KUALA LUMPUR – Undang-undang hudud bukan untuk membebankan tetapi ia
berupaya memperbaiki keadaan sosial masyarakat, kata Dekan Institut
Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa Universiti
Islam Antarabangsa Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid.
Katanya undang-undang hudud tidak harus dilihat dari segi hukuman
berat semata-mata, sebaliknya ia perlu dinilai sebagai satu daripada
cara untuk melahirkan masyarakat berdisiplin.
“Mereka yang takut kepada pelaksanaan undang-undang hudud disebabkan
mereka hanya fokus kepada hukuman berat sahaja seperti hukum rejam,
potong tangan dan sebagainya,”katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengulas mengenai keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kelantan pada 19 Mac meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah
II 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud
yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia
dilaksanakan kelak di negeri itu.
Kesemua 44 anggota dewan termasuk 31 anggota dewan daripada PAS,
kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan seorang daripada
PKR menyokong pindaan rang undang-undang itu yang dibentangkan kerajaan
negeri pimpinan PAS melalui Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Mahmood Zuhdi berkata menurut Islam, masyarakat boleh dididik melalui
dua perkara, iaitu memberi galakan, dan ancaman hukuman yang berat
supaya mereka ’takut’ untuk melakukan kesalahan.
“Sebagai contoh kesalahan mencuri, jika hanya seorang atau dua
orang dipotong tangannya ia akan membuatkan masyarakat takut untuk
mencuri, tidakkah ini membawa kebaikan dan keindahan daripada kita
memenjarakan 600 orang.
Kedua-duanya adalah hukuman tetapi perbezaannya mana satu yang boleh melahirkan kesan yang mendalam kepada masyarakat,” katanya.
Namun Mahmood Zuhdi menegaskan bahawa undang-undang hudud
hanyalah sebagai kaedah tambahan untuk mendisiplinkan masyarakat setelah
institusi sosial seperti ibu bapa, dan institusi pendidikan telah
memainkan peranan membentuk karektor dan sahsiah seseorang.
Oleh itu, tegas beliau, undang-undang hudud tidak perlu ditakuti
kerana ia perlu melalui proses penghakiman yang kompleks sebelum hukuman
dijatuhi.
Katanya terdapat beberapa kriteria utama yang diambil kira sebelum
seseorang itu dijatuhi hukuman hudud atas kesalahan yang dilakukan.
“Sebelum menjatuhi undang-undang hudud, antara yang perlu diambil
kira adalah cara didikan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, kawasan
kejiranan, peranan para ulama, tempat beribadat dan institusi pendidikan
perlu menjalankan fungsinya dengan betul mengikut ajaran Islam, barulah
hukum itu terlaksana,” kata Mahmood Zuhdi.
Contohnya, sekiranya seseorang yang dituduh mencuri sedangkan dia
dibesarkan dalam keluarga yang tidak bermoral maka undang-undang hudud
tidak boleh dijatuhi ke atasnya.
Ditanya mengenai sikap sesetengah orang Islam sendiri yang
menolak undang-undang hudud, Dr Mahmood Zuhdi berkata golongan ini tidak
harus dipersalahkan kerana pihak yang menolak undang-undang itu
mempunyai kefahaman yang salah.
Maka, katanya pendidikan dan penyebaran ilmu mengenai undang-undang ini perlu diperluaskan.
Mahmood Zuhdi turut menyarankan supaya pihak yang terlibat
memperbaiki kehidupan masyarakat sebelum memperkenalkan undang-undang
hudud.
“Pihak yang melaksanakan hukuman ini perlu memastikan kesejahteraan
hidup masyarakat seperti tiada kemiskinan, tiada unsur-unsur lucah di
kaca televisyen dan sebagainya yang perlu seiringan dengan pelaksanaan
hukum tersebut,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa
Awang menyifatkan pelaksanaan hukum hudud sebagai langkah pencegahan
untuk seseorang itu daripada melakukan kesalahan.
Katanya sebagai bukti, pelaksanaan hukum hudud di zaman Rasullah SAW
yang berjaya mengelakkan kesalahan seperti berzina, merompak dan minum
arak berlaku.
“Dalam hukum hudud, ‘beban’ membuktikan sesuatu kesalahan adalah
terlalu ketat dan sukar, jadi untuk membuktikan sesuatu yang sukar maka
hukuman itu bukan bertujuan menghukum tetapi untuk mencegah orang
daripada melakukannya, kerana bila masyarakat tengok hukuman itu berat
mereka akan takut untuk melakukan kesalahan,” katanya.
Musa turut menambah pelbagai aspek dalam pelaksanaan hukum hudud yang
perlu diambil kira seperti kewibawaan saksi, tatacara menentukan
kesalahan, dan pihak mahkamah yang perlu arif dengan undang-undang hudud
bagi mengelakkan undang-undang Islam itu dipandang serong. – Bernama