Sabtu, 9 April 2011

Bomoh rogol pelajar

JITRA: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima dirogol seorang bomoh ketika sedang mendapatkan rawatan perubatan tradisional yang kononnya untuk membuang makhluk halus yang merasuk badan gadis berkenaan di rumah suspek di Simpang Kemboja di sini, malam Selasa lalu.

Difahamkan gadis berkenaan datang bersama bapanya ke rumah bomoh berusia 36 tahun itu untuk berubat pada petang Isnin lalu, bagaimanapun diminta untuk datang semula pada malam esoknya (Selasa) kononnya untuk membuang makhluk halus yang masuk ke dalam tubuh gadis itu.

Gadis itu yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam di sini, datang ke rumah bomoh berkenaan bersama bapanya kira-kira jam 8.30 malam sebelum diminta untuk ke sebuah bilik bagi memulakan rawatan perubatan tradisional berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Supritendan Ibrahim Mohamad Yusof, berkata bomoh itu dipercayai mengambil kesempatan merogol pelajar berkenaan ketika sedang berdua-duaan di dalam bilik terbabit untuk merawat mangsa.

"Bapa mangsa tidak menyedari perlakuan keji bomoh berkenaan terhadap anak gadisnya kerana diminta menunggu di ruang tamu rumah berkenaan ketika 'sesi rawatan' dan hanya menyedari anaknya dirogol selepas dimaklumkan mangsa pada keesokannya.

“Bapa mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada pagi Rabu lalu sebelum tangkapan dilakukan petang hari sama di tempat kerja suspek iaitu di sebuah syarikat ternakan udang di sini kira-kira jam 7 petang," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Difahamkan, isteri dan anak suspek turut berada di rumah berkenaan ketika dia melakukan perbuatan terkutuk itu.

Ibrahim berkata, bomoh berkenaan direman empat hari bermula kelmarin dan suspek disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun serta sebatan.

"Kita sudah mengambil keterangan mangsa dan sedang menjalankan siasatan terhadap kes ini selain mengesan sama ada suspek pernah melakukan jenayah sama kepada pesakit wanita yang mendapatkan rawatan dengannya.

"Justeru, polis menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati ketika membawa anak gadis mendapatkan rawatan tradisional dengan bomoh atau dukun kerana kita dapati kes seumpama ini sering berlaku," katanya. - BERITA HARIAN 09hb April 2011

Tiada ulasan: