MENGANALISIS salasilah Raja-raja Pattani memang menjadi masalah terbesar dalam menggali sejarah kerajaan ini.
Ketiadaan sumber sejarah yang autentik akibat tercetusnya serangan Siam yang menghancurkan Istana Pattani dan bahan sejarahnya pada 1786M.
Kini, kajian bergantung kepada enam kronik Melayu yang telah disebutkan sebelum ini, selain riwayat lisan penduduk tempatan.
Diketahui bahawa Tarikh Pattani yang ditulis oleh Sheikh Faqih Ali adalah kronik tertua kerana beliau adalah cucu kepada Syafiyuddin al-Abbasi yang bergelar Tok Faqih Raja pada zaman Sultan Ismail Shah (1457-1530M).
Raja-raja Pattani dikatakan berketurunan Raja Seriwijaya, Raja Jayawangsa yang memerintah empayar itu pada abad kelapan Masehi, selain berketurunan Raja Langkasuka.
Seperti yang disebutkan oleh Tarikh Pattani, bahawa Raja Langkasuka adalah berasal dari keturunan Raja Seriwijaya, maka ia menyelesaikan satu isu mengenai asal-usulnya.
Tetapi Sejarah Melayu mengatakan bahawa Cau Seri Bangsa, Raja Langkasuka itu adalah Raja Siam.
Dipercayai, yang maksudkan oleh Tun Seri Lanang dengan "Raja Siam" itu ialah Raja yang beragama Buddha, kerana Seriwijaya dan Siam kedua-duanya beragama Buddha, sedangkan rakyat Pattani sudah ramai yang memeluk Islam.