Fenomena ‘Islamofobia’ masih berlegar
Sukan Olimpik 2012 London baru saja melabuhkan tirainya. Kita akan bertemu semula edisi sukan Olimpik yang seterusnya pada 2016 di Rio de Janeiro. Banyak peristiwa pahit dan manis yang terakam dalam lipatan kenangan sukan terbabit.
Sarah Attar, Wajdan Shaherkani, Noor Hussain al-Malki, Shinoona Salah al-Habsi dan Zam Zam Mohamad Farah bukanlah pemenang pingat pada temasya sukan itu. Namun mereka mencatat sejarah apabila terdiri daripada kelompok peserta wanita yang memakai tudung pada pertandingan acara masing-masing.
Kita tidak lupa kepada Ruqayya al-Ghasara dari Bahrain yang merupakan atlit yang terawal memakai tudung dalam acara trek di Olimpik Beijing 2008. Beliau bukan saja bertudung tetapi melakukan sujud syukur ketika memenangi acara 200 meter di Sukan Asia.
Tidak terkecuali peserta negara kita, Nur Suryani Mohamad Taibi yang menyertai acara menembak di Sukan Olimpik kali ini yang turut tersenarai sebagai olimpian yang bertudung.
Pemakaian tudung
Pemakaian tudung bukan hanya acara individu tetapi juga acara berpasukan seperti bola tampar yang membabitkan beberapa negara Islam.
Beberapa persoalan yang menarik timbul daripada suasana ini. Pemakaian tudung secara ironinya berlawanan dengan pakaian atlit dari negara Barat. Atlit Barat dilihat memakai pakaian yang semakin singkat dan semakin ‘sedikit’ berbeza dengan atlit bertudung yang semakin labuh dan semakin ‘banyak’ kain diperlukan.
Adakah pemakaian tudung ini akan menjadi fenomena? Jawapannya, setakat ini mungkin tidak. Pencapaian atlit wanita yang bertudung masih gagal memenangi mana-mana acara. Jika difikirkan secara logik ia seolah-olah membenarkan ‘pandangan’ bahawa tudung membataskan pergerakan. Tudung juga menambah rintangan udara apabila berlari di trek.
Tingkat pencapaian atlit Muslimah
Kenapa saya menyebut ‘pandangan’ bukan teori, kerana ia tidak semestinya betul pada setiap keadaan. Bahagian yang ditambah pada sesuatu objek belum tentu memperlahankan pergerakan. Jika kita lihat pada kereta lumba misalnya, wujud bahagian yang ditambah berbanding kereta biasa.
Justeru, satu kajian yang berteraskan akidah dan syariah perlu dilaksanakan oleh saintis sukan Muslim. Reka bentuk tudung dan bahan buatannya mungkin boleh diperbaiki bagi meningkatkan pencapaian atlit Muslimah.
Ia penting kerana Islam menjadikan kita gagah dan bukan melemahkan. Persoalan yang seterusnya setakat mana penerimaan dunia Barat terhadap identiti Muslim ini? Adakah sekadar sukan dan perkara di sekitarnya? Adakah fenomena ‘Islamofobia’ sudah berakhir atau sekadar gula-gula bagi menunjukkan toleransi atas nama tamadun Barat?
Secara jujurnya kesangsian masih lagi wujud apabila sikap dan layanan Barat diperhalusi dan diteliti. Masih ada larangan berhijab di tempat tertentu dalam negara yang mewakili tamadun Barat. Tetapi itu tidaklah begitu menghairankan kerana pihak Barat dilatari oleh tanggapan dan pengalaman yang tersendiri lalu membentuk persepsi mereka hari ini terhadap pemakaian hijab.
Namun jika larangan itu wujud di negara majoriti penduduknya Islam adalah sesuatu yang amat dikesali. Sebagai contoh, syarikat penerbangan yang tidak peka atau enggan membenarkan anak kapalnya memakai tudung atau mengenakan sekatan yang pelbagai kepada pekerjanya dalam memilih pakaian dianjurkan Islam. Sudah tentulah ia bertentangan dengan ‘semangat antarabangsa’ seperti yang diperlihatkan di Sukan Olimpik kali ini.
Mengiktiraf kepelbagaian identiti
Sarah Attar mendapat ‘standing ovation’ apabila menghabiskan larian 800 meter di London. Itulah semangat yang seharusnya kita contohi.
Kita seharusnya terus mendukung sikap yang sebegini. Sikap mengiktiraf kepelbagaian pandangan dan pendirian. Inilah teras kepada ‘wasatia al-Islamiah’ yang mengkehendaki kita mengiktiraf kepelbagaian rupa bentuk bangsa dan menjadikannya sebagai landasan untuk saling mengenali dan memahami.
Kita perlu sedar bahawa manusia selamanya dilahirkan dalam persekitaran bangsa tertentu. Dari awal lagi bangsa atau suku kaum silih berganti dalam sejarah manusia. Berakhirnya sebuah bangsa akan diganti dengan bangsa yang lain.
Justeru, jika kita terus enggan mengiktiraf kepelbagaian identiti ini kita sebenarnya melawan hukum alam dan songsang fitrah.
Pemaksaan identiti begitu juga pendirian yang meliputi pelbagai aspek baik dari sudut politik, ekonomi, sosial dan budaya, jika dilihat dari posisi ini adalah bertentangan dengan semangat wasatiyyah atau kesederhanaan. Ia adalah satu tindakan yang boleh dikategorikan sebagai melampaui batasan atau dengan kata lain ekstrem.
** Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan