Isnin, 17 September 2012
Manusia hati binatang
Bayi baru lahir maut dicampak dari tingkat tiga pangsapuri
PETALING JAYA: Dia seorang manusia namun tidak mempunyai nilai kemanusiaan apabila sanggup mencampakkan seorang bayi yang baru dilahirkan dari tingkat tiga Pangsapuri Desa Mentari di Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Lebih menyedihkan, bayi malang itu dibuang seperti sampah dan jatuh di laluan pejalan kaki masuk ke pangsapuri itu.
Akibat tindakan kejam manusia tidak berhati perut, bayi perempuan yang masih bertali pusat dan cukup sifat itu mati dengan kesan kecederaan di muka dan kepala akibat dicampak dari aras tinggi.
Mayat bayi itu ditemui oleh penduduk pangsapuri tersebut kira-kira pukul 11 pagi dan dipercayai dicampak sama ada dari tingkap atau ruang ampaian di tingkat tiga kediaman itu.
Susulan kejadian itu, sepasukan polis yang menjalankan siasatan di pangsapuri 11 tingkat tersebut telah menahan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20-an yang dipercayai bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.
Difahamkan, wanita itu yang bekerja kilang belum berkahwin.
Seorang penduduk, Juandi Mat, 35, berkata, dia dan seorang remaja lelaki adalah orang pertama yang menemui bayi malang itu apabila mangsa yang dicampak jatuh betul-betul di belakangnya.
"Saya sedang menolak motor yang rosak di laluan masuk dan di sebelah saya ada seorang remaja lelaki. Tiba-tiba kami terdengar bunyi suatu objek terjatuh dari tempat tinggi.
"Saya ingatkan bungkusan sampah kerana ada penduduk yang tidak bertanggungjawab di sini biasa membuang bungkusan sampah dari tingkat atas tetapi apabila menoleh ke belakang, saya lihat objek itu kelihatan seperti berkepala, berkaki dan tangan.
"Ketika itu juga saya ingat itu adalah anak patung tapi apabila diperhatikan dengan lebih dekat dan ada kesan darah, ia adalah bayi. Remaja lelaki itu lari kerana terkejut, namun seorang penduduk lain datang dan mengesahkan itu adalah bayi sebelum dia menghubungi polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Ditanya, sama ada dia tahu dari tingkat berapa bayi malang itu dicampak, Juandi berkata, dia mendongak untuk mencari dari mana bayi itu dicampak sebaik sahaja melihat 'objek' itu tetapi pandangannya terhalang oleh rimbunan daun pokok.
"Sebaik sahaja bayi itu jatuh, saya terus mendongak mencari siapa yang mencampaknya tetapi tidak nampak. Jadi saya tidak tahu dari tingkat berapa dia dibuang," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, bayi terbabit dicampak dari tingkat tiga pangsapuri berkenaan.
"Seorang wanita berusia 20-an telah ditahan dan kita masih menyiasat motif sebenar kejadian. Polis akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan