Jumaat, 26 Januari 2018

Dari APU sampai PH – BN tetap kekal berkuasa

BARISAN Nasional (BN) tidak menghadapi masalah untuk terus kekal memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini walaupun berdepan dengan cabaran dan ujian besar dari parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini pun, ketika UMNO berpecah dua tahun 1989 sehingga membawa kepada penubuhan parti baharu, Parti Melayu Semangat 46 (S46) oleh Tengku Razaleigh Hamzah tidak sedikit meramalkan BN akan kalah teruk.
Ketika itu, Tengku Razaleigh atau Ku Li bergabung dengan Pas, musuh tradisi BN. Beliau bersama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Mursydul Am Pas mewujudkan gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk melawan BN.
Ternyata, PRU8 tahun 1990 menyaksikan pembangkang atau APU hanya berjaya merampas Kelantan sahaja manakala peringkat persekutuan kekal ditadbir oleh BN.
Selepas S46 dibubarkan pada Mei 1996, APU pun turut ‘berkubur’. Pas kemudian bertahaluf siyasi dengan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi gabungan Pakatan Rakyat (PR).
Gabungan itu menyaksikan BN kehilangan Terengganu kepada Pas dalam PRU10 (1999) untuk tempoh satu penggal tetapi masih kekal memerintah kerajaan Pusat.
PR juga menunjukkan kekuatannya dengan merampas Perak, Selangor dan Pulau Pinang selain kekal di Kelantan pada PRU12 tetapi BN masih tetap mentadbir kerajaan pusat.
Sepenggal selepas itu, BN mengambil semula kerajaan Perak.
Keutuhan BN yang diterajui UMNO bersama rakan komponennya, MCA, MIC, Gerakan dan PPP (sekarang MyPPP) tidak pernah mengalah. Mereka sebaliknya membuktikan parti itu masih mendapat kepercayaan rakyat.
Kini, dalam persediaan dan persiapan menghadapi PRU14, penganalisis politik tanah air tidak pernah sunyi meramalkan BN akan kecundang kepada PH yang diketuai pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ramalan itu sama seperti tekaan pada PRU-PRU sebelum ini tetap jelas mengecewakan penganalisa propembangkang yang nampak ghairah untuk melihat pembangkang mengambil alih pemerintahan kerajaan pusat atau dengan kata lain menawan Putrajaya.
Tidak dinafikan BN akan kehilangan beberapa kerusi pada PRU14 ini sebagaimana BN kehilangan Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang tetapi tidaklah sampai ke tahap menawan Putrajaya.
Pembangkang sendiri pun secara tersurat dan tersirat berdepan dengan krisis kepercayaan sesama sendiri berikutan tindakan pucuk kepimpinan mereka melantik Mahathir sebagai nakhoda untuk mengendalikan bahtera mereka.
Pembahagian kerusi yang dianggap tidak adil oleh pemimpin akar umbi PH pada konvensyen parti itu awal Januari lalu juga antara faktor berlaku perpecahan undi dalam kalangan penyokong pembangkang. Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada BN.
Secara hitungan kasar, BN mempunyai sokongan yang padu dari penyokongnya. Ahlinya tetap ‘solid’ dan tidak akan sekali-kali tergugat oleh kehadiran parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Sudah tentu trend ini tidak ada pada penyokong pembangkang.
Kepercayaan rakyat kepada BN tidak berbelah bahagi. Walaupun pembangkang menggunakan pelbagai isu seperti 1MDB, tanah Felda, sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan harga barangan, majoriti rakyat tidak terkesan dengan isu berkenaan.
Pada rakyat mudah sahaja. Asalkan celik mata, mereka dapat turun ke bendang menanam padi, turun ke laut menangkap ikan, turun ke kebun menoreh getah dan itu sudah lebih dari cukup untuk mereka meletakkan kepercayaan kepada kerajaan.
Sungguhpun ada yang menguar-uarkan pengaruh Mahathir sangat kuat dan boleh menggugat kekuatan BN, itu hanya sekadar tekaan retorik yang terpaksa dijadikan alasan untuk menutup kelemahan pembangkang.
Tidak dinafikan, PH pada dasarnya dilihat kuat dengan gabungan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM, hakikatnya masing-masing ada kelemahan tersendiri.
Siapa tidak kenal dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, yang mengutamakan anak beranak dalam politik. Siapa tidak kenal Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berjuang hanya untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.
Begitu juga Presiden PAN, Mohamad Sabu dan timbalannya, Salahuddin Ayub, yang mana pemimpin, ahli dan penyokong Pas tahu siapa mereka.
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sama. Setakat ini tidak diketahui apa matlamat dan hala tuju perjuangannya.
Semua ini dalam pengetahuan rakyat tetapi mereka tidak cepat melatah untuk mengikut rentak pemimpin-pemimpin kecewa itu berpolitik.
Jadi, ramalan saya, seperti apa yang berlaku pada PRU kelapan hingga ke PRU14, BN akan terus kekal sebagai kerajaan memerintah. PH akan terkapai-kapai dengan labu-labunya. – theRakyat (Siaran 25 Januari 2018)

Tiada ulasan: