Ahad, 24 Mac 2013

Bekas KP Kesihatan Dr Abdul Majid Ismail Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abdul Majid Ismail, 92, meninggal dunia di kediamannya di Taman Duta, Jalan Langgak Duta di sini, akibat sakit tua.

Dr Abdul Majid meninggal dunia pada kira-kira 4 petang tadi.

Jenazah Dr Abdul Majid akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada 11 pagi esok, selepas disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh ketika dihubungi Bernama berkata, Dr Abdul Majid dimakamkan di sana bagi mengenang beliau yang pernah berkhidmat sebagai doktor peribadi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekitar hujung tahun 70-an.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Khairany Mahyuddin dan tiga anak, seorang lelaki dan dua perempuan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menziarah jenazah Allahyarham pada Ahad.

Dr Abdul Majid, anak kelahiran Kuala Lumpur, menyertai Kementerian Kesihatan pada 1950 dan berkhidmat di Hospital Besar Kuala Lumpur selepas memperoleh ijazah perubatan (MBBS) Malaya dari Universiti Malaya.

Pada 1951, beliau dilantik Pegawai Perubatan di Malayan Medical Service di hospital berkenaan.

Pada 1969, Allahyarham dilantik Pengarah Perancangan dan Penyelidikan di Kementerian Kesihatan.

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam mencapai kemuncak dengan pelantikan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan dari tahun 1971 hingga 1976. - BERNAMA

Tiada ulasan: