum Tunku Abdul
Rahman, harapan Allahyarham ayahanda saya, kemahuan Allahyarham Tun Hussein, aspirasi Tun Dr. Mahathir dan kehendak Tun Abdullah Badawi. Pastinya, ia kini menjadi
wawasan saya, bersama Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional dan juga kerajaan.

25. Saya penuh yakin dan percaya, ia adalah hasrat murni didokong tuan-tuan dan puan-puan yang berada di dalam dewan dan di luar dewan, serta semua rakyat negara
tercinta ini. Pendek kata, biar siapapun kita, di mana jua berada, kita adalah 1Malaysia.

KEPIMPINAN DALAM BUDAYA MELAYU DAN UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

26. Di atas semua ini, jika diteliti, dalam budaya Melayu, hal kepimpinan amatlah pelbagai. Mulai daripada kepimpinan rumah tangga, dusun dan kampung sampailah kepada
kepimpinan bangsa dan negara. Oleh sebab besar dan pentingnya pengaruh dalam kehidupan, maka para pemimpin diberi kepercayaan dan tanggungjawab memandu umat sepertimana tercermin dalam ungkapan “adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali-kali menikam belakang, adat memegang kekuasaan, jangan sekali-kali merosakbinasakan, adat memegang kebebasan, jangan sekali-kali lupa batasan”.

27. Makanya, di saat ini, biar apa sekalipun suka duka, pahit maung, kritik cela yang dihadapkan lawan kepada UMNO, tawarikh jelas memperlihatkan bahawa, kita sudah
bertahan lebih daripada enam puluh tahun dengan khidmat, jasa dan bakti yang mendalam kepada pembangunan umat Melayu juga negara. Tambahan lagi, kebolehan dan kewibawaan UMNO telah tersanjung tinggi bukan sahaja dirantau sebelah sini malah menjangkau ke seantero dunia.

28. Sememangnya lagi, sejak puluhan tahun, apa yang diperkatakan bukanlah omongan kosong. Terakam jelas dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar
perpecahan kepada perpaduan, daripada pemikiran terjajah kepada pemikiran merdeka, daripada tidak percaya kepada kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang
membanggakan, daripada berputus asa kepada penuh harapan.

29. Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang
mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British.

30. Tidak cukup dengan itu, tersusun kemas dalam rekod negara, parti UMNO-lah yang telah menggerakkan kesedaran nasionalisma, semangat patriotisma dan demokrasi politik. Dalam gambaran besarnya, terbukti utuh bahawa, kepimpinan UMNO telah berjaya sebagai teraju ulung yang mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.

Saudara dan Saudari sekalian,

31. Menyongsong kisah-kisah pencapaian itu, kita ingin bertanya, apakah jenis bangsa yang berjaya menunjangi perjuangan hebat ini? Apakah sistem nilai yang dipegang?
Persoalannya di sini, bukanlah kita ingin termanggu dengan kejayaan-kejayaan lalu, namun, marilah kita menyingkap apakah kekuatan dan apakah faktor yang menjadi asas kepada keutuhan pertubuhan yang bermakna ini.

Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada
seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu.

Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut:

Melayu itu, kaya falsafahnya
Melayu itu, orang yang bijaksana
Akal budi bersulamkan daya

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,

Saudara dan Saudari,

Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya:

Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muallaf bertakrif Melayu

Mendakap realiti semasa Malaysia pula:

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,
Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah,
Melayu dimadahkan:

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung

Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat

Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:

Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.

Saudara dan Saudari sekalian,

32. Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam
masyarakat.

33. Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.

34. Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah. Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya
dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.

35. Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran Al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan. Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk
kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

KEPIMPINAN UMNO – SATU TANGGUNGJAWAB MORAL DALAM PENGURUSAN KAUM

Saudara dan Saudari sekalian,

36. Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk diingat adalah, dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam sebuah negara bitara seperti Malaysia.

37. Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia,
setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah SWT.

38. Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan negara.

39. Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial,
kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri, untuk bekerja keras serta mengambil risiko.

40. Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak
mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan itulah yang menjadi punca masalah.

Saudara dan Saudari sekalian,

41. Sementelahan itu, apabila ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ianya telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah
mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu.

42. Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-
teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana, ia berkemungkinan menjadi
ancaman kepada perpaduan negara.

43. Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya
dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar ekslusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif.

44. Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila, sejarah dienteng, atau, dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.

45. Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak
dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.

Saudara dan Saudari sekalian,

46. Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah,
mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup
menggadai segala-galanya.

Saudara dan Saudari sekalian,

47. Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali. Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain.

48. Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosiopolitik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

49. Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini, sepertimana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama. Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun, apabila memungkiri janji.

50. Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara kita, kerana, masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan
terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia
kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.

51. Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan
Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

52. Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah
dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak
mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.

53. Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama
yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang.

54. Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.

Saudara dan Saudari sekalian,

55. Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan
keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sepertimana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam panca prinsip Rukun Negara.

56. Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan
Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

57. Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-
undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh
peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

58. Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang
Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik. Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekaligus terpateri
kemas.

59. Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang
Raja-Raja Melayu. Dalam kata laim, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang
tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

60. Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja.
Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut di letakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan “primordial instinct” atau naluri asal wujud antara etnik.

61. Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusiawi itu sendiri.

62. Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi
“holocoust” di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya,
jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.

63. Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk
pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi
putus.

Saudara dan Saudari sekalian,

64. Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral
kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita
adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan
lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu sendiri.

65. Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar
orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudahcara antara kaum.

66. Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan
ketinggalan. Secara otomatis, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas
bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi profesional.

GERAK KERJA UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

67. Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi
berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti. Gerak kerja UMNO sebagai sebuah parti siasah
mesti berubah. Kendati begitu, UMNO harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa.

68. Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di dunia. Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka
duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah
dijajah Portugis.

69. Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi
fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang
berlainan.

70. Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam.

Saudara dan Saudari sekalian,

71. Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.

72. Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia
adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.

73. Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu…… seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu…… seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu…… mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.

74. Justeru, saya sebagai Presiden UMNO... tidak mahu... menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden UMNO beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

75. Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa, pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.

Saudara dan Saudari sekalian,

76. Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.

77. Walhal, jika perkhidmatan awam negara tidak kompeten, sudah lama kita menjadi negara gagal, tidak mungkin pula akan berjaya berkembang sebegini dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden.

78. Terbukti lagi selama ini, kita telah berjaya tanpa perlu ada pengkalan tentera asing dibumi bertuah ini untuk memberi payung keselamatan. Kita juga berjaya... tanpa perlu keabsahan sebagai negara bangsa yang merdeka dan berdaulat dipertikaikan. Kita juga telah berjaya... bersama pelbagai kaum membina tanah air keramat ini.

79. Diperakui, kita ada kelemahan, namun kita tetap mampu pada setiap masa bangkit mengatasi cabaran kelemahan yang dihadapkan dengan kudrat, acuan dan cara kita
sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.

Saudara dan Saudari sekalian,

80. Mendepani segalanya, UMNO akan tetap menunaikan amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kita melakukannya bukan sahaja semata-mata melalui kata puitis yang muluk-muluk bahkan dengan inisiatif, program dan dasar yang konkrit.

81. UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk
melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan
sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.

82. Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita
sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah.

83. Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.

PENUTUP

Saudara dan Saudari sekalian,

84. UMNO bukanlah sebarang parti, UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru UMNO.

85. Menjelang 1969, UMNO dan rakan-rakannya telah hilang buat kali pertama majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sekaligus kita dihadapkan dengan rusuhan kaum dan demokrasi terpaksa digantung. Dunia ketika itu, sudah seperti melambai selamat tinggal kepada UMNO. Detik cemas 1987 pula menyaksikan parti berpecah dua dan negara menghadapi insiden ketegangan kaum.

86. Setahun kemudian, pada 1988, kita berasa amat pilu dan begitu bersedih hati, bagai kilat turun menyambar, bagai garuda datang menyerang, hilang sudah tempat berteduh, patah ranting tempat berpaut, dengan sungguh rasa berhiba-hiba dan pilu, kita terpaksa menerima keputusan dan berita, bahawa, parti UMNO yang sangat berjasa dan menggala baktinya ini telah diharamkan.

87. Selanjutnya, di akhir tahun 90an, kita bukan sahaja menghadapi krisis kewangan antarabangsa, kita turut mengalami kemuraman politik apabila ramai orang Melayu
telah tidak lagi memberi sokongan. Kita kemudiannya dilintangi oleh tsunami politik pada tahun 2008 yang amat mendebarkan.

Saudara dan Saudari,

88. Alhamdulillah, walau apa pun jua rintangan, walau apa pun jua dugaan, pada setiap yang terus berusaha, tabah dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Kuasa,
kemenangan pasti tiba. Syukur, dalam setiap krisis, UMNO telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung berpihak kepada kita.

89. Semuanya ini kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO terus berpijak di bumi nyata. Semuanya ini juga dimungkinkan kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak pernah sedetik pun pudar keyakinannya terhadap perjuangan benar ini, tidak pernah pula sesaat pun luluh harapan kepada pucuk pimpinan. Pokoknya, pegangan mulia UMNO telah
memanfaatkan bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

90. Hakikatnya, kitalah parti politik pertama yang berani meluaskan medan pemilihan sehingga melibatkan 140,000 orang ahli. Sebelum kita meminda perlembagaan pun, kita
terkenal dengan parti politik yang amat kompetitif pertandingannya.

91. Demikianlah murninya impian kita. Demikianlah tulusnya langkah keramat UMNO. Demikianlah menggunungnya harapan orang-orang Melayu.

92. Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang kelam kabut, babrak dan goyah memegang tampuk kuasa?
Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan? Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada pengkhianat bangsa dan tanahair?

Sesungguhnya,

93. Kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.

94. Ayuh..
Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi..
Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi..
Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi..
Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..

95. Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan.
Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan
saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.
Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.

Isnin, 18 Oktober 2010

SIHIR - Berani tak bertempat akan jadi mangsa














“AKU tahu perbuatan ini dosa besar. Tapi aku tak kisah nak santau dia sampai mati pun. Aku sanggup tanggung segala dosa!” Demikian ungkapan kesumat seorang wanita Melayu yang nekad mensantau bekas teman lelakinya.

“Aku dengar-dengar, lelaki itu sudah pun mati,” cerita Suhaila.

Sihir atau ilmu hitam bukan perkara baru. Menurut sejarahwan, amalan melakukan sesuatu menerusi bantuan makhluk halus seperti jin dan syaitan telah berakar umbi sejak sekitar 5,000 tahun Sebelum Masihi.

Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir begitu kuat dan mereka yang mahir dalam bidang ini digelar asipu. Dalam tamadun Rom dan Yunani, ahli-ahli sihir mereka mampu melumpuhkan seseorang dengan bacaan mantera manakala dalam tamadun Mesir, ahli-ahli sihir yang hebat digaji menjadi pengawal peribadi.

Di Malaysia kini, cabang-cabang sihir didapati pada amalan santau, pukau, tuju-tuju, ubat guna-guna dan sebagainya.

Seorang lelaki dari Pulau Pinang, Salman (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun menderita penyakit misteri selama setahun. Berat badannya susut secara mendadak daripada 80 kilogram (kg) menjadi 40 kg dalam tempoh yang agak singkat.

Setiap kali menjelang Maghrib, dia tidak boleh mengangkat kakinya untuk berjalan sehingga perlu berpaut pada tembok dinding di rumah. Dia mendakwa doktor tidak mempunyai penjelasan tentang penyakitnya.

“Setelah doktor sendiri hairan dengan penyakit saya, saya berjumpa bomoh. Bomoh menyuruh saya membasuh muka kemudian dia memberikan saya cermin.

“Saya lihat ada benang, duri, serpihan kaca dan sekam menempel pada muka. Saya menyentuhnya dan memang terasa ia ada di situ.

Santau
“Bomoh itu memberitahu, saya telah disantau. Katanya, mujur saya berjumpanya cepat kerana jika tidak, dalam tempoh sebulan lagi, saya mungkin akan menemui ajal,” kata Salman kepada Jurnal.

Ceritanya, daripada gambaran rupa yang diberikan bomoh itu, orang yang berniat menyantaunya ialah seorang kawannya. Salman kini sudah pulih. Mangsa santau tidak mengenal usia. Seorang remaja berusia 14 tahun turut terkena santau. Abangnya, Mohd. Sharul Nizam Sharuddin, 29, berkongsi cerita.

“Sangat menyayat hati melihat keadaan adik saya pada masa itu. Dah macam mayat hidup. Dah jumpa doktor dan lakukan imbasan sinar X, doktor kata ada tompok-tompok hitam mungkin tibi. Tapi keadaan adik masih tidak baik.

“Kami akhirnya jumpa seorang bomoh di Perak. Selepas dirawat, adik saya muntahkan serpihan kaca, dawai besi dan rambut. Bomoh beritahu, adik saya telah disantau. Tetapi siapa yang santau kami sendiri tidak pasti,” katanya.

Namun, jauh di sudut hati Sharul Nizam, dia bersyukur kerana adiknya dapat disembuhkan, tidak seperti seorang rakannya yang mati kerana santau.

“Kawan saya itu disantau dengan teruk sampai segala organ dalam badannya hampir hilang. Dikatakan ia penangan santau Orang Asli. Difahamkan, dia disantau oleh kawan baiknya yang sukakan isterinya,” katanya.

Justeru, apa yang membezakan perbuatan sihir ini dengan perbuatan mencederakan atau membunuh mangsa menggunakan pisau atau senjata lain? Sebenarnya, jika dihalusi kedua-duanya adalah perbuatan jenayah iaitu membunuh atau mendatangkan kecederaan.

Cuma, sihir senjatanya ialah makhluk halus dan kerana itu ‘penjenayah’ sering terlepas. Mahkamah lazimnya tidak mengambil kira hal-hal berbaur metafizik dan di luar logik akal.

Jenayah
Namun, keadaan ini mungkin akan berubah. Baru-baru ini, seorang pensyarah universiti mengusulkan supaya kerajaan mewujdkan Akta Jenayah Sihir bagi mengekang amalan itu daripada terus berleluasa dan membawa penjenayah sihir ke muka pengadilan.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail menggambarkan jenayah sihir adalah sesuatu yang bersifat realistik dan bukan retorik.

Beliau cuba mengetengahkan satu formula yang mampu membawa persamaan antara jenayah sihir dan jenayah biasa.

“Banyak perkara jenayah di negara ini yang turut dikaitkan dengan perbuatan sihir.
Jenayah membabitkan sihir boleh berlaku dalam kes bunuh, mendatangkan kecederaan, rogol, penipuan, kecurian, kes orang hilang, kes cerai dan poligami.

“Daripada kajian saya juga terdapat 13 kes di mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang membabitkan jenayah ini termasuk kes Mona Fandey. Maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan hanya 55 peratus kes orang hilang diketahui puncanya sedangkan bakinya tidak diketahui.

“Terdapat juga kekerapan mangsa santau yang kembali mendapat santau selepas beberapa bulan dirawat. Semua ini mendorong kita untuk segera membanteras masalah ini,” katanya yang turut mempunyai pengalaman merawat gangguan makhluk halus.

Mahyuddin menjelaskan undang-undang berkenaan sihir juga bukan perkara baru. Ia pernah wujud di England dan Australia. Ia juga masih wujud di negara-negara Afrika, India, China dan Arab Saudi.

Namun, kebanyakannya hanya bertumpu pada aspek tertentu misalnya, di China, peruntukan undang-undang jenayah yang diluluskan pada tahun 1979 berkisar tentang mendapatkan wang dengan helah sihir.

Di Arab Saudi pula penjenayah sihir dikenakan hukuman pancung. April lalu, seorang lelaki Lebanon dijatuhi hukuman pancung di Arab Saudi atas dakwaan mengamalkan ilmu sihir.

Cedera atau kecederaan parah yang terjadi akibat sihir juga tidak bercanggah dengan maksud cedera yang terdapat dalam Seksyen 319, Kanun Keseksaan. Ini bermakna sihir yang menyebabkan kecederaan atau kesakitan termasuk lumpuh, tuli, buta, bisu dan sebagainya dianggap satu jenayah.

Bagaimana hendak membuktikan perkara yang dianggap ghaib ini? Mahyuddin menjelaskan, walaupun dianggap perkara ghaib namun hal-hal sihir biasanya hanya akan berlaku menerusi peralatan dan alat-alat itu boleh menjadi bahan bukti di mahkamah.

“Sihir berlaku kerana perjanjian antara manusia dengan makhluk halus dan perjanjian itu biasanya menghendaki manusia melakukan pemujaan dan menyediakan bahan-bahan sihir.

“Secara asasnya terdapat dua kategori bahan iaitu bahan luaran (bahan yang bukan berasal dari tubuh mangsa atau orang yang menyihirnya) atau bahan dalaman (bahan yang berasal dari diri mangsa dan penyihirnya).

Bukti
“Antara contoh bahan luaran yang biasa digunakan ialah darah, najis, tengkorak, abu mayat, simpulan kain, air lipan bara, katak puru bertanduk, hati kura-kura, kaca, paku, ranting bunga kertas, benang, tanduk kerbau, tanah liat, lilin atau jerami yang dibentuk menjadi patung.

“Bahan dalaman pula seperti apa-apa yang menjadi identiti mangsa atau orang yang hendak melakukan sihir seperti pakaian, pakaian dalam, kuku, rambut, bulu roma dan tuala,” katanya.

Elemen penting dalam penentuan terdapat jenayah atau tidak seperti mens rea (niat) dan actus rea (tindakan) juga boleh dikenal pasti.

“Tukang sihir juga boleh dianggap sebagai pembunuh upahan atau penceroboh seperti dalam kes jenayah biasa. Pengamal sihir akan didakwa bersama-sama kerana bersubahat dalam jenayah.

“Bahan bukti juga boleh menyatakan niat mereka yang menyantau sama ada untuk membunuh atau sekadar mencederakan. Misalnya, jika jarum dicucuk pada otak atau jantung patung itu menandakan tujuan bunuh dan jika dicucuk pada anggota lain seperti tangan dan kaki, ia mungkin sekadar mahu mencederakan,” ujarnya.

Jelasnya, dalam hal penyiasatan, satu badan perlu diwujudkan, misalnya menubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir. Siasatan turut dilakukan dengan kerjasama antara pakar forensik dan pakar rawatan sihir yang terbukti kredibilitinya dan boleh dipercayai.

“Akta Jenayah Sihir perlu ada. Selama ini orang mungkin memilih kaedah sihir untuk membunuh atau mencederakan kerana fikir ia tidak meninggalkan bahan bukti lalu mereka terlepas.

“Mereka hanya menyerahkan kepada makhluk halus untuk ‘mengerjakan’ mangsa. Sedangkan apa yang dilakukan juga jenayah dan patut dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya sambil memetik kata-kata sarjana Barat, Emmet V. Mittlebeeler:

“Kalau undang-undang jenayah itu digubal bertujuan menjaga kepentingan awam, maka jenayah sihir ialah jenayah paling utama yang perlu dibanteras.” - KOSMO

Jumaat, 15 Oktober 2010

Apabila tazkirah dipolitikkan

Tengah hari tadi, selepas pekena sepinggan nasi dan segelas air laci di kedai mamak, aku berjalan menuju ke sebuah masjid di Seksyen 24. Hari ni kan Jumaat. Tentulah nak tunaikan solat Jumaat. Sampai di pekarangan masjid, aku menuju ke kolah tempat mengambil wuduk. Aku lebih suka mengambil wuduk di kolah berbanding menggunakan paip. Sebabnya? Sebab aku memang suka ambil wuduk dengan air kolah.

Selesai berwuduk, aku berjalan masuk ke masjid. Ketika itu ada kira-kira seratus jemaah. Tambahan pula jam baru menunjukkan 12.40 tengah hari. Terlalu awal lagi untuk kariah Seksyen 24 memenuhinya. Selepas solat sunat, aku duduk bertahmid, bertahlil dan berwirid. Buat pahala untuk tampung dosa-dosa lampau.

Seperti biasa, sebelum masuk waktu Zuhur, masjid diimarahkan dengan tazkirah daripada ustaz-ustaz jemputan. Entah siapa yang jemput ustaz ini, hanya jawatankuasa masjid yang tahu. Tetapi rasanya ustaz ini datang memberi tazkirah bukan atas arahan Majlis Agama Islam. Saya kata begitu sebab kebanyakan tazkirah yang disampaikan ustaz-ustaz ini pada setiap kali Jumaat lebih kepada politik dan berpolitik.
Tidak ada satu pun tazkirah yang disampaikan ustaz itu memberi manfaat atau ilmu kepada kariah yang datang ke masjid itu untuk menunaikan solat Jumaat, melainkan saya dan kariah lain berasa meluat dan bosan.

Meluat dan bosan dengan isi tazkirah yang menghentam kerajaan, tetapi pada masa sama memuji-muji sehingga tinggi melangit negeri- negeri yang diperintah oleh pembangkang. Inikah ilmu yang hendak disampaikan oleh ustaz berkenaan? Dan inikah yang dikehendaki oleh jawatankuasa masjid itu menjemput ustaz politik datang menyampaikan tazkirah politik?

Kalau begini tazkirah yang disampaikan setiap kali Jumaat, nescaya kariah akan berpindah ke masjid lain. Percayalah, saya dan kariah datang ke masjid itu adalah untuk menunaikan solat Jumaat, bukan mendengar tazkirah mengarut dari ustaz syok sendiri. Kalaulah solat Jumaat bukan wajib, nescaya masjid itu akan kosong. Tidak ada seorang pun kariah, kecuali jawatankuasa masjid yang datang untuk mendengarnya.

Saya meluat dengan ustaz ini bila dia berkata, "kerajaan sebelah sana (BN) cuba mempolitikkan agama. Mereka (BN) larang orang kafir (Cina) masuk masjid, tetapi pada masa sama membenarkan kafir (India) naik masjid. "Mereka membicarakan seorang pemimpin atas tuduhan meliwat, tetapi pada masa sama mereka menjemput penyanyi jenis gay datang membuat persembahan".

Yang saya heran, dia kata, kerajaan sebelah sana cuba mempolitikkan agama, tetapi pada masa sama dia sendiri telah berpolitik dalam masjid, ketika orang ramai mula memenuhi masjid untuk solat Jumaat. Kalau kita melarang orang lain berpolitik, kita pun janganlah berpolitik. Kalau kita berpolitik juga, maknanya ustaz itu dua kali lima dengan kerajaan sebelah sana.

Apapun, mulai Jumaat depan, saya tak akan datang ke masjid ini lagi. Saya datang awal ke masjid kerana nak mencari ilmu agama daripada penceramah agama, tetapi sebaliknya pula. Saya dan kariah dihidangkan dengan ceramah politik sempit ustaz-ustaz upahan pihak tertentu.

Setelah setengah jam kemudian, ustaz itu mengakhiri tazkirahnya untuk memberi laluan tok siak melaungkan azan. Saya berasa lega sekali dan selepas azan dilaungkan dua kali iaitu azan masuk waktu Zuhur dan azan Jumaat, naik berdiri tegakkan tok imam di atas mimbar untuk membaca khutbah.

Rupa-rupanya ustaz yang sampaikan tazkirah tadi menjadi imam kepada solat Jumaat hari ini. Khutbah pertamanya lebih kepada memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai dosa zina. Katanya, sepanjang tahun lalu kira-kira 17,000 bayi luar nikah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Masya-Allah. Itu yang didaftarkan. Berapa puluh ribu jumlah bayi luar nikah yang tidak didaftarkan? Dan majoriti yang terlibat dalam zina ialah penuntut pengajian tinggi.

Alhamdulillah, isi khutbah pertama boleh diterima dan menginsafkan saya dan kariah yang mendengarnya. Mana tidaknya, zina termasuk dalam tujuh dosa besar. Mengikut hukum Allah, penzina boleh disebat 100 kali sebatan tanpa rasa belas kasihan. Panjang juga isi khutbah pertama yang disampaikan oleh tok imam ini (ustaz yang sampaikan tazkirah tadi).

Masuk khutbah kedua, imam mula melencong. Isinya bukan berkaitan hadis Nabi atau firman Allah. Sebaliknya lebih kepada mempromosi buku-buku yang dijual oleh sekumpulan anak muda dari sebuah sekolah tahfiz dan program-program yang akan dilakukan di sekolah tahfiz itu. Katanya, "selepas ini (selesai solat Jumaat), tuan tuan bolehlah campak duit kepada anak muda yang menjual buku itu, kerana duitnya akan digunakan untuk menyebarkan syiar Islam".

Bagus juga usaha dilakukan imam itu, tetapi isi khutbah itu sepatutnya diuar-uarkan sebelum solat Jumaat nak dimulakan. Itu yang lebih afdal, bukan menjadikan tajuk mempromosi sebuah sekolah tahfiz sebagai isu khutbah kedua. Ramai kariah berbisik-bisik sesama sendiri selepas imam menyalahgunakan isi khutbah kedua.

Kepada jawatankuasa masjid ini, lain kali berhati-hatilah memilih ustaz untuk menyampaikan tazkirah atau imam untuk mengepalai solat Jumaat. Pastikan yang diberi amanah itu bersih... tidak menggunakan masjid untuk berpolitik atau menyampaikan mesej daripada pemimpin politik mereka. Ini bukan cara nak tunjuk sokong kepada parti yang mereka sembah dan sujud. Masjid adalah rumah ibadat untuk umat Islam beramal ibadah, bukan tempat mendengar ceramah politik yang kotor itu. Wallah hualam.

Sabtu, 9 Oktober 2010

Muzikal Tun Mahathir























Rugi sesiapa yang tidak menyaksikan Muzikal Tun Mahathir. Ceritanya cukup menarik. Memaparkan kisah hidup dan perjuangan Tun M. Beberapa kali air mata menitis tanpa sedar. Bukan kerana cerita itu sedih, tetapi terharu, kagum dan bangga rakyat Malaysia mempunyai Perdana Menteri bernama Mahathir Mohamed.
Kalau bukan kerana malam ini malam terakhir pementasan muzikal itu, mahu rasanya saya menyaksikan lagi untuk kali kedua, ketiga dan keempat. Ceritanya tidak bosan. Malah setiap episod memaparkan perjalanan hidup Tun yang cukup mengagumkan. Dari kecil hingga bersara, Tun tidak pernah lekang dari buku.
Ketika adik beradiknya yang lain bermain di laman rumah, Tun berada di atas rumah membaca. Ketika mencari pendapatan tambahan dengan menjual belon pun Tun membaca, ketika berniaga air halia bersama seorang kawannya pun Tun membaca sehingga Tun melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran, Tun tetap membaca.
Cara hidup Tun ini secara tidak langsung membuka minda saya, betapa pentingnya membaca kerana banyak akan dapat ilmu melalui pembacaan. Insya-Allah, mulai hari ini saya menanam azam untuk membaca. Tidak kira apa jenis buku, saya akan membaca dan membaca. Syabas dan Tahniah kepada penggerak Muzikal Tun Mahathir. Satu persembahan yang teramat baik dalam sejarah hidup saya.