Bahawa saya, Ab Jalil bin Aboo Backer, ahli UMNO bernombor 03030707 (semakan terakhir tiga tahun lalu) memohon agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan secara terhormat sebelum Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan UMNO yang akan akan datang.
Tidak perlu berselindung lagi bahawa kekalahan besar Barisan Nasional di lima negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan adalah rentetan ketidakpuasan hati rakyat terhadap dasar ekonomi, pentadbiran dan pelaksanaan Islam Hadhari oleh pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Kekalahan di negeri-negeri pantai barat terutama di kawasan pengundi kaum Cina membuktikan perjuangan laman ini dan ramai lagi ahli UMNO serta laman-laman web milik ahli atau penyokong UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini.
Tindakan Abdullah menaikkan harga petrol secara keterlaluan, harga tol yang mendadak dan kenaikan kadar pinjaman asas telah menyebabkan rakyat di kawasan bandar mengalami kejutan inflasi yang bukan sedikit kesannya.
Sungguhpun dirayu dan dipohon mempertimbangkan keadaan, pentadbiran Abdullah memilih untuk terus membuat dasar-dasar ekonomi yang tidak menguntungkan golongan peniaga kecil.
Tindakan memperkenalkan Islam Hadhari dan promosi berlebihan mungkin menarik perhatian penduduk pantai timur, namun di negeri-negeri yang komposisi kaumnya pelbagai agama ia menimbulkan perasaan kurang senang dan tidak puas hati di kalangan bukan Islam.
Manakala di negeri seperti Kedah yang mempunyai banyak sekolah pondok dan kelas pengajian agama, Islam hadhari dianggap satu kecelaruan dari Islam sebenar.
Di Kedah juga ramai yang tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Abdullah dan akhbar-akhbar yang dikuasai oleh UMNO memperlekehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Di kalangan pemimpin akar umbi UMNO sendiri melihat bagaimana banyak projek-projek hanya dijalankan di bawah setelah kedudukan Pak Lah tergugat akibat diasak oeh Tun Dr. Mahathir. Mereka melihat jika Pak Lah menang besar sekali lagi, maka kebongkakan pentadbiran Pak Lah akan berterusan seperti yang berlaku selepas 2004.
Di sebalik cuba mentadbir negara dan membawa kemajuan, Pak Lah mahu menjadi pemimpin popular yang cuba memuaskan hati semua pihak terutama yang tidak menyokong Barisan Nasional. Hasilnya di kalangan penyokong UMNO dan BN merasa kecewa dan berpendapat mereka tidak penting.
Pak Lah juga banyak mengetepikan kepimpinan UMNO yang dipilih oleh perwakilan. Sebaiknya hanya mendengar cakap penasihat-penasihatnya yang bukan pun pemimpin UMNO seperti Datuk Kalimulllah Hasan, Datuk Anuar Zaini, Datuk Kamarulzaman dan Khairy Jamaluddin. Ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin UMNO yang telah setia bersama UMNO ketika zaman jatuh dan bangun sejak 20 tahun lalu.
Tindakan Pak Lah memberi ruang terlalu ramai kepada sahabat-sahabat beliau, bekas pemimpin Semangat 46 seperti Radzi Sheikh Ahmad sehingga melebihi kuasa mereka yang setia bersama UMNO pada 1988 dan 1998 memberi banyak kesan sampingan. Ramai yang melihat Pak Lah yang mereka sokong dan dokong sebagai pengganti Dr. Mahathir telah mengkhianati mereka.
Krisis politik di Kubang Pasu dan kemudiannya Perlis menyaksikan pengaruh terlalu besar Radzi Sheikh Ahmad dalam parti menyebabkan ramai akar umbi UMNO tidak berpuas hati. Lihat sahaja mengapa sehingga hari ini Datuk Seri Shahidan tidak diberi watikah untuk menghadap Raja Perlis bagi membentuk kerajaan sungguhpun beliau berjaya menang besar dalam pilihan raya umum?
Dalaman UMNO juga tidak berpuas hati dengan tindakan Abdullah melucutkan jawatan Datuk Ibrahim Ali tanpa sebab disiplin yang jelas. Bagi pemimpin UMNO di bawah, jika Ibrahim Ali yang menang bertanding sebagai Ketua UMNO Pasir Mas pun boleh dibuang, apatah lagi pemimpin UMNO lain.
Dalam pentadbiran kerajaan, Pak Lah meruntuhkan kredebiliti sistem kehakiman, pasukan polis dan anggota pentadbiran kerajaan. Hasilnya banyak undi di kalangan kumpulan ini beralih kepada pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pak Lah.
Pak Lah juga diingati kerana keputusan-keputusan yang berubah-ubah sehingga menimbulkan kemarahan ramai orang. Dari isu jambatan bengkok, penjualan aset Khazanah Nasional, MV Augusta dan dasar pro Singapura sehinggalah tindakan Pak Lah menafikan akan membubarkan Parlimen pada 13 Februari lalu.
Ini menimbulkan kemarahan rakyat di Pantai Barat yang lebih banyak terdedah dengan laporan media internet. Mereka tidak melihat masa depan bersama pemimpin "flip flop" yang banyak dikatakan dikuasai oleh anak-anak muda Tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri.
Banyak lagi jika mahu ditulis kelemahan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Cukuplah sekadar sebahagian kenyataan ini untuk menyatakan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu meletak jawatan kerana dasar pentadbiran dan imej peribadi beliau sudah tidak lagi mendapat kepercayaan sebahagian besar rakyat.
Dalam pilihan raya umum kali ini, banyak wakil rakyat yang telah berkhidmat dengan cemerlang turut tumpas kerana masalah pentadbiran Abdullah. Wajarkah ramai lagi menjadi mangsa dalam pilihan raya akan datang?
Selagi Abdullah menjadi Perdana Menteri dan meneruskan dasar-dasar ekonomi semberono ini, publisiti keterlaluan terhadap Islam Hadhari dan penguasaan golongan tertentu di Jabatan Perdana Menteri, selagi itu rekod dan perkhidmatan wakil rakyat BN di kawasan bandar tidak akan memberi apa-apa erti.
Dalam pilihan raya kali ini pembangkang tidak pun bekerja keras kerana Abdullah telah memusnahkan UMNO dan BN selama empat tahun lalu.
Justeru, saya sebagai ahli UMNO dengan ini memohon agar:
1. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan secara sukarela sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
2. Sekiranya, Datuk Seri Abdullah dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpendapat Presiden parti masih mendapat sokongan ahli, maka sewajarnya, satu Perhimpunan Agung Khas UMNO dipanggil dan satu undi sulit mengenai kedudukan Presiden UMNO diadakan.
Sekian. Wassalam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan