Rabu, 15 Februari 2017

Polis sahkan tahan dua suspek bunuh abang tiri Presiden Korea Utara



KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seorang wanita warga asing telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pagi tadi, bagi membantu siasatan pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek didapati menggunakan dokumen perjalanan Republik Sosialis Vietnam dengan nama Doan Thi Huong. 

Catatan di pasportnya menunjukkan beliau berusia 29 tahun.

"Siasatan diteruskan dan tindakan lanjut ke atas suspek akan dibuat mengikut undang-undang yang diperuntukkan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Bukit Aman.

Menurutnya, suspek yang ditahan kira-kira jam 8.20 pagi itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang berkenaan yang dirakam pada hari kejadian.

Sementara itu, beberapa media dan agensi berita memberi pelbagai versi berhubung suspek yang disyaki pembunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un itu.

Portal Berita Harian Online yang memetik Ketua Biro ABC News, Joohee Cho, di Kuala Lumpur sebagai melaporkan dua wanita yang disyaki pembunuh itu didakwa ditemui mati.

Turut melaporkan demikian adalah wakil Channel News Asia, Michiyo Ishida yang memetik laman berita Kyodo News dari Jepun sebagai berkata, mayat kedua-dua wanita itu telah ditemui.

Rakaman CCTV turut menunjukkan imej seorang suspek di lokasi kejadian di KLIA 2 yang tersebar meluas.

Wanita itu berambut panjang sehingga ke bahu dan memakai skirt dengan baju berwarna cerah dengan perkataan 'LOL' di bahagian depan dan sedang membawa satu beg tangan.

Portal itu melaporkan, sebelum ini, amalan ejen khas Korea Utara membunuh diri selepas menamatkan misi mereka sudah pernah dilihat beberapa kali.

Contohnya, Kim Hyun-hee, pengebom pesawat Korea Selatan pada 1987 yang mengikut arahan rejim Korea Utara.

Selepas melakukan tugasan yang menyebabkan 115 penumpang maut, Hyun-hee cuba membunuh diri, tetapi gagal.

Ia juga memetik jurucakap polis Malaysia, Fadzil Ahmat beranggapan Jong-nam mungkin diracun menggunakan sehelai kain.

"Mangsa merasakan seseorang memegang muka beliau dari belakang. Beliau kemudian merasa pening," kata pegawai polis itu.

"Selepas diserang, beliau meminta bantuan di kaunter KLIA. Kami tidak pasti ia kain atau jarum," katanya.

Sementara itu, AFP melaporkan Jong-nam pernah merayu kepada adiknya, Jong-un agar tidak membunuhnya dan mengganggu keluarganya selepas cubaan membunuhnya pada 2012 gagal.

Jong-nam, 46, dikatakan pernah menghantar surat kepada adik tirinya itu dan merayu tidak diganggu.

“Tolong jangan ganggu saya dan keluarga. Kami tidak mempunyai tempat untuk dituju.. kami tahu satu-satunya jalan untuk melepaskan diri ialah dengan membunuh diri," petik kandungan surat itu.

Isi kandungan surat itu dimaklumkan oleh Ahli Jawatankuasa Perisikan Parlimen Korea Selatan, Kim Byung-Kee kepada para wartawan selepas taklimat tertutup Ahli Parlimen Seoul dengan Ketua Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan, Lee Byung-Ho.

Menurut Byung-Ho, Jong-nam menghantar surat itu pada April 2012 selepas cubaan membunuhnya pada tahun yang sama.

Katanya, mangsa bukanlah ancaman terhadap Jong-un memandangkan dia tidak mempunyai sokongan kuat di negara asalnya.


Sumber AS: Korea Utara disyaki di belakang pembunuhan

Kerajaan Amerika (AS) percaya ejen Korea Utara membunuh abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-un di Malaysia, kata sumber kerajaan AS semalam.

Pihak berkuasa Amerika masih belum pasti bagaimana Kim Jong-nam dibunuh, demikian menurut dua sumber, yang tidak menyediakan bukti khusus yang menyokong pandangan kerajaan Amerika itu.

Satu sumber kerajaan Korea Selatan juga berkata, bahawa Kim Jong-nam telah dibunuh di Malaysia. 

Sumber itu tidak memberikan butiran lanjut.

Kementerian Luar Korea Selatan berkata, ia tidak dapat mengesahkan laporan itu dan agensi perisikan negara itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Di Washington, tidak ada reaksi segera terhadap permintaan untuk mendapat komen dari pihak pentadbiran Trump, yang berdepan cabaran sengit dari Korea Utara yang berdegil berkaitan program senjata nuklearnya dan ujian peluru berpandu balistik hujung minggu lalu.

Kim Jong-nam diketahui menghabiskan sejumlah besar masanya di luar Korea Utara dan telah bercakap secara terbuka terhadap kawalan dinasti keluarganya.

Salah satu sumber AS yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, jika disahkan sebagai satu pembunuhan, maka ia merupakan rentetan pembunuhan terbaru sejak beberapa dekad di dalam dan di luar negara itu yang bertujuan untuk menutup mulut mereka yang dianggap oleh pemimpin Korea Utara sebagai ancaman kepada kuasa mereka.

Dalam satu kenyataan, polis Malaysia berkata, lelaki yang berusia 46 itu dikenal pasti berdasarkan dokumen perjalanannya sebagai Kim Chol.

Kim Jong-nam pernah ditangkap pada masa lalu menggunakan dokumen perjalanan palsu.

Sumber-sumber Amerika berkata, ada kemungkinan Kim Jong-nam telah diracun. 

Mereka berkata, tidak boleh ditolak kemungkinan pembunuh menggunakan sejenis peranti "pen beracun".

Rangkaian TV Kabel Korea Selatan, Chosun, pula melaporkan, dengan memetik pelbagai sumber kerajaan Korea Selatan, bahawa Kim telah diracun dengan jarum oleh dua wanita dipercayai operatif Korea Utara yang melarikan diri dengan teksi.

Reuters tidak dapat mengesahkan butiran tersebut.
 

2 wanita bunuh Kim Jong Nam ditemui mati


 
SEOUL: Dua wanita disyaki pembunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un didakwa ditemui mati, menurut laporan ketua biro ABC News, Joohee Cho, di sini. 

Wakil Channel News Asia, Michiyo Ishida turut melaporkan mayat kedua-dua yang membunuh Kim Jong Nam itu ditemui dengan memetik laman berita Kyodo News dari Jepun.

Rakaman CCTV turut menunjukkan salah seorang pembunuh di lokasi kejadian di KLIA 2 yang tersebar meluas.

Dia mempunyai rambut panjang sehingga ke bahu dan memakai skirt dengan baju berwarna cerah dengan perkataan 'LOL' di bahagian depan dan sedang membawa satu beg tangan.

Sebelum ini, amalan oleh ejen khas Korea Utara untuk membunuh diri selepas menamatkan misi mereka sudah pernah dilihat beberapa kali.

Sementara itu, jurucakap polis Malaysia, Fadzil Ahmat beranggapan Jong Nam mungkin diracun menggunakan sehelai kain.

"Mangsa merasakan seseorang memegang muka beliau dari belakang. Beliau kemudian merasa pening," kata pegawai polis itu.

"Selepas diserang, beliau meminta bantuan di kaunter KLIA. Kami tidak pasti ia kain atau jarum." - ABC News/Kyodo News


2 pembunuh upahan bunuh Jong-Nam - Sumber AS

 
SEOUL: Agensi risikan Korea Selatan mengesyaki dua ejen wanita Korea Utara membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un di Malaysia.

Perkara itu didedahkan beberapa Ahli Parlimen Seoul hari ini, ketika pihak berkuasa perubatan Malaysia menyiasat punca kematian mendiang.

Beberapa sumber kerajaan Amerika Syarikat memaklumkan Reuters bahawa mereka percaya pembunuh upahan Korea Utara membunuh Kim Jong-Nam.

Polis Malaysia berkata, beliau diserang hari ini di KLIA 2 dan mati ketika dihantar ke hospital.

"Agensi risikan, Korea Selatan percaya Jong-Nam diracun," kata beberapa pembuat undang-undang negara itu selepas diberi taklimat risikan tertutup.

Mereka berkata, agensi risikan itu memaklumkan pemimpin muda dan di luar jangkaan Korea Utara itu mengeluarkan satu arahan pembunuhan abang tirinya dan ada satu cubaan membunuh Jong-Nam gagal pada 2012.

Seorang pegawai polis Malaysia, Fadzil Ahmat memaklumkan Jong-Nam berada di terminal tambang murah lapangan terbang itu untuk penerbangan ke Macau, namun seorang individu menyerkup kepala mangsa dengan kain dari belakang secara tiba-tiba dan beliau merasa pening kemudian meminta bantuan.

Menurut agensi Korea Selatan lagi, Jong-Nam tinggal di bawah perlindungan Beijing dengan isteri keduanya di Macau, China. 

Salah seorang daripada mereka memaklumkan, Jong-Nam turut mempunyai seorang isteri dan anak lelaki di Beijing. - Reuters




Kim Jong-Nam pernah rayu tidak dibunuh

 
SEOUL: Ketua agensi risikan Korea Selatan memaklumkan, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang dibunuh di Malaysia pernah merayu supaya tidak dibunuh selepas satu cubaan pembunuhan Kim Jong-Nam gagal pada 2012.

Jong-Nam maut selepas dilaporkan diserang dua wanita dipercayai ejen Korea Utara di KLIA 2 pada Isnin lalu.

Beliau adalah anak sulung mendiang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il.

Beliau sebelum ini dilihat sebagai waris pemerintahan, namun terkeluar daripada senarai selepas satu percubaan gagal untuk masuk ke Jepun menggunakan satu pasport palsu melawat Disneyland.

Sejak itu, beliau hidup dalam buangan, kebanyakannya di Macau, China sementara Jong-Un mengambil alih pemerintahan negara kuasa nuklear terasing itu selepas kematian bapanya pada Disember 2011.

Susulan satu taklimat tertutup oleh ketua Perkhidmatan Risikan Nasional, Lee Byung-Ho, pembuat undang-undang Korea Selatan berkata, Pyongyang pernah cuba membunuh Jong-Nam, pada 2012.

Difahamkan, beliau dikenali sebagai penyokong kuat reformasi di negara itu.

"Menurut Byung-Ho, ada cubaan pembunuhan pada 2012 dan pada April 2012. Jong-Nam menghantar satu surat kepada Jong-Un menyatakan, 'Tolong lepaskan saya dan keluarga'," kata ahli jawatankuasa risikan parlimen, Kim Byung-Kee.

"Surat itu turut menyatakan 'Kami tiada tempat untuk pergi, kami tahu satu-satunya cara adalah dengan membunuh diri," katanya, sambil menambah Jong-Nam tidak mempunyai banyak sokongan politik di negara itu dan bukan satu ancaman besar untuk Joun-Un. AFP

Tiada ulasan: