Khamis, 14 April 2011

Raja Petra dedah “kepala konspirasi” sebenar - Anuar

KUALA LUMPUR 14 April – Pengakuan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengenai cubaan memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan petunjuk jelas tentang siapa sebenarnya “kepala konspirasi” dalam politik negara.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, di sebalik pendedahan Raja Petra itu, apa yang dapat dilihat ialah siapa sebenarnya yang menabur fitnah dan mewujudkan konspirasi mengaitkan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Raja Petra telah dedahkan beberapa nama dan individu yang berkait secara langsung dengan seorang pemimpin pembangkang yang dikatakan perancang segala konspirasi ini dengan niat tidak mahu Najib menjadi Perdana Menteri,” katanya di sini hari ini.

Dalam siaran Buletin Utama TV3 malam tadi, Raja Petra mendedahkan bahawa akuan bersumpah beliau pada 2008 yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006 adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, daripada menjadi Perdana Menteri.

Raja Petra berkata, beliau sendiri tidak pernah menuduh Najib atau Rosmah terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu dan beliau kini tidak lagi mempercayai cerita individu dari parti pembangkang itu yang dikatakannya mempunyai kaitan dengan beberapa tokoh politik termasuk Anwar.

Anuar berkata, pengakuan Raja Petra itu amat mengejutkan dan beliau percaya pemimpin pembangkang itu tidak akan berani memfailkan saman terhadap Raja Petra. - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sape polok 'kepala' yang 'punch' RPK hingga die bersilat lisah cam gitu..?