Isnin, 20 Januari 2014

ADUN Tahan fail cerai, tapi isterinya kata mereka tak pernah kahwin

SETIAWANGSA - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abd Razak memfailkan permohonan cerai terhadap isterinya, di Mahkamah Rendah Gombak Timur di sini, semalam.

Bagaimanapun permohonan itu megejutkan apabila wanita itu, Azma Azifazilla Azan, 28, yang didakwa sebagai isterinya itu menafikan dia pernah berkahwin dengan ahli politik itu.

Wan Amizan selaku plaintif memfailkan permohonan cerai itu pada Disember lalu mengikut Seksyen 47 Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Semasa prosiding sebutan kes itu semalam, Wan Amizan yang diwakili peguam Anita Arifin dan Mohd Isa Abd Ralip turut mengemukakan satu lagi permohonan iaitu  memfarakkan (membubarkan) perkahwinan antara Azma dengan suami yang baru dinikahi Rizal Md. Radzi, 40, kira-kira empat bulan lalu.

Bagi kes itu,  Wan Amizan selaku plaintif  menamakan  Azma sebagai defendan pertama dan suaminya,  Rizal sebagai defendan kedua.

Permohonan untuk pembubarkan perkahwinan dibuat mengikut Seksyen 61(3)(b)(i) Enakmen Pentadbiran.

Semasa kesnya disebut dihadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin semalam, peguam Mohd Isa menyatakan, anak guamnya ( Wan Amizan) mengemukakan permohonan untuk membubarkan perkahwinan terhadap Azma dan Rizal kerana mendakwa dia masih suami Azma yang sah.

Azma bagaimanapun membantah permohonan itu dan menegaskan dia tidak pernah berkahwin dengan plaintif, maka tidak perlu untuk plaintif memfailkan penceraian.

Azma turut membawa akuan bersumpah mengenai perkara itu, bagi menyokong kenyataannya.

Sementara itu, Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin mencadangkan supaya defendan memfailkan pembelaan atau mengemukakan bantahan awal sekiranya berpandangan tuntutan yang dibuat plaintif itu tidak relevan.

Hakim berkata, defendan perlu memasukkan pembelaan terhadap tuntutan palintif atau mengemukakan bantahan awal secara bertulis kepada mahkamah sebelum kes itu diteruskan.

Hakim turut meminta Azma melantik peguam dan menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula kes itu.

Sementara itu, ketika ditemui diluar mahkamah, Azma dan Rizal memberitahu media bahawa mereka telah berkahwin pada 28 September 2013 di Hulu Langat.

Wan Amizan dikatakan telah menikahi Azma sebagai isteri kedua beberapa tahun lalu di Thailand dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Kelantan.

Semasa prosiding kes itu, Wan Amizan yang hadir ke mahkamah ditemani isteri pertama bagaimanapun terpaksa meninggalkan mahkamah kerana mempunyai urusan penting lain.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran