Isnin, 13 Jun 2011

Akhirnya Dr Hassan Ali Disingkir

Dari seorang tokoh yang pernah disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar (MB) Selangor, akhirnya, Datuk Dr Hasan Ali digugurkan daripada jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Hassan merupakan Exco Kerajaan Negeri yang digugurkan dan digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Meru, Dr. Abdul Rani Osman bagi pelantikan baru Jawatankuasa Pas Pusat bagi sesi 2011-2013.

Senarai pelantikan baru itu diumumkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang akhbar di Pejabat Agung Pas semalam.

Selain Hassan, turut digugurkan adalah Datuk Harun Taib, Pesuruhjaya Negeri Terengganu yang diganti dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut.

Hassan dan Harun merupakan dua tokoh kem – ulama yang paling lantang menentang budaya politik baru dalam politik PAS yang dipelopori oleh kumpulan pro -Anwar.

Pelantikan itu turut menyaksikan Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung Pas dengan Datuk Takiyuddin Hassan, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahmad Sabki Yusuf dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung.

Sementara itu, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pula dilantik sebagai Bendahari menggantikan Dr. Mohd. Hatta Ramli yang dilantik Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

Calon Timbalan Presiden Pas yang kalah pada pemilihan Sabtu lalu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilantik sebagai Ketua Penerangan menggantikan Idris Ahmad.

Ahli Jawatankuasa Pas yang dilantik adalah Nasharudin Mat Isa, Idris Ahmad, Asmuni Awi, Mohd. Anuar Tahir, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Zulkefly Mohammad Omar dan Abang Ahmad Kerdee Masagus.

Bagi Pesuruhjaya Pas Negeri pula, lima negeri mengalami perubahan iaitu Abdul Wahid Endut (Terengganu), Aminuddin Halim (Sabah) Mohd. Taufek Abdul Ghani (Negeri Sembilan), Dr. Abdul Rani Osman (Selangor) dan Adly Zahari (Melaka).

Di antara yang kekal sebagai Pesuruhjaya Negeri adalah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang), Datuk Dr. Mahfodz Mohamed (Johor), Abu Bakar Husin (Perak), Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah), Salleh Man (Pulau Pinang), Hashim Jasin (Perlis), Mohd. Noor Mohamad (Wilayah Persekutuan) dan Adam Ahid (Sarawak).

Hassan menyertai PAS pada tahun 1998. Pernah dipilih Naib Presiden PAS (2001-2007) tetapi tidak mahu mengekalkan untuk mempertahankan jawatan tersebut kerana kecewa dengan politiking yang keterlaluan dalam PAS.

Namun begitu dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor dari 2003 hingga digugurkan dalam pelantikan baru semalam.

Sebagai Pesurujaya, Hassan bekerja keras berceramah di seluruh Selangor untuk menyakinkan pengundi Melayu supaya mengundi PAS dalam Pilihanraya Umum ke-12.

“Barisan Alternatif bila kita dapat tubuh kerajaan (di Selangor)..kita akan tubuhkan Suruhajaya Menyiasat Salah Laku Menteri Besar, Exco-exco..saya akan pastikan sama ada saya dalam kerajaan atau tidak, suruhanjaya ini berfungsi”, kata Dr Hassan dalam salah satu kempen sebelum PRU 12.

Dalam pengundian PRU 12 itu, rakyat Selangor memberi undi kepada pembangkang. PKR mendapat 15 kerusi, DAP 13 dan PAS yang mempunyai grassroot Melayu di seluruh negeri Selangor hanya mendapat 8 kerusi.

Akibatnya, bukan setakat Dr Hassan perlu melupakan hasrat menjadi MB Selangor, malah jawatan Timbalan Menteri Besar (TMB) yang sepatutnya menjadi miliknya turut dituntut oleh wakil DAP yang akhirnya jawatan tersebut dimansuhkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, MB baru dari PKR.

PKR membolot 4 kerusi Exco termasuk MB. DAP mendapat tiga Exco Kanan, manakala PAS hanya mendapat 3 Exco yang kurang penting.

Sepanjang menjadi kerajaan, Hassan sering bertikam lidah dengan Exco-exco kanan DAP terutamanya Ronnie Liu yang mengetuai Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor.

Hassan menuntut agar Ronnie Liu ditukar porfolio kerana tindakannya lebih banyak menimbulkan keresahan masyarakat Islam di Selangor.

Selain bertikam lidah dengan Ronnie Liu berkaitan isu penjualan arak, Hasan pernah mengkritik Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat) yang diketuai Teng Chang Kim dari DAP.

Hassan menggesa SELCAT dikaji semula berikutan cara pengendalian soal siasat kepada Pegawai Pentadbiran Kerajaan Negeri dikatakan mengaibkan pegawai-pegawai kerajaan Melayu dan bertaraf “pertanyaan dan soal siasat kepada budak sekolah”. - AIDCNews – 13/06/11

Tiada ulasan: