Sabtu, 10 Oktober 2015

Mayat ke-4 ditemui, dua murid Orang Asli hidup susut badan 10 kg




GUA MUSANG – Satu lagi rangka manusia cuma 10 meter dari lokasi dua murid Orang Asli dan satu mayat ditemui di bawah akar pokok besar di tebing Sungai Perias Jumaat ditemui kira-kira pukul 11.30 pagi Sabtu.

Ia dipercayai milik salah seorang daripada dua murid lagi yang masih hilang. Identiti jenazah mangsa keenam setakat ini belum dikenal pasti sama ada adalah milik Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; atau Juvina Daud, 7.

Terdahulu Miksudiar Alui, 11; dan Norieen Yaakob, 10; berjaya ditemui kira-kira 3.3 kilometer dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pukul 12.15 tengah hari pada Jumaat, bersama satu mayat perempuan.

Identiti jenazah kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai Ika Ayel, 9. Ketiga-tiga kanak-kanak Orang Asli ini dijumpai tidak jauh dari lokasi penemuan tengkorak, petang Khamis dan sebelumnya satu lagi mayat pada lewat Rabu.


Mayat pertama disahkan pihak polis sebagai Sasa Sobrie, 8; berdasarkan pengecaman ahli-ahli keluarga mangsa sendiri yang dibawakan khas ke Hospital Gua Musang (HGM) di sini pada tengah hari Khamis.

Sementara itu boleh dikatakan hampir semua media utama negara, baik arus perdana atau bukan memaparkan kisah penemuan dua murid Orang Asli yang masih hidup tetapi kerus kering selepas 47 hari ‘hilang’ dalam hutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akaun Facebooknya pada Jumaat malam turut meluahkan perasaan kesyukuran kerana ada mangsa yang akhirnya berjaya ditemui selamat oleh pasukan SAR.

Dua murid SK Tohoi yang hilang telah dijumpai selamat, Alhamdulillah. Tetapi pada masa sama, saya berkongsi kesedihan keluarga dua lagi yang ditemui telah meninggal dunia. Semoga roh mereka dicucuri rahmat,” katanya.


Dua kanak-kanak itu, adalah antara tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 hingga 11 tahun dari SK Pos Tohoi, yang melarikan diri dari asrama sekolah itu pada 23 Ogos lalu.

Mereka dikatakan bertindak sedemikian kerana berasa takut bakal dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sebatang sungai berdekatan asrama tanpa kebenaran pada hari kehilangan.

Kedua-dua mereka iaitu Miksudiar dan Norieen ditemui selamat dalam keadaan tidak bermaya dan ketakutan, di dalam banir sebatang pokok di tebing Sungai Perias, kira-kira 3.3 kilometer dari Pos Tohoi pada Jumaat.

Mangsa yang masih lengkap berpakaian dijumpai oleh seorang anggota polis bersama dua penduduk ketika sedang mengadakan operasi SAR dengan menaiki bot di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Pada masa sama, pasukan itu turut menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dikenali, Ika yang dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu di lokasi berhampiran penemuan dua kanak-kanak itu.



Ketua Polis Kelantan, Datuk Maz­lan Lazim berkata, kanak-kanak tersebut ketika dijumpai sedang bersembunyi di dalam akar pokok tersebut selain menangis teresak-esak dan cuba melarikan diri pada mulanya.

Beliau yang ditemui pemberita di HGM pada Jumaat berkata, mayat kanak-kanak perempuan tersebut pula ditemui bersebelahan sahaja dengan lokasi pe­nemuan kedua-dua murid yang hidup itu.

Secara fizikalnya, mayat kanak-kanak perempuan itu masih dalam keadaan sempurna serta kita percaya mangsa meninggal dunia beberapa hari lalu dan dijaga oleh dua kanak-kanak tersebut.

“Kedua-dua dihantar ke hospital di Kota Bharu pada Jumaat malam untuk rawatan rapi serta proses pemulihan. Pihak HGM akan buat bedah siasat terhadap mayat Ika sebelum diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya.

Misteri kehilangan tujuh murid Orang Asli SK Tohoi sejak 23 Ogos lalu boleh dianggap hampir menemui noktah dengan penemuan terbaharu mangsa keenam tersebut.



Sebelum ini, pasukan SAR menemui mayat Sasa dan rangka manusia diper­ca­yai salah seorang daripada kanak-kanak itu.

Mazlan berkata, Norieen dan Mirsudiar memaklumkan kesemuanya tidak pernah berpecah dan mereka akan menyembunyikan diri setiap kali terdengar atau melihat anggota penyelamat.

Kanak-kanak yang masih hidup ini juga memaklumkan bahawa kawan-kawan mereka meninggal dunia atas faktor kelaparan dan ada antara disebabkan mati lemas di sungai tersebut.

“Kita percaya baki dua yang belum ditemui ada di sekitar kawasan. Hasil penemuan mayat pertama, kedua, rangka manusia dan dua yang hidup itu, semua ditemui di tiga kilometer dari kawasan dilaporkan hilang,” katanya.

Katanya, pihak SAR akan memperhebatkan operasi mencari lagi baki dua lagi kanak-kanak yang belum ditemukan di sekitar kawasan sungai berkenaan.



Tambahnya, polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak yang hilang itu bertahan di dalam hutan tersebut dengan makan rumput dan minum air sungai.

“Siasatan kita mendapati kes kehilangan pelajar ini tidak ada unsur jenayah,” katanya. Kedua-dua mereka kini menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Pegawai Perhubungan Awam HRPZII, Zaid Ahmad mengesahkan, dua kanak-kanak tersebut sudah dipindahkan dari HGM dan selamat tiba di Wad Pediatrik HRPZII pukul 8.30 malam pada Jumaat.

“Dua kanak-kanak tersebut dalam keadaan lemah kerana dehidrasi sehingga susut badan 10 kilogram dan kini mereka ditempatkan di Wad 5 untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan: