Assalamualaikum dan salam sejahtera,
1. Ketika anda membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara
kerana saya jadualkan tulisan ini diterbitkan selepas hukuman
dijatuhkan.
2. Saya mohan maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan
penyokong yang mungkin terpalit malu kerana kes ini. Saya juga berterima
kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan
bersimpati dengan saya.
3. Saya tahu sebahagian orang di media sosial bertepuk tangan dan
memaki hamun saya sebagai penerima rasuah. Adakah mereka faham bahawa
rumah tersebut saya beli separuh siap, dengan pinjaman bank dan masih
membayar ansuran bulanan sehingga sekarang? Saya maafkan mereka.
4. Saya juga tahu rumah saya menjadi kontroversi apabila seorang
pemimpin UMNO mengupah jurugambar mengambil gambar rumah saya
menggunakan helikopter menunjukkan seolah-olah ia sebesar istana.
Hakikatnya, rumah saya antara bukanlah antara terbesar di kawasan
terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya.
5. Saya hanya ingin menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan Pendakwa
Raya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku
unsur rasuah. Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya
mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin.
6. Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian
rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa
raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau
kelulusan tender oleh saya. Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi
kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah
mungkin ratusan syarikat lain.
7. Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Saya dituduh dan
didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan
satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum ialah 2 tahun penjara.
8. Dalam tuduhan ini pendakwa raya tidak memerlukan sebarang bukti
ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Apa yang perlu dibuktikan
ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang
tidak mencukupi, daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan
rasmi dengan saya sebagai penjawat awam.
9. Demikianlah kesungguhan Peguam Negara terdahulu mahu memenjarakan
saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka
membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya.
10. Adillkah, saya dituduh di bawah kesalahan yang memerlukan
pembuktian ringan, tapi menggunakan akta yang memerlukan pembuktian
berat untuk merampas rumah saya? Hanya Allah yang tahu niat sebenar
beliau.
11. Semasa hendak membeli rumah separuh siap tersebut saya
memaklumkan kepada pemegang jawatan penting ketika itu termasuk Perdana
Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak SPRM sendiri.
12. Untuk rekod, saya juga membeli hartanah tersebut dengan pinjaman
bank dan meminta penilaian hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih
mempunyai baki hutang lebih dari RM 2 juta. Adakah ini menunjukkan saya
korup? (lihat: Fakta dan Angka Tidak Boleh Menipu]
13. Jika saya mahu mengambil rasuah saya hanya minta Shamsuddin beri
percuma kepada saya dan namakan atas nama sesiapa sahaja sebagai proksi.
14. Saya redha dengan keputusan ini sungguhpun sehingga hari ini saya tidak tahu berapakah balasan yang mencukupi.
15. Mungkin kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang
membolehkan penjawat awam membuat rujukan, bagi memenuhi ukuran balasan
yang mencukupi, agar tidak ada lagi yang terperangkap seperti saya.
[Lihat: Putus Sudah Harapan?]
The Sun
16. Minggu lalu ketika merayu agar dikurangkan hukuman saya
menyatakan antara sumbangan yang dibuat ialah mencapai matlamat Selangor
Maju 2005 seperti mana yang disasar oleh kerajaan sejak 1990-an.
17. The Sun tampil mempertikaikan kenyataan tersebut. Saya tidak lagi
berniat mahu berhujah sejauh mana layak atau tidak Selangor disiytihar
negeri maju. Ini kerana kerajaan yang disokong oleh The Sun juga
sehingga hari ini mengekalkan status Selangor Negeri Maju.
18. Sehingga di saat akhir, ketika tiada kuasa dan jawatan, The Sun
memilih untuk melanyak saya. Saya tidak pasti apakah punca kemarahan
mereka sedemikian rupa.
19. Adakah kerana saya dilihat
sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina
secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda
di Bukit Tagar, Selangor?
20. Saya tidak fikir ia sekadar soal “good governance”, kerana
sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari dulu sehingga hari ini boleh
membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar
tersebut kepada Menteri Besar selepas saya. Malah ada ketika mereka
mempertahankan Menteri Besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat
sangat nyata.
Kuil
21. Saya juga ingin memohon maaf jika masyarakat beragama Hindu marah
kepada saya akibat perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya. Kes kuil Rimba
Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi. Ia dibina secara
haram atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat
perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima
pampasan sebanyak RM 40 ribu dan juga diberi tapak baru.
22. Keputusan merobohkan kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah
bukannya keputusan saya mahu pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan
kuil dan setinggan disitu hendaklah dirobohkan. Mahkamah telah menolak
rayuan 11 orang penduduk yang enggan berpindah.
23. Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis
Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya
terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.
24. Jika masih ada yang berdendam, saya berharap mereka juga dapat
mengingati saya sebagai Menteri Besar pertama yang memberi peruntukan
kepada semua kuil Hindu dan rumah ibadat lain yang berdaftar. Di bawah
pentadbiran saya juga Kerajaan Negeri menubuhkan Tabung Pendidikan
Anak-anak Pekerja Ladang.
Penyapu
25. Sebahagian membenci saya bukan kerana kesalahan ini. Mereka
marah kerana saya beri “Anugerah Penyapu” kepada penjawat awam dari
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor. [Untuk
huraian panjang sila lihat artikel lama: Padah Penyapu atau Padah Sikap Kita?]
26. Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam
mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu
tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati.
27. Baru-baru ini saya ada berjumpa dan bercakap dari hati ke hati
dengan En Tukiman Nail, bekas Presiden Majlis Daerah Hulu Selangor, yang
menerima anugerah penyapu tersebut dan isteri beliau. Saya anggap telah
selesaikan dengan beliau sebagai sesama muslim.
Setinggan
28. Ada yang masih berkecil hati dengan cara saya menyelesaikan isu
setinggan. Saya tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan. Apa
yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam
kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan;
(i) memberi penempatan yang lebih baik, (ii) menyelesaikan isu tuan
tanah dan setinggan, (iii) memberi subsidi RM 7,000 untuk setiap
setinggan membeli pangsapuri baru.
29. Akhirul kalam, saya mohon maaf jika ada salah dan silap kepada seluruh penduduk Selangor.
30. Jika ada hayat dikandung badan, in sha Allah saya akan terus menulis selepas keluar penjara nanti.
Wassalam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan