Pas hari ini memutuskan hubungan tahaluf siyasi ataupun kejasama politik dengan PKR berkuatkuasa serta merta.
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika mengumumkan pendirian parti itu berkata, keputusan itu dibuat berikutan PKR telah melanggar beberapa syarat tahaluf siyasi yang dipersetujui bersama sebelum ini.
"Dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam, maka hubungan politik Pas dan PKR telah terbatal.
"Antara pelanggaran tersebut
adalah tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh
Pas seperti RUU355 (Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
(Pindaan) 2016," kata Zawawi.
Selain itu, Zawawi berkata PKR
juga didakwa telah melanggar adab kerjasama dalam politik seperti
menyerang pimpinan Pas dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej Pas.
"PKR juga telah khianati dalam
hubungan dengan Pas, antaranya bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan
kerajaan Kelantan dan menentang Pas dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan
Kuala Kangsar," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam
satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di Pas Pusat hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas
Majlis Syura bermesyuarat selama hampir dua jam.
Turut hadri dalam sidang media
berkenaan adalah, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa
Pas Pusat, Nik Muhammad Abduh Nik Mat.
Sementera itu ketika ditanya sama
ada Pas bersedia untuk bertemu dengan PKR jika parti itu masih mahu berbincang
mengenai hubungan tersebut, Zawawi berkata, pihak tiada masalah untuk berbuat
demikian.
Untuk itu, sebarang tindakan
politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor, Majlis Ulama Pas akan
menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat dengan merujuk kepada maslahah
dan kepentingan Islam dan rakyat.
Sebelum ini (30 April 2017
Usul putus tahaluf siyasi diterima sebulat suara
Sebaik perbahasan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari selesai, Pengerusi Tetap Muktamar, Hussin Ismail bertanya kepada perwakilan dan kesemuanya bangun menyatakan sokongan dengan melaungkan, 'setuju' beramai-ramai.
Terdahulu, pada pembentangan usul, Zulkifli merujuk kepada perlembagaan Pas, Fasal 5 (Tujuan Pas), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan) sebagai hujah agar Pas memutuskan hubungan dengan PKR.
"Majlis Syura Ulamak menetapkan syarat Tahaluf Siyasi, antaranya tahaluf mestilah dijalankan sebagai wasilah menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam," katanya.
Menurutnya, dasar-dasar Islam hendaklah dipertahankan, Intima' diberikan kepada kepimpinan gerakan Islam dan bukan kepada pakatan tahaluf.
"Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah, di mana matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak," katanya.
Bagaimanapun, Zulkifli bersetuju mandat membuat penilaian terhadap tahaluf mestilah diputuskan Majlis Syura Ulamak.
"Keputusan muktamad tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak menurut peruntukan perlembagaan Pas. Apa sahaja keputusan akan dipatuhi," katanya.
Menurutnya, terdapat banyak pelanggaran syarat sepanjang tempoh berlangsungnya tahaluf siyasi antara Pas dan PKR, yang boleh dibuktikan melalui beberapa kejadian, antaranya penglibatan PKR menyokong calon Amanah menentang Pas pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
"Kegagalan PKR memberi sokongan kepada usaha Pas memperkasakan mahkamah syariah melalui pindaan akta 355, seolah-olah bersama dengan pendirian DAP yang menentang pindaan akta itu.
"Kenyataan pimpinan PKR secara terbuka memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap Pas sekaligus tidak menunjukkan setiakawan. Sehubungan itu, kami usulkan tahaluf siyasi antara Pas dan PKR diputuskan,” katanya, disusuli sorakan gemuruh perwakilan.
"Islam mengajar kita patuhi perjanjian dan tidak boleh dilanggar sewenangnya. Hendaklah pihak terbabit hormati isi perjanjian, tidak khianati dan tidak bantu musuh Islam. Kita tegas terhadap tahaluf jika ada rakan yang tak patuhi syarat," katanya.
Menurutnya, Pas perlu tegas berdepan dengan rakan tahaluf yang cuba mewujudkan gelombang sekular sosialis yang berbahaya kerana ia merupakan aspek ekstremis.
Usul itu dibawa bersama Pas kawasan Bandar Tun Razak, Beruas, Labis, Lumut, Bera, Serdang, Pandan, Batu, Shah Alam, Bayan Baru, Titiwangsa, Kuantan, Paya Besar, Padang Terap, Kuala Terengganu, Kuala Kangsar, Marang, Bukit Mertajam, Kuala Nerus, Dungun, Kuala Langat dan Dewan Ulamak Pas Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan