Isnin, 20 Oktober 2008

Jangan marah Pak Lah, nanti kena jual

Manzaidi menulis:
Apabila kita diberi amanah dan tanggungjawab untuk memimpin sesebuah organisasi, parti, pertubuhan atau kerajaan, kita tidak boleh meletakkan diri kita sebagai orang yang serba pandai dan serba tahu.

Sebagai khalifah, kita tidak semestinya lengkap. Kita perlu sentiasa mengamalkan sikap hendak belajar, menerima teguran, pandangan dan nasihat. Kita tidak boleh melenting tidak tentu pasal.

Ada sebab kalau orang lain menegur atau mengkritik kita. Ada sesuatu kelemahan pada diri kita jika orang lain menghulurkan teguran atau nasihat. Tidak salah untuk kita mendangar pandangan itu.

Jangan cepat melenting. Ini bukan sifat dan sikap seorang pemimpin berwibawa dan berwawasan. Mana-mana teguran atau nasihat yang kita fikir baik, apa salahnya kita ambil dan lakukan perubahan. Kita ada kuasa, kita boleh melakukannya untuk kebaikan bersama.

Inilah halnya apa yang berlaku kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau melenting dan marah benar dengan bekas Perdana Menteri sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, Tun tidak perlu menjadi orang yang suka menjaga tepi kain orang. Kalau sudah keluar dari UMNO buatlah seperti orang yang keluar dari parti. Jangan sibuk2 hendak mencampuri urusan parti yang tidak ada kena mengena dengannya lagi.

Begitulah lebih kurang persepsi Pak Lah terhadap Tun Mahathir. Kenyataannya agak keras, sekeras batu tumpat. Sebelum ini Pak Lah tidak seagresif ini. Beliau dilihat sebagai seorang yang penyabar dan sentiasa tersenyum setiap kali tuduhan atau kritikan dilontarkan kepadanya.

Tetapi entah kenapa, tetiba sahaja hari ni Pak Lah cukup melenting. Seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam jiwanya sekarang. Mungkin Pak Lah tertekan tahap dewa dengan kemelut politik hari ini.

Yalah, mana nak handle karenah MCA lagi, MIC lagi, Gerakan lagi dan krisis dalam UMNO sendiri yang lebih teruk daripada rakan-rakan Barisan Nasional (BN) yang lain. Tambahan pula, menantu harapannya Khairy sehingga kini masih gagal mendapat jumlah pencalonan untuk melayakkan dia bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Ditambah pula dengan pelbagai kenyataan daripada Tun Mahathir sejak akhir-akhir ini yang seolah memperlekehkan Pak Lah, tentulah dia berasa tertekan dan melenting. Harap Pak Lah tidak marah-marah lagi, takut nanti kena jual macam nasib Tiga Abdul.

Walauapapun Pak Lah harus bertenang. Pak Lah kan ada Tuan Penasihat, kenapa tidak sahaja guna khidmat Tuan Penasihat untuk kaji dan nilai setiap komen orang luar terhadap diri kita. Kalau Tuan Penasihat tidak boleh memberi nasihat, buat apa lantik atau pelihara Tuan Penasihat. Buang sahajalah ke dalam longkang.

Pak Lah tidak wajar melenting. Kenyataannya hari ini cukup menggambarkan kepada rakyat siapa Pak Lah sebenar. Topeng Pak Lah telah tertanggal. Rakyat sudah nampak siapa Pak Lah sebenarnya.

Walaupun ada yang bersimpati dengan nasib Pak Lah, tetapi tidak sedikit mula sangsi dengannya. Rakyat sangsi kerana apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir itu ada kebenarannya. Tun Mahathir tidak akan bercakap kalau tidak ada bukti. Itulah perangai Tun Mahathir.

Sepatutnya Pak Lah panggil Tun Mahathir dan bincang empat mata. Tanya Tun Mahathir, betul ke apa yang dia cakap tu. Kalau betul, Pak Lah kena minta pandangannya bagaimana nak elak, tangani atau atasinya. Bukan terus hentam keromo tak tentu pasal.

Sebagai Perdana Menteri yang dilantik menerusi peralihan kuasa pada tahun 2003, Pak Lah tidak boleh mengetepikan begitu sahaja pandangan, teguran atau kritikan bekas ketuanya (Tun Mahathir).

Sejarah membuktikan Tun Mahathir antara pemimpin paling lama memegang jawatan Perdana Menteri. Banyak kejayaan yang dilakarkannya sehingga Malaysia dikenali di seluruh ceruk negara-negara di dunia.

Pergilah ke mana-mana negara pun termasuk nama yang tidak pernah kita dengar, kalau kita sebut Mahathir, otomatik rakyat negara yang tidak tersohor itu menyatakan: "Oh Mahathir" (dalam bahasa atau loghat pekat negaranya).

Jadi kenapa Pak Lah hendak sisihkan Tun Mahathir?

Tidak salah kalau kita belajar dari bekas bos kita. Sebelum kita memegang jawatannya, kita sanjung dan puja bos kita, tetapi kenapa jika mengambil tempatnya dan dia sudah tidak lagi memegang jawatan itu, kita harus sisih dan membelakangkan setiap idea dia?

Ini yang menyebabkan UMNO sentiasa berada dalam krisis. Sikap tidak mahu mendengar pandangan orang lain menyebabkan UMNO sentiasa berada diambang perpecahan dan tidak pernah aman.

Kemasukan pemimpin-pemimpin baru yang langsung tidak ada semangat perjuangan, terlalu mentah dalam politik dibenarkan untuk menerajui parti di peringkat bahagian, negeri dan negara tanpa ditapis.

Apabila seseorang yang kurang mahir diberi tanggungjawab menerajui parti, maka perpecahan dan kehancuranlah yang terjadi. Inilah yang ditegur oleh kebanyakan orang luar termasuk Tun Mahathir.

Mereka menegur bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk masa depan parti, bangsa Melayu, agama dan negara. Mereka tidak mahu nanti Melayu akan menjadi kaum minoriti di negara sendiri. Negara Tanah Melayu.

Tiada ulasan: