Jumaat, 21 Mei 2021

Suntikan vaksin, lalui pengalaman mendebarkan

DUA hari lepas Bawah Kolong (BK) terima panggilan dari majikan memaklumkan nama BK sudah naik dalam senarai untuk suntikan dos pertama vaksin.

Selepas itu BK jadi murung tiba-tiba. Otak asyik melayan pada berita-berita dalam media dan kisah-kisah tertentu yang diceritakan oleh kawan mahu pun netizen.

Adakah ini hari-hari terakhir aku selepas disuntik nanti? Atau adakah aku antara ‘mangsa’ seterusnya selepas menerima suntikan ini?

Macam-macam perkara yang bukan-bukan datang melayang dalam fikiran. Sementara itu, masa terus bergerak. Tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk tiba giliran BK beratur menunggu giliran untuk disuntik.

Tengah malam tu juga BK bangun untuk solat tengah malam. Ya lah, berdoa minta ampun kepada Allah supaya hapuskan dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar BK sepanjang Allah beri pinjam nyawa selama ini.

Kalau boleh, biarlah BK meninggal secara syahid, melawan wabak Covid-19, kan. Itulah yang bermain dalam minda BK sebaik terima berita BK kena suntik vaksin.

Tambahan pula, kawan-kawan sekerja pada malam itu, ‘bergurau biawak’. Ada yang hantar mesej kata, kawannya lepas suntik terus… dia tamatkan di situ, dia tinggalkan persoalan di situ.

Adakah terus meninggal dunia? Atau terus sihat daripada sebelumnya? Memang tak guna punya kawan. Ketika kita gundah gulana, bukan nak memberi semangat, malah makin mematahkan semangat dan mood.

Tiba hari suntikan, hari Rabu 19 Mei 2021. BK pagi-pagi lagi bergerak dari rumah menuju ke Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Subang. Dalam janji temu jam 10 pagi tetapi sengaja BK bertolak awal dengan harapan selesai awal.

Sampai di Sunway sebelum jam 10 pagi, sudah beratus manusia beratur. Ada yang muda, warga emas, yang uzur berkerusi roda, masing-masing menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan.

BK beratur hampir satu jam sebelum tiba giliran dan terus ke kaunter 1, tempat menyemak nama. Di sini, ambil masa dua hingga tiga minit dan ada yang mencecah sampai 10 minit.

BK tidak tahu apa masalah dan kenapa begitu lama untuk pihak kesihatan mengesahkan nama orang berkenaan. Mungkin namanya tidak terdapat dalam sistem untuk menerima suntikan vaksin pada hari itu, atau bagaimana, BK tidak tahu.

Tetapi sistemnya amat sistematik. BK tidak boleh takwil. Kerajaan cuba melakukan yang terbaik untuk rakyatnya dan inilah sistem yang diperkenalkan.

Sebaik selesai nama disemak, BK diarah menunggu di ruangan Kaunter 2. Di sini, petugas akan menyemak sekali lagi nama kita dan diluluskan tanpa dibangkang untuk ke kaunter seterusnya, iaitu Kaunter 3.

Di Kaunter 3 inilah, penama-penama yang hendak terima suntikan akan dikaunseling oleh doktor pakar. Mereka akan beritahu risiko suntikan vaksin ini dan kesan sampingan yang bakal berlaku.

Kalau penerima vaksin ini bersetuju, mereka dibenarkan ke Kaunter 4 untuk menunggu nama dipanggil bagi giliran seterusnya, iaitu suntikan.

Di Kaunter 4 ini BK menunggu dalam 15 minit, sebelum nama dipanggil untuk ke bilik yang menempatkan doktor yang akan memberi suntikan. Kami bergerak dalam berkumpulan, iaitu seramai enam orang.

Tidak sampai satu minit, BK terus disuntik di bahu kiri. Selepas itu BK diarah ke Kaunter 5 untuk urusan seterusnya, sehinggalah BK dinasihatkan berehat selama 15 minit selepas disuntik, untuk melihat kesan sampingan yang bakal berlaku.

Namun, bersyukur BK dalam keadaan amat baik dan selepas 20 minit berehat, BK ke Kaunter 6 untuk mendapatkan kad suntikan dan di situ turut dicatatkan janji temu seterusnya, iaitu suntikan dos kedua pada 9 Jun 2021.

Selesai melalui enam lapisan itu, akhirnya BK boleh pulang dan memandu kereta berseorangan dengan selamat, tanpa ada rasa pening-pening, loya atau tanda-tanda mengantuk.

Saranan BK, seeloknya perlu ada peneman terutama bagi yang tidak sihat sebelum ini dan mempunyai risiko penyakit. Ini untuk keselamatan mereka selepas kena suntikan.

Hari ini hari kedua BK selepas disuntik. Hanya rasa sakit di bahu tempat disuntik yang masih terasa. Keadaan lain semuanya okey.

Kesimpulan kepada cerita ini ialah BK hendak nyatakan ‘kehebatan’ para petugas yang terdiri daripada doktor pakar, doktor, pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan awam dari Kementerian Kesihatan.

Mereka bertugas dari jam 8 pagi hingga mungkin ke larut malam tanpa henti-henti bagi memastikan perjalanan lancar dan tidak membantutkan masa orang ramai yang menunggu giliran.

Pada BK, susun atur dan sistem yang dilaksanakan itu sangat baik. Mereka asingkan kumpulan warga emas, kumpulan berisiko, kumpulan berkerusi roda dan kumpulan normal.

Kumpulan-kumpulan ini sedikit pun tidak mengganggu atau mencuri masa kumpulan normal. Sebabnya, KKM sediakan khusus petugas untuk kumpulan masing-masing, tanpa perlu petugas yang sepatutnya menjaga kumpulan normal, menghabiskan masa untuk mengurus kumpulan berisiko.

BK pun puas hati dengan sistem ini, walaupun proses keseluruhannya mengambil masa antara dua hingga tiga jam. Itu adalah normal kerana KKM perlu menjalankan tugas dengan penuh hati-hati, cermat dan smart.

KKM sebolehnya tidak mahu sebarang risiko berlaku ke atas penerima suntikan. Sebab itu, mereka perlu menjalankan tugas dengan teliti dan berhati-hati.

BK ucapkan tahniah dan syabas kepada semua petugas KKM. BK tahu anda letih, penat dan tidak cukup tidur. Tetapi, anda memang seorang yang tahan lasak. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran