Jumaat, 15 Oktober 2010

Apabila tazkirah dipolitikkan

Tengah hari tadi, selepas pekena sepinggan nasi dan segelas air laci di kedai mamak, aku berjalan menuju ke sebuah masjid di Seksyen 24. Hari ni kan Jumaat. Tentulah nak tunaikan solat Jumaat. Sampai di pekarangan masjid, aku menuju ke kolah tempat mengambil wuduk. Aku lebih suka mengambil wuduk di kolah berbanding menggunakan paip. Sebabnya? Sebab aku memang suka ambil wuduk dengan air kolah.

Selesai berwuduk, aku berjalan masuk ke masjid. Ketika itu ada kira-kira seratus jemaah. Tambahan pula jam baru menunjukkan 12.40 tengah hari. Terlalu awal lagi untuk kariah Seksyen 24 memenuhinya. Selepas solat sunat, aku duduk bertahmid, bertahlil dan berwirid. Buat pahala untuk tampung dosa-dosa lampau.

Seperti biasa, sebelum masuk waktu Zuhur, masjid diimarahkan dengan tazkirah daripada ustaz-ustaz jemputan. Entah siapa yang jemput ustaz ini, hanya jawatankuasa masjid yang tahu. Tetapi rasanya ustaz ini datang memberi tazkirah bukan atas arahan Majlis Agama Islam. Saya kata begitu sebab kebanyakan tazkirah yang disampaikan ustaz-ustaz ini pada setiap kali Jumaat lebih kepada politik dan berpolitik.
Tidak ada satu pun tazkirah yang disampaikan ustaz itu memberi manfaat atau ilmu kepada kariah yang datang ke masjid itu untuk menunaikan solat Jumaat, melainkan saya dan kariah lain berasa meluat dan bosan.

Meluat dan bosan dengan isi tazkirah yang menghentam kerajaan, tetapi pada masa sama memuji-muji sehingga tinggi melangit negeri- negeri yang diperintah oleh pembangkang. Inikah ilmu yang hendak disampaikan oleh ustaz berkenaan? Dan inikah yang dikehendaki oleh jawatankuasa masjid itu menjemput ustaz politik datang menyampaikan tazkirah politik?

Kalau begini tazkirah yang disampaikan setiap kali Jumaat, nescaya kariah akan berpindah ke masjid lain. Percayalah, saya dan kariah datang ke masjid itu adalah untuk menunaikan solat Jumaat, bukan mendengar tazkirah mengarut dari ustaz syok sendiri. Kalaulah solat Jumaat bukan wajib, nescaya masjid itu akan kosong. Tidak ada seorang pun kariah, kecuali jawatankuasa masjid yang datang untuk mendengarnya.

Saya meluat dengan ustaz ini bila dia berkata, "kerajaan sebelah sana (BN) cuba mempolitikkan agama. Mereka (BN) larang orang kafir (Cina) masuk masjid, tetapi pada masa sama membenarkan kafir (India) naik masjid. "Mereka membicarakan seorang pemimpin atas tuduhan meliwat, tetapi pada masa sama mereka menjemput penyanyi jenis gay datang membuat persembahan".

Yang saya heran, dia kata, kerajaan sebelah sana cuba mempolitikkan agama, tetapi pada masa sama dia sendiri telah berpolitik dalam masjid, ketika orang ramai mula memenuhi masjid untuk solat Jumaat. Kalau kita melarang orang lain berpolitik, kita pun janganlah berpolitik. Kalau kita berpolitik juga, maknanya ustaz itu dua kali lima dengan kerajaan sebelah sana.

Apapun, mulai Jumaat depan, saya tak akan datang ke masjid ini lagi. Saya datang awal ke masjid kerana nak mencari ilmu agama daripada penceramah agama, tetapi sebaliknya pula. Saya dan kariah dihidangkan dengan ceramah politik sempit ustaz-ustaz upahan pihak tertentu.

Setelah setengah jam kemudian, ustaz itu mengakhiri tazkirahnya untuk memberi laluan tok siak melaungkan azan. Saya berasa lega sekali dan selepas azan dilaungkan dua kali iaitu azan masuk waktu Zuhur dan azan Jumaat, naik berdiri tegakkan tok imam di atas mimbar untuk membaca khutbah.

Rupa-rupanya ustaz yang sampaikan tazkirah tadi menjadi imam kepada solat Jumaat hari ini. Khutbah pertamanya lebih kepada memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai dosa zina. Katanya, sepanjang tahun lalu kira-kira 17,000 bayi luar nikah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Masya-Allah. Itu yang didaftarkan. Berapa puluh ribu jumlah bayi luar nikah yang tidak didaftarkan? Dan majoriti yang terlibat dalam zina ialah penuntut pengajian tinggi.

Alhamdulillah, isi khutbah pertama boleh diterima dan menginsafkan saya dan kariah yang mendengarnya. Mana tidaknya, zina termasuk dalam tujuh dosa besar. Mengikut hukum Allah, penzina boleh disebat 100 kali sebatan tanpa rasa belas kasihan. Panjang juga isi khutbah pertama yang disampaikan oleh tok imam ini (ustaz yang sampaikan tazkirah tadi).

Masuk khutbah kedua, imam mula melencong. Isinya bukan berkaitan hadis Nabi atau firman Allah. Sebaliknya lebih kepada mempromosi buku-buku yang dijual oleh sekumpulan anak muda dari sebuah sekolah tahfiz dan program-program yang akan dilakukan di sekolah tahfiz itu. Katanya, "selepas ini (selesai solat Jumaat), tuan tuan bolehlah campak duit kepada anak muda yang menjual buku itu, kerana duitnya akan digunakan untuk menyebarkan syiar Islam".

Bagus juga usaha dilakukan imam itu, tetapi isi khutbah itu sepatutnya diuar-uarkan sebelum solat Jumaat nak dimulakan. Itu yang lebih afdal, bukan menjadikan tajuk mempromosi sebuah sekolah tahfiz sebagai isu khutbah kedua. Ramai kariah berbisik-bisik sesama sendiri selepas imam menyalahgunakan isi khutbah kedua.

Kepada jawatankuasa masjid ini, lain kali berhati-hatilah memilih ustaz untuk menyampaikan tazkirah atau imam untuk mengepalai solat Jumaat. Pastikan yang diberi amanah itu bersih... tidak menggunakan masjid untuk berpolitik atau menyampaikan mesej daripada pemimpin politik mereka. Ini bukan cara nak tunjuk sokong kepada parti yang mereka sembah dan sujud. Masjid adalah rumah ibadat untuk umat Islam beramal ibadah, bukan tempat mendengar ceramah politik yang kotor itu. Wallah hualam.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Saudara Manzaidi,

Bersedialah untuk dikritik sekali sekala, tak salah kan sebab UMNO bukannya BETUL sangat

MZ berkata...

Saudara Fareez...
Anda telah salah sangka. Saya tidak sekali-kali membela UMNO, tetapi mempersoalkan tindakan ustaz itu. Dia kata, UMNO cuba mempolitikkan orang kafir masuk masjid, tetapi cara penyampaiannya memang seribu seratus berbaur politik. Maknanya ustaz ini telah menggunakan medium tazkirahnya untuk berpolitik.