Sabtu, 29 Jun 2013

Undang-undang berkenaan penukaran agama anak menindas bukan Islam, kata MCCBCHST

Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) mendakwa peruntukan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentang di Parlimen akan menindas bukan Islam, ia berikutan pertikaian mengenai hak bersama penjaga dalam menentukan agama anak mereka.

Pertikaian isu ini dibangkitkan selepas seorang wanita Hindu, Subashini Rajasingam mengemukakan perintah injunksi bagi menghalang suaminya, Saravanan Thangathoray daripada mengislamkan dua anak lelaki mereka, Dharvin Joshua, 4, dan Sharvind, 2, pada 2007.

"MCCBCHST sekeras-kerasnya membantah beberapa peruntukan yang terdapat dalam Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada 26 Jun 2013 kerana ia memberi kesan kepada bukan Islam.

"Rang Undang-undang tanpa persetujuan bersama cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan dengan menterjemahkan perkataan 'ibu bapa' dalam Perlembagaan Persekutuan kepada 'ibu atau bapa' yang bertentangan dengan istilah 'lbubapa'," kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

MCCBCHST berkata, tindakan yang membenarkan salah seorang penjaga dalam menentukan agama anak mereka seperti di bawah Seksyen 107 (b) adalah satu ketidakadilan dan berat ke atas sebelah pihak penjaga yang tidak menukar agamanya dan anak dalam perkahwinan tersebut

"Seksyen 107 (b) 'jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama lslam olehnya' adalah peruntukan yang akan mewujudkan ketidakadilan sosial dan bertentangan dalam perkara perlembagaan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong juga menyatakan pendirian sama apabila menegaskan penukaran agama tanpa persetujuan bersama penjaga anak bawah umur adalah bertentangan dengan perkara dalam perlembagaan dan mengingkari undang-undang tertinggi negara ini.

"Tanpa persetujuan dengan penjaga yang tidak menukar agama adalah bertentangan dengan perkara perlembagaan kita.

"Sebarang undang-undang yang bertentangan dengan Perkara 12 (4), dibaca dengan Perkara 160 dan Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan, dan berupa peruntukkan untuk memberi kebenaran kepada satu penjaga untuk menukar agama anak bawah umur adalah bercanggah dengan perlembagaan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 13 Mac 2007, Mahkamah Rayuan membuat keputusan majoriti 2-1 menolak dengan kos rayuan Subashini untuk mengekalkan perintah injunksi ex-parte bagi menghalang dua anak lelakinya yang masih bawah umur daripada diislamkan oleh Saravanan.

Pada 23 Mei 2006, Saravanan mendapat perintah ex-parte daripada Mahkamah Tinggi Syariah berhubung hak jagaan sementara Dharvin Joshua yang bersama-samanya memeluk Islam dengan menukar nama kepada Muhammad Shazrul Dharvin.

Rayuan di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman bersama Datuk Abdul Aziz Mohamed dan Datuk Azmel Maamor.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran