Jumaat, 15 Mac 2013

Polis buru 30 'panglima' Sulu

SEMPORNA 14 Mac - Pasukan keselamatan memburu kira-kira 30 'panglima' pengganas Sulu berusia antara 20-an dan 70-an yang dipercayai masih bebas di negeri ini terutama di Kota Kinabalu, Kunak dan Semporna.

Sumber itu berkata, bagaimanapun orang ramai diingatkan tidak perlu risau kerana perkara itu tidak mengancam keselamatan awam.

"Ini kerana rata-rata panglima yang diburu ini tidak mempunyai senjata dan tidak terlatih dalam bidang ketenteraan. Mereka hanyalah terdiri daripada individu yang dikenali, dihormati dan berpengaruh dalam kalangan masyarakat Sulu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas sumber itu lagi, sekiranya Kesultanan Sulu mendapat pengiktirafan dan berjaya menuntut Sabah, panglima-panglima ini akan dilantik menjadi pemimpin.
 
2 helikopter Tentera Darat sertai operasi
Dua helikopter pelbagai guna milik Tentera Darat, Agusta Westland AW109 tiba di padang markas Operasi Daulat di Felda Sahabat 16 di sini hari ini.

Helikopter jenis peninjau dan pengangkut menggunakan enjin berkembar serta mampu memuatkan lapan penumpang itu diperlukan bagi mengukuhkan lagi kekuatan pasukan keselamatan dalam usaha menggempur pengganas sejak pencerobohan dikesan 12 Februari lepas.

Ia susulan pengumuman Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, semalam bahawa kekuatan dari segi aset dan anggota Operasi Daulat perlu ditambah untuk terus menggempur penceroboh militan khususnya di Kampung Tanjung Batu dan Sungai Nyamuk.

Zulkifeli berkata, langkah menguatkan pertahanan dan kawalan itu bertujuan menutup terus laluan kepada musuh daripada menceroboh ke negara ini sama ada di laut atau di darat.

Selain helikopter itu, 12 kereta perisai berantai jenis Adnan dan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia juga dijangka tiba di sini secara berperingkat.

Sejak pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh, manakala lapan anggota polis dan dua tentera gugur di pihak Malaysia. - BERNAMA

Suasana seram selubungi Kampung Tanjung Batu
Pertempuran antara pengganas Sulu dan pasukan keselamatan yang berlanjutan hampir dua minggu di kawasan ini memberi kesan kepada kampung-kampung terlibat.

Selain kemusnahan teruk di Kampung Tanduo, keadaan kampung berhampiran seperti Kampung Tanjung Batu juga berubah dengan begitu drastik.

Jika sebelum ini, kawasan Kampung Tanjung Batu dipenuhi penduduk yang melakukan pelbagai aktiviti harian dan kanak-kanak bebas bermain namun suasana itu tidak lagi kelihatan di kampung tersebut.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kampung berkenaan begitu sunyi dan amat menyeramkan dengan beberapa rumah musnah teruk serta tidak terjaga.

Haiwan peliharaan seperti lembu dan kambing juga dilihat berkeliaran manakala jalan-jalan kampung dipenuhi kelongsong dan kotak peluru.
 
Pengganas bergerak dalam kumpulan kecil, bersembunyi di kawasan paya

Pengganas Sulu yang dikepung pasukan keselamatan, kini terpaksa bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil dan bersembunyi di kawasan paya berhampiran kampung.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohamad Zain berkata, saki-baki kumpulan pengganas itu dikesan di lokasi berkenaan khususnya di Kampung Sungai Nyamuk.

Pengganas kini bergerak dalam kumpulan kecil bagi membolehkan mereka bergerak pantas," katanya dalam sidang akhbar Ops Daulat bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di sini petang ini.

Yang turut hadir, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid.

Zulkifeli memberitahu, tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas pada hari ini, bagaimanapun pihaknya masih melakukan operasi penggeledahan khususnya di Kampung Sungai Nyamuk.

Tiada ulasan: