Blog Manzaidi
Selasa, 16 Julai 2024
Kenapa parti suka umum calon di saat akhir?
SEBENARNYA banyak soalan nak ditanya kepada pemimpin parti politik, tetapi hari ni Pak Dee hanya nak tanya satu soalan sahaja. Walaupun Pak Dee tahu jawapannya nanti tak logik, tak masuk akal, tapi Pak Dee nak lontarkan juga soalan ni supaya semua rakyat tahu.
Soalannya, kenapa parti politik tak mahu atau nampak macam takut nak umumkan nama calon untuk bertanding pada satu-satu pilihan raya, sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri ataupun pilihan raya kecil, lebih awal?
Kenapa, bila esok hari penamaan calon, malam ini baru parti umumkan calonnya yang akan bertanding? Tidakkah, kalau umum lebih awal, memudahkan calon berkenaan masuk kampung-kampung jumpa pengundi?
Tidakkah, masa berkempen dua minggu yang diperuntukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak cukup untuk calon turun berkempen, memperkenalkan diri dan menjanjikan itu ini kepada pengundi?
Kenapa, semua parti nampak macam selaras dalam bab dan hal mengumumkan calon lebih awal? Takut ada sabotaj dari dalam parti sendiri? Mustahil. Kalau bab sabotaj, umum pada malam penamaan calon boleh boleh sabotaj.
Dalam hal sabotaj ni sama macam kerja meroboh. Tak perlu ambil masa lama untuk menjatuhkan seseorang calon atau meruntuhkan sesebuah rumah atau bangunan. Dalam tempoh seminggu berkempen pun calon itu boleh dijatuhkan, kalau betul takut disabotaj.
Pada Pak Dee, kalau parti umum awal nama calon, yang nak sabotaj pun boleh diperbetulkan semula sebab calon dan jentera parti ada masa cukup untuk tangkis dakyah kotor si pensabotaj dan perbetulkan semula persepsi pengundi terhadap parti dan calon.
Inilah antara persoalan yang bermain dalam minda Pak Dee setiap kali berlaku pilihan raya umum atau pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil. Ingat kan, bila umum saat-saat akhir, calonnya seorang yang gah dan hebat, tapi rupanya, orang biasa saja.
Jadi, kalau calonnya orang biasa, yang sudah dikenali umum, kenapa perlu diumumkan pada hari terakhir penamaan calon? Kan menyusahkan pengundi dan parti itu sendiri.
Kenapa Pak Dee kata menyusahkan parti? Sebab kalau dekat dengan tempoh pilihan raya, akan ada pemimpin yang syok sendiri turun ke kampung-kampung jumpa penduduk. Adakan kenduri, adakan perjumpaan, anjur sukaneka dan sebagainya.
Mereka turun padang seolah merekalah calon, dan memaklumkan kepada penduduk, parti akan pilihan mereka sebagai calon nanti. Tetapi, bila tiba masa, parti umum orang lain sebagai calon di kawasan itu, dah tentu akan merosakkan nama baik parti.
Sebabnya, pemimpin yang dari awal lagi turun padang berkempen untuk dirinya, akan memesong pemikiran penduduk supaya tidak memberi undi kepada calon lain, selain beliau.
Tidakkah ini merosakkan parti? Dan ini selalu berlaku, hatta di depan mata Pak Dee. Ia bukan kes terpencil, ia adalah perkara biasa yang berlaku di hampir semua kawasan Parlimen mahupun DUN.
Yang merasakan dirinya layak jadi calon, akan turun berkempen untuk dirinya. Hinggakan penduduk sudah mula rasa kasih dan sayang kepada pemimpin itu. Tapi, bila orang lain dicalonkan, secara automatik penduduk merasa kecewa dan merosakkan undi.
Pada Pak Dee, benda maca mini (umum calon lebih awal) perkara mudah saja. Mudah untuk dapatkan sokongan pengundi, mudah untuk calon memujuk pengundi atas pagar dan sebagainya.
Namun, pemikiran Pak Dee jauh berbeza dengan pemikiran pemimpin politik. Mereka sengaja mahu pikul benda yang susah daripada melaksanakan benda yang mudah lagi senang.
Jadi, memang betullah ramai orang berkata, politik itu berbelit-belit. Politik itu mudah bagi yang berpandangan positif dan sudah bagi yang bersifat negatif. Mereka suka kepada benda yang tergesa-gesa dan bertindak di akhir tarikh penutup. – NasionalDaily Siaran 13 Julai 2024
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Dah tentu 6 MP boleh tarik nafas lega
LEGA.. itulah yang boleh dinyatakan mengenai perasaan enam Ahli Parlimen bekas Parti Bersatu, apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyatakan tidak akan mengisytiharkan kerusi mereka dikosongkan.
Yang tak lega dan tak puas hati tentulah pimpinan dari Parti Bersatu. Mereka mengharapkan enam kerusi Parlimen itu dikosongkan dan diadakan pilihan raya kecil untuk dirampas semula.
Tapi, malangnya harapan mereka tak menjadi kenyataan. Biasalah, pembangkang tidak boleh menaruh harapan pihak kerajaan akan memberi keputusan yang memuaskan hati, walaupun mereka mendakwa berlaku pelanggaran akta dan perlembagaan parti.
Keputusan atas sesuatu akta ini sama seperti lain padang, lain belalang. Tafsiran pihak kerajaan tentunya tidak akan sama dengan tafsiran pembangkang, walaupun mereka merujuk kepada akta yang sama.
Tafsiran sesuatu akta boleh berubah bila-bila masa walaupun dianggap tidak logik. Pembangkang kata, mengikut perlembagaan mereka, enam kerusi berkenaan perlu dikosongkan, tetapi kepada pihak kerajaan yang menentukan, mengatakan tidak perlu dikosongkan.
Adakah salah satu daripada dua pihak ini cuba mempermainkan akta mengikut tafsiran tersendiri? Tepuk dada tanya selera. Keputusan yang mengecewakan pembangkang bukan perkara baharu dan bukan baharu berlaku.
Ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan dahulu pun, mereka buat perkara yang sama kepada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkang. Begitu juga ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, pun buat benda yang sama kepada pihak pembangkang.
Sekarang, sesiapa sahaja menjadi pembangkang, harus terima kenyataan dan hakikat itu. Mereka tidak akan merasa ketidakpuasan hati dengan tindak tanduk kerajaan.
Dalam hal ini, perlembagaan parti dan akta tidak salah. Perlembagaan mendapat kelulusan daripada ahli parti, manakala akta pula mendapat suara majoriti ahli Dewan Rakyat. Tetapi, kerana mainan politik, perlembagaan dan akta boleh diputarbelitkan mengikut selera masing-masing.
Kita tengok kes di DUN Kelantan. Bawah perlembagaan parti yang sama dan bawah akta yang sama, Speakernya Datuk Mohd Amar Abdullah buat keputusan ada keraguan munasabah untuk mengosongkan kerusi DUN Nenggiri.
Tetapi, bawah perlembagaan parti yang sama dan akta yang sama juga, DUN Selangor masih memeram jawapannya terhadap ADUN Selat Klang.
Kenapa? Sebab DUN Kelantan dan Speakernya bergabung bersama Parti Bersatu bawah PN, sudah tentu keputusan yang dibuat akan memihak kepada rakan gabungannya.
Begitu juga DUN Selangor. Pemerintahannya bawah PH dan ADUN Selat Klang walaupun dari Parti Bersatu dan musuhnya, tetapi kerana mengisytiharkan sokongan kepadanya, tentulah keputusannya nanti bakal mempertahankan ADUN yang pro mereka.
Jadi, apa guna pindaan perlembagaan dan akta? Kedua-duanya hanya hiasan sahaja. Sedangkan, keputusan mutlak terletak kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk menentukan.
Sesiapa pun tidak boleh pertikaikan kerana itulah politik. Sistem politik berbeza dengan badan kehakiman. Di mahkamah, setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta. Hakim menjatuhkan hukuman secara adil. Kalau salah hakim kata salah, kalau tak salah hakim kata tak salah.
Lain dengan politik. Yang salah pun boleh dipertahankan kata tidak salah. Sementelah yang tidak bersalah dikatakan bersalah. Itulah bezanya politik dengan badan kehakiman. Politik buat keputusan ikut kepala otak, hakim buat keputusan ikut fakta dan bukti.
Oleh itu, tak ada maknanya kalau Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa terkejut, kecewa dan dukacita dengan jawapan Speaker Dewan Rakyat. Beliau kena tengok Speaker itu orang belah mana. Kalau musuh kita, jangan harap keputusannya positif.
Muhyiddin tidak boleh salahkan enam Ahli Parlimen dan seorang ADUNnya, kerana beliau sendiri pun dahulu pernah lompat parti. Beliau dari UMNO lompat menubuhkan Parti Bersatu. Tidak ada pun UMNO ketika itu nak pinda perlembagaan atau desak beliau letak jawatan atau kosongkan kerusi Parlimen Pagoh.
Beliau dibiarkan UMNO berada di luar parti. UMNO tidak hairan pun beliau lompat parti kerana ketika itu belum ada lagi Akta Lompat Parti. Sekarang, beliau menerima hukuman daripada apa yang pernah dilakukannya dahulu terhadap UMNO.
Mungkin Speaker Dewan Rakyat ambil kira tindakan Muhyiddin dahulu dan ini yang dikatakan asbab kepada hukum karma. Kalau Muhyiddin panas punggung dengan keputusan Speaker, inilah yang dirasai UMNO suatu ketika dahulu atas perbuatannya lompat parti.
Untuk tempoh sekarang ini, enam Ahli Parlimen bekas Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim boleh terus berulang alik ke Parlimen dan masih dapat menikmati elaun kehadiran.
Cuma Ahli Parlimen Gua Musang yang juga ADUN Nenggiri tidak boleh hadir ke sidang DUN Kelantan sebab status wakil rakyatnya sudah dibatalkan dan SPR pun sudah menetapkan tarikh pilihan raya kecil Ogos ini.
Pak Dee nak nasihatkan kepada pemegang kuasa dan mereka yang diberi amanah memegang kuasa, jagalah elok-elok Akta Lompat Parti, jangan kerana perbuatan kita nanti, rakyat akan tukar kepada Akta Lompat Parit. – NasionalDaily siaran 10 Julai 2024
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Perlukah setiap kali kalah, nak post mortem?
PERASAN tak, setiap kali sesebuah parti kalah dalam pertandingan, sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil, mereka akan adakan post mortem?
Setiap kali kalah juga mereka beri jawapan, akan bedah siasat. Cari punca kenapa calon mereka kalah atau kenapa parti mereka tidak diterima oleh pengundi yang juga rakyat.
Sebenarnya, Pak Dee dah bosan dengan alasan mahu post mortem atau bedah siasat nak cari punca kekalahan. Pada Pak Dee, kalau calon atau parti itu kalah, mudah saja jawapannya, tak perlu nak post mortem atau bedah siasat lagi.
Mereka kalah ada banyak sebab. Pertama, janji bohong. Kedua, cakap tak serupa bikin. Ketiga, muncul hanya hari kempen, selepas pilihan raya menghilangkan diri. Keempat, isu nasional seperti penyasaran diesel (sebenarnya penarikan balik subsidi).
Kelima, kos sara hidup yang semakin hari makin tinggi, makin mahal kesan daripada kenaikan harga diesel dan petrol. Tetapi pihak kerajaan tetap mengatakan harga terkawal. Ini satu pembohongan yang tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat.
Jadi, faktor-faktor semua ini antara sebab rakyat hilang selera untuk menyokong calon-calon yang mewakili kerajaan, seperti yang berlaku pada PRK DUN Sungai Bakap Sabtu lalu.
Kekalahan calon kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan kerana DUN Sungai Bakap kubu kuat pembangkang. Ia juga bukan disebabkan rakyat atau pengundi sukakan calon pembangkang, tetapi kerana kemeluatan (meluat) yang berbuku dalam hati rakyat atau pengundi.
Bila mereka sudah meluat dengan faktor-faktor yang Pak Dee nyatakan di atas tadi, mereka yang sebelum ini menyokong PH pun akan beralih selera memberi sokongan kepada pembangkang. Ini dipanggil protes.
Mereka protes sebab meluat, benci dan marah kepada kerajaan. Kerajaan pula diwakili PKR, DAP, Amanah dan UMNO. Empat parti yang tiap pemimpinnya tidak pernah bercakap benar. Tidak pernah menepati janji dan tidak pernah mengotakan kata.
Antaranya, rakyat masih ingat kata-kata Perdana Menteri ketika menjadi pembangkang dulu… hari ini saya jadi Perdana Menteri, esok minyak turun. Apabila Allah makbulkan doanya untuk jadi Perdana Menteri, bukan minyak diturunkan, tapi dinaikkan. Kan bohong namanya. Rakyat pegang ini semua.
Begitu juga ketika jadi pembangkang, janji nak hapuskan PTPTN sebab kononnya duit kerajaan banyak dan boleh bagi pendidikan percuma. Tup tup, bila jadi kerajaan, PTPTN tetap kena bayar. Kan bohong namanya tu. Rakyat pegang kata-kata ini.
Bila dah hampir dua tahun jadi kerajaan, dan satu janji ketika jadi pembangkang dulu tidak ditunaikan, rakyat pun terjemahkah kemarahan dan kemeluatan mereka dalam pilihan raya kecil.
Akhirnya, calon dari kerajaan kalah dan keluarlah kenyataan pemimpin-pemimpin dari parti gabungan ini, nak post mortem. Post mortem apa kebendanya lagi. Dah jelas, terang lagi bersuluh kekalahan itu kerana rakyat kecewa dengan janji yang tidak dikota.
Kehidupan rakyat terutama golongan B40 dan M40 makin hari makin tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi. Kerajaan pula kata, mereka ada RAHMAH. Rakyat boleh beli barang keperluan RAHMAH. Harga murah dan mampu beli. Tapi, kalau nak beli barangan RAHMAH kena pergi ke satu tempat yang dianjurkan.
Ini menyusahkan rakyat namanya. Kena keluarkan duit isi minyak motosikal, minyak kereta, kena bayar tambang pengangkutan awam lagi nak sampai ke tempat RAHMAH. Rakyat mengharapkan harga RAHMAH ini berada di depan rumah, di sebelah rumah atau berhampiran rumah. Bukan ditempatkan di lokasi yang jauh dari mereka.
Jadi, semua ini kerajaan kena kaji semula. Susun semula sistem pentadbiran. Jaga harga, kawal harga betul-betul, bukan sekadar sedap cakap saja, sedangkan rakyat tidak dapat menikmati cakap-cakap itu. Yang rakyat hadapi ialah lain dari yang dicakap.
Mulut menteri kata harga turun, rakyat ke kedai harganya makin tinggi. Jadi, yang mana satu betul? Yang menteri cakap atau yang rakyat berhabiskan duit? Menteri kena berjiwa rakyat, bukan sekadar cakap mendengar denyut nadi rakyat saja.
Kalau ketua-ketua parti faham maksud yang Pak Dee dedahkan ini, masalah kalah dalam pilihan raya tak akan berlaku. Mana-mana menteri yang cakap besar, sombong, bongkak, ego dan walau kalah pun masih nak menyalahkan rakyat, bukan diri sendiri, patut dipecat saja, dibuang ke laut.
Menteri atau pemimpin seperti ini tidak diperlukan. Ia Bagai melukut tepi gantang. Ada tak bertambah, tak ada tak berkurangan. Tapi, kalau dikekalkan ia macam anai-anai, merosakkan struktur bangunan rumah. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Sampai masa muka lama pemimpin dalam persatuan sukan disalin tukar baharu
MEMANG terkejut baca laporan media semalam, MFL iaitu sebuah syarikat yang mengendalikan entiti perlawanan dalam bola sepak Malaysia telah mengenakan hukuman ke atas pasukan Selangor FC (SFC).
Hukuman itu pada Pak Dee bukan saja tak masuk akal, malah boleh dikatakan sebagai nak ‘membunuh’ terus pasukan atau Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari beraksi.
MFL ialah Liga Bolasepak Malaysia. Tugasnya selain mengurus, ia juga mengatur dan mengendalikan perlawanan. MFL bukan badan penghukum atau membuat duit atas angin dengan kutipan denda dari pasukan yang melakukan kesalahan.
Oleh itu, apabila MFL mengenakan denda atau hukuman ke atas pasukan SFC, Pak Dee terkejut dan marah membara. Takkan begitu zalim MFL bertindak ke atas SFC?
Selain dikenakan denda RM100,000, MFL turut mengenakan beberapa syarat lagi kepada FAS sebagai balasan kerana tidak turun padang berlawan pasukan JDT.
Ketidakhadiran SFC ada sebabnya dan sudah dimaklumkan lebih awal sebaik pemainnya Faisal Halim ditimpa insiden simbahan asid oleh individu tak dikenali.
Sebanyak 40 peratus badan Halim terbakar akibat asid itu dan dirawat di sebuah hospital. Tidak kesiankah MFL akan keadaan yang menimpa Faisal? Mana hilang sifat kemanusiaan?
Itu puncanya FAS tidak menurunkan pasukannya. Tak apalah tak ada mata pun, asalkan semangat persatuan dan pasukan bersama Faisal yang bertarung nyawa di hospital.
Hanya manusia jenis mata duitan yang tak akan ada rasa empati atau belas kasihan dalam dirinya terhadap pemain yang ditimpa musibah. Sebagai tanda solidariti terhadap Faisal, maka SFC tak akan turun bermain.
Jika Pak Dee di tempat MFL dan terima berita seperti ini, apa Pak Dee buat? Dah tentulah Pak Dee panggil semua AJK, adakan mesyuarat tergempar, cari jalan terbaik untuk beri peluang kepada SFC menjalani pemulihan semangat.
Takkan dalam ramai-ramai AJK MFL tak ada seorang yang kreatif dan boleh memberikan pandangan di luar kotak ketika MFL berdepan dengan situasi luar biasa seperti itu.
Pak Dee tak akan guna kuasa veto, iaitu hanya keputusan dari Pak Dee saja boleh diputuskan, suara pihak lain tak boleh diambil, atau tak boleh didengar langsung.
Itu kalau berlaku keadaan seperti sekarang, tapi kalau tak berlaku apa-apa insiden, dah lama Pak Dee letak jawatan beri laluan kepada pelapis muda untuk terajui MFL atau persatuan-persatuan apa sekalipun.
Sama kata pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli. Nak hukum boleh, tapi jatuhkanlah hukuman yang berbentuk pengajaran, bukan hukuman berat berunsur dendam atau nak ‘bunuh’ karier pasukan bola sepak.
Beliau juga sependapat dengan Pak Dee, empat hukuman dikenakan kepada pasukan The Red Giants itu satu hukuman yang agak berat dan zalim. Dahlah pasukan itu ditimpa malang pemainkan diserang dengan asid, MFL lipatgandakan lagi kesakitan yang menimpa SFC.
SFC tarik diri bukan suka-suka, tetapi alasan mereka sangat kuat dan relevan. Malah, Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut merestui tindakan itu dan ia dibuat berdasarkan pertimbangan teliti.
Jadi, memang patutlah semalam, Tuanku baginda murka dalam kenyataan titah berhubung keputusan atau hukuman MFL ke atas SFC dan FAS.
Dalam kenyataan titah, baginda antara lain murka dan kecewa dengan keputusan MFL yang mengenakan denda terhadap pasukan SFC serta baginda menganggap hukuman itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak tidak bertanggungjawab.
Baginda juga menyatakan hukuman denda RM100,000 bayaran pampasan, pemotongan tiga mata, dan perlawanan tanpa penonton sebagai tidak masuk akal dan berlebihan, apatah lagi kemenangan telah diberikan kepada pasukan lawan.
Sultan Sharafuddin menekankan pentingnya sukan bola sepak sebagai platform perpaduan dan menegur MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tidak serius menangani keganasan dan kezaliman dalam sukan serta mengingatkan mereka agar membuat keputusan dengan berhati-hati demi menjaga imej dan semangat kesukanan bola sepak tempatan.
Pak Dee harap akan ada perubahan dalam arena pengurusan bola sepak Malaysia. Bukan lagi kekal dengan muka-muka lama yang sepatutnya sudah pencen dan bawa anak cucu main bola di taman.
Selagi muka-muka lama yang menyemak ini ada dalam persatuan-persatuan bola sepak, selagi itu sukan bola sepak negara nampak mundur dan malap, semalap baju sukan pasukan kita ke olimpik. Pudar, gelap yang melambangkan kemuraman. – NasionalDaily siaran 27 Jun 2024
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Rabu, 12 Jun 2024
PBB ‘kecam’, ‘kutuk’ pun Israel tetap serang, bunuh rakyat Palestin
PAK DEE sedih dan kecewa dengan sikap dunia seperti pejam mata atas kejadian pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa oleh zionis laknatullah.
Serangan bermula sejak Oktober tahun lalu itu menyaksikan sehingga 27 Mei lalu, lebih kepada 37,000 orang terbunuh dan lebih 82,000 mengalami pelbagai tahap kecederaan.
Semua ini adalah rakyat yang tidak berdosa seperti golongan ibu, bapa, remaja, kanak-kanak dan bayi. Tidak ada satu pun jenazah atau yang cedera itu di kalangan tentera Hamas sebagaimana dijadikan alasan oleh Israel untuk meneruskan pengeboman dan pembedilan kawasan-kawasan penempatan rakyat di Gaza.
Ada Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun sekadar patung sahaja. Boneka kepada yahudi dan Amerika Syarikat laknatullah.
Setiap kali berlaku pengeboman oleh Israel dan media melaporkan ada kematian serta kecederaan di kalangan orang awam, apa PBB respons? Keluarkan kenyataan ‘kecam’ dan ‘kutuk’. Tindakan tidak ada.
Esok, zionis laknatullah bom lagi, bedil lagi, serang lagi, bertambah lagi jumlah kematian, kecederaan. PBB ‘kutuk’ lagi, PBB ‘kecam’ lagi. Begitulah sepanjang tempoh lapan bulan genosid Israel ke atas rakyat Palestin.
Selepas ‘dikecam’ dan ‘dikutuk’ PBB, Israel keluarkan kenyataan ‘ada kekeliruan’. Cukup mudah penjajah tanah haram itu beri alasan, dan PBB pun senyap. Seolah menerima alasan itu.
Pak Dee dari dulu lagi tak percayakan PBB. Lantiklah siapa pengerusi mahupun Setiausaha Agung dari negara mana sekali pun, bila pegang jawatan itu, perasaan takut dan gerun kepada Israel tetap tertanam dalam jiwa mereka. Dengan kata lain, tetap patuh kepada yahudi.
Contohnya semalam, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) telah memilih lima lagi negara untuk menganggotai Majlis Keselamatan itu bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2025. Negara itu adalah Denmark, Greece, Pakistan, Panama dan Somalia.
Inipun sia-sia. Tidak ada manfaat untuk berperanan memberi kesedaran atau menghukum penjenayah besar seperti Israel dan Amerika. Mereka hanya boleh bangga untuk negara mereka saja dengan pelantikan itu.
Soal peranan dan tanggungjawab hanya di atas kertas sahaja. Dari segi praktikal ke arah mengekang serangan demi serangan yang dilakukan Israel ke atas Palestin, tidak ada.
Mereka hadir mesyuarat sekadar untuk dapat elaun sahaja. Buat teks ucapan ‘mengecam’ dan ‘mengutuk’, baca di Majlis Keselamatan. Selepas itu balik ke negara, minum kopi. Rakyat Palestin tertindas, kebuluran. Tidak ada tempat tinggal, tidak ada makanan, minuman. Keselamatan mereka bagaikan telur di hujung tanduk.
Pak Dee memang tidak mengharapkan langsung kepada PBB. Pak Dee hanya selalu tadah tangan mohon doa kepada Allah agar selamatkan umat Islam di Palestin. Lagipun, kisah yahudi ini terkandung jelas dalam al-Quran. Cuma masa belum tiba untuk umat laknatullah ini dihapuskan sama sekali dari muka bumi ini.
Begitu juga dengan siapa presiden Amerika dan perdana menteri Israel. Mereka adalah golongan yang tetap dilaknat Allah. Golongan yang mempunyai darah daging yahudi, yang dalam jiwa mereka, Palestin adalah musuh dunia akhirat.
Sebab itu Pak Dee tak percaya walau siapa pun jadi presiden Amerika, baik John F. Kennedy, Jimmy Carter, Ronald Reagan, George H. W. Bush, Bill Clinton, George W. Bush Jr, Barack Obama, Donald Trump mahupun Joe Biden. Mereka semua sama saja. Penghisap darah rakyat Palestin dan umat Islam.
Jadi, pada Pak Dee, tak ada PBB pun tak apa. Tak ada Mahkamah Antarabangsa (ICJ) pun tak apa. Sebab, makin PBB ‘kecam’, makin Israel besar kepala. Makin Mahkamah Antarabangsa keluarkan amaran, makin menjadi-jadi tindakan Israel.
Oleh sebab itu, apa makna ada PBB dan ICJ kalau suara mereka pun Israel dan Amerika tak nak dengar? Cara terbaik ialah Pak Dee ajak seluruh umat Islam, kita pakat tadah tangan berdoa perlindungan dari Allah untuk umat Islam dan rakyat Palestin di Gaza. – NasionalDaily Siaran 7 Jun 2024
Jemaah haji, umrah terkandas, salah siapa?
MASIH ada lagi laporan berita dan media, para jemaah haji atau umrah kena tipu agen syarikat tours and travel yang menawarkan pakej menarik untuk menunaikan haji dan umrah.
Walaupun berbuih mulut bagi nasihat, teguran, peringatan jangan terpengaruh dengan janji-janji menarik syarikat palsu, ada juga yang abaikan peringatan itu dengan merelakan diri mereka ditipu apabila menerima tawaran ‘menarik’ yang tidak ada pada agensi berdaftar.
Akhirnya, apabila tiba masa nak berangkat, mereka terkandas di lapangan terbang. sebab visa tak lulus, tiket penerbangan tak sah. Duit habis beribu-ribu, agen pula lari dan macam-macam lagi.
Kalau terkandas di KLIA tak apa lagi, boleh terus balik ke rumah dengan menumpang sanak saudara yang turut sama menghantar, tetapi bagaimana kalau terkandas di tanah suci? Nak terbang balik tiket tak ada, visa atau pasport dalam simpanan agen.
Tika ni mulalah cari pihak Tabung Haji minta bantu mereka selesaikan masalah. Sebelum ni, sebut Tabung Haji, mereka sinis. Tak yakin dengan syarikat-syarikat yang disahkan oleh Tabung Haji. Nak cari juga syarikat palsu kerana janjinya manis.
Memang dalam tawaran syarikat palsu, harga murah, hotel penginapan depan Kaabah, makan minum taraf lima bintang, layanan VVIP.
Hakikatnya, bila sudah daftar dan bayar, agen atau syarikat terus menghilangkan diri tanpa pengetahuan kita.
Kita pula sudah heboh memuji syarikat ni bagus, syarikat ni boleh dipercayai, sedangkan syarikat yang dipuji dan dipercayai itu sudah telan duit mereka dan nama mereka tidak didaftarkan pun untuk visa dan tiket penerbangan.
Sebab itu, bila Pak Dee baca berita mengenai bakal jemaah haji atau umrah terkandas, Pak Dee dah sampai ke tahap tak terkejut dah, apatah lagi nak simpati. Bukan Pak Dee tak ada perasaan, tapi Pak Dee sedih dan kecewa dengan kedegilan mereka.
Selama ini pun, bukan mereka tak pernah baca berita atau tak sampai ke pengetahuan mereka nasihat dari menteri, pegawai Tabung Haji dan jiran-jiran agar jangan sekali-kali menggunakan syarikat tours and travel yang tidak berdaftar kalau nak buat umrah atau haji.
Bukan mereka tak tahu, mereka tahu. Tapi masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Mereka tertarik dengan pelbagai pakej yang ditawarkan, pakej yang tidak ada dalam mana-mana syarikat yang berdaftar.
Mereka tertarik dengan tawaran harga murah, jauh lebih murah berbanding ditawarkan syarikat tours and travel yang berdaftar dengan kerajaan. Sebab itu, mereka melanggan dengan syarikat palsu.
Jadi, bila ada kes terkandas, Pak Dee tak tau nak bersimpati atau nak kata apa. Iklan-iklan dari syarikat yang tidak dikenali pun berleluasa di media sosial. Tak termampu nak ditangani oleh pihak berkuasa.
Hanya nasihat dan peringatan sahaja dapat dilakukan, supaya rakyat Malaysia atau umat Islam tidak terpengaruh dengan tawaran itu. Tetapi, ibarat kata, dalam setandan kelapa sawit, tidak semua elok. Yang elok tu eloklah, yang tak elok tu selalunya tak boleh dipakai.
Begitu juga manusia. Lebih lagi yang terlalu impikan untuk ke tanah suci. Rasa simpanan dah banyak, cari syarikat palsu. Kononnya, lebih murah dan lebih menjimatkan.
Padahal, mereka sudah masuk perangkap syarikat menipu. – NasionalDaily Siaran 30 Mei 2024
Ahad, 26 Mei 2024
Tergamak bunuh anggota keselamatan
ITULAH perangai manusia, pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan negara pun sanggup dibunuh. Kalau anggota keselamatan mahu dibunuhnya, apatah sangat kita yang kerja biasa-biasa ini.
Terlebih dahulu, Pak Dee nak sedekahkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada dua anggota polis yang terkorban akibat kerakusan manusia yang tidak dididik dengan ilmu agama.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat (17 Mei 2024), Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said terbunuh diserang seorang lelaki yang disyaki pengikut Jemaah Islamiyah (JI) di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru.
Seorang lagi anggota polis mengalami kecederaan, iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Bagaimanapun, penyerang yang tidak berperikemanusiaan itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian pada awal pagi itu juga. Alhamdulillah.
Agak sedih dan terharu, dua anggota polis yang terkorban itu masih muda. Terlalu muda. Umur baharu awal 20-an. Jika Allah pinjamkan nyawa lebih lama kepada arwah, sudah tentu kehidupannya berubah menjadi yang lebih baik dari sebelumnya dengan izin Allah.
Namun, nyawa mereka diragut dengan asbab kewujudan manusia yang dikurniakan akal, tetapi tidak digunakan. Manusia yang konon berilmu Islam, tetapi menyeleweng dari ajaran asal dibawa dan dianjurkan Nabi Muhammad SAW.
Manusia beramalkan ajaran sesat tidak boleh diiktiraf sebagai penganut Islam yang menjalani kehidupan berasaskan al-Quran dan Hadis. Manusia seperti ini wajar disisihkan kerana bagi mereka semua pihak termasuk anggota keselamatan adalah musuh.
Perjuangan mereka tidak jelas. Matlamat kehidupan mereka kabur. Kita tidak tahu apa yang mereka mahu perjuangkan dan apa yang mereka matlamatkan. Sedangkan, al-Quran dan Hadis sudah menyatakan dari awal, Islam adalah agama keamanan, kedamaian dan persaudaraan.
Amallah agama secara sederhana, bukan secara ekstrem, keterlaluan dan berlebihan yang mendatangkan ‘kecederaan’ kepada akal kita. Inilah yang berlaku kepada pengikut JI.
Pak Dee cuba nak singkapkan serba sedikit siapa dan apa JI ini. Mengikut carian Pak Dee, JI adalah kumpulan berkaitan Al-Qaeda di rantau ini dan diasaskan di Indonesia.
Ia mula masuk ke Malaysia pada pertengahan tahun 1990-an menerusi penubuhan sekolah pondok dan matlamatnya untuk mewujudkan apa yang dinamakan sebagai Daulah Islamiyah Nusantara, yang merangkumi Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan selatan Filipina.
Kumpulan tersebut telah diharamkan di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Pengasasnya ialah Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar pada 1993, yang berakar daripada jaringan sekolah Pondok Ngruki sejak 1971.
Mereka mengasaskan JI susulan pertembungan ideologi dengan gerakan Negara Islam Indonesia yang lebih lama yang diketuai Ajengan Masduki. Namun, Abdullah Sungkar meninggal dunia tahun 1999 pada usia 62 tahun.
Kajian oleh Fletcher School of Law and Diplomacy di Amerika Syarikat pada 2004 menyatakan Abdullah mendapat inspirasi daripada pemikir yang mengangkat tafsiran agama secara literal, seperti pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir, Hassan al-Banna dan Sayyid Qutb dengan doktrin membenarkan jihad bersenjata terhadap regim yang tidak Islamik.
Sementara itu, Abu Bakar, 85, didakwa terlibat dalam insiden pengeboman di Bali pada 12 Oktober 2002. Namun, tiada bukti secara langsung yang mengaitkannya dengan insiden itu yang dilaporkan meragut 202 nyawa.
Pada 2011, dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan membuat latihan separa tentera untuk militan di Aceh. Namun, hukuman penjaranya dikurangkan dan dia dibebaskan pada Januari 2021.
Sebelum penangkapannya, Abu Bakar menghabiskan masa lebih sedekad di Malaysia bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa Indonesia.
Dia kembali ke Indonesia pada 1999 – selepas era reformasi republik itu – untuk menubuhkan Majlis Mujahidin Indonesia yang bertujuan melaksanakan undang-undang Islam di Indonesia.
Gerakan JI di Indonesia menjadi begitu lemah sepanjang dekad lalu, menurut Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi Indonesia Adhe Bhakti.
“Tiada serangan berkaitan JI di Indonesia sejak 15 tahun lalu,” katanya sepertimana Pak Dee petik laporan dari portal Malaysiakini.
Dia berpandangan ia berikutan tindakan yang diambil Indonesia terhadap pemimpin JI, termasuk pengganti terakhir Abu Bakar, Para Wijayanto pada 2019.
Adhe turut yakin yang sebarang anggota atau kumpulan berkaitan JI di Malaysia tiada pertalian dan saki-baki gerakan itu di Indonesia, berdasarkan bukti dokumen daripada perbicaraan dan temu bual dengan anggota dan bekas anggota JI sejak 2014.
Abu Bakar dan Abdullah adalah pengasas Madrasah At-Tarbiyyah Al-Islamiyah Luqmanul Hakiem yang terletak di Ulu Tiram di Johor. Madrasah itu tidak lagi beroperasi pada awal 2000-an.
Antara bekas pelajarnya adalah pengganas yang paling dikehendaki di Malaysia, Noordin Mohd Top yang lahir di Kluang, Johor. Noordin terbunuh ketika serbuan pihak berkuasa Indonesia pada 17 September 2009, atas peranannya di belakang banyak serangan bom di Indonesia pada awal 2000-an.
Turut pernah belajar di sana adalah dua lelaki yang kini ditahan di Guantanamo Bay – warga Indonesia Riduan Isamuddin, yang lebih dikenali dengan nama Hambali, Nazir Lep yang berasal dari Johor. Kedua-duanya ada pengalaman perang di Afghanistan dan ada pertalian dengan Al-Qaeda.
“Abu Bakar dan Abdullah bersembunyi di Johor. Dari Malaysia, Abu Bakar mengaturkan penghantaran rekrut untuk menyertai perang di Afghanistan,” kata Adhe.
Buat sekian lama, pihak berkuasa di Malaysia menggunakan undang-undang penahanan tanpa bicara, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), terhadap individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas.
Kesalahan-kesalahan berkaitan turut disentuh bawah Kanun Keseksaan, iaitu Seksyen 130B hingga Seksyen 130Z, antaranya bagi kesalahan “melakukan, merekrut, menghasut, menggalak, memberi sokongan dan mengarahkan” kegiatan keganasan.
Felo pelawat di S Rajaratnam School of International Studies Singapura, Noor Huda Ismail berkata, serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat itu menunjukkan betapa ideologi mampu bertahan.
“Ia menekankan keperluan pendekatan peringkat masyarakat secara menyeluruh untuk integrasi anggota kumpulan seperti JI dan keluarga mereka,” kata warga Indonesia itu.
Katanya lagi, serangan itu seperti sangat dipengerahui perkembangan peringkat global dan serantau, terutama menerusi kaedah serangan berteknologi rendah yang pernah dilihat di tempat lain sebelum ini.
Itulah serba sedikit info mengenai JI. Namun, Pak Dee harap, satu hari nanti mereka sedar mereka telah terjerumus dalam ajaran yang salah dan kembali ke pangkal jalan. Aamiin. – NasionalDaily siaran 19 Mei 2024
Langgan:
Catatan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...