Khamis, 10 April 2014

Kotak hitam MH370 sudah dikesan?


Sidang akhbar jam 11 pagi Rabu di Perth, Australia memberi khabar yang ditunggu-tunggu selama ini. Malah ramai pakar penerbangan kata apa yang dicakap oleh Ketua Pasukan Penyelaras Bersama (JACC) Angus Houston itu mempunyai makna bahawa pesawat MH370 sudah sah berada sekitar lokasi carian sekarang, iaitu di Selatan Lautan Hindi.

Cuma sebagai bekas pegawai tinggi tentera Australia, Angus Houston terbawa-bawa dengan stail ketenteraan beliau yang tidak sekali-kali akan memberi pengesahan sehingga 100 peratus pasti, iaitu apabila ada serpihan MH370 dilihat dengan mata kasar.

Dalam sidang akhbar itu, Angus Houston mengumumkan kapal tentera laut Australia, Ocean Shield yang dilengkapi alat khas mencari kotak hitam yang dipinjam dari tentera Amerika mengesan dua lagi isyarat 'Ping' pada petang dan malam Selasa.

Isyarat 'Ping' yang dikesan kapal Ocean Shield bukan bunyi dari punca semula jadi, tetapi sama dengan yang dipancarkan kotak hitam pesawat.

"Kita sudah membuat analisis dan ia bukan semula jadi, ia berasal dari peranti buatan manusia dan konsisten dengan yang dipancarkan kotak hitam," katanya

Houston juga berkata, objek yang ditemui di kawasan pencarian setakat ini tidak berkaitan dengan pesawat MH370.

"Kita berharap akan menjumpai sesuatu yang ada kaitan dengan pesawat itu," katanya.

Beliau menyifatkan pengesanan terbaru oleh Ocean Shield itu sangat penting, malah beliau membayangkan keyakinan bangkai pesawat MH370 akan ditemui tidak lama lagi.

Pagi Selasa, beliau memberitahu wartawan, Ocean Shield cuma perlu kesan satu lagi isyarat itu sebelum JACC dapat perhebatkan carian termasuk menggunakan kapal selam kawalan jauh.

Beliau memberitahu, JACC juga kini sedang memperhalusi kesan bunyi itu untuk memastikan lokasi kotak hitam.

"Dua isyarat pada 5 April, dua lagi dikesan 8 April. Makin banyak isyarat dikesan lebih baik, yang penting ialah kualiti isyarat,"ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Ocean Shield mengesan bunyi 'Ping' pada jam 4.45 petang dan jam 9.27 malam, manakala pada Selasa pula jam 4.27 petang dan 10.17 malam.

Kata Angus Houston, tidak ada peluang kedua dalam pencarian tersebut, semua maklumat yang perlu wajib dikumpulkan sekarang kerana isyarat yang diterima Selasa lebih lemah daripada yang asal.

"Ini kerana sama ada bunyi itu berada jauh dari ping locator ataupun baterinya yang semakin lemah, secara logiknya bateri memang semakin lemah,"

Penting untuk mengesan isyarat ping tersebut adalah untuk mengecilkan kawasan carian.

"Pelampung Sonar akan diletakkan di kawasan berkenaan. Sekarang kita sedang mencari kawasan yang lebih fokus, harap kita dapat mengesan serpihan dalam masa beberapa hari apabila kenderaan bawah air dikerahkan,"katanya.

Menjawab soalan kenapa kenderaan bawah air iaitu kapal selam tanpa pemandu Bluefin21 belum digunakan, ujar Angus Houston, mengesan isyarat menggunakan kenderaan bawah permukaan laut dalam lebih perlahan berbanding penggunaan Towed Ping Locator.

Selain itu, beliau memberi amaran mengenai sukarnya pencarian tersebut kerana kelodak di bahagian bawah lautan (10 meter dan lebih) berisiko menyerap tenaga bunyi.

Beliau juga mengesahkan kapal China Haixun01 tidak mengesan apa-apa bunyi lagi sejak kali terakhir pada Sabtu lalu.

SEMENTARA ITU, hari ini masuk hari ke 33 misi cari pesawat MH370 diteruskan sejak ia dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac lalu.

Hari ini pencarian dilakukan dengan 11 pesawat tentera, empat pesawat awam dan 14 kapal dikerah ke kawasan meliputi 75,423 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Usaha itu kini menjadi misi mengejar masa memandangkan hayat bateri kotak hitam itu hanya boleh bertahan dalam tempoh 30 hari dan paling lama beberapa hari lagi selepas itu sebelum penghantaran isyarat berhenti sepenuhnya.

Semalam, kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan dua bunyi akustik detikan dalam pencariannya selepas mengesan isyarat itu kali pertama pada Ahad, manakala kapal China Haixun 01 pula mengesan dua isyarat pada Jumaat dan Sabtu.

Dalam satu kenyataan Rabu, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata, pusat kawasan pencarian itu kira-kira 2,261 kilometer di barat laut Perth.

Menurut JACC, usaha mencari di dasar laut diteruskan dengan ADV Ocean Shield di hujung sebelah utara kawasan carian dan kapal China Haixun 01 dan HMS Echo di sebelah selatan.

Kapal yang terbabit usaha mengesan semula isyarat 'ping' akan terus mencuba beberapa hari lagi selepas lokasi positif gagal dikenal pasti.

Setelah sebulan pesawat itu hilang, pasukan pencari juga kesuntukan masa memandangkan bateri kotak hitam dijangka hampir tamat tempohnya.

"Kami perlu mencuba beberapa hari lagi sehingga betul-betul pasti bateri kotak hitam kehabisan kuasa," kata Ketua Pasukan Penyelaras Bersama (JACC) Angus Houston.

Isyarat 'ping' yang dikesan hujung minggu lalu oleh kapal Australia Ocean Shield menerusi alat 'Towed Pinger Locator' memberi petunjuk paling kukuh dalam usaha mencari pesawat setakat ini.

Jika isyarat itu dapat dikesan semula dan disahkan berkaitan MH370, kenderaan dalam air berautonomi (AUV) Amerika Syarikat Bluefin 21 dapat dihantar untuk mengimbas dasar laut dalam usaha mencari serpihan.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Pencarian dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran