Jumaat, 20 Mac 2015

DUN Kelantan lulus pelaksanaan hukum hudud

Gambar dari Portal Islam dan Melayu
 
KOTA BHARU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini.

Kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan.
Kanun berkenaan telah dibuat beberapa pindaan iaitu ia hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka.

Pindaan turut dibuat pada Seksyen 15(2) kanun tersebut dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.

Pindaan lain adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum wujud.

Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan undang-undang sedia ada.

Kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi tujuh kesalahan iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf, syurb (minum arak) dan irtidad (murtad).

Antara hukuman yang diperuntukkan di bawah kanun itu adalah bagi kesalahan mencuri kali pertama, pesalah akan dipotong tangan kanan, kesalahan kali kedua dipotong tangan kiri dan kesalahan kali ketiga pula dipenjara tidak melebihi 15 tahun.

Pada persidangan tersebut sejarah tercatat apabila kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) menyokong rang undang-undang yang dibentangkan kerajaan negeri pimpinan PAS melalui Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Rang undang-undang itu diluluskan selepas dibahaskan empat anggota dewan iaitu Datuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang), Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas), Dr Yusnan Yusof (PAS-Melor) dan Datuk Husam Musa (PAS-Salor).

Sebelum ini, Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali hukum hudud, qisas dan takzir, tertangguh pelaksanaannya lebih 20 tahun selepas ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993 kerana kekangan dari segi perundangan.

Usaha kerajaan negeri melaksanakan kanun berkenaan menempuh pelbagai kontroversi terutama tentangan daripada orang bukan Islam khususnya DAP iaitu rakan sekutu PAS dalam pakatan pembangkang.

Semalam, parti Gerakan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu.

Tiada ulasan: