Sabtu, 27 September 2014

Teks penuh titah ucapan Sultan Selangor


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah dan kurnianya pada hari ini, Beta dapat mengadakan Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) pada petang ini.

Seperti yang kita sedia maklum pelantikan Exco yang baru ini adalah disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) tiada mempunyai keyakinan kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang menyandang Menteri Besar Selangor, yang dilantik selepas Pilihanraya Umum ke 13. Oleh itu seorang Menteri Besar yang baru dan Exco yang baru juga perlu dilantik untuk mentadbirkan Kerajaan Negeri Selangor ini.

Kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat ini bermula daripada Pakatan Rakyat membuat “Kajang Move”-Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tomahan untuk memburukkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim supaya dapat diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Perkara hasut menghasut dan melempar tohmahan-tohmahan terhadap Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadhan, di mana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk membersihkan dosa dan maksiat. Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali, rakyat Melayu beragama Islam di Negeri Selangor ini supaya di bulan Ramadhan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah.

Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadhan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Di sini Beta ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang telah menjalankan tugas beliau dengan jaya dan sempurna sebagai Menteri Besar, yang mana hubungan Istana dengan beliau telah berjalan dengan baik dan lancar.

Krisis yang berlaku berkenaan dengan Menteri Besar Selangor ini telah membuka mata dan hati serta pandangan Beta terhadap politik di Negeri Selangor ini. Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama 5 tahun dan mungkin akan diganti pada pilihanraya yang akan datang. Tetapi kedudukan Beta sebagai Sultan yang memerintah Negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat Beta.

Sebagai Sultan yang memerintah, tugas-tugas Beta amatlah berat untuk memastikan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan Negeri yang sempurna. Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran Negeri yang dijalankan oleh Menteri Besar. Beta hanya menasihatkan Menteri Besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.

Beta ingin mengingatkan bahawa Sultan itu bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa Sultan adalah untuk melihat negeri dan rakyat Negeri Selangor ini hidup dalam keamanan dan maju jaya.

Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar Sultan, rakyat beranggapan Institusi Raja itu adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana Beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.

Beta adalah Sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan Beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah di meterikan pada tahun 1959.
Rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan Negeri Selangor ini aman dan makmur, bebas mengamalkan agama masing-masing serta dapat hidup dalam tenteram dan harmoni.

Seterusnya Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Negeri Selangor yang menyokong Beta dalam kemelut pelantikan Menteri Besar di Negeri Selangor ini dan mempercayai Beta dalam menyelesaikan kemelut ini. Beta sentiasa memikirkan ketenteraman, kemakmuran dan keharmonian rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini.

Tidak lupa juga Beta mengucapkan terima kasih kepada pihak media arus perdana yang telah berkerjasama dengan pihak Istana dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan akhbar dari Istana.
Di samping itu Beta mahukan orang Melayu Islam janganlah berpecah belah dan tidak extremes atau mengelirukan rakyat hingga mengikut ajaran agama sesat.

Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak, mencaci antara sesama sendiri, hingga meruntuhkan kemuafakatan orang Melayu yang mana Beta kuatiri suatu hari kelak jika perkara ini berterusan, orang Melayu akan menuju kehancuran.

Ke manakah hala tuju, dan ke manakah perginya orang Melayu nanti. Beta sentiasa berdoa agar Allah Subhanahu Wata’ala membuka hati mereka supaya dapat melihat kebenaran dan seterusnya bersatu padu didalam memelihara dan mempertahankan tanah air kita yang dikasihi ini. Janganlah mudah sangat orang Melayu diperdaya sehingga maruah tergadai demi untuk kepentingan sendiri.

Kepada Ahli-Ahli Exco yang baru, Beta menyeru supaya memberi sokongan yang padu kepada Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin Bin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru. Lupakan segala sengketa yang lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai wakil rakyat mereka. Rakyat tidak suka melihat Negeri Selangor ini didalam kucar kacir dan mereka tinggal didalam ketakutan dan kesengsaraan.

Beta berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga dengan pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru ini, parti-parti yang telah diberi mandat untuk memerintah Negeri Selangor akan dapat berkerjasama untuk mentadbir Kerajaan Negeri dengan penuh jujur dan ikhlas demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Negeri Selangor. Rakyat menaruh harapan supaya mereka dapat tinggal di Negeri Selangor yang kaya dan maju ini serta dapat menikmati segala kemakmuran yang ada di dalamnya.

Beta sentiasa berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmatiNya dan dilindungi daripada segala malapetaka dan apa juga yang boleh menyusahkan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini. Amin.

Sekian.

Khamis, 25 September 2014

DUN Pengkalan Kubor kekal milik BN

KERUSI N.01 Pengkalan Kubor, Kelantan, kekal milik Barisan Nasional dengan jumlah majoriti yang diperoleh meningkat daripada 1,736 undi kepada 2,635.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan calon BN Mat Razi Mat Ail menerima 9,960 undi, manakala Wan Rosdi Wan Ibrahim dari Pas memperoleh 7,335. undi.

Izat Bukhary Ismail Bukhary yang bertanding atas tiket bebas pula hanya memperoleh 37 undi.
PRK Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu.

Sebanyak 73 peratus daripada 23,929 pengundi biasa keluar mengundi apabila kesemua 11 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor ditutup pada 5 petang.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengiraan undi akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Biji Wangsa di sini dan keputusan dijangka diumum seawal 9 malam ini.

Pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Sejarah dan Biodata Azmin Ali

• Tarikh lahir: 25 Ogos 1964.
• Sekolah Rendah: Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Gurney (2) Kuala Lumpur

• Sekolah Menengah: Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur dan Institut Teknikal di Jalan Cheras, Kuala Lumpur

• Lulusan: Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik dan Ekonomi) di Kolej Sains dan Kejuruteraan, Amerika Syarikat

• Ijazah Sarjana dalam Matematik dan Ekonomi di University of Minnesota
Sarjana Pendidikan (Matematik dan Ekonomi di Kolej Pendidikan dan Perkhidmatan Profesion Manusia, Amerika Syarikat.

Jabatan Pendidikan nafi calon UPSR meninggal dunia akibat tekanan

KUANTAN: Jabatan Pendidikan Pahang hari ini menafikan seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 dari sebuah sekolah di sini, meninggal dunia kerana tertekan ekoran kebocoran beberapa kertas peperiksaan itu, baru-baru ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Rosdi Ismail, berkata dakwaan yang mengatakan murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Wira meninggal dunia akibat tekanan perasaan pada Selasa lepas, seperti yang tersebar dalam laman sosial adalah tidak berasas.

"Tiada kaitan dengan peperiksaan, saya sendiri telah menemui ibu bapa murid berkenaan dan mereka menafikan dakwaan seperti yang tersebar di laman sosial Facebook mengatakan murid berkenaan meninggal dunia disebabkan 'stress'," katanya.

Punca serangan biawak bukan sebab kawasan kotor

Susulan kes seorang bayi perempuan berusia lapan bulan digigit biawak di Pulau Tioman Selasa lepas, Lembaga Pembangunan Tioman menolak kemungkinan persekitaran kawasan kediaman yang kotor menjadi punca seekor biawak bertindak agresif.
Pengurus Besarnya, Datuk Hashim Mat Tahir berkata adalah mustahil kawasan berkenaan juga kotor memandangkan kediaman mangsa adalah di dalam kawasan resort yang kebersihannya sentiasa dijaga rapi.

“Mustahil kawasan kediaman itu kotor, sebab saya difahamkan rumah mangsa terletak dalam kawasan resort yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, semestinya kebersihan resort dijaga rapi,” katanya kepada pemberita di Kuantan.

bayi digit biawak

Beliau diminta mengulas pendapat pakar-pakar veterinar yang tidak menolak kemungkinan biawak itu menyerang mangsa, Nur Hidayah Abdul Rahman, disebabkan persekitaran kotor di lokasi kejadian.

Exco: Azmin ketepikan Wan Azizah elak cetus kontroversi?

Mohamad Azmin Ali dijangka tidak menamakan Adun Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai anggota Exco kerajaan negeri  untuk mengelak mencetuskan kontroversi serta khuatir tidak mendapat perkenan Sultan Selangor.
Selain itu, Menteri Besar Selangor yang baharu itu tentunya tidak mahu Wan Azizah yang juga Presiden PKR berada di bawah kuasa dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Setakat ini, difahamkan nama Wan Azizah sebagai Exco tidak dibicangkan dalam mesyuarat PKR bagi menentukan barisan Exco yang akan mewakili parti itu.

azminwanjijah

Lagipun, Azmin tidak perlu silap dalam tugas pertama beliau ini dan perlu membuktikan keputusan beliau tidak dipengaruhi orang lain.

Pasangan Alvivi lari ke Amerika mohon suaka politik

Blogger Alvin Tan dan pasangannya, Vivian Lee yang berdepan tuduhan jenayah mengikut Akta Hasutan selain Akta Penapisan Filem kerana memuat naik bahan kontroversi di Internet, termasuk gambar menghina umat Islam di laman Facebook mendakwa kini berada di Amerika Syarikat.

Alvin Tan, melarikan diri daripada diburu pihak berkuasa Malaysia dan Singapura mendakwa kini berada di Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan suaka politik.

alvin dan vivian

Beliau bersama pasangannya, Vivian Lee, 25, berdepan tuduhan jenayah mengikut Akta Hasutan selain Akta Penapisan Filem kerana memuat naik bahan kontroversi di Internet, termasuk gambar menghina umat Islam di laman Facebook, lapor Channel News Asia (CNA).