Isnin, 25 September 2023
Barang keperluan kritikal, kerajaan jangan beri jawapan mudah
Oleh Manzaidi Mohd Amin - 22 September 2023
BERAS tak ada, kami tak boleh makan nasi. Kalau ada pun beras naik harga satu dua kali ganda mahalnya. Demikian rungut rakyat di luar sana.
Kerajaan pula jawab, beras ada, bekalan mencukupi. Masalah ketiadaan beras dan harga naik kerana berlaku pembelian panik.
Bawah Kolong (BK) tak tau siapa yang betul. Rakyat atau kerajaan. Yang alami masalah tiada di pasaran adalah rakyat, manakala yang pantau dan kawal beras pula adalah kerajaan.
Jadi, kedua-dua golongan ini, rakyat dan kerajaan tahu keadaan sebenar. Rakyat kata beras tak ada dan beras naik harga sebab mereka alami sendiri ketika ke pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit.
Kerajaan pula tahu beras ada dan cukup sebab mereka sendiri menerima laporan daripada pembekal bahawa bekalan sentiasa dihantar kepada peruncit.
Akhirnya isu beras tak ada dan mahal berlarutan sehingga hari ini. Selain, bermacam-macam spekulasi timbul. Kata, ada pembekal sengaja sorok untuk kaut keuntungan. Kata lagi, ada kartel-kartel yang ambil kesempatan, tapi tidak diambil tindakan oleh kerajaan.
Kesudahannya ada dalam kalangan rakyat terpaksa berjimat cermat makan nasi dan ada pula terpaksa catu bekalan beras kerana bimbang masalah itu berpanjangan tanpa penghujung.
Di awal isu ini timbul, BK sendiri tak percaya beras tempatan naik harga dan bekalan beras tak ada di pasaran. Bila dah masuk minggu ketiga dan BK sendiri pergi ke pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit, memang betul beras tempatan naik harga dan ada sesetengah tempat stoknya sudah habis.
Macam mana perkara ini boleh berlaku? Itu yang timbulkan tanda tanya. Apa tindakan drastik kerajaan dalam tangani masalah ini? Sehingga kini belum nampak apa-apa tindakan diambil. Melainkan kenyataan menteri bahawa berlaku pembelian panik.
Darimana menteri dapat jawapan itu, BK pun tak tahu. Biasanya pembelian panik ini berlaku jika sebelum itu ada ura-ura bekalan beras akan habis. Setakat ini, tidak kedengaran ura-ura itu.
Kalau alasan Negara India kurangkan pengeluaran eksport berasnya ke Malaysia, agak munasabah, tetapi itu melibatkan beras import, tak ada kena mengena dengan beras tempatan.
Sekurang-kurangnya kalau beras import naik, harga beras tempatan kekal stabil. Ini tidak berlaku. Ia umpama mendengar guruh di langit, semua air dalam tempayan menerima kesan.
Pengalaman BK yang pernah bekerja di sebuah agensi pertanian di Kelantan puluhan tahun lalu mendapati masalah bekalan beras tempatan tidak akan berlaku kekurangan atau ‘hilang’ dari radar, jika kerajaan tidak mengubah status tanah pertanian kepada pembangunan.
Bila status itu ditukar, maka banyaklah tanah-tanah sawah dan bendang dibeli dengan harga jauh lebih murah dari tanah darat untuk dibina sama ada rumah persendirian mahupun projek perumahan.
Dengan itu, jumlah pengeluaran padi negara semakin tahun semakin berkurangan dan kerajaan terpaksa bergantung kepada beras import untuk keperluan lebih 30 juta rakyat Malaysia.
Itu belum dicampur dengan jutaan warga asing yang ada di negara ini. Mereka turut menyumbang kepada pertambahan ratusan ribu metrik tan beras sebulan dan setahun.
Kita tidak boleh persalahkan mereka kerana mereka juga perlu makan. Mereka datang ke Malaysia untuk bekerja, selain ada yang datang tidak pulang-pulang ke negara asal.
Untuk tangani masalah ini, kerajaan perlu kreatif dan inovatif. Kerajaan perlu adakan kerjasama dengan negara-negara yang warganegara mereka ada di Malaysia. Minta tolong negara berkenaan bantu bekalkan beras ke negara ini kerana rakyat mereka juga nak makan.
Negara India contohnya, rakyat mereka berada di negara ini tidak sedikit. Kerajaan perlu bijak main sentiment supaya kerajaan India celik mata, jika mereka kurangkan jumlah berat import, rakyat mereka di sini juga menerima kesan.
Begitu juga negara Indonesia, Myanmar, Nepal, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain, takkan mereka tidak dapat bantu meringankan beban yang ditanggung Malaysia yang setiap hari menanggung keperluan hidup rakyat mereka di sini.
Ini yang memerlukan kekreativitian dan keinovatifan kerajaan. Jangan semuanya kita nak tanggung sendiri. Kena juga minta bantuan dan kerjasama negara-negara jiran supaya turut membantu.
Walaupun bantuan itu bukan untuk keperluan rakyat kita, sekurang-kurangnya rakyat mereka di sini tidak mengganggu bekalan yang ada di Malaysia. Ini semua kita yang sediakan dan belanjakan untuk mereka, yang akhirnya jadi macam anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.
Tak kebuluran macam mana kalau beras tempatan, telur, minyak masak berebut dengan warga asing. Dalam bab belanja, warga asing tak ada masalah sebab mereka ada kerja, ada gaji.
Warga tempatan, yang hilang kerja di zaman pandemik Covid-19 dua tahun lalu pun masih ada yang belum dapat pekerjaan baharu sampai sekarang. Hidup mereka kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.
BK nak ingatkan kepada kerajaan. Ketika Datuk Seri Salahuddin Ayub mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Allahyarham selalu membuat tinjauan dan lawatan mengejut ke pasar-pasar raya.
Tetapi, sejak KPDNKSH kehilangan menterinya yang genap dua bulan esok (23 September 2023), pelbagai isu berkaitan harga dan barang keperluan berlaku.
Perdana Menteri tidak boleh biarkan sesebuah kementerian kosong begitu lama. Lebih lagi, krisis barang keperluan ini di bawah KPDNKSH dan sangat kritikal sekarang ini.
Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menjawab dengan mudah sambil berpeluk tubuh. Sepatutnya, bila dengar ada aduan, rungutan atau masalah berlaku, kerahkan semua anggota penguatkuasa gempur pihak-pihak berkaitan.
Biar pihak berkaitan merasa takut dengan ketegasan kerajaan. Sekarang ini pihak berkenaan seolah gembira denga napa yang berlaku, sebab tidak ada tindakan diambil ke atas mereka. Sekian. – MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan