SEMINGGU lalu, aku ke Mesir bersama isteri dan anak-anak. Sengaja kami ke sana untuk menyambut Ramadan bersama anak sulung yang kini sedang mengikuti pengajian tahun akhir dalam bidang perubatan di sana.
Tiada apa yang menarik sangat dengan Mesir kerana kami sudah kerap kali menjejak kaki ke sana, kecuali sekadar melepaskan rasa rindu pada anak sulung.
Namun, ada satu yang menarik perhatian, iaitu kisah seorang personaliti politik tanah air, yang perjalanan politiknya penuh warna-warni, tetapi dianggap hero oleh pelajar Malaysia di sana.
Rupa-rupanya daripada cerita pelajar, dia ini banyak membantu menyalurkan sumbangan wang tunai melalui NGO yang diterajuinya untuk membantu pelajar Malaysia di Mesir.
Kisah yang tidak didendang ini secara tidak langsung mula membuka pintu hati aku yang selama ini hanya melihat sisi personaliti ini dari sudut negatif semata-mata.
Ya, Ibrahim Ali, watak kontroversi. Apa label aku tak panggil pada Ibrahim ini? Dari digelar katak, rasis, gedebe dan bermacam lagi. Label itulah juga yang melekat di mata masyarakat apabila melihat Ibrahim.
Tapi, sebagai ketua keluarga yang ada anak sedang melanjutkan pengajian di Mesir, aku tahu betapa peritnya kami. Anak-anak kami ini walaupun mengambil bidang pengajian profesional seperti perubatan, tetapi hanya dipandang sebelah mata oleh pihak berwajib khususnya dari konteks pembiayaan pendidikan, tetapi orang seperti Ibrahim yang tampil membantu.