KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar seorang lelaki dan seorang wanita di luar pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lalu sebelum mereka mengamuk.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata, individu itu dikesan melalui siasatan polis sejurus selepas kejadian itu.
"Kita sekarang sedang mencari pemilik kenderaan yang menghantar pasangan itu. Kita juga turut menyiasat latar belakang lelaki dan wanita yang mengamuk itu," katanya.
Pada hari itu, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya "Imam Mahadi" dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di pekarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.
Polis Siasat Latar Belakang Pasangan
Polis masih menyiasat latar belakang pasangan yang mengamuk itu bagi mengenal pasti kumpulan ajaran sesat yang mereka sertai, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
"Kita akan siasat latar belakang kedua-dua mereka, tujuan dan motif mereka termasuk blog dan facebook milik mereka, sama ada terdapat pengikut atau nama ketua ajaran sesat atau kumpulan militan," katanya.
Ismail berkata, pihaknya percaya kedua-dua mereka 'kurang sihat' dan apa yang mereka lalukan itu bukan sesuatu yang dirancang.
"Berdasarkan prosedur keselamatan serta menangani insiden amuk itu, pihak polis telah bertindak dengan pantas dan wajar," katanya.
Sakit mental
Polis mendedahkan siasatan lanjut terhadap dua penceroboh itu mendapati mereka mempunyai masalah mental berikutan terjebak dengan ajaran sesat, selain berfikiran ekstrem.
Polis juga memberitahu, kedatangan mereka ke kompleks pentadbiran itu untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan masa kini yang didakwa menguruskan pentadbiran negara tidak mengikut lunas-lunas Islam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pencerobohan yang disusuli kejadian amuk adalah modus operandi yang sering digunakan oleh pengikut ajaran sesat.
Katanya, kesimpulan itu dibuat selepas pihaknya meneliti perkataan yang diucapkan oleh kedua-dua suspek ketika itu.
“Kalau tengok pada apa yang diucapkan (semasa kejadian), mereka terlibat dalam ajaran sesat, tetapi kumpulan mana (mereka sertai) kita akan siasat,” katanya.
Siasat blog, akaun Facebook suspek
Polis sedang menyiasat blog dan akaun Facebook milik Khalil Afandi Abd Hamid bagi menentukan sama ada wujud pengikut atau rangkaian kumpulan yang berkemungkinan dianggotainya.
Polis serius dengan kejadian ini dan akan siasat adakah suspek mempunyai ketua yang memberikan arahan.
'Mungkin kena ilmu hitam'
Muhdalena Ahmad yang ditembak ketika mengamuk bersama seorang lelaki di Kompleks JPM itu dikatakan sangat taksub terhadap lelaki itu walaupun baru mengenalinya.
Suaminya yang enggan dikenali juga tidak menolak kemungkinan isterinya terkena ilmu hitam lelaki berkenaan yang mendakwa Imam Mahadi.
“Saya tidak sangka dia sanggup mengikutnya walaupun baru mengenalinya beberapa hari lalu. Muhdalena tidak pernah berperangai pelik, tetapi dua tiga hari lalu dia berkelakuan aneh dan amat taksub terhadap lelaki berkenaan,” katanya.
Muhdalena dikawal rapi dua anggota polis wanita. Setakat petang semalam, tiada anggota keluarga dibenarkan menemuinya kecuali suaminya yang berkesempatan menyerahkan makanan kira-kira jam 1 tengah hari.
Difahamkan, wanita berkenaan meninggalkan dua anaknya bersama ibu bapanya di Kota Damansara pada Ahad lalu dengan alasan ada urusan perlu diselesaikan dalam tempoh beberapa hari.
Bapanya pula berkata, beliau sekeluarga masih terkejut dan sukar menerima hakikat pembabitan anak mereka.
Ahmad Adam, 55, seorang peniaga nasi lemak, berkata beliau mengetahui kejadian itu selepas membaca laporan pembabitan anak keduanya itu di sebuah laman sosial.
“Saya hubungi telefonnya, tetapi panggilan dijawab seorang anggota polis. Dia minta saya ke Balai Polis Putrajaya untuk memberi keterangan. Saya terkejut dan kecewa kerana walaupun dia belajar tinggi (lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), tetapi terjebak dalam kes itu.
“Walaupun tidak bersekolah agama sepenuhnya, dia memang belajar sedikit pasal Islam pada sebelah petang,” katanya.
Beliau ditemui ketika cuba melawat anaknya, ditemani isteri, Siti Marliah Marjunid, 55; anaknya sulungnya, Ariffin serta dua anak Muhdalena, iaitu Mohd Fariz Kharizmi, 2, dan Mia Ratisya berusia setahun lebih.
Tidak benar melawat
Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan melawat Muhdalena kerana difahamkan polis belum merekodkan keterangannya. Dia ditahan reman mulai semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Dalam perkembangan berkaitan, jenazah Khalil dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 2 pagi semalam untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.
Kes amuk disiasat menyeluruh
Siasatan berhubung kes dua individu yang menyerang serta mengamuk itu akan dibuat secara menyeluruh termasuk kaitan mereka dengan pertubuhan ajaran sesat.
Polis sedang meneliti laman-laman sosial termasuk blog dan Facebook milik suspek lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi untuk menyiasat sejauh mana penglibatannya dengan kumpulan ajaran sesat.
“Siasatan awal mendapati, kejadian amuk ini bukan dirancang dan ia bukan satu komplot besar. Apa pun saya memuji tindakan pantas yang diambil oleh pengawal keselamatan dan anggota polis di lokasi kejadian," katanya.
Cetek pengetahuan dalam ilmu agama; terikut-ikut dengan ajaran sesat dan terlalu ingin menjadi manusia hebat dengan kebolehan luar biasa mendorong seseorang itu menjadi imam 'Mahadi' palsu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya berkata, seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai dirinya Imam Mahadi kerana terdapat ciri dan sifat tertentu membezakan Imam Mahadi dengan manusia biasa.
"Antara sifat Imam Mahadi digambarkan Nabi Muhammad SAW dalam hadis riwayat Abu Daud ialah beliau bangkit memimpin dan menjadi imam kepada seluruh umat manusia," katanya.
Fathul Bari berkata, Imam Mahadi tidak bangkit secara mengaku "akulah Imam Mahadi yang ditunggu-tunggu", sebaliknya ciri-ciri dan sifatnya diketahui sendiri orang ramai menerusi kepimpinannya membawa dan mengisi keadilan kepada seluruh dunia.
Ditanya mengapa sejak akhir-akhir ini banyak individu dikultuskan sebagai imam 'Mahadi', Fathul Bari berkata, tindakan itu merupakan modus operandi kelompok yang tersasar daripada akidah Islam yang sebenar.
"Pertama sekali mereka ingin diikuti dan dijadikan sebagai ikutan, mereka akan membina kultus mereka sendiri, dia akan tanam bukti-bukti dan ciri-ciri sebagai Imam Mahadi seperti yang berlaku dalam beberapa ajaran sesat.
"Bila mereka mula ke tahap melampau mereka akan mengangkat diri mereka dan mensucikan diri mereka sampai ke tahap apa yang mereka kata mesti benar dan tepat, apa yang mereka kata tak boleh dikritik dan tak boleh disanggah, sehinggakan pengikut mereka kena terima bulat-bulat," katanya.
Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Salleh Ahmad berkata, salah satu cara membendung kejadian seperti itu ialah memberi pendidikan ilmu akidah berterusan kepada umat Islam sejak kecil.
"Perkara ini berpunca dari kejahilan mereka dan ada yang cuba untuk berlagak jadi orang hebat dengan mengaku bahawa dia Imam Mahadi.
"Pihak berkuasa harus mempergiatkan gerakan dakwah bagi memastikan perkara ini tidak berulang," katanya.
Jiran terkejut
“Sebulan yang lalu arwah Khalil ada datang ke rumah bersama isteri dan anaknya bertanya khabar kami sekeluarga, dia salam banyak kali dengan saya, percakapannya agak laju dan sukar difahami,” kata jiran arwah Khalil, Sahak Mat Dan, 60.
Menurutnya, Khalil tidak bercakap apa-apa mengenai aktivitinya. “Dia lahir dan membesar di Kampung Lindungan sebelum berpindah ke sini (Taman Lindungan Jaya) sejak berkahwin dia tinggal di Puchong dan sejak itu kami jarang bertemu.
“Saya terkejut selepas mendengar berita dia ditembak mati polis kerana mengamuk di Putrajaya sedangkan di sini dia terkenal dengan sifat lemah lembut dan menghormati orang tua,”katanya ketika ditemui di Taman Lindungan Jaya, semalam.
Dalam pada itu, seorang lagi jirannya Hashim Abdullah, 64, berkata, sejak ibunya meninggal dunia pada tahun 2008 rumah itu dihuni oleh salah seorang adik lelakinya.
Menurut Hashim, arwah Khalil juga sempat bertemunya ketika datang ke situ sebulan yang lalu. “Dia tidak cakap apa-apa cuma tanya sihat ke tidak, itu sahaja dan dia kelihatan ceria,” katanya.
Difahamkan arwah Khalil merupakan anak ketiga dari enam beradik seorang berperwatakan periang dan mudah digauli. Adik lelaki arwah ketika ditemui di rumahnya pula enggan mengulas lanjut apa yang berlaku.
Entri blog: 'Perjuangan' Khalil Affandi kabur
Memperkenalkan diri sebagai Jaya Negara dalam blog miliknya yang mengisahkan pelbagai isu yang sukar difahami. Sekiranya diamati, Khalil Affandi banyak mengetengahkan dan mempersoalkan serta lebih kepada mengajak pembaca blognya mendalami dan memikirkan mengikut batasan luar pemikiran biasa mengenai isu ketuhanan.
Selain mengetengahkan isu mengenai ketuhanan, Khalil Affandi juga ada menulis entri pada 4 Jun lalu, yang menyeru semua rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama agar tidak bertelagah sesama sendiri dan menjaga keharmonian hubungan antara agama.
Penelitian di blognya semalam, mendapati terdapat sejumlah 17 artikel yang ditulisnya. Dia mula menulis di blognya itu sejak 4 Jun lalu. Entri terbaru blognya yang ditulis di jayanegara1234.blogspot.com pada 30 Jun lalu yang bertajuk HIDUP DAN MATI.. apa dipertaruhkan yang turut memaparkan kejadian tsunami yang melanda beberapa negara pada 2004.
Dalam entri blognya yang bertajuk UJIAN UNTUK JIWA....... eh! dah bermula ke. Bila? Yang ditulis pada 21 Jun lalu dia turut mengaku meminati penyanyi lagenda rock tanah air, Awie.
“Aku ni kira-kiranya peminat Awie. Manakan tidak.... itu aja pun makanan aku masa dulu. Kini Awie dah kira ‘living legend’. Mantop!
“Kita tinggalkan Awie.... apa-apa pun terima kasih Awie kerana memberi hiburan pada aku tatkala perjuangan rasa macam hambar. Layan la.... lagu Awie la pulak. Zaman ini dah ku lalui... Awie kekal Awie,” katanya.
Di laman Facebook miliknya yang juga diberikan nama Jaya Negara dia menulis sedikit profil peribadi iaitu pernah belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kota Baru, Kelantan dan bekerja sendiri sebagai pembuat landskap di Seri Kembangan.
Dengan hanya memiliki 16 orang rakan yang kebanyakannya bukan dalam kalangan kaum Melayu, Khalil Affendi dilihat lebih gemar mengetengahkan isu dalam negara di laman sosialnya itu.
Khalil Affandi mula menulis di Facebooknya pada 23 Mei 2012, berkaitan berita daripada portal Malaysiakini mengenai tapak niaga di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga.
Entri terakhir yang ditulis di Facebooknya ialah pada 5 Julai lalu mengenai artikel yang juga ditulis portal berita Malaysiakini berkaitan Uncle Seekers ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Ayah dakwa anaknya 'gila Internet'
"Saya kecewa dia belajar tinggi tapi jadi begini." Demikian kata Ahmad Adam, 55, ayah Muhdalena.
Menurutnya, Muhdalena anak kedua dari empat beradik adalah seorang yang peramah dan baik, malah sebelum ini bekerja sebagai penolong pengurus sebuah syarikat di Pelabuhan Utara, Klang sebelum berhenti hujung bulan lalu.
“Saya tidak sangka perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi telah menyebabkan dia terjebak dengan perkara yang tidak masuk akal seumpama itu.
“Saya percaya ini ekoran sikapnya yang ‘gila internet’, malah kami sendiri tidak pernah mengenali Khalil Afandi dan hanya kenal dia dari surat akhbar hari ini, malah percaya Muhdalina hanya mengenali lelaki tersebut melalui internet sahaja,” katanya.
Ahmad berkata, tiada sikap mencurigakan mengenai Ina melainkan dua hari sebelum kejadian dia menghantar dua anaknya ke rumah dan memaklumkan ada urusan untuk dua ke tiga hari, malah mereka tidak mengesyaki apa-apa.
“Dia tinggal bersama suami yang bekerja sebagai pemandu di syarikat yang sama di Rantau Panjang, Klang banyak menghabiskan masa dengan melayari Internet dan bukan dikategorikan sebagai seorang yang memiliki pengetahuan agama tinggi.
“Kami sekeluarga amat terkejut dengan kejadian yang berlaku kerana dia seorang anak yang baik, peramah dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga, malah dia juga berkelulusan UIAM.
Menurut Ahmad, dia hanya mengetahui kejadian menimpa Muhdalina setelah dimaklumkan oleh anak sulung yang terbaca mengenai perkara itu di Internet kira-kira jam 5 petang (semalam) dan menyangka hanya rusuhan biasa.
Difahamkan, Muhdalina sudah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru di kakinya dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, suami Muhdalina yang hanya dikenali sebagai Yusof berkata, dia yakin isterinya itu terlalu taksub dengan Khalil Afandi walaupun hanya mengenali lelaki itu melalui laman blog seminggu lalu.
Dia yang datang ke Hospital Putrajaya dengan ditemani seorang rakan hanya datang menyerahkan pakaian dan barang-barang keperluan isterinya kepada anggota polis yang berkawal.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan