Isnin, 25 September 2023
Barang keperluan kritikal, kerajaan jangan beri jawapan mudah
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 22 September 2023
BERAS tak ada, kami tak boleh makan nasi. Kalau ada pun beras naik harga satu dua kali ganda mahalnya. Demikian rungut rakyat di luar sana.
Kerajaan pula jawab, beras ada, bekalan mencukupi. Masalah ketiadaan beras dan harga naik kerana berlaku pembelian panik.
Bawah Kolong (BK) tak tau siapa yang betul. Rakyat atau kerajaan. Yang alami masalah tiada di pasaran adalah rakyat, manakala yang pantau dan kawal beras pula adalah kerajaan.
Jadi, kedua-dua golongan ini, rakyat dan kerajaan tahu keadaan sebenar. Rakyat kata beras tak ada dan beras naik harga sebab mereka alami sendiri ketika ke pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit.
Kerajaan pula tahu beras ada dan cukup sebab mereka sendiri menerima laporan daripada pembekal bahawa bekalan sentiasa dihantar kepada peruncit.
Akhirnya isu beras tak ada dan mahal berlarutan sehingga hari ini. Selain, bermacam-macam spekulasi timbul. Kata, ada pembekal sengaja sorok untuk kaut keuntungan. Kata lagi, ada kartel-kartel yang ambil kesempatan, tapi tidak diambil tindakan oleh kerajaan.
Kesudahannya ada dalam kalangan rakyat terpaksa berjimat cermat makan nasi dan ada pula terpaksa catu bekalan beras kerana bimbang masalah itu berpanjangan tanpa penghujung.
Di awal isu ini timbul, BK sendiri tak percaya beras tempatan naik harga dan bekalan beras tak ada di pasaran. Bila dah masuk minggu ketiga dan BK sendiri pergi ke pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit, memang betul beras tempatan naik harga dan ada sesetengah tempat stoknya sudah habis.
Macam mana perkara ini boleh berlaku? Itu yang timbulkan tanda tanya. Apa tindakan drastik kerajaan dalam tangani masalah ini? Sehingga kini belum nampak apa-apa tindakan diambil. Melainkan kenyataan menteri bahawa berlaku pembelian panik.
Darimana menteri dapat jawapan itu, BK pun tak tahu. Biasanya pembelian panik ini berlaku jika sebelum itu ada ura-ura bekalan beras akan habis. Setakat ini, tidak kedengaran ura-ura itu.
Kalau alasan Negara India kurangkan pengeluaran eksport berasnya ke Malaysia, agak munasabah, tetapi itu melibatkan beras import, tak ada kena mengena dengan beras tempatan.
Sekurang-kurangnya kalau beras import naik, harga beras tempatan kekal stabil. Ini tidak berlaku. Ia umpama mendengar guruh di langit, semua air dalam tempayan menerima kesan.
Pengalaman BK yang pernah bekerja di sebuah agensi pertanian di Kelantan puluhan tahun lalu mendapati masalah bekalan beras tempatan tidak akan berlaku kekurangan atau ‘hilang’ dari radar, jika kerajaan tidak mengubah status tanah pertanian kepada pembangunan.
Bila status itu ditukar, maka banyaklah tanah-tanah sawah dan bendang dibeli dengan harga jauh lebih murah dari tanah darat untuk dibina sama ada rumah persendirian mahupun projek perumahan.
Dengan itu, jumlah pengeluaran padi negara semakin tahun semakin berkurangan dan kerajaan terpaksa bergantung kepada beras import untuk keperluan lebih 30 juta rakyat Malaysia.
Itu belum dicampur dengan jutaan warga asing yang ada di negara ini. Mereka turut menyumbang kepada pertambahan ratusan ribu metrik tan beras sebulan dan setahun.
Kita tidak boleh persalahkan mereka kerana mereka juga perlu makan. Mereka datang ke Malaysia untuk bekerja, selain ada yang datang tidak pulang-pulang ke negara asal.
Untuk tangani masalah ini, kerajaan perlu kreatif dan inovatif. Kerajaan perlu adakan kerjasama dengan negara-negara yang warganegara mereka ada di Malaysia. Minta tolong negara berkenaan bantu bekalkan beras ke negara ini kerana rakyat mereka juga nak makan.
Negara India contohnya, rakyat mereka berada di negara ini tidak sedikit. Kerajaan perlu bijak main sentiment supaya kerajaan India celik mata, jika mereka kurangkan jumlah berat import, rakyat mereka di sini juga menerima kesan.
Begitu juga negara Indonesia, Myanmar, Nepal, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain, takkan mereka tidak dapat bantu meringankan beban yang ditanggung Malaysia yang setiap hari menanggung keperluan hidup rakyat mereka di sini.
Ini yang memerlukan kekreativitian dan keinovatifan kerajaan. Jangan semuanya kita nak tanggung sendiri. Kena juga minta bantuan dan kerjasama negara-negara jiran supaya turut membantu.
Walaupun bantuan itu bukan untuk keperluan rakyat kita, sekurang-kurangnya rakyat mereka di sini tidak mengganggu bekalan yang ada di Malaysia. Ini semua kita yang sediakan dan belanjakan untuk mereka, yang akhirnya jadi macam anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.
Tak kebuluran macam mana kalau beras tempatan, telur, minyak masak berebut dengan warga asing. Dalam bab belanja, warga asing tak ada masalah sebab mereka ada kerja, ada gaji.
Warga tempatan, yang hilang kerja di zaman pandemik Covid-19 dua tahun lalu pun masih ada yang belum dapat pekerjaan baharu sampai sekarang. Hidup mereka kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.
BK nak ingatkan kepada kerajaan. Ketika Datuk Seri Salahuddin Ayub mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Allahyarham selalu membuat tinjauan dan lawatan mengejut ke pasar-pasar raya.
Tetapi, sejak KPDNKSH kehilangan menterinya yang genap dua bulan esok (23 September 2023), pelbagai isu berkaitan harga dan barang keperluan berlaku.
Perdana Menteri tidak boleh biarkan sesebuah kementerian kosong begitu lama. Lebih lagi, krisis barang keperluan ini di bawah KPDNKSH dan sangat kritikal sekarang ini.
Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menjawab dengan mudah sambil berpeluk tubuh. Sepatutnya, bila dengar ada aduan, rungutan atau masalah berlaku, kerahkan semua anggota penguatkuasa gempur pihak-pihak berkaitan.
Biar pihak berkaitan merasa takut dengan ketegasan kerajaan. Sekarang ini pihak berkenaan seolah gembira denga napa yang berlaku, sebab tidak ada tindakan diambil ke atas mereka. Sekian. – MalaysiaGazette
Nak selamatkan Malaysia, Fadhli, Wan Fayhsal tidak muncul?
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 18 September 2023
HIMPUNAN aman Selamatkan Malaysia anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) di ibu kota Sabtu lalu boleh dikatakan gagal sepenuhnya. Bawah Kolong (BK) hanya bagi satu perempat bintang.
Selain kehadiran tidak sampai pun 2,000 orang, ketua-ketua mereka seperti Fadhli Shaari dan Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal langsung tidak nampak batang hidung untuk menyampaikan amanat dan apa tujuan mereka nak selamatkan Malaysia.
BK percaya, hampir 2,000 peserta yang hadir tu nak tahu apa yang bahayanya Malaysia sekarang. Kenapa Malaysia perlu diselamatkan dan PN nak selamatkan Malaysia dari ancaman siapa?
Malangnya, kedua mereka tak hadir, melainkan yang kelihatan dan berada atas kenderaan hilux hanya dua bekas ahli parti politik iaitu CheguBard bekas ahli seumur hidup PKR dan seorang lagi bekas ahli UMNO, Faisal Ismail.
Jadi, ada sebab kenapa hampir 2,000 peserta yang berjemur panas di jalanan sejak jam 12 tengah hari merasa kecewa. Mereka merasakan telah dipermain dan diperalatkan oleh penganjur.
BK yang turut tercari-cari dan mencari-cari kelibat Fadhli dan Wan Fayhsal cuba buat semakan dengan rakan-rakan media dan kenalan-kenalan dalam PN. Mereka kata, dua orang tu ada, tapi hotel mereka telah ‘dikepung’ polis.
Timbul tanda tanya BK, kalau hotel kena ‘kepung’, kenapa CheguBard dan Faisal yang ada bersama mereka di bilik hotel boleh terlepas ke tempat himpunan, sedangkan Fadhli dan Wan Fayhsal gagal melepasi ‘kepungan’ itu?
Malah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid sendiri dalam kenyataan balasnya menyatakan tiada mana-mana individu yang terlibat dengan himpunan selamatkan Malaysia dikepung.
Dakwaan itu, tegas Allaudeen, tidak benar kerana polis sudah bertindak untuk memudah cara himpunan itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Nah, sekarang apa alasan terpaling relevan untuk Fadhli dan Wan Fayhsal berikan kepada peserta himpunan yang marah dan ramai daripada mereka meninggalkan himpunan itu secara beransur-ansur?
Pada BK, cara mereka berdua buat kepada peserta himpunan itu tak molek. Sangat-sangat tak molek.
Sekurang-kurangnya kalau rasa malu nak hadir, maklumkan sepatah dua kepada wakil kamu, CheguBard dan Faisal tu kenapa kamu berdua tak dapat bersama dalam himpunan. Cirit biritkah, atau benarkah ke klinik sebagaimana diviralkan pihak tertentu mengenai keadaan kamu pada hari himpunan tersebut.
Ini kamu berdiam diri. Orang-orang tua kata, lagi kamu diam, lagi membenarkan apa yang ditanggapi pihak musuh. Ya, sebetulnya begitulah, sebab sebelumnya kamu berdegar-degar di luar, rupanya bila suruh masuk gelanggang mula ketar lutut.
Apapun, BK buat kesimpulan ketidakhadiran Fadhli dan Wan Fayhsal ke himpunan itu sebab mereka rasa tak berbaloi dengan jumlah peserta yang hadir.
Mungkin pada mereka, kalau tunjukkan juga muka di khalayak yang tidak berapa kerat itu dah pasti akan menjatuhkan maruah dan air muka mereka. Maka, lebih elok berada di bilik hotel berhawa dingin.
Selain itu, BK nak juga nasihatkan Fadhli dan Wan Fayhsal, jadilah pemimpin berintegriti, bermoral dan dihormati. Letakkan taraf kepimpinan anda di atas kepala rakyat, bukan di bawah tapak kaki rakyat.
Maksud BK, apabila kamu gagal tunjuk khidmat bakti yang baik kepada rakyat di kawasan kamu, sebaliknya sibuk dengan aktiviti nak menumbangkan kerajaan di peringkat pusat, rakyat tidak lagi hormati kamu sebagai Yang Berhormat.
Rakyat akan lihat, pandang dan letak kamu di bawah tapak kaki mereka. Rakyat tidak lagi tunduk hormat setiap kali terserempak dengan kamu dan hanya menganggap kamu sekadar orang biasa walaupun kamu bergelar YB.
YB, selain Yang Berhormat, ia juga membawa definisi Yang Berkhidmat atau wakil rakyat. Kalau rakyat Kelantan panggil Tok Wakil. Tugasan YB ini ialah membawa suara rakyat ke pihak atasan, selain mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
Tetapi, sekarang YB bukan Yang Berkhidmat lagi. Mereka lebih kepada menyusahkan rakyat. Nak buka pejabat minta duit dengan rakyat. Guna duit poket ziarah rakyat sakit, mati pun ungkit di Parlimen.
Bahkan, ada yang merungut tak dapat bayar gaji kakitangan, tak dapat buka pusat khidmat dan tak dapat hadir kenduri rakyat sebab tak ada duit atau sebab kena guna duit gaji.
Jauh bezanya YB pembangkang hari ini dengan YB pembangkang era 60an, 70an, 80an dan 90an. YB pembangkang zaman dulu, sanggup gadai emas berlian dan harta sendiri demi untuk melihat rakyat dapat makan sesuap nasi.
YB pembangkang sekarang, buat fitnah adalah mainan mereka, bila kena saman minta sedekah dengan rakyat nak bayar. Senangnya jadi YB pembangkang sekarang. Semuanya minta dengan rakyat. Rakyat yang akan tanggung makan minum mereka.
Walaupun, Malaysia hari ini sudah selamat selepas himpunan selamatkan Malaysia selesai tanpa penutup kira-kira jam 3.30 petang Sabtu tu. – MalaysiaGazette
Selasa, 12 September 2023
Kalau tak tahu apa-apa jangan pertikai keputusan mahkamah
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 10 September 2023
SEMINGGU dua ini kecoh pasal keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari baki 47 pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
Isu ini bising dari pimpinan pembangkang. Mereka tidak puas hati keputusan itu yang disifatkan sebagai tidak adil. Kalau boleh, mereka mahu mahkamah kenakan hukuman penjara ke atas Ahmad Zahid.
Itulah politik. Walaupun, mereka keputusan itu dibuat mengikut undang-undang, tetapi jika berdiam diri, maknanya sokongan rakyat ke atas mereka makin berkurangan.
Untuk tambah rencah supaya isu itu lebih panas dan Ahmad Zahid dilihat ‘jahat’, mereka hasut rakyat dengan bermacam-macam dakyah agar rakyat tidak menerima keputusan itu.
Mereka hanya berpuas hati apabila mahkamah memenjarakan Ahmad Zahid sebagaimana mahkamah mengenakan hukuman penjara 12 tahun ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Itu pun, masih ada yang ratib nama Najib, walaupun mantan Perdana Menteri yang juga mantan Presiden UMNO itu sudah setahun berada dalam bilik besi.
Itulah politik. Pada mereka, mahkamah hanya dilihat adil jika pemimpin mereka yang disabitkan dengan kes rasuah dilepas dan dibebaskan. Maka, bermacam-macamlah alasan diberikan.
Kononnya, mangsa pendakwaan terpilih. Kononnya, menjadi mangsa dendam pemimpin kerajaan dan macam-macam konon lagi, walaupun ada kes untuk didakwa. Mereka pandai dan bijak bermain persepsi.
Namun, bila pihak lawan dilepas dan dibebaskan atau dilepas tanpa dibebaskan, mereka bising. Mereka main persepsi melalui semua medium media semata-mata untuk memburuk-burukkan mahkamah dan mangsa.
Sebelum Bawah Kolong (BK) menulis lebih lanjut, suka BK nyatakan di sini, bahawa pemimpin pembangkang sebenarnya tahu apa yang berlaku ke atas Ahmad Zahid.
Maksud BK, mereka tahu Presiden UMNO itu tidak ada kes nak disabitkan, tetapi kalau tidak ‘dimatikan’ watak ini melalui mahkamah, mereka tahu, mereka tidak akan dapat beroleh kemenangan majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU).
Nak lawan secara fizikal dan mental untuk menang PRU sudah tentu tidak ada kemampuan. Maka, jalan terbaik ialah menggunakan orang yang dilantik menjaga puncak undang-undang agar mencipta apa saja kes untuk membuat pendakwaan.
Dengan cara itu saja mereka dapat melemahkan semangat dan mengurangkan sokongan parti lawan. Inilah taktik kotor yang digunakan sebagai strategi berkesan untuk menjatuhkan lawan dan menang secara tidak bermoral.
Soal moral tidak ada dalam kamus orang politik. Yang ada ialah kepentingan diri. Sebab itu, pada BK, politik hari ini bukan politik jujur, bukan juga politik bersih. Siapa yang juju rakan menjadi mangsa kepada yang berkepentingan.
Hanya sejauhmana mereka bijak mengatur dan mencatur politik, mereka boleh terlepas dari fitnah. Kalau sekadar ilmu politik hanya panjang sejengkal, BK awal-awal nasihatkan, lebih baik jadi orang biasa.
Politik hari ini tidak seperti politik dahulu. Politik hari ini masing-masing berebut nak jadi wakil rakyat. Selepas jadi wakil rakyat, berebut pula nak jadi kerajaan. Selepas jadi kerajaan, mereka mula gelap mata.
Akhirnya, berleluasalah gejala rasuah. Siapa yang mulakan jenayah ini kalau bukan orang politik, kemudian dilibatkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan sebelum merebak ke peringkat bawah.
Maka, rasuah dijadikan syarat utama untuk memohon atau mendapatkan sesuatu projek atau untuk mendapatkan kelulusan atau apa saja urusan yang berkaitan dengan ‘cari makan’.
Mana-mana parti pun, kalau berjaya membentuk kerajaan, apa perkara pertama pimpinannya beritahu kepada rakyat? Nak hapuskan rasuah. Nak perangi rasuah. Betapa semangatnya usaha nak bersihkan negara dari korupsi.
Apabila sudah berada di Kabinet, apabila sudah berada di alam sebenar sebagai kerajaan atau pemerintah, baru mereka sedar, usaha nak perangi dan banteras rasuah tidak semudah sebut A B C.
Akhirnya, tidak ada pelaksanaan, tidak ada usaha ke arah yang dilaung-laungkan ketika berada di luar Putrajaya sebelum ini. Rasuah tetap berlaku dan berleluasa.
Sesiapa pernah hadir ke mahkamah, boleh tahulah berapa banyak kes rasuah didakwa, dituduh dan dibicarakan setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun. Banyak tak terkira. BK tahu sebab BK selalu ke mahkamah.
Berbalik kepada kes lepas tanpa bebas Ahmad Zahid. BK percaya, setiap keputusan yang dibuat mahkamah melalui prosedur perundangan yang betul. Mahkamah tidak mungkin membuat keputusan sesuka hatinya tanpa merujuk hujah pendakwa dan peguam bela.
Kalau kita tahu dan menghayati prosedur ini, tidak mungkin kita akan mempertikaikan setiap keputusan hakim atau majistret. Tetapi, dalam politik, yang betul dikatakan salah. Yang salah dikatakan betul.
Kalau yang betul, mereka akan pusing dan twist supaya dilihat tidak betul. Begitu juga kalau yang salah, mereka pusing dan twist supaya nampak betul. Hanya mereka yang sudah belajar 30 peratus dunia politik tahu selok belok dan propaganda ini.
Itupun masih kena banyak belajar lagi. Sebabnya, dalam politik ini, yang mahir seratus peratus pun masih kena tipu sesama sendiri lagi.
Ilmu politik ni bukan sekadar mencakupi hal hakikat, syariah, tarikat dan maarifat saja, tipu daya, muslihat, putar belit semua kena campur sekali, barulah jadi politik! – MalaysiaGazette
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...