Selasa, 25 Januari 2011

Pas - bapak segala fitnah

Jenazah: Penduduk berang dengan fitnah Pas

LABIS 24 Jan. - Masyarakat di kawasan tanah rancangan Felda Tenang di sini benar-benar berang, geram dan kesal dengan perbuatan Pas memburukkan nama perkampungan itu dengan sanggup mempolitikkan kematian salah seorang pimpinan UMNO di kawasan tersebut.

Bagi mereka, penipuan Pas yang kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak 'lupa menziarahi' jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din, 61, ketika lawatan kerja Perdana Menteri pada 18 Januari lalu merupakan fitnah besar yang mengguris perasaan keseluruhan peneroka di Felda itu.

Lebih melukakan hati mereka ialah terhadap satu lagi fitnah nyata Pas melalui edisi kedua akhbar Buletin Tenang itu, kononnya jenazah Allahyarham tidak diuruskan orang kampung yang sibuk meraikan kedatangan Perdana Menteri sehinggakan kononnya ia diuruskan rombongan jentera parti itu yang turut melawat jenazah.

Sehubungan itu, penduduk Felda Tenang menuntut Pas supaya meminta maaf secara terbuka kepada mereka berikutan fitnah yang disebabkan menerusi risalah dan Internet itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Tenang, Darham Daud yang ditemui untuk mengulas penipuan Pas itu hari ini menegaskan:

"Pas sepatutnya minta maaf, kalau berani mestilah membetulkan fakta terhadap fitnah yang dilemparkan terhadap masyarakat di Felda Tenang.

"Datang dahlah tidak memberi salam, kemudian tunjuk kurang ajar dan tidak tahu nak meminta maaf.

"Mana-mana orang Pas boleh keluar (dari Felda Tenang) dan jangan hendak masuk lagi ke sini, kita tidak perlukan mereka."

Hari ini, Utusan Malaysia membongkarkan taktik kotor Pas itu yang melakukan penipuan dan putar belit mengenai kematian Allahyarham Abdul Latif Subhi.

Selain memfitnah Perdana Menteri dan menghina penduduk kampung dengan dakwaan tidak menguruskan jenazah, Buletin Tenang terbitan Badan Perhubungan Pas Johor itu turut mendakwa kononnya imam Masjid An-Nur, Mohd. Shariff Hassan tidak mengutamakan solat jenazah sebab meraikan kedatangan Perdana Menteri.

Buletin itu mendakwa solat jenazah terpaksa diimamkan salah seorang jentera Pas yang melawat jenazah Allahyarham bersama rombongan jentera parti itu termasuk calonnya, Normala Sudirman.

Paling melampau apabila Pas mendakwa jenazah Allahyarham sengaja dibiarkan di masjid itu tanpa diuruskan kerana mahu menunggu kedatangan Perdana Menteri, suatu pembohongan yang menyedihkan isteri arwah, Maimunah Hendon dan keluarganya.

Hakikatnya, jenazah tiba dari Hospital Segamat ke masjid tersebut pada pukul 12 tengah hari dan selepas itu menunggu waktu zuhur untuk disembahyangkan dan tiada kena mengena dengan lawatan Perdana Menteri.

Menurut Darham, penduduk sangat kecewa terhadap Pas kerana sanggup menjadikan kematian sebagai isu politik hanya semata-mata untuk mencari undi.

"Perkara seperti ini tidak pernah berlaku di Felda Tenang sejak ia dibuka lebih 30 tahun lalu, saya tidak dapat bayangkan bagaimana mereka tergamak masuk ke kampung orang dan melakukan perkara tersebut.

"Saya kecewa kerana penduduk sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk menguruskan jenazah, bukan sahaja anak tempatan, orang luar pun kami bantu untuk uruskan jika ada waris yang meminta untuknya dikebumikan di Felda Tenang," katanya.

Menurut Darham, masyarakat di Felda Tenang mahu hidup dengan aman dan tidak mahu ketenangan di kampung tersebut diganggu oleh orang luar yang tidak tahu budi pekerti dan makna hormat-menghormati.

Debat? Buang masa saja

Yeop

Sehari dua ini kaum kerabat Yeop termasuk dengan Yong sekali sibuk bercakap pasal debat. Yeop pun pening dan sekali sekala cemas tengok mereka berdebat-debat sesama sendiri. Yang setuju beri hujahnya kenapa debat perlu diadakan. Yang tak setuju pula beri pendapatnya mengapa itu semua tak perlu diteruskan.

Bagi Yeop debat, atau bercakap pasal debat ni tak lebih hanya menghabiskan air liur dan membuang masa sahaja. Kerana begitu bersemangat berdebat pasal Datuk Seri Anwar Ibrahim ajak Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat, ada dalam kalangan kaum kerabat Yeop lupa pada tanggungjawab masing-masing. Suami lupa pada isteri. Ayah tak ingat pada anak. Yong pula kerana terlalu asyik nak berdebat, lupa dapur rumah tak berasap. Kesian sungguh.

Yong ajak Yeop berdebat. Yeop akui Yong memang hebat dalam debat ni. Tetapi Yong tak nyatakan isu atau tajuk apa perdebatan tu dan apa tujuan Yong tiba-tiba cabar Yeop berdebat? Nak cakap pasal Pelan 100 Hari PR memerintah? PR belum lagi memerintah dan tak akan memerintah pun. Habis tu nak debat pasal apa?

Pasal makan? Boleh. Yeop alu-alukan. Di mana dan bila, nyatakan saja tempat dan masanya. Yeop gerenti akan pergi. Kita balon habis-habisan. Sup gear box? tom yam? asam pedas? ikan bakar? gulai kawah? Debat pasal makan minum ni, Yeop memang suka. Tapi kalau pasal pentadbiran negara, kita serahkan saja kepada kerajaan. Kita bukan wakil rakyat. Kita bukan orang politik. Jadi, tak layak untuk kita berdebat pasal debat. Semuanya politik semata-mata. Motif dan tujuannya nak kejar kepentingan diri dan peribadi.

Berdebat pasal debat
Sebagai rakyat, kita kena kuat bekerja untuk politik hidup kita. Kalau asyik duduk kedai kopi berdebat pasal debat, hasilnya tak ada. Duit bayar kopi secawan sama sebiji karipap pun kita yang bayar, tak ada gunanya. Pemimpin bukannya tahu kita berdebat sampai hilang suara kerana nak bela mereka.

Padi kita di bendang tak terurus siapa nak ambil tahu? Kita juga. Lembu kerbau terlepas bebas, siapa nak jaga? Kita juga. Anak-anak nak duit belanja sekolah, siapa yang perlu tanggung? Kita juga. kalau semua ni kita yang tanggung, adalah elok benar kita lupakan pasal debat.

Jadi, Yong tak perlulah layan sangat emel atau SMS yang persoalkan kemampuan Yong. Yang naik darah cabar si penghantar emel tu buat apa? Itu tak apa lagi, yang pelik dan buat Yeop terkejut, Yong tiba-tiba cabar Yeop berdebat. Apa pasal pulak? Yeop teringat kata-kata Karpal Singh, "Jangan main-main dengan saya."

Kepada Yong, biarkanlah. Dia orang nak kata apapun, biarlah dia orang kata. Tak akan jadi kudis gatal pun. Lagi pun Yong bukan orang politik. Yong rakyat biasa macam Yeop juga. Kenapa pula Yong mudah terasa atau sensitif. Soal debat ni kita serahkan saja kepada BN dan PR. Takkan Yong tak tahu politik.

Dua pihak tak beralah
Yang pasti pada Yeop, kedua-dua pihak tak akan beralah. Pembangkang sudah tentu akan bercakap berdasarkan kajian mereka atas kertas dan logik akal tanpa praktikal. Pihak kerajaan pula akan bercakap berdasarkan pengalaman mereka sebagai pemerintah selama ini. Mereka tahu kalau guna sebanyak ini dalam tempoh ini akan jadi begini dan begini.

Pembangkang pula, boleh cakap apa saja tanpa benda tu ada di depan. Jadi ini tentulah tak samakan. Dan bila tak sama, akan menimbulkan kemarahan atau rasa tak puas hati pihak pembangkang. Lagi kecoh. Lagi huru hara dibuatnya.

Perbedatan ini samalah macam kita berada di pertengahan bulan, merancang nak berbelanja kalau dapat gaji dua minggu lagi. Semuanya ditulis atas kertas.

Dicatatkan mahu berbelanja separuh dari gaji, dan baki lagi ada separuh. Lalu dengan angan-angan Mat Jenin itu kita yakin baki separuh lagi cukup digunakan untuk tempoh satu bulan, sementara terima gaji bulan seterusnya.

Tetapi, bila tiba hari gaji. Pergi ke ATM keluarkan duit, tiba-tiba saja kita garu kepala. Otak mula berperang dengan hati, sama ada nak teruskan atau tidak rancangan yang dirancang dua minggu lalu itu. Sebab apa hati mula was was? Sebab bila sudah pegang duit dan kira berapa yang ada di tangan dan baki dalam akaun, baru kita tahu, perancangan kita selama ini hanya omong kosong semata-mata. Inilah yang akan berlaku kepada PR. Debat Pelan 100 Hari Memerintah.

Secara logik akal pun Yeop tak yakin dalam tempoh tiga bulan 10 hari itu PR boleh buat semua yang dirancang. Kalau ditakdirkan PR menang, dua bulan pun tak cukup untuk selesaikan masalah nak lantik Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri. Ada satu bulan lagi. Dengan satu bulan berbaki apa boleh buat? Semua tu mustahil belaka. - Siaran 23hb Januari 2011

LANGIT TERBUKA

Apa rahmat di sebalik perbezaan pendapat?
DATUK DR MASHITAH IBRAHIM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Dalam sejarah Islam, perbezaan pendapat di kalangan para imam mazhab tidak pernah melebihi daripada apa yang sepatutnya. Perbezaan ini tidak bersangkutan dengan sifat taasub, sombong diri, hasad dan apa-apa lain penyakit hati. Imam mazhab tidak pernah mempunyai tujuan yang lain dalam usaha mereka kecuali mengajar serta menegakkan agama Islam kepada umat.

Pernah sekali Malik bin Anas ditanya adakah perlu membasuh jari-jari kaki ketika berwuduk. Beliau menjawab, “itu tidak perlu”. Setelah berakhirnya majlis kuliah itu, seorang anak murid Malik bernama Ibn Wahhab berkata, “Aku mengetahui akan suatu hadis berkenaan soalan tadi."

Bertanya Malik: “Hadis apakah itu?”

Ibn Wahhab berkata: “laitu Ibn Sa‘ad, Ibn Luhai‘ah dan ‘Amr bin al-Harits meriwayatkan dari jalan Yazid bin ‘Amr, dari Mustawrid bin Shaddad; di mana mereka telah berkata: "Kami melihat Rasulullah menggosok antara jari-jari kakinya ketika berwuduk dengan anak jarinya."

Berkata Malik: “Riwayat ini adalah sahih. Aku tidak pernah mendengarnya hingga seketika tadi.”

Ibn Wahhab seterusnya menjelaskan bahawa Malik kemudian mengajar orang ramai untuk menggosok jari-jari kaki mereka apabila berwuduk. Demikian satu contoh daripada Malik apabila dia mendengar suatu hadis dan dikenali sanadnya berdarjat sahih, dia terus membetulkan ajaran.

Perbezaan pendapat antara mazhab juga tidak menjadi faktor penghalang untuk solat bersama-sama. Apabila tiba sahaja musim haji, semua umat Islam tidak kira sama ada para imam mazhab atau murid mereka atau pengikut mereka akan turun ke Mekah dan Madinah untuk menunaikan amalan haji.

Justeru, jika kita kaji sejarah dan riwayat hidup mereka, kita akan dapati sifat bertolak-ansur dan terbuka yang amat tinggi antara mereka. Mereka menerima teguran dengan hati terbuka, membetulkan ajaran yang tersilap, menghormati antara satu sama lain dan saling membanding ajaran sesama mereka.

Manakan tidak, bukankah para imam mazhab itu pada mulanya duduk berguru sesama mereka, mengasaskan ajaran daripada sumber yang sama dan mempunyai tujuan yang sama?
Dalam soal ini bagi mengelakkan perbalahan, kita wajar melihat kembali kisah silam bagaimana ulama tersohor menghormati pandangan lain. Sejarah telah memperlihatkan kepada kita contoh berkenaan, dari itu dapatlah kita simpulkan bahawa pendekatan digunakan oleh mereka ketika berlaku perbezaan pendapat.

Pendekatan itu adalah:
• Para imam mazhab membetulkan ajaran mereka serta-merta apabila terbukti salah tanpa sebarang sikap ragu-ragu atau keberatan.
• Saling hormat menghormati antara satu sama lain. mereka menghormati ketinggian ilmu serta pendapat di kalangan mereka.
• Para imam mazhab sendiri ada kalanya mengubah pendapat dan amalan mereka kepada pendapat imam yang lain. Tidak timbul konsep “itu mazhab dia, ini mazhab aku!”
• Tidak memaksa umat Islam untuk mentaati ajaran mereka, malah mereka sendiri yang mengesyorkan agar umat Islam memilih dan mengambil apa yang terbaik.
• Para Imam mazhab tidak pernah berhenti daripada mencari dan mengkaji ilmu. usaha mereka diteruskan sehingga ke akhir hayat, membetulkan mana yang salah dan mengajar apa yang baru. ini dilakukan secara terbuka tanpa bersembunyi atau berdiam diri.
• Para imam mazhab tidak mementingkan maruah dan kepentingan diri. Bagi mereka apa yang benar, itulah yang diperjuangkan.

Isnin, 24 Januari 2011

Bang Nuarrrr

Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata memenuhi nafsunya untuk berkuasa dan beliau sanggup melakukan apa sahaja termasuk terlibat dengan gerakan Yahudi sedunia kata Tan Sri Dr Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Perak.

"Ini semata-mata nak memenuhi nafsu dia. Nak berkuasa. Jadi dia bersetujulah dengan Yahudi, nak memecahbelahkan orang, supaya orang menyokongnya. Itu sahaja. Dia bukan ada apa-apa.

"Anwar Ibrahim ini, semata-mata nak balas dendam. Itu sahaja kerja dia," katanya.

Ketika ditanya adakah peranan Anwar sekarang ini sama seperti Abdullah bin Ubai, seorang tokoh munafik yang memecahbelahkan ummah semasa zaman Nabi Muhamad SAW di Madinah, Tan Sri Harussani merenung sejenak dan menjawab, "Saya ingat lebih daripada itu kot," sambil disambut gelakan para hadirin yang turut serta dalam sesi interbiu eksklusif bersama Mufti Perak itu.

Kenal Anwar Sejak Zaman ABIM
Ketika ditanya kenapa beliau berpendapat demikian, Harussani menjawab;
"Saya bukan tak kenal Anwar Ibrahim. ABIM ni, mula-mula berceramah pasal ABIM (di Pulau Pinang).. yang mengumpulkan orang, saya yang pertama buat perhimpunan di Pulau Pinang. Majistret pun saya panggil, ketua polis, semua hadir, saya himpun.

"Bila diluluskan (perhimpunan itu), dalam mesyuarat yang pertama (ABIM itu), saya (pun) keluar daripada ABIM, tak jadi dah saya masuk. Tak daftar pun.

"Pasal.. Anwar (ketika itu) (ber)kata (dengan penuh semangat), 'sekarang (mari) kita (pergi berdemonstrasi) ke istana!'.

"Saya kata, Anwar..., sekarang kita (ABIM) baru jadi ‘tauge’ (kacang cambah). Tauge ni, saya kata. Pukul orang, dia patah, orang pukul (pun), dia patah. Semua patah. Lembik. Biarlah kita jadi batang kacang (dulu), orang langgar, dia bercalar, kita sebat, dia bercalar.

"Dia (Anwar) kata, Sudah... mati... pada kami, Harussani sudah mati, tidak ada lagi (semangat) jihad... so saya tak masuk (ABIM)”.

Pernikahan Anwar – Azizah
Harunssani juga mengakui beliau turut terlibat dalam penikahan Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah, ketika beliau menjadi Kadi di Pulau Pinang.

"Dia (Anwar) kahwin pun, saya yang benarkan (dia) (ber)nikah. Pasal itu (arwah Tan Sri) Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri dan Penerangan ketika itu) nak tangkap saya tu. 40 polis datang jumpa saya. Hantar polis, masuk dalam pejabat saya. ASP Benggali (yang masuk).

"Saya tanya dia (polis) pasal apa masuk (ke pejabat saya). Pasal kahwin kan. Hak dia (Anwar) nak kahwin. Pasal apa (awak) datang ?. Aku yang berkuasa dalam benda ni (perkahwinan).

"Nah ambil fail... buat... apa nak buat. Kamu nak tangkap aku, tangkap, bicara aku. Tunjuk mana undang-undang (yang) salah.

"Keluar macam tu (saja) Benggali (itu)... (yang) datang dengan bapa Azizah (Wan Ismail)," katanya.

Menurut Mufti Perak itu lagi ketika majlis pernikahan Anwar itu, bapa Wan Azizah iaitu Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmood tidak bersetuju dengan penikahan tersebut kerana Anwar pada masa itu dilihat radikal dan menentang kerajaan melalui demonstrasi pelajar.

Wan Ismail ketika itu berada dalam kerajaan yang bertanggungjawab dalam Majlis Keselamatan Negara (1970-1993), yang dibentuk oleh kerajaan untuk membendung kacau bilau dalam negara angkara anasir komunis.

Apabila Wan Ismail menolak lamaran Anwar Ibrahim, dengan pertolongan Ustaz Ahmad Awang, pegawai di Pusat Islam ketika itu, telah membawa Wan Azizah ke Permatang Pauh untuk menikahkan mereka menggunakan wali hakim.

Harussani yang ketika itu menjadi Kadi Pulau Pinang, berdasarkan kuasa yang ada padanya pada masa itu, beliau telah membenarkan Anwar dan Wan Azizah dinikahkan atas wali hakim setelah bapa Wan Azizah tidak bersetuju dengan perkahwinan itu.

"Bapa Azizah tu, dia pun nak perli saya. Masa saya ambil kursus keselamatan. Dia (Wan Ismail) jadi pensyarah. Semua (yang hadir adalah) DO. Dia kata, ala seminggu (kursus ini) apa susah sangat. Tangkap mana-mana, ni tok kadi ada (di sini).. boleh nikah. Orang pun gelak.

"Sekali anak dia (Wan Azizah), saya tangkap suruh nikah sekarang macam mana”, kata Harunssani sambil disambut gelak ketawa.

Selepas itu, dalam satu majlis jamuan, Harunssani berjumpa lagi dengan Anwar. Ketika itu Anwar sudah menjadi Timbalan Menteri dalam kabinet kerajaan. Beliau bertanyakan sejauh manakah penerimaan bapa mertua (Wan Ismail) terhadapnya selepas perkahwinan itu.

"Lepas tu, semasa jamuan makan, saya tanya dia. Anwar, macam mana pak mertua (Wan Ismail)?

"Dia (Anwar) kata. Menantu (jadi) menteri. Menantu sayang lah. Dia cakap," katanya.

Agenda Pluralisme Agama Aliran John Hick
Mufti Perak juga turut ditanya berkenaan dengan agenda pluralisme agama seperti yang terkandung dalam ucapan Anwar di London School of Economics (LSE), bertajuk, 'Religion and Pluralisme in a Divided World' pada Mac tahun lalu.

"Itulah masalahnya. Anwar tidak pernah menzahirkan (sebelum ini), sekarang baru (dia) zahirkan (sebut).

"Kalau dulu dia (Anwar) kata, dulu lagi saya (dah) kata (dia) murtad. Orang yang kata semua agama sama (adalah) murtad. Pasal, Tuhan kata "Inna Din ind Allah al Islam". Tuhan kata satu sahaja agama Allah iaitu Islam.

"Jadi kalau kita kata (semua agama) sama, maknanya kita melawan Tuhan. Murtad dibuatnya. Itu hanya pendapat John Hick untuk memecahbelahkan orang Kristian pada kurun ke 16. Itu yang berpecah Kristian tu.

"Padahal, orang Yahudi sendiri.. tak buat macam tu (pluralisme agama). Kalau dia (Yahudi) buat macam tu, dia (juga) berpecah. Tapi dia tidak buat. Dia mahu memecahbelahkan orang beragama (lain)

"Jadi sekarang dia (pluralisme agama) masuk unsur ke Malaysia. Nak memecahbelahkan orang (Islam).

"Pasal apa ada (diwujudkan) School of Oriental and African Studies (SOAS). Kenapa ada fakulti agama di Harvard University… apa semua. Tok guru semua(nya) Yahudi. (Semua ini) semata-mata untuk memecahbelahkan orang Islam. Kalau tidak apa tujuan..

"Tapi kita megah dapat doktor daripada Amerika…ini ada masalah (lah)...," katanya lagi.

Khamis, 20 Januari 2011

Ummi Hafilda

Ummi Hafilda, perjuangannya belum selesai...

Oleh Zaini Hassan


UMMI Hafilda ialah wanita berhati waja. Perjuangannya belum padam-padam. Walaupun berjihad seorang diri, beliau cukup tabah. Hakikatnya, beliaulah wanita yang telah menggagalkan impian seorang pemimpin, yang dicipta oleh Dr. Mahathir Mohamad, untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Jika tidak kerana Ummi Hafilda binti Ali, Anwar bin Ibrahim sudah pun memenuhi cita-citanya menerajui negara ini. Namun, Allah Maha Agung, Anwar dihalang oleh wanita itu.

Secara berdepan, saya tidak pernah bertemu dengan wanita ini. Namun, kerana mahu menyelami isi hatinya, juga atas naluri sebagai seorang wartawan, Ahad lalu saya telah bertemu dengannya. Saya mahu tahu mengapa beliau bangkit kembali untuk menggodam Anwar.

Pertemuan yang diatur oleh seorang rakan berlaku di sebuah restoran kegemarannya di Mont Kiara Solaris, sebuah perbandaran baru ultra-moden dekat Hartamas, Kuala Lumpur.

Beliau tiba kira-kira pukul 3.30 petang dengan blaus serba coklat bersulam kehitaman. Inilah wanita yang cukup dikenali oleh seluruh rakyat Malaysia – dan dunia, gara-gara perjuangan dan prinsip kentalnya.

Dia duduk berdepan dengan saya. Senyumannya manis. Kulitnya kuning langsat.
Arwah bapanya ialah seorang guru mengaji al-Quran. Ummi ialah adik kepada ahli politik kesayangan dan ciptaan Anwar, Azmin Ali. Dia juga adik kepada pengacara popular Azwan Ali, adik ipar kepada Shamsidar Taharin yang dikatakan cukup dibenci oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar.

Mengikut rekod, Ummi pernah menuduh Anwar berzina dengan kakak iparnya itu hingga mendapat anak bernama Hafifah. Tiada DNA yang dibuat sehingga ini bagi menafikan dakwaan itu.

Serba ringkas, itulah keluarganya. Dan itulah maruahnya. Ummi ialah anak bongsu daripada enam beradik, tiga lelaki, tiga perempuan. Lahir pada Jun 1967 di Kampung Klang Gate dekat Ulu Klang. Ummi mendapat pendidikan agama lebih daripada mencukupi. Umur enam tahun sudah boleh membaca al-Quran dengan baik dan sudah tahu bersembahyang. Boleh menulis dan membaca jawi dan belajar ilmu feqah dan hadis.

Senyumannya, wajahnya dalam pertemuan kami menggambarkan wanita ini cukup yakin kepada dirinya. Beliau mempunyai karekter yang kuat. Jika tidak masakan beliau boleh bertahan dengan pelbagai macam rintangan, serangan, asakan, tekanan dan sebagainya. Lawannya Anwar bukan calang-calang orang.

Setelah 10 minit memanas badan bersembang kosong dan berkenalan, saya bertanya: "Ummi tak takutkah dengan keselamatan diri?"

Jari telunjuknya pantas menuding ke langit. "Allah. Saya serahkan diri saya kepada-Nya." Beliau tidak dikawal oleh mana-mana pengawal keselamatan. Itu yang menghairankan saya. Saya tanya soalan itu lagi. Dia menjawab sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.

"Saya tiada pengawal keselamatan. Saya tahu saya memerlukan pengawal. Tapi saya serahkan kepada Yang Maha Esa," katanya sambil tersenyum kecil. Tudung yang melitupi rambutnya dibetulkan "saya tahu nyawa saya berada di hujung tanduk... tapi itu tidak menjadi halangan untuk perjuangan saya."

Pelbagai dokumen rahsia berada dalam tangannya. Itu tidak kira lagi apa yang ada dalam otaknya, apa yang dilihat dengan matanya sendiri.

Benar. Ummi berjuang untuk maruah. Maruah kepada keluarganya, dan yang paling penting ialah maruah kepada agama, bangsa dan negara.

Setakat ini beliau berjaya dalam perjuangannya. Anwar gagal menjadi Perdana Menteri. Tapi, Anwar masih menyimpan cita-citanya. Cita-citanya masih membara. Perbicaraan di mahkamah membabitkan kes liwat Anwar cukup perlahan. Pelbagai taktik digunakan untuk memperlahankan kes liwat membabitkan Saiful Bukhari Azlan.

Kes membabitkan Saiful ialah kes liwat kedua membabitkan Anwar. Jika kes liwat dulu membabitkan pemandu Wan Azizah, Azizan Abu Bakar, Dr. Mahathir dikatakan sebagai perancang konspirasi, tapi kes Saiful berlaku semasa pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi yang dikenali sebagai "Mr. Nice Man."

Ummi sangat-sangat bimbang ia akan menjangkaui ke Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak. Walaupun beliau tahu Anwar akan terbabit secara langsung dalam PRU 13 ini, namun keazaman Ummi akan diteruskan hingga ke detik terakhir.

Ummi merasakan beliau bertanggungjawab untuk satu lagi cubaan. Cita-cita Anwar perlu dihentikan. Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri dan parti-partinya tidak boleh dibiarkan menang dalam pilihan raya itu bagi mengangkatkan martabat individu itu.

Jika Anwar akhirnya menjadi Perdana Menteri atau pakatan pembangkang menang kelak, sudah tentu kesnya akan digugurkan. Maka, rahsia maha besar Anwar juga akan turut dikuburkan. Itulah yang Anwar mahu dan oleh kerana itulah beliau begitu beria-ia mahu menang dalam pilihan raya umum kelak.

"Anwar tidak boleh dibiarkan. Negara ini akan hancur, diaibkan, dimurkai, dihina– jika bukan pada mata manusia, tapi di hadapan Yang Maha Esa..."

Rakyat harus tahu mengenai gelagat dan sifat sebenar Anwar. Ummi turut menyebut mengenai S. Nallakarupan yang menjadi orang suruhan dan sahabat karib Anwar pada ketika kemuncaknya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ummi tahu mengenai pergerakan Nalla bersama Anwar pada masa itu. Kerana ia juga membabitkan abangnya dan kakak iparnya. Namun, Nalla akhirnya ‘bertaubat.’ Dia pun tahu dosa pahala. Kini Nalla ialah musuh Anwar seperti Ummi juga.

Baru-baru ini Nalla mempertahankan Ummi dengan berkata: "Bagi saya apa yang Ummi Hafilda katakan betul. Semua itu betul. Tidak boleh dinafikan lagi. Dia tahu segalanya termasuk abangnya, Azmin. Wan Azizah tahu siapa Anwar dan Azmin. Apa yang mereka perlihatkan kepada awam ketika ini hanyalah satu lakonan...”

Ummi juga menyebut mengenai bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari yang kini berganding dengan Nalla dan Ummi untuk membongkar kemungkaran nafsu-nafsi Anwar.
Baginya, Nalla dan Anuar -- mereka mengetahui terlalu banyak kemungkaran Anwar.

Individu itu harus dihentikan. Saya bertemu dengan Ummi lebih empat jam di restoran itu. Pelbagai muslihat, peristiwa, onar, maksiat dan apatah lagi kemungkaran manusia bernama Anwar itu diceritakannya.

Sudah tentu saya tidak boleh menceritakannya kepada pembaca. Tapi ia terlalu meyakinkan. Ummi Hafilda bukan calang-calang orang. Rahsia yang diketahuinya terlalu besar. Kerana itulah Anwar telah dipaksa meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir pada 1998.

Seperti saya yang baru tahu mengenai jalan cerita yang cukup meloyakan itu daripada mulut Ummi sendiri, Dr. Mahathir telah mengetahuinya awal-awal lagi.

Sebagai khalifah Malaysia pada masa itu, Dr. Mahathir wajib (ulang: wajib) melakukan sesuatu untuk menghentikan cita-cita besar lagi rakus Anwar bin Ibrahim itu.
Mengapa Ummi kembali bersuara, setelah bertahun-tahun menyepi diri, tanya saya?

"Saya tidak boleh tahan dengan tindak-tanduknya sekarang. Soal bangsa pun sudah disentuhnya. Enough is enough. Saya mahu hentikannya once and for all,” katanya. Saya bertanya apakah itu bermakna Ummi mempunyai niat peribadi? "Ya, tapi untuk negara saya dan keluarga saya. Manusia seperti itu perlu dihentikan. Saya tahu terlalu banyak mengenainya. Setakat ini beliau terlepas. Saya tidak mahu dia terlepas lagi.”

Saya bertanya siapa di belakang Ummi sekarang ini? "Tiada siapa.”

Saya bertanya lagi UMNOkah? "UMNO tak boleh pakai. Mereka tidak membantu saya langsung.” Lagi pertanyaan saya, takkah pihak keselamatan atau SB yang menjagai Ummi, beliau menjawab "Tidak. Saya bergerak sendiri. Mereka tidak kisah dengan saya,” katanya.

Saya menyarankan beliau menulis buku mengenai kisah-kisah yang dialaminya. Katanya: "Saya sedang menulisnya. Saya juga mahu membuat satu filem dokumentari mengenai kisah diri saya bertarung dengan Anwar.”

Ibunya akan keluar menyokongnya. Kak Longnya dan kakaknya yang lain serta sanak-saudara menyokongnya. "Ia adalah jihad keluarga untuk mempertahankan keluarga kami juga.”

Jika UMNO tidak membantunya menceritakan kepada rakyat – satu demi satu – gelagat Anwar, "saya akan menggerakkan sendiri gerakan untuk menganyang Anwar. Saya akan masuk ke kampung-kampung menceritakan siapa itu Anwar. Jika orang tidak tahu, saya akan menceritakannya. Tiada selindung-selindung lagi.”

Dalam satu ketika pertemuan itu, air mata Ummi kelihatan bergenangan. Namun sebagai wanita yang cekal beliau cuba bertahan. "Saya kini digelar sebagai wanita jalang, pelacur, sundal dan sebagainya. Saya tabah menghadapi semua ini. Perkara yang lebih besar berada di hadapan saya. Saya perlu kuat.” Karekternya cuba dibunuh dari segenap hala, sebagaimana karekter Dr. Mahathir dilanyak dulu.

Semasa mula-mula Ummi membongkarkan kemungkaran Anwar sekitar 1997-1998 dulu, hidupnya cukup azab. Semasa itu Anwar masih memegang jawatannya.

Ummi diperlakukan seperti musuh nombor satu negara. Keretanya pernah dilanggar dan dilontar dengan kepala kucing yang baru dipenggal. Diekori oleh lelaki-lelaki yang disifatkannya sebagai gengster, terpaksa menyembunyikan diri di Janda Baik, Bentong. Serta disoal siasat polis dalam bilik hotel dengan herdikan-herdikan yang kasar. "Saya cukup takut ketika itu.”

Namun itu semua bagi Ummi Hafilda tidak melemahkan jiwa dan semangatnya. Hari ini beliau muncul kembali. Jika benarlah beliau sudah kaya-raya – lebih baik duduk sahaja diam-diam.

Tapi itu bukan persoalannya. Beliau tidaklah kaya. Beliau kini hanya usahawan yang menjalankan perniagaan mengeksport makanan beku ke Iran. Namun perjuangannya perlu diteruskan.

Terbaru Ummi mencabar Anwar berdebat berhubung kebenaran kes salah laku seks. Tapi dengan pelbagai ‘peluru’ yang Ummi ada, beranikah Anwar? Selama ini pun Anwar tidak pernah menyaman Ummi terhadap pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh wanita itu. Anwar tahu dengan siapa yang beliau hadapi. Ummi bukan calang-calang orang. Dalam tangannya ada rahsia besar Anwar.

Sebaliknya Anwar menganggap cabaran itu "hanya soal nyamuk". Ummi menjawab: "Raja Namrud yang angkuh mati hanya kerana gigitan seekor nyamuk. Jadi, jangan pandang remeh soal nyamuk kerana ia boleh menghancurkan.

"Nampak sangat dia (Anwar) gerun dengan saya. Nampak sangat dia tak berani. Kalau dia tak nak berdebat pun tak apa. Cuma, saya nak tengok sejauh mana dia menghadapi perkara ini sebab saya tidak cakap kosong. Saya ada bukti di tangan.

"Kalau tak mahu berdebat, saya cabar (Anwar) masuk masjid dan buat sumpah laknat. Saya cabar Azmin, Shamsidar dan Wan Azizah sekali. Sumpah bukan perkara suka-suka. Saya buat kerana saya yakin saya benar. Kalau nak kata saya nyamuk, dia nyamuk aedes yang hanya tahu gigit orang itu, gigit orang ini dan merosakkan ummah.

"Kerana lakonan dan kemunafikannya, orang Pas pun tak boleh buka minda, buka mata,” katanya dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Wanita ini akan terus hidup. Suaranya kini boleh diikuti dalam blognya http://srikandi7.blogspot.com. Blog itu kini berada di tangga ke-25 paling popular di negara ini.

Banyak lagi kisah wanita waja ini. Ummi juga akan menyaman Anwar, abangnya Azmin, Dr. Wan Azizah dan Karpal Singh. Beliau akan membuat apa sahaja untuk mempastikan cita-cita Anwar dihentikan.

Ummi, sebenarnya tahu terlalu banyak mengenai kemungkaran Anwar. Kemungkaran yang dilakukan oleh Anwar cukup-cukup menghantuinya. Sebagai wanita luar biasa, Ummi akan terus berjuang.

Selagi hayat dikandung badan, Ummi akan terus berjuang. Musuh nombor satu beliau ialah Anwar bin Ibrahim.

Dalam pertemuan itu, saya boleh menyimpulkan wanita bernama Ummi Hafilda binti Ali ini ialah wanita Malaysia yang cukup luar biasa (pada abad ini).

Ahad, 16 Januari 2011

Selamat Pengantin Baru Tan Sri Abdul Taib-Ragad

ABDUL Taib Mahmud memimpin Ragad Waleed Alkurdi memasuki Kompleks Dewan Undangan Negeri pada majlis perkahwinan mereka di Petra Jaya, Kuching, Sarawak malam tadi

KUCHING 15 Jan - Majlis perkahwinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi berlangsung dalam suasana meriah di Petra Jaya, malam ini.
Bertempat di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru, majlis bermula pukul 9.15 malam apabila kedua-dua mempelai diiringi masuk ke dewan persandingan bersama tetamu kehormat.
Meskipun diadakan secara tertutup, majlis berkonsepkan perkahwinan ala Inggeris yang mendapat sentuhan perunding terkenal, Datuk Raja Rezza Shah itu dihadiri 460 tetamu dari dalam dan luar negara.
Antara orang kenamaan yang hadir ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah serta Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah ahli keluarga pengantin perempuan, beberapa Menteri Kabinet dan negeri, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pembesar negeri.
Pada majlis itu, anak kedua Abdul Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir menyampaikan ucapan ringkas dan latar belakang pasangan itu serta mengucapkan selamat hari lahir kepada Ragad yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini.
“Saya juga ingin berkongsi dengan anda mimpi Puan Sri Ragad kira-kira lima bulan yang lalu. Beliau bermimpi dilamar oleh Raja Arab Saudi, Raja Abdullah dan dibawa pergi dengan menaiki sebuah Rolls Royce,” katanya.
Sebelum majlis berakhir, Abdul Taib yang segak mengenakan tuksedo hitam manakala isterinya mengenakan gaun malam serba putih menyempurnakan upacara memotong kek setinggi lima tingkat.
Abdul Taib diijabkabulkan dengan Ragad yang berasal dari Syria pada 18 Disember lalu di kediamannya di Demak Bharu di sini sekali gus menamatkan zaman duda selepas kematian Puan Sri Laila Taib akibat kanser pada April lalu.
Beliau yang berkahwin dengan Laila pada 1959 dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Jamilah, Mahmud Abu Bekir, Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah serta 15 cucu.

Yeop

Berhenti sukarela atau pecat
Salam 1Perak kepada kaum kerabat Yeop. Hari ni seperti yang dijanjikan Yeop akan bangkitkan beberapa isu yang Yeop rasa perlu dikongsi bersama kaum kerabat untuk sama-sama perhatikan, nilai, teliti, kaji dan buat kesimpulan. Pertamanya, Yeop tertarik dengan kenyataan MB kita, yang menyarankan atau dengan kata lain memberikan kata dua kepada ketua-ketua kampung yang tidak berprestasi supaya secara sukarela berhenti.
Masih ingat lagi, Yeop pernah bangkitkan perkara ini tidak lama dulu, cuma apa yang Yeop nyatakan itu tidak mendapat perhatian daripada MB atau kerajaan negeri kerana mungkin ketika itu tak ada ketua-ketua kampung yang culas dalam kerja. Sekarang, mungkin disebabkan ada aduan mengenai sikap dan perangai mereka, makanya MB buat gesaan itu. Yeop setuju sangat-sangat dan sokong seratus peratus dengan ketegasan MB.
Bukan apa, ketua-ketua kampung yang gagal buat kerja, langsung tidak mendampingi masyarakat dan pentingkan diri sendiri ini wajar dipecat kalaupun mereka tidak mahu berhenti secara sukarela. Lagipun, mana ada ketua-ketua kampung yang berat tulang ini nak berhenti, kerana mereka tetap menganggap mereka masih diperlukan. Sebab itu, ada antara mereka kekal sampai sekarang. Mereka pandai berlakon. Mereka bijak membodek wakil rakyat sehinggakan khidmat mereka disambung lagi dari penggal ke penggal.
Penyambungan kontrak ini secara tak langsung menimbulkan rasa tak puas hati masyarakat. Masyarakat sememangnya menaruh harapan agar di kampung mereka tidak lagi ada ketua yang pemalas, sombong, ego, cakap besar, hidung tinggi, berat tulang dan berlagak macam pemimpin.
Kepada kaum kerabat Yeop di kampung-kampung, selepas MB keluarkan kenyataan itu dua tiga hari lalu, janganlah pula segan dan silu untuk memantau dan membuat penilaian terhadap ketua kampung masing-masing. MB dah bagi lampu hijau, tunggu apa lagi. Kalau ada ketua kampung yang kita rasa tak boleh buat kerja, kita lapor saja kepada MB. Biar MB siasat dan ambil tindakan
Tapi sebelum lapor tu, kena pastikan ketua kampung itu benar-benar tak buat kerja, malas, berat tulang, curi tulang, sombong, bongkak, tak ambil peduli hal atau masalah penduduk. Jangan kerana dendam kesumat dan kebetulan ketua kampung buat kesilapan kecil, kita terus lapor dan membesar-besarkan kesalahannya. Sebagai manusia, ketua kampung pun macam kita juga. Tidak maksum macam pemimpin sebelah sana. Buat silap pun kata betul.
Syukur
Pagi tadi ketika Yeop siap-siap nak masuk pejabat, anak buah maklumkan ada seorang ADUN kemalangan. Katanya, kemalangan tu tak lah teruk sangat dan ADUN berkenaan pula mujurnya tak mengalami sebarang kecederaan. Syukur Alhamdulillah. Yeop betul-betul rasa lega.
Bukan apa, sekarang ni banyak berita kemalangan dilaporkan. Bas, lori, treler, kereta, motosikal, basikal, pejalan kaki, gajah, lembu, kerbau, kucing, tikus dan katak. Semua ni berlaku ada kerana kecuaian pihak lain, ada disebabkan kelalaian kita sendiri. Itu yang Yeop bimbang sangat. Ketika kita berhati-hati di jalan raya dan memandu secara berhemah, ada yang tidak berhati-hati dan berhemah, menyebabkan kita jadi mangsa.
Apapun, Yeop harap ADUN Selinsing, YB Husin Din kena selalu ke klinik untuk buat pemeriksaan kesihatan. Mana tahu di luaran tak nampak luka, tapi di dalam ada yang tercalar atau terseliuh akibat hentakan itu. Ini berdasarkan bahagian depan kereta YB yang kemik, Sebagai YB, kesihatan kena jaga sebab khidmat YB diperlukan rakyat.
Yeop selalu beringat ketika pandu kereta, baik nak ke pejabat yang jauhnya lima kilometer, mahupun ke pasar beli barangan keperluan harian yang terletak lebih kurang dua kilometer dari rumah. Walaupun jaraknya dekat, kita tak tahu malapetaka yang menunggu kita. Oleh itu, Yeop selalu berhati-hati. Dan ketika memandu pula, Yeop lebih suka beralah. Yeop tak suka jadi gengster jalanan atau samseng jalan raya.
Ia tak akan beri faedah kepada Yeop. Kalau berlaku kemalangan, bukan mereka nak bayar ganti rugi pun. Yang sakit kepala, kita juga kena keluarkan duit. Lebih menyeksa dan menyusahkan, segala kerja kita akan tergendala kerana kereta masuk bengkel. Sebab itu, Yeop ambil sikap biar beralah, asalkan selamat ke destinasi. - Siaran 16hb Januari 2011

Selasa, 11 Januari 2011

Yeop kembali

Rasa bagaikan sekelip mata saja Yeop berehat, walaupun hampir satu tahun berlalu. Hari ini sudah sembilan hari kita berada dalam tahun baru 2011. Sungguh cepat masa beredar. Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan silih bertukar ganti, alih-alih Yeop muncul lagi. Maknanya umur Yeop masih panjang. Alhamdulillah, syukur kepada Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Agong dan Allah Yang Maha Kuasa.
Sungguhpun sudah lama kaum kerabat tidak dengar bebelan Yeop, kali ini kalian semua dapat mendengarnya. Bukan setakat mendengar, tapi boleh menghayatinya lagi, kemudian boleh buat andaian dan kesimpulan. Celoteh Yeop ni yang jika dihayati di dalamnya ada terkandung teguran, nasihat, sindiran, maklumat, pandangan, petua, persoalan, jawaban, pembicaraan, perbahasan dan perbincangan.
Yeop tidaklah nak kata hebat atau bijak seperti Yong. Yeop tetap makhluk Allah yang dianugerahkan ilmu dan seketul otak untuk berfikir sebelum bertindak. Yeop tetap dengan sikap berada neutral kepada mana-mana parti politik kerajaan atau pembangkang, jabatan atau agensi. Jiwa Yeop tetap berada dalam kelompok masyarakat atau khalayak.
Tugas Yeop mudah saja, sesiapa yang Yeop rasa ada buat tak kena kepada rakyat, masyarakat dan khalayak, Yeop akan bidas. Yeop ada lastik yang terbaik punya. Lastik alaf 2011. Yeop boleh lastik sampai mereka mengaduh sakit dan akhirnya mengaku kesilapan atau kelemahan yang dilakukan, lalu mereka bersedia untuk membetulkan keadaan.
Yeop 2011 dengan Yeop 2010 tetap sama. Dari segi sikap, kelakuan, tabiat, watak, perangai dan tingkah laku masih tidak berubah. Kalau berubah pun dari segi usia, tapi tidaklah ketara sangat. Rasanya Yeop masih perkasa dan gagah, minda Yeop masih cergas dan cerdas, ingatan Yeop tetap tajam, sebab itu Yeop masih kekal dengan Yong kamu tu.
Tahun silam
Tahun 2010 baru sembilan hari meninggalkan kita. Dengan ingatan yang tajam, Yeop boleh kenang satu persatu peristiwa yang berlaku selama 365 hari di Perak. Yeop tahu apa yang berlaku antara kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak dengan ‘kerajaan’ Pakatan Rakyat (PR) Perak. Yeop tahu apa yang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan buat pada kaum kerabat Yeop dan Yeop tahu sejauh mana kaum kerabat Yeop menerima layanan daripada wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan, ketua kampung, ketua-ketua peringkat cawangan-ranting-cabang, bahagian-kawasan, negeri dan pusat.
Dari segi BN dan PR, Yeop tahu kedua-dua pihak ini masih lagi macam kucing dengan anjing. Tidak boleh duduk atau tinggal satu kandang dari dulu hingga kini. Mungkin tidak selama-lamanya. Dari segi kementerian yang jaga harga barang pun Yeop tahu ia amat mendukacitakan. Begitu juga dari segi layanan pemimpin tempatan kepada masyarakatnya, Yeop boleh berikan markah bercampur-campur. Ada yang baik, ada yang gagal. Ada yang cemerlang, ada yang lemah dan tidak kurang yang lembap.
Ini semua akan Yeop bidas dalam siri akan datang. Nak ulas sekarang memang tak sesuai pada masanya kerana salam permulaan tak boleh terus tibai atau bantai. Hari ini Yeop hanya nak beri mukadimah sahaja atau salam perkenalan untuk memaklumkan Yeop kembali lagi. Yeop is back kata orang puteh.
Rehat
Sejak Yeop berhenti membebel dalam ruangan ini, beribu-ribu SMS yang Yeop terima bertanyakan kenapa tidak lagi berada di dada akhbar. Ada yang puji, ada yang puja, ada yang maki dan ada yang hamun. Ada yang gembira dan tak banyak yang sedih. Yeop sungguh terharu dengan sambutan ditunjukkan. Dalam emel Yeop pun beribu-ribu pesanan, komen, pandangan dan pendapat dihantar peminat. Semuanya Yeop jawab, kecuali SMS Yeop tak dapat jawab semua sekali sebab melibatkan bajet dan dalam edah menjimatkan kos.
Apa yang Yeop nak maklumkan sepanjang ketiadaan itu, Yeop berasa amat lega sekali. Muka Yeop yang dulunya banyak jerawat dan macam muka tak cukup tidur, kini dah licin dan makin berseri-seri. Pipi Yeop pun dah makin gebu, tak cengkung macam penagih dadah lagi. Itulah perubahan ketara yang Yeop alami. Seronok dan menggembirakan. - Siaran 09hb Januari 2011

Ahad, 9 Januari 2011

Sapina Karpal sebagai saksi

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 8 Jan. – Perbicaraan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bakal mencatat sejarah tersendiri sekiranya peguam bela Anwar, Karpal Singh (gambar) disapina sebagai saksi Pendakwaraya kes itu.

Cadangan supaya Karpal disapina itu dikemukakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menerusi entri bertajuk Hello, are you Mr. Poo-Singh? dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com/ hari ini.

Zulkifli berkata, sapina itu boleh berlaku sekiranya pihak pendakwa raya memohonnya kepada mahkamah kerana Karpal pernah mendakwa beliau mempunyai bukti kukuh mengenai keterlibatan Anwar dalam kes liwat pertamanya pada 1997.

Selain itu, katanya, Karpal yang juga Pengerusi DAP boleh diambil tindakan menghina Parlimen atau sumpah bohong (perjury) sekiranya dalam keterangannya sebagai saksi nanti, beliau menafikan mempunyai bukti aktiviti liwat Anwar seperti yang didakwanya dalam sidang Dewan Rakyat pada 1997.

“Jika Karpal menyatakan beliau mempunyai bukti dan keterangan bahawa memang Anwar terlibat dengan kegiatan homoseks dan liwat seperti yang didakwanya di dalam Parlimen itu, maka kita perlu mempersoalkan mengapa Karpal Singh mahu terus menjadi peguam membela Anwar?

“Adakah beliau mempunyai agenda politik yang jahat, atau ada sebab-sebab lain? Wallahua’lam, tepuk dada tanyalah kepala otak sendiri!,” katanya.

Zulkifli yang pernah mewakili Anwar dalam kes liwat pertamanya menjelaskan, Karpal ‘wajib’ disapina sebagai saksi pendakwa raya dalam kes liwat kedua Anwar kini kerana beliau mempunyai pengetahuan mengenai aktiviti liwat Anwar dalam kes pertamanya dengan bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.

Menurutnya, ini kerana Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978 memperuntukkan seseorang peguam (Karpal) agar tidak mewakili Orang Kena Tuduh (OKT) iaitu Anwar sekiranya peguam itu mempunyai sebab mempercayai bahawa dia boleh menjadi saksi berkaitan sesuatu fakta yang material.

“Maka Karpal tidak sepatutnya menerima atau meneruskan kedudukan sebagai peguam membela Anwar dalam kes liwat terhadap kakitangannya, Saiful Bukhari Azlan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli menyeru kepimpinan Pas supaya menyedari bahawa kerjasama pakatan pembangkang terutama antara DAP dan PKR merupakan satu ‘Pakatan Syaitan’.

“Sesuai dengan sabda Rasullulah SAW, ‘addenul nasihah’, maka teman mengemukakan nasihat teman kepada para ulama, ilmuwan, kepimpinan dan ahli akar umbi Pas, (supaya) mufaraqahlah daripada ‘Pakatan Syaitan’ ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, peranan Karpal sebagai peguam bela Anwar dalam kes liwat kedua ini diragui kerana selain mengetahui maklumat mengenai kes pertama Anwar, Karpal juga merupakan pemimpin DAP yang jelas menentang pelaksanaan negara Islam seperti dicita-citakan Pas.

“Dengan maklumat yang begini punya jelas, tidakkah mereka (Pas) menyedari bahawa satu konspirasi dan pakatan syaitan yang jelas sedang berlaku. ‘Pakatan Syaitan’ yang boleh menjahanamkan Islam, rakyat dan negara ini.

“Tidakkah mereka sedar inilah orang sama yang mengisytiharkan ‘kalau umat Islam mahukan negara Islam, over my dead body!. Dan yang lebih menyedihkan, bagaimana boleh ada pemimpin Pas yang mengisytiharkan secara terbuka akan membela Karpal Singh sehingga mati!” katanya.

Ahad, 2 Januari 2011

Dr Mashitah menulis

Semangat hijrah perlu dihayati

Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri



Meski pun peristiwa hijrah berlaku 1432 tahun lalu, ia meninggalkan banyak catatan dan pengajaran. Peristiwa itu penting bagi membolehkan seseorang itu menjadi lebih baik dari segi keimanan, tingkah laku dan kerjaya, di samping maksud penghijrahan itu ialah transformasi atau penambahbaikan.

Semua orang perlu melalui fasa hijrah dalam hidupnya. Malah satu kemestian dalam hidup manusia sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Namun adakah umat Islam khususnya di Malaysia ini faham mengenai inti pati pengajaran peristiwa hijrah itu atau mungkin ramai tidak begitu menghayati semangat hijrah yang disemai Rasulullah SAW. Bahkan, lebih teruk lagi ada yang memberi tafsiran salah mengenainya.

Kegagalan umat Islam di negara ini memahami falsafah hijrah kadangkala begitu teruk sekali sehingga seolah-olah mereka diserang sindrom enggan berhijrah. Ini kerana mereka sedang berada dalam zon selesa dan beranggapan jika berhijrah mereka tidak lagi dapat hidup selesa.

Dalam kehidupan seharian, memang banyak contoh menunjukkan kurangnya penghayatan semangat hijrah dalam hidup manusia. Cuba kita renungi beberapa kisah secara realiti dalam masyarakat kita.

Di sebuah, kampung di utara tanah air, tiga anak muda yang tamat persekolahan menghabiskan masa begitu sahaja. Lalu diberitahu bahawa ada tawaran pengajian percuma dari sebuah institusi yang menyediakan biasiswa. Lebih menarik lagi, setelah habis pengajian, mereka disediakan pekerjaan di sebuah syarikat swasta dengan gaji menarik.

Namun, apa menyedihkan, tiga remaja itu terpaksa menolak tawaran berkenaan hanya disebabkan kursus diadakan di Kuala Lumpur iaitu jauh dari kampung halaman. Apa yang berlaku itu, jelas menunjukkan mereka langsung tidak menghayati semangat hijrah.

Sedangkan, dengan semangat itulah mereka mampu mengubah nasib diri dan keluarga di kampung. Apatah lagi, penghijrahan itu tidak begitu mencabar berbanding hijrah Rasulullah SAW atau penghijrahan datuk nenek kita terdahulu. Mereka tidak perlu mengharungi lautan luas dan ribut taufan. Cuma mengikuti kursus dengan segala kemudahan disediakan. Itu pun mereka tidak berani berhijrah.

Kurang semangat hijrah ini bukan sahaja melanda anak muda seperti tiga remaja berkenaan, tetapi juga golongan yang sudah dianggap berjaya dalam kerjayanya. Cuba renungi kisah seorang penjawat awam yang dianggap berjaya dalam kerjayanya.

Beliau telah menunjukkan prestasi baik dalam tugasnya, lalu ditawarkan kenaikan pangkat. Namun, kenaikan itu dengan syarat beliau perlu bertukar atau berhijrah ke bandar lain. Sekali lagi, syarat melibatkan penghijrahan ini menyebabkan penjawat awam itu terpaksa menolak.

Dalam konteks ini, penjawat awam ini enggan berhijrah keluar dari zon selesanya. Beliau mungkin sudah gembira dan selesa dengan kehidupannya sehingga tidak mahu keselesaan digugat akibat daripada penghijrahannya itu. Ironinya, disebabkan keengganannya berhijrah, jawatan itu telah diberikan kepada orang lain yang bukan beragama Islam.

Insiden ini menunjukkan kegagalan memahami falsafah hijrah menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi lebih besar lagi kepada ummah keseluruhannya. Dalam kejadian itu, penjawat awam berkenaan sepatutnya melihat falsafah hijrah itu dalam konteks lebih jauh.

Sewajarnya dia tidak memikirkan dirinya sendiri, sebaliknya melihat penghijrahan itu akan memberi kebaikan kepada ummah. Ini juga menunjukkan sebahagian daripada anggota masyarakat lebih memikirkan fardu ain, bukan fardu kifayah yang juga penting kepada masyarakat Islam.

Satu lagi kisah sindrom keengganan berhijrah yang kita boleh berkongsi bersama ialah bagaimana seorang ibu bersungguh-sungguh merayu supaya anak perempuannya tidak dihantar bertugas di Sarawak.

Kisah ini mungkin biasa kita dengar, tetapi ada sedikit kelainan. Individu paling kuat menentang penghijrahan ini ialah si ibu. Sedangkan gadisnya tidak kisah ditempatkan di mana-mana. Mungkin gadis ini memahami dia perlu berhijrah kerana bumi Allah ini luas dan rezekinya mungkin ada di tempat lain.

Biarpun penghijrahan digalakkan Islam, namun kurang dilaksanakan. Sebaliknya semangat berhijrah ini kuat dalam kalangan orang Sepanyol dan Portugis. Sejak ribuan tahun mereka adalah bangsa yang menjelajah seluruh dunia dan membuka kawasan baru termasuk benua Amerika Latin.

Dengan semangat dibawa Gereja Kristian Katolik, penjelajah dari Sepanyol dan Portugis ini membawa misi Gold, Glory and Gospel berhijrah ke banyak negara lain. Semangat ini sebenarnya ada dalam Islam melalui pendekatan tajdid. Tetapi kurang dihayati.

Secara semula jadinya setiap manusia akan berhijrah. Namun penghijrahan itu akan memberikan hasil positif atau negatif. Jika kita membuat pemerhatian, kita dapat lihat bagaimana ramai daripada umat Islam tidak berhijrah ke suatu tahap lebih baik. Berapa ramai dalam kalangan ibu bapa tidak menyedari anak gadis mereka hanya berlagak alim di hadapan mereka.

Bak kata pepatah pijak semut pun tak mati, tetapi, di belakang orang tua, remaja ini melakukan pelbagai perkara yang tidak disangka.

Ada dalam kalangan mereka ketika belajar, menjaga aurat dengan baik. Selepas bekerja, semua itu tidak lagi dijaga. Mereka telah berhijrah kepada sesuatu yang negatif sehingga melanggar ajaran agama. Adakah mereka menganggap hijrah bermaksud mengikut budaya asing atas nama kemodenan.

Persoalannya adakah generasi kini menyedari hikmah dan pengajaran yang tersurat dari peristiwa hijrah. Hijrah Rasulullah SAW memberi iktibar mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam tidak terhenti setakat ibadah khusus semata-mata. Lebih luas lagi peranan manusia adalah sebagai khalifah Allah sebagaimana huraian al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah yang menjelaskan peranan menjaga agama dan mentadbir dunia.

Dr Mashitah menulis

Warga buta dan nikmat baca Quran Braille
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri


Asas Islam ialah ilmu. Ilmu mendasari peradaban Islam selama ribuan tahun. Perkataan pertama dalam al-Quran ialah Iqra yang bermaksud Bacalah. Tetapi Rasulullah SAW adalah seorang ummi, jadi bagaimana beliau boleh membaca dan mempelajari al-Quran.

Malaikat Jibrail a.s membaca al-Quran didengari dan dihayati Rasulullah. Kemudian Rasulullah mengulangi sehingga betul bacaannya (Surah al-Qiyamah16-19). Pun begitu, setiap Ramadan selepas menerima wahyu daripada Allah SWT, Rasulullah menguji bacaannya dengan Jibrail. Pada tahun akhir sebelum kewafatannya, baginda sempat menguji bacaannya dua kali.

Kaedah bacaan secara hafalan ini kemudian diajar kepada sahabat, tabi’in dan sebagainya. Kaedah yang sama juga diamalkan oleh mereka yang cacat penglihatan (talaqqi bi al-mushafahah) dan ternyata teknik tersebut berkesan. Orang buta mempelajari al-Quran dengan cara mendengar dan menghafal.

Walaupun dunia pemandangan mereka gelap, tetapi Allah SWT memberi kecerahan hati kepada mereka. Bahkan, ramai orang buta mempunyai keupayaan menghafal dan membaca al-Quran lebih baik daripada orang yang celik.

Antara sahabat Rasulullah yang buta ialah Abdullah ibn Umm al-Maktum r.a. Beliau seorang hafiz yang hebat. Selain Abdullah, Abu al-Qasim al-Shatibi yang cacat penglihatan juga digelar tokoh qari dan hafiz terkenal dalam sejarah Islam.

Lahir di Andalusia pada 590H (1193), al-Shatibi yang turut mengajar Quran di Mesir, memiliki tahap ingatan yang tinggi dan menguasai pelbagai teknik menghafal al-Quran. Sebagai penghafaz al-Quran yang ulung, beliau juga telah menghasilkan banyak karya Qiraat seperti Hirz al-Amani (Matn al-Shatibah), Nazimat al-Zuhri (Fawasil al-Quran), ‘Aqilah Atrab al-Qasa’id fi Asna al-Maqasid (Rasm al-Quran) dan sebagainya.

Al-Shatibi pernah berkata, bahawa tiada pengajaran kepada orang buta melainkan al-Quran. Sesungguhnya untuk menghayati, membaca dan mengkaji al-Quran memerlukan tahap hafalan, kesungguhan dan kesabaran yang tinggi serta mengambil masa yang lama.
Inovasi al-Quran braille.

Penciptaan sistem menggunakan kod titik-titik timbul yang boleh dibaca secara sentuhan atau braille telah mengubah keadaan ini, khususnya bagi orang buta. Sistem Braille boleh digunakan dalam pelbagai bahasa termasuk Arab.

Justeru, apabila al-Quran telah dicetak menggunakan sistem braille, maka telah membolehkan orang buta “membaca” sendiri kitab suci tersebut secara sentuhan sekaligus mempercepatkan proses hafalan.

Ramai mengetahui braille dicipta di Perancis oleh Louis Braille pada tahun 1821. Tetapi sistem yang sama sebenarnya dicipta 600 terdahulu oleh seorang intelek Muslim dari Syria, Zain Din al-Amidi, yang bertugas sebagai profesor di Universiti Moustansiryeh di negara yang kini dikenali sebagai Iraq.

Al-Quran braille pertama di dunia dihasilkan di Jordan sekitar tahun 1952, diikuti Mesir (awal 1960an), Tunisia dan Indonesia (1970an), Arab Saudi, Pakistan, Morocco, Qatar, Uzbekistan, Nigeria, UAE (1980an dan 1990an), dan daripada negara-negara ini dihantar pula ke Amerika Syarikat (misalnya Pusat Islam Amerika di Dearborn, Michigan dan Baitulmal Texas), Britain dan sebagainya.

Pada tahun 1982, kerajaan Arab Saudi menjadi negara Timur Tengah pertama dan yang ke-3 di dunia menggunakan komputer yang dicipta khas untuk menghasilkan al-Quran braille. Fatwa Abdul Aziz bin Baz pada tahun 1985 membenarkan percetakan kitab suci al-Quran menggunakan Braille dan pada tahun sama, naskhah pertama di Arab Saudi dicetak.

Setiap tahun, ribuan naskhah dihasilkan Arab Saudi dan diedarkan ke seluruh dunia. Sementara itu, sejak tahun 2004, manfaat al-Quran braille semakin meluas apabila pihak Masjidil Haram di Mekah dan Masjidil Nabawi di Madinah menyediakan naskah tersebut untuk kemudahan para jemaah dan pengunjungnya.

Percetakan al-Quran Braille di Indonesia pula dilakukan oleh Raudhatul Makfufin, sebuah yayasan yang juga pengendali sekolah untuk orang buta. Ia mampu menghasilkan 90 naskhah sebulan, yakni bilangan yang sangat kecil memandangkan terdapat 2.5 juta orang buta di negara Islam terbesar di dunia itu. Lagipun, orang buta di republik itu rata-ratanya miskin dan tidak mampu memiliki al-Quran braille yang dijual pada harga kira-kira RM450 senaskhah.

Di Malaysia, dianggarkan terdapat kira-kira 65,000 orang buta walaupun hanya sepertiga sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Walaupun harga al-Quran braille di Malaysia lebih murah daripada di Indonesia, namun ia masih sukar diperolehi.

Ini kerana satu-satunya pencetak al-Quran braille tempatan ialah Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), sebuah NGO kecil yang menghadapi kekangan dana dan kakitangan.

Ditubuhkan 30 tahun lalu, Pertis menjalankan kajian selama 15 tahun sebelum memperoleh pengiktirafan dan kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mencetak al-Quran braille. Peranan yang dimainkan NGO ini perlu dihargai.
Mengambil iktibar dan sebagai kelangsungan usaha yang dibuat sejak naskhah pertama dibawa masuk dari Jordan pada tahun 1952, Pertis kini menghasilkan dua naskhah al-Quran braille setiap hari.

Pada peringkat awal, cetakan hanya boleh dibuat pada sebelah kertas sahaja. Oleh kerana ia membabitkan tebukan titik-titik timbul, maka kertas yang digunakan perlu lebih tebal. Bagi senaskhah kitab al-Quran braille, 1,666 helai kertas diperlukan. Dilengkapi dengan 30 jilid mewakili setiap juzuk, ia mengambil masa seminggu untuk disiapkan!

Hari ini, dengan sedikit kecanggihan teknologi, kertas boleh dicetak pada kedua-dua belah, justeru kesemua 30 juzuk boleh dihasilkan dalam 6 jilid sahaja. Sejak 2006, kira-kira 1,000 naskhah telah dicetak dan diagihkan, bukan sahaja di seluruh negara, tetapi juga ke Singapore, Indonesia dan Thailand.

Modal masih jadi faktor utama kepada Pertis. Memandangkan adanya permintaan yang agak besar kepada al-Quran Braille, pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) menzahirkan sokongan kepada Pertis melalui Majlis Kasih Sejuta Harapan, yang dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) pada 17 Disember.

Pembiayaan diberikan kepada Pertis untuk mencetak lebih banyak al-Quran braille untuk diagihkan kepada lebih ramai orang buta di negara ini. Sejak tahun 2006, ia juga telah diedar ke sekolah-sekolah khas di seluruh negara.

Melalui program JPM ini nanti, kita yakin lebih ramai Muslimin daripada kalangan warga cacat penglihatan yang akan dapat merasa nikmat dapat “membaca” sendiri kitab suci al-Quran, waima melalui sentuhan.

Pertis kini memenuhi permintaan kira-kira 250 naskhah setahun, namun dengan pembiayaan yang bertambah, maka lebih banyak al-Quran Braille yang dapat dicetak dan diagihkan setiap tahun. Ini tentunya bermakna proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran Braille akan bertambah giat.

Alhamdulillah, melalui program Kasih Sejuta Harapan, kita lebih dekat ke arah mencapai matlamat 1Orang Buta, 1Quran Braille.

Dr Mashitah menulis

TERSENTAK DI PAGI RAYA
Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri


Pada hari kita menyambut Hari Raya Korban Rabu lalu, terpampang lagi gambar mayat bayi terkorban di dada akhbar. Robek hati bagai disiat, tersekat nafas rasa terkilan, saya tertitis air mata kesedihan di pagi Aidiladha.

Walaupun banyak perbincangan, langkah dan kempen dibuat kepada remaja, gejala ini terus berlaku. Adakah ini cerminan usaha kerajaan, agensi, NGO dan media tidak berjaya dan sia-sia? Atau kita belum menjumpai kaedah berkesan menangani penyakit serius ini.

Pembuangan atau pembunuhan bayi bukan unik kepada negara kita. Ia berlaku di banyak tempat lain, dahulu dan sekarang. Pada zaman Arab jahiliyah, berlaku berleluasa ke atas bayi perempuan (Surah An-Nahl ayat 58-59). Di India, bayi dibunuh kerana masalah kemiskinan. Untuk satu ketika, pembunuhan bayi adalah kebiasaan di China kerana dasar satu keluarga, satu anak.

Di Malaysia bukan kerana kemiskinan, dasar kerajaan atau amalan budaya. Kebanyakan kerana remaja itu buntu fikiran, tidak tahu apa hendak dibuat atau kepada siapa masalah hendak diajukan. Pasangan mereka pula tidak mahu bertanggungjawab. Dalam keadaan panik berseorangan, yang terlintas hanya buang bayi yang dilahirkan.

Bagi yang mampu, mungkin ke klinik swasta atau mencari bidan kampung menggugurkan kandungan. Bagi yang tidak, alternatifnya ialah buang dalam longkang, sungai, tempat pelupusan sampah atau letak di tepi jalan, depan masjid atau rumah orang. Paling ngeri membunuh, melemaskan dan melupuskannya dalam mangkuk tandas atau membakar.

Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, laporan kajian di Lembah Kelang, seorang bayi dibuang setiap 10 hari. Pada 2007, Dewan Negara dimaklumkan 304 bayi dibuang antara 2004 dan 2006. Menurut Jabatan Polis, 472 kes dilaporkan sejak 2005 hingga Ogos 2010 dengan 214 hidup, 258 sudah terkorban. Data Jabatan Pendaftaran Negara pula menunjukkan bilangan bayi didaftarkan lahir tanpa nama bapa antara 2000 dan 2008 ialah 257,000, manakala 2009 sekitar 74,000.

Satu kajian pernah dijalankan penyelidik UKM mendapati bilangan remaja bawah 20 tahun yang mengandung pada 2004 sekitar 1 juta. Ini sungguh mengejutkan. Pasti bukan semua mengandung hasil perkahwinan sah. Justeru, kita boleh bayang berapa ramai bayi lahir hasil hubungan seks pra-perkahwinan dan tentunya sekian ramai diserahkan kepada orang lain sebagai anak angkat atau dibuang.

Pendekatan baru:
Janganlah mereka yang sedang menghadapi masalah diberatkan lagi dengan kemungkinan menghadapi hukuman, sebaliknya perlu digalak supaya membuatkan keputusan lebih berperikemanusiaan iaitu menyerahkan bayi kepada pihak yang sedia menerima. Satu keputusan bijak bermakna satu nyawa terselamat.

Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa semua 104 Pejabat Kebajikan Masyarakat dan 60 pusat perlindungan seluruh negara bersedia menerima bayi terbuang tanpa apa-apa tindakan diambil ke atas ibu sangat dialu-alukan. Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan supaya anak yang dibuang dilindungi dan dijaga.

Di bawah akta sama, pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh bertindak sebagai pelindung, memberi bantuan kepada sesiapa yang mengandung dan hendak melahirkan anak luar nikah bagi mengelak bayi dibuang. Kemudahan untuk orang awam melaporkan kes ke talian Nur 24 jam juga membantu mengurangkan insiden itu.

Saya memuji pendirian pihak yang lebih menekankan aspek kemanusiaan dalam menangani gejala ini. Mereka mengajak masyarakat agar lebih penyayang, tidak mudah menghukum malah membuka pintu taubat kepada perempuan berzina. Mungkin ada pihak tidak bersetuju, beranggapan pendekatan ini akan menggalakkan gejala berleluasa.

Tindakan bersepadu:
Setakat ini, pendekatan diambil pihak berkuasa bersifat piecemeal. Banyak pihak lepas tangan. Tukang komen memang ramai setiap kali kes ini dipaparkan di media, tetapi tidak banyak sanggup meluangkan masa, tenaga atau menyediakan peruntukan bagi membendungnya.

Masalah buang bayi perlu dilihat, ditangani secara menyeluruh dan holistik sepertimana dadah atau AIDS. Saya percaya ia bermula dari rumah. Sebagai ibu bapa, kita mesti berusaha membentuk keluarga madani, berkasih sayang, beramanah dan bertanggungjawab bagi membentuk individu anak beriman, berakhlak baik dan sentiasa menjaga pergaulan (Surah An-Nur ayat 30-31).

Tumpuan dan usaha juga perlu berterusan, meluas dan membabitkan semua pemegangtarah seperti keluarga, PIBG, guru, golongan agama, agensi dan pegawai kerajaan, tokoh akademik, penyelidik, penggubal undang-undang dan polis. Persatuan belia, NGO, Puteri UMNO dan penuntut universiti melalui program khidmat masyarakat (Opkim) atau Bakti Siswa (Baksis) boleh membantu menanganinya.

Institusi agama perlu disegarkan semula, reformasi pendidikan dipertangkaskan, NGO, media dan bloggers juga perlu diperhebat. Saya menyokong cadangan menubuhkan sebuah Pasukan Bertindak atau Yayasan Perlindungan Ibu dan Bayi. Saya rasa Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau BAKTI adalah antara entiti yang boleh memulakan inisiatif ini dengan menggembleng pakar dan tokoh dalam bidang berkaitan.

Yayasan pula mempunyai ruang mengumpul dana diperlukan untuk aktiviti berkaitan termasuk kempen meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat berhubung gejala ini. Saya rasa banyak syarikat besar termasuk GLC dapat menghulurkan bantuan bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Yayasan ini boleh diterajui isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atau individu berwibawa yang mampu menarik kepakaran tokoh agama, undang-undang, kesihatan, akademik, penyelidik tempatan dan luar negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam usaha mencari kaedah dan cara terbaik membendungnya. Ia juga memberi input kepada kerajaan, Ahli Parlimen, penggubal undang-undang, hospital dan polis andainya peraturan tertentu perlu digubal dan dikuatkuasakan serta penting untuk membaiki Akta Kanak-Kanak 2001.

Di Amerika Syarikat, ada undang-undang yang memberi perlindungan khusus kepada ibu dan bayi. Misalnya Abandoned Newborn Infant Protection Act (Illinois), Safely Surrendered Baby Law dan Safe Haven for Abandoned Babies Act (California). Undang-undang ini, antara lain membolehkan ibu yang tidak boleh menjaga bayinya menyerahkan kepada hospital, klinik atau pusat ditauliahkan. Identiti ibu dirahsiakan dan tiada tindakan diambil dalam tempoh 72 jam kelahiran. Bayi itu akan dijaga dengan baik di pusat berkenaan.

Jika ibu ubah fikiran, dia boleh datang semula mengambil bayinya tanpa sekatan. Tetapi ini mesti dilakukan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh bayi diserahkan. Selepas tempoh ‘cooling off’ dua minggu, jika ibu tidak menuntut semula, bayi itu akan diberi kepada orang lain sebagai anak angkat.

Apakah signifikan peruntukan seperti ini? Di mana undang-undang dan kemudahan sebegini dilaksanakan, statistik menunjukkan bilangan kes buang bayi dan kematian bayi telah menurun.

Satu cabaran besar di Malaysia ialah sifat masyarakat kita yang pelbagai budaya dan agama. Langkah atau kaedah sesuai kepada bukan Islam mungkin tidak boleh diterima masyarakat Islam dan sebaliknya. Justeru Baby Hatch di Petaling Jaya dan Sekolah Harapan di Melaka masing-masing dipuji dan dicaci.

Yang nyata, usaha baik mesti disokong. NGO dan badan sukarela yang banyak memainkan peranan perlu lebih diperkasakan. NGO ini perlu dibantu dengan dana lebih besar dan kemudahan lain seperti latihan/kursus profesional agar boleh melaksanakan tanggungjawab berkesan. Kerajaan tidak boleh mengatasi gejala ini sendirian. Berdasarkan pengalaman, remaja yang mengandung lebih senang dan selesa tinggal di rumah perlindungan diuruskan NGO untuk melahirkan anak berbanding hospital atau klinik.

NGO juga perlu mantapkan jaringan sesama sendiri. Lebih berkesan jika pengalaman, pengetahuan, kepakaran, kemudahan dan sumber dapat dikongsi. Ini kerana, fungsi dan matlamat semua NGO adalah sama iaitu berorientasikan kebajikan untuk golongan memerlukan bantuan.