Selasa, 12 Mei 2009

Tahniah Nizar... Cuba lagi Zambry


PERTAMA-tama sekali MZ nak ucapkan tahniah kepada Mohammad Nizar. Dia kini Menteri Besar Perak yang sah. Itu yang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur putuskan kelmarin.

Dengan keputusan itu juga secara tidak langsung menafikan hak Dr. Zambry yang diperkenankan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebagai menteri besar setelah berlaku kegoyahan dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila tiga ADUNnya lompat parti, sertai Bebas.

Dengan tindakan tiga ADUN itu menyebabkan PR mempunyai 28 kerusi iaitu sama dengan kerusi yang dimiliki ADUN Barisan Nasional (BN). Cuma sekarang ini tiga ADUN Bebas telah menyatakan sokongan kepada BN. Menjadikan suara BN di Perak kini ialah 31.

Kalau ada sebarang usul yang dibangkitkan sudah tentu barisan kerajaan (PR) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) menghadapi kesukaran kerana tidak mendapat dua pertiga undi. Ini kerana kalau 28 ADUN BN dan tiga ADUN Bebas tidak bersetuju, maka kerajaan negeri tidak boleh meluluskan sesuatu usul berkenaan.

Inilah kesukaran baru yang akan dihadapi kerajaan Perak selepas ini. Pendek kata, kemelut terus berkemelut. Tidak akan ada jalan penyelesaian selagi pilihan raya baru diadakan.

Ada yang bertanya, kalau Sultan Perak tidak berkenan, sudah tentu DUN tidak boleh dibubarkan. Itu betul. Tetapi Nizar boleh panggil sidang DUN tergempar dan kemukakan usul undi tidak percaya kepadanya sebagai menteri besar. Dengan itu, terbubarlah secara otomatik DUN Perak dan nak tak nak, pilihan raya negeri terpaksa diadakan.

Di situ rakyat akan buat pilihan. Mereka akan pilih calon wakil rakyat untuk mengisi 59 kerusi DUN. Kalau PR dapat 30 kerusi, maka PR akan mentadbir negeri itu. Kalau dapat 29 kerusi, kalahlah. Kena jadi pembangkanglah.

Pilihan rayalah ubat atau penawar kepada pergolakan besar di Perak sekarang. Selagi doktor tidak menggunakan ubat itu, selagi itu Perak akan terus bergolak seperti Palestin-Zionis.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran