Ahad, 2 Januari 2011

Dr Mashitah menulis

TERSENTAK DI PAGI RAYA
Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri


Pada hari kita menyambut Hari Raya Korban Rabu lalu, terpampang lagi gambar mayat bayi terkorban di dada akhbar. Robek hati bagai disiat, tersekat nafas rasa terkilan, saya tertitis air mata kesedihan di pagi Aidiladha.

Walaupun banyak perbincangan, langkah dan kempen dibuat kepada remaja, gejala ini terus berlaku. Adakah ini cerminan usaha kerajaan, agensi, NGO dan media tidak berjaya dan sia-sia? Atau kita belum menjumpai kaedah berkesan menangani penyakit serius ini.

Pembuangan atau pembunuhan bayi bukan unik kepada negara kita. Ia berlaku di banyak tempat lain, dahulu dan sekarang. Pada zaman Arab jahiliyah, berlaku berleluasa ke atas bayi perempuan (Surah An-Nahl ayat 58-59). Di India, bayi dibunuh kerana masalah kemiskinan. Untuk satu ketika, pembunuhan bayi adalah kebiasaan di China kerana dasar satu keluarga, satu anak.

Di Malaysia bukan kerana kemiskinan, dasar kerajaan atau amalan budaya. Kebanyakan kerana remaja itu buntu fikiran, tidak tahu apa hendak dibuat atau kepada siapa masalah hendak diajukan. Pasangan mereka pula tidak mahu bertanggungjawab. Dalam keadaan panik berseorangan, yang terlintas hanya buang bayi yang dilahirkan.

Bagi yang mampu, mungkin ke klinik swasta atau mencari bidan kampung menggugurkan kandungan. Bagi yang tidak, alternatifnya ialah buang dalam longkang, sungai, tempat pelupusan sampah atau letak di tepi jalan, depan masjid atau rumah orang. Paling ngeri membunuh, melemaskan dan melupuskannya dalam mangkuk tandas atau membakar.

Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, laporan kajian di Lembah Kelang, seorang bayi dibuang setiap 10 hari. Pada 2007, Dewan Negara dimaklumkan 304 bayi dibuang antara 2004 dan 2006. Menurut Jabatan Polis, 472 kes dilaporkan sejak 2005 hingga Ogos 2010 dengan 214 hidup, 258 sudah terkorban. Data Jabatan Pendaftaran Negara pula menunjukkan bilangan bayi didaftarkan lahir tanpa nama bapa antara 2000 dan 2008 ialah 257,000, manakala 2009 sekitar 74,000.

Satu kajian pernah dijalankan penyelidik UKM mendapati bilangan remaja bawah 20 tahun yang mengandung pada 2004 sekitar 1 juta. Ini sungguh mengejutkan. Pasti bukan semua mengandung hasil perkahwinan sah. Justeru, kita boleh bayang berapa ramai bayi lahir hasil hubungan seks pra-perkahwinan dan tentunya sekian ramai diserahkan kepada orang lain sebagai anak angkat atau dibuang.

Pendekatan baru:
Janganlah mereka yang sedang menghadapi masalah diberatkan lagi dengan kemungkinan menghadapi hukuman, sebaliknya perlu digalak supaya membuatkan keputusan lebih berperikemanusiaan iaitu menyerahkan bayi kepada pihak yang sedia menerima. Satu keputusan bijak bermakna satu nyawa terselamat.

Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa semua 104 Pejabat Kebajikan Masyarakat dan 60 pusat perlindungan seluruh negara bersedia menerima bayi terbuang tanpa apa-apa tindakan diambil ke atas ibu sangat dialu-alukan. Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan supaya anak yang dibuang dilindungi dan dijaga.

Di bawah akta sama, pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh bertindak sebagai pelindung, memberi bantuan kepada sesiapa yang mengandung dan hendak melahirkan anak luar nikah bagi mengelak bayi dibuang. Kemudahan untuk orang awam melaporkan kes ke talian Nur 24 jam juga membantu mengurangkan insiden itu.

Saya memuji pendirian pihak yang lebih menekankan aspek kemanusiaan dalam menangani gejala ini. Mereka mengajak masyarakat agar lebih penyayang, tidak mudah menghukum malah membuka pintu taubat kepada perempuan berzina. Mungkin ada pihak tidak bersetuju, beranggapan pendekatan ini akan menggalakkan gejala berleluasa.

Tindakan bersepadu:
Setakat ini, pendekatan diambil pihak berkuasa bersifat piecemeal. Banyak pihak lepas tangan. Tukang komen memang ramai setiap kali kes ini dipaparkan di media, tetapi tidak banyak sanggup meluangkan masa, tenaga atau menyediakan peruntukan bagi membendungnya.

Masalah buang bayi perlu dilihat, ditangani secara menyeluruh dan holistik sepertimana dadah atau AIDS. Saya percaya ia bermula dari rumah. Sebagai ibu bapa, kita mesti berusaha membentuk keluarga madani, berkasih sayang, beramanah dan bertanggungjawab bagi membentuk individu anak beriman, berakhlak baik dan sentiasa menjaga pergaulan (Surah An-Nur ayat 30-31).

Tumpuan dan usaha juga perlu berterusan, meluas dan membabitkan semua pemegangtarah seperti keluarga, PIBG, guru, golongan agama, agensi dan pegawai kerajaan, tokoh akademik, penyelidik, penggubal undang-undang dan polis. Persatuan belia, NGO, Puteri UMNO dan penuntut universiti melalui program khidmat masyarakat (Opkim) atau Bakti Siswa (Baksis) boleh membantu menanganinya.

Institusi agama perlu disegarkan semula, reformasi pendidikan dipertangkaskan, NGO, media dan bloggers juga perlu diperhebat. Saya menyokong cadangan menubuhkan sebuah Pasukan Bertindak atau Yayasan Perlindungan Ibu dan Bayi. Saya rasa Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau BAKTI adalah antara entiti yang boleh memulakan inisiatif ini dengan menggembleng pakar dan tokoh dalam bidang berkaitan.

Yayasan pula mempunyai ruang mengumpul dana diperlukan untuk aktiviti berkaitan termasuk kempen meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat berhubung gejala ini. Saya rasa banyak syarikat besar termasuk GLC dapat menghulurkan bantuan bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Yayasan ini boleh diterajui isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atau individu berwibawa yang mampu menarik kepakaran tokoh agama, undang-undang, kesihatan, akademik, penyelidik tempatan dan luar negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam usaha mencari kaedah dan cara terbaik membendungnya. Ia juga memberi input kepada kerajaan, Ahli Parlimen, penggubal undang-undang, hospital dan polis andainya peraturan tertentu perlu digubal dan dikuatkuasakan serta penting untuk membaiki Akta Kanak-Kanak 2001.

Di Amerika Syarikat, ada undang-undang yang memberi perlindungan khusus kepada ibu dan bayi. Misalnya Abandoned Newborn Infant Protection Act (Illinois), Safely Surrendered Baby Law dan Safe Haven for Abandoned Babies Act (California). Undang-undang ini, antara lain membolehkan ibu yang tidak boleh menjaga bayinya menyerahkan kepada hospital, klinik atau pusat ditauliahkan. Identiti ibu dirahsiakan dan tiada tindakan diambil dalam tempoh 72 jam kelahiran. Bayi itu akan dijaga dengan baik di pusat berkenaan.

Jika ibu ubah fikiran, dia boleh datang semula mengambil bayinya tanpa sekatan. Tetapi ini mesti dilakukan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh bayi diserahkan. Selepas tempoh ‘cooling off’ dua minggu, jika ibu tidak menuntut semula, bayi itu akan diberi kepada orang lain sebagai anak angkat.

Apakah signifikan peruntukan seperti ini? Di mana undang-undang dan kemudahan sebegini dilaksanakan, statistik menunjukkan bilangan kes buang bayi dan kematian bayi telah menurun.

Satu cabaran besar di Malaysia ialah sifat masyarakat kita yang pelbagai budaya dan agama. Langkah atau kaedah sesuai kepada bukan Islam mungkin tidak boleh diterima masyarakat Islam dan sebaliknya. Justeru Baby Hatch di Petaling Jaya dan Sekolah Harapan di Melaka masing-masing dipuji dan dicaci.

Yang nyata, usaha baik mesti disokong. NGO dan badan sukarela yang banyak memainkan peranan perlu lebih diperkasakan. NGO ini perlu dibantu dengan dana lebih besar dan kemudahan lain seperti latihan/kursus profesional agar boleh melaksanakan tanggungjawab berkesan. Kerajaan tidak boleh mengatasi gejala ini sendirian. Berdasarkan pengalaman, remaja yang mengandung lebih senang dan selesa tinggal di rumah perlindungan diuruskan NGO untuk melahirkan anak berbanding hospital atau klinik.

NGO juga perlu mantapkan jaringan sesama sendiri. Lebih berkesan jika pengalaman, pengetahuan, kepakaran, kemudahan dan sumber dapat dikongsi. Ini kerana, fungsi dan matlamat semua NGO adalah sama iaitu berorientasikan kebajikan untuk golongan memerlukan bantuan.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran