Ahad, 18 September 2011

Penerima Anugerah Diraja UniMap

Para penerima anugerah khas Konvokesyen Ke-6 Universiti Malaysia Perlis, (dari kiri) Mohamad Syahmie Mohd. Rasidi, Mohd. Alif Ismail, Khor Kang Nan, Norsima Nazirah Sidek, Teoh Vil Cherd dan Tan Kim Seah ceria bersama anugerah masing-masing pada majlis konvokesyen universiti tersebut di Dewan 2020, Kangar, semalam. - MINGGUAN/FAIZAL ABU HASSAN

KANGAR 17 Sept. - Ketika para graduan terutama daripada jurusan kejuruteraan berlumba mencari kerja berpendapatan tinggi di sektor swasta, dua penerima Anugerah Pelajaran Emas Diraja Universiti Malaysia Perlis (Unimap) lebih selesa bergelar pendidik.

Norsima Nazirah Sidek, 23, dan Khor Kang Nan, 23, masing-masing graduan Sarjana Kejuruteraan Bioperubatan dan Mikroelektrik menyifatkan pendidik sebagai tugas murni kerana dapat mencurahkan kembali ilmu pengetahuan kepada anak bangsa.

Kedua-duanya menyambung pengajian di Unimap iaitu Norsima meneruskan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) manakala Kang Nan pula di peringkat ijazah sarjana.

Norsima dari Bukit Payung, Terengganu berkata, walaupun peluang kerja yang luas dalam bidang kejuruteraan namun hatinya tetap mahu menjadi seorang pensyarah.

"Jiwa saya lebih sebati sebagai seorang pendidik malah saya rasa terpanggil untuk mencurahkan kembali bakti kepada anak bangsa," katanya.

Kang Nan pula memberitahu, keluarganya merupakan pendorong utama malah bapanya berpesan bahawa ilmu adalah lebih penting daripada wang ringgit.

"Tumpuan saya adalah untuk menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana sebelum meneruskan pengajian di peringkat PhD," katanya.

Sementara itu, Anugerah Pingat Emas Canselor menjadi milik Mohd. Alif Ismail, 23, lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan (Sistem Elektrik) dari Tanah Merah, Kelantan dan Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal), Teoh Vil Cherd dari Pulau Pinang manakala Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Polimer), Syahmie Mohamad Rasidi dari Tanah Merah, Kelantan dan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Bahan), Tan Kim Seah dari Pulau Pinang.

Kesemua mereka menerima anugerah daripada Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada istiadat konvokesyen Unimap keenam di sini hari ini.

----------------------------------------------------------------------------

KANGAR 17 Sept. - Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta semua graduan untuk bermuhasabah tentang kebolehan serta keupayaan diri dalam memastikan mereka mampu bersaing dalam pasaran kerja.

Titah baginda, graduan juga perlu memperbaiki kelemahan, menimba pengalaman dan menambah baik kekuatan diri untuk tujuan itu kerana tidak semestinya tamat pengajian di universiti merupakan jaminan untuk memperoleh pekerjaan.

"Dalam hubungan ini, saya ingin menyarankan kepada ibu bapa supaya tidak memberi tekanan kepada universiti dari segi kesulitan para graduan mendapat kerja selepas menerima ijazah," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian dalam ucapan semasa istiadat konvokesyen keenam Unimap yang turut dihadiri oleh Pro Canselor, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil di sini hari ini.

Titah baginda, persepsi kerja menanti graduan tidak boleh lagi diterima pakai kerana beribu-ribu graduan dilahirkan oleh universiti tempatan dan luar negara setiap tahun.

"Persoalannya adakah universiti berperanan untuk menjamin pekerjaan setelah graduan tamat pengajian? Saya percaya pihak universiti tidak akan sekali-kali lepas tangan dalam hal ini," titah baginda.

Dalam pada itu titah baginda, Malaysia mempunyai ramai calon yang berpotensi untuk memenangi Hadiah Nobel.

"Kita perlu berusaha untuk menyertainya melalui jaringan global para intelek dan penyelidik antarabangsa, malah saya percaya kita mempunyai calon-calon berpotensi yang boleh dididik ke arah mencapai sasaran ini," titah baginda.

Sebelum itu, baginda menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Dr. R. Vasant Kumar dari Universiti Cambridge, Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan dan Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan kepada Pengarah Kejuruteraan Board Design Center Malaysia, Mohd. Parid Sulaiman.

Baginda turut menganugerahkan ijazah kepada kira-kira 400 graduan pada sidang pertama istiadat konvokesyen kali ini yang diadakan sebanyak tiga sidang bermula hari ini.

Istiadat konvokesyen kali ini melakar sejarah dengan penambahan jumlah graduan iaitu daripada 1,100 graduan kepada 1,237 graduan.

Mereka terdiri daripada empat graduan doktor falsafah (PhD), Ijazah Sarjana Sains (58), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (953) dan seramai 222 graduan Diploma Kejuruteraan.

Tiada ulasan: