Isnin, 14 Februari 2011

Apa istimewanya Hari Kekasih?

ESOK (14 Feb 2011) Hari Kekasih atau dalam bahasa Kristiannya, Valentine Day. Terus terang Yeop tak tahu apa istimewanya hari itu sampai anak-anak remaja kita yang beragama Islam pun menunggunya penuh ghairah nak sambut.

Ada yang kumpul duit berbulan-bulan semata-mata nak beli hadiah. Yang mampu akan tempah bilik hotel. Yang kurang mampu pula sekadar tinjau kawasan strategik di taman, tasik, rumah kosong dan kawasan semak. Semua ni kerana nak 'bersama' dengan pasangan kekasih yang dicintai lagi dirindui.

"Tanpa mu di sisi, boleh mati aku dibuatnya", "Aku terlalu merindui mu", "Kalau u benar-benar cintakan i, apa buktinya?". Barangkali itulah antara ungkapan yang nak diucapkan pasangan kekasih esok.

Walaupun sebelum ini beribu-ribu kali ucap melalui telefon, di kedai mamak, di tasik dan longkang, tapi ucapan itu tak sehangat esok. Mungkin itu tanggapan mereka. Sebab itu mereka beriya-iya nak sambut sampai mengalahkan orang bukan Islam menyambutnya.

Yeop tercari-cari dalam kalendar, kot-kot ada tercatat sambutan Hari Kekasih atau Valentine Day. Puas belek, puas tilik, tak ada pun. Yang ada hanya sambutan Awal Muharam, Maulidur Rasul, Thaipusam, Tahun Baru Cina, Hari Wilayah Persekutuan, Hari Kemerdekaan, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. Kalau dah tak ada kenapa nak sambut? Kenapa agung-agungkan hari yang dipuja oleh pasangan bukan Islam itu?

Nampak sangat remaja kita, orang kita suka kepada benda-benda syirik (mengikut ajaran Islam, syiriklah). Suka kepada kepercayaan agama lain. Yeop boleh jamin, bermulanya sambutan Valentine Day esok, kalau tidak dikawal nafsu masing-masing, dalam tempoh sembilan bulan akan datang iaitu akhir November atau sepanjang 31 hari pada Disember ini akan lahirlah berpuluh-puluh ribu bayi luar nikah.

Pada bulan itu akan terpaparlah di media elektronik dan cetak akan penemuan bayi yang dibunuh kejam sama ada ditikam, dibakar, dicekik, dilemaskan, digantung atau dimakan haiwan liar. Dan akan terdengarlah juga berita bayi masih bertali pusat dalam tong sampah, depan pintu rumah, tangga masjid, dalam surau, bawah jambatan, tepi jalan, dalam longkang, tersangkut di perangkap sampah di sungai, tali air, tasik atau dalam gaung. Kesian. Sedih dan pilu. Bayi tak berdosa diperlakukan sedemikian rupa oleh 'ibu' dan 'ayah' berhati binatang.

Kebetulan tahun ini Valentine Day jatuh sehari awal dengan sambutan Hari Maulidur Rasul. Esok remaja dan pasangan kekasih bukan Islam dan Islam menyambut Valentine Day, manakala lusa pula umat Islam menyambut Maulidur Rasul. Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama untuk mengekang gejala maksiat berlaku tanpa kawalan pada malam sambutan Hari Kekasih.

Kalau tidak dibendung akan berlakulah kejadian ngeri yang Yeop takutkan itu. Maklum saja, dalam usia remaja, macam-macam benda yang diingini akan berlaku. Soal dosa pahala diletak ke belakang. Yang penting perkara sedap dapat dilampiaskan. Itulah tujuan mereka nak sambut sangat Hari Kekasih ni supaya detik hitam yang terjadi pada mereka mudah diingati. Tidak perlu berfikir panjang untuk mengingati bila kejadian berlaku. Cukup dengan orang tanya, terus jawab, malam 14 Februari.

Yeop turut nak mengingatkan pada diri Yeop sendiri dan kaum kerabat Yeop, pasti anak-anak remaja kita tidak terlibat dalam aktiviti kurang sihat esok. Pastikan mereka ada dalam rumah kalau yang berada di rumah, berada di asrama kalau mereka belajar di IPT. Atau pun minta warden asrama pantau gerak geri anak-anak kita, tak kira yang jantan atau betina. Dua-dua spesies ni kalau tak dikawal, sanggup keluar ikut tingkap kerana nak bersama.

Yeop pun ada tiga anak jantan dan dua anak betina. Yeop dah rancang dari awal lagi nak berkumpul beramai-ramai di rumah malam esok. Tujuannya nak elak daripada mereka berjumpa dengan pasangan masing-masing. Maklum, semua dah ada handphone, tiap-tiap saat ringingnya berdering-dering dalam pelbagai nada dan irama. Cakap pula perlahan sambil mata menjeling ke arah mak ayah. Dan kita sebagai ibu bapa pula kena fahamlah, anak kita tu bukan bercakap pasal pelajaran. Itu cakap pasal nak temu janjilah tu.

Ini yang Yeop bimbang. Makin anak meningkat usia, makin takut. Tambahan pula dengan keadaan kepemimpinan negeri dan negara yang lebih mementingkan parti daripada agama. Banyak aktiviti hiburan daripada keagamaan. Kalau ada pun kebanyakan daripada kita tak tahu. Informasi tak sampai ke pengetahuan kita. Ini silapnya pemimpin yang memegang portfolio agama. Buat program lebih kepada syok sendiri atau seperti melepaskan batuk di tangga.

Bukan nak tegur atau nak nasihat, tetapi Yeop nak meluahkan ketidakcekapan pegawai kita dalam merencana dan memprogramkan rancangan yang berbentuk kesedaran dan membuka minda golongan remaja. Contohnya, bila Yeop balik rumah jam 9 malam, bukan televisyen dah dengar muzik seram. Sekarang ini penerbit ghairah menayangkan filem hantu, polong, pocong, pontianak, saka, toyol, jin, jembalang, iblis, syaitan, puaka dan macam-macam nama mambang lagi.

Ini pun antara faktor anak remaja kita terlibat dalam gejala sosial. Soal nak bersama ni tak semestinya pada sambutan Hari Kekasih saja. Hari Kemerdekaan pun mereka boleh buat maksiat. Pendek kata, semua hari maksiat berlaku. Cuma aktiviti maksiat lebih kemuncak pada hari-hari yang ada nama. - Yeop siaran 13hb Feb 2011

Tiada ulasan: