“MENSEJAHTERA
KEHIDUPAN RAKYAT”
Tuan Yang
Dipertua,
Saya
mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi
menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan
bagi tahun 2016 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun
itu" dibaca bagi kali kedua.
MUKADIMAH
Tuan Yang
Dipertua,
1. Saya
mulai dengan menyebut BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin,
Wa bihi Nastai’n.
2. Segala
puji-puji bagi Allah Hu Ta’ala, yang telah menjadikan Tujuh Petala Langit dan
Tujuh Petala Bumi,… juga,… yang telah mewujudkan keadaan gelap-gulita, ke alam
terang benderang.
3.
Demikian juga, limpahan salawat ke atas Nabi Muhammad Rasul Pilihan,… Pembuka
bagi sesuatu yang terkunci, Penutup bagi yang terdahulu, penolak yang batil,
pembela hak dan kebenaran.
Tuan Yang
Dipertua,
4. Sejak
Mac tahun 2009, saya telah membentangkan lebih 11 dokumen besar berkait ekonomi
negara.
5. Termasuklah
Pakej Rangsangan Pertama, Pakej Rangsangan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-10 dan
Rancangan Malaysia Ke-11, seterusnya Bajet 2010 hinggalah pada hari ini akan
dipersembahkan pula Bajet 2016.
6.
InsyaAllah, jika diberi izin oleh Tuhan yang Maha Menyimpan segala Tahu dan
rahsia setiap sesuatu, kita berdoa serta berharap agar terus berpeluang lagi,
dapat membentangkan Bajet-Bajet pada tahun-tahun selanjutnya,… Amin.
7.
Sesungguhnya, Bajet yang diangkat kali ini,… merupakan bagian daripada
terjemahan Rancangan Malaysia Ke-11. Bajet ini adalah yang pertama dalam
rantaian 5 Bajet, sampailah terjulangnya negara tercinta ini kelak, menjadi
sebuah watan, High Income Advanced Economy. InsyaAllah.
8.
Sebelum itu, sebagai hamba-hambaNya yang beringat lagi bersyukur, marilah
bersama, dengan rasa kerendahan hati, mengambil sempena dan iktibar daripada
sejarah dan sirah, berasaskan Al-Quran, melalui mafhum pengertian surah
An-Nisa’ ayat 58, seperti yang ditafsir oleh antaranya Imam Qurtubi, pabila
menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah kepada kita, bagi menjaga
hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap keperluan rakyat.
Tuan Yang
Dipertua,
9.
Lantaran itu, sebelum diteruskan penyampaian ini, walau apa sekalipun
diwajahkan di mana-mana, meski apa yang dilaporkan dalam media, berkait letak
duduk dan keadaan Malaysia, kononnya, negara ini diambang muflis, berada dalam
krisis ekonomi, nilai ringgit terjejas teruk, ekoran persepsi ketidakcekapan
tadbir urus kewangan negara, serta pula dipertikai tentang tatacara
perbelanjaan Kerajaan yang katanya tidak berhemah.
10.
Makanya, berdasarkan ehwal yang dihebah-hebahkan itu, moleklah kiranya saya
mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini, untuk memperjelaskan kepada
Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya, serta rakyat Malaysia, yang sedang menonton
dan mendengar di luar sana, supaya mendapat gambaran yang benar serta tepat.
Tuan Yang
Dipertua,
11.
Semenjak tahun 2009, janganlah sesekali kita lupa, satu persatu datangnya
dugaan terhadap ekonomi negara. Kita telah berdepan dengan pelbagai
ketidakkeruan ekonomi global dan pastinya kemelut iktisad domestik.
12.
Alhamdulillah, meskipun telah ditantang dengan segala aral dan rintangan itu,
Kerajaan terbukti mampu menangani dan mengatasinya dengan begitu berkesan.
Tuan Yang
Dipertua,
13. Jika
hendak disimpulkan, antaranya terdapat 6 pencapaian utama sebagai penanda
kejayaan yang boleh diperbanggakan dalam mengangkat kembali kedudukan ekonomi
negara, dari mana ia berada separuh dekad lalu.
Tuan Yang
Dipertua,
14. Pencapaian
pertama: Jika ditinjau situasi ekonomi semasa Malaysia, ia mampu berkembang
sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015, dan dianggarkan mencapai
4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun, meskipun, ekonomi dunia dijangka
berkembang pada kadar yang perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.
15. Dalam
perkara ini, perlu kita ingat baik-baik, keadaan ekonomi sekarang, bak kata
dalam bahasa Inggeris, there is no comparison whatsoever, berbanding tahun
1998. Nyatanya, pada ketika itu, telah berlaku krisis kewangan peringkat Asia,
sehinggakan ekonomi negara menguncup kepada negatif 7.4 peratus.
16.
Sungguhpun begitu, kita sedar, bahawa kita tidak dapat lari daripada menghadapi
kelembapan ekonomi global, termasuklah dari segi penurunan harga komoditi
terutamanya minyak, kelapa sawit dan getah, penyusutan nilai ringgit,
pertumbuhan perlahan di negara-negara kuasa besar ekonomi dunia.
17.
Justeru, pertumbuhan KDNK negara dijangka dapat berkembang pada kadar 4 hingga
5 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan ini, akan dipacu oleh pelaburan dan
penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.
18.
Eksport pula, tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus. Sektor
pembinaan berkembang 8.4 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus, manakala pembuatan
sebanyak 4.3 peratus.
Tuan Yang
Dipertua,
19. Pencapaian
Kedua: Secara konsisten kita telah dapat mengurangkan defisit fiskal
Kerajaan, daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus yang dijangka pada
tahun ini.
Tuan Yang
Dipertua,
20. Pencapaian
Ketiga: Melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang bermula pada
tahun 2010, Kerajaan ini, telah meneruskan mujahadah pembasmian kemiskinan.
21.
Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8 peratus
pada tahun 2009 kepada kini 0.6 peratus pada tahun 2014. Malah, sebenarnya
kemiskinan tegar telah hampir disifarkan.
22. Pencapaian
Keempat: Kalau dikaji, statistik pengangguran pada tahun 1999 adalah 3.4
peratus.
23.
Dengan kehendak Allah jua, hasil daripada pengurusan ekonomi negara yang
berkesan, kita telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus dan
Kerajaan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan.
Tuan Yang
Dipertua,
24. Pencapaian
Kelima: Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar telah berjaya mendapat
manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih.
25. Akhir
sekali, Pencapaian Keenam: Rakyat telah mendapat pelbagai kemudahan seperti
BR1M, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC dan Kedai Rakyat 1Malaysia, demi meringankan
kos sara hidup rakyat.
Tuan Yang
Dipertua,
26. Pada
sudut lain, kemasukan pelaburan asing pula terus kukuh pada 22.4 bilion ringgit
pada separuh pertama tahun ini, manakala indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat
1,705 mata bersamaan nilai pasaran 1.675 trilion ringgit menjelang penutup
bursa pada 22 Oktober 2015.
27.
Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak 418
bilion ringgit pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8
bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.
28.
Laginya, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi
terkawal di antara 2 hingga 3 peratus.
Tuan Yang
Dipertua,
29. Ini
menunjukkan bahawa realitinya, Malaysia, negara kita yang tercinta bukanlah negara
yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih stabil,… masih kukuh dengan
economic fundamental dan terus berdaya saing.
Tuan Yang
Dipertua,
30.
Sebelum bingkisan Bajet tahun ini diteruskan, terdapat dua perkara mustahak
yang wajar diberi penjelasan. Perkara pertama, adalah Cukai Barangan dan
Perkhidmatan atau GST, yang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutamanya
sejak awal tahun ini.
31. Dalam
isu GST, Kerajaan berterima kasih kerana pematuhan dalam pendaftaran dan
pengisytiharannya amat tinggi dan membanggakan.
32. Suka
saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, setakat ini, jumlah syarikat yang
berdaftar dengan GST adalah hampir 400 ribu buah semuanya, dengan kadar patuh
serahan atau submission mencapai lebih 90 peratus.
Tuan Yang
Dipertua,
33. Alhamdulillah,
sesungguhnya keputusan Kerajaan melaksanakan GST adalah tepat, lebih-lebih lagi
berikutan kejatuhan harga minyak kepada lebih 50 peratus daripada paras 100
dolar Amerika sebelum ini.
34.
Faktanya, Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS menyumbang sejumlah dividen
kepada Perbendaharaan pada setiap tahun. Jumlah sumbangan dividen ini,
bergantung kepada naik turunnya harga minyak dunia.
35.
Misalannya, dalam tempoh setahun di mana harga minyak adalah pada purata 100
dolar Amerika setong, pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai
petroliam kepada negara, berjumlah 62 bilion ringgit.
36. Akan
tetapi, senarionya berbeza, pabila harga minyak telah turun kepada paras
sekitar 50 dolar Amerika setong. Pendapatan daripada dividen PETRONAS serta
hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 44 bilion ringgit pada 2015.
37. Harga
minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan kutipan hasil
daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bilion ringgit, atau penyusutan
pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
38.
Jadinya, jika sebelum ini, dalam beberapa pengumuman rasmi, saya, bagi pihak
Kerajaan ada menyebut bahawa rakyat usahlah bimbang, kerana hasil kutipan GST
dikembalikan semula demi manfaat ramai, malah, dimaklumkan pula bagaimana ia
dibelanjakan. Ini adalah benar apa yang Kerajaan hasratkan dan tidak ada
apa-apa agenda yang terselindung.
39.
Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan realiti
kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak dunia yang
tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi. Tetapi, disebabkan oleh
kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi
tampungan sebahagian besar daripadanya.
Tuan Yang
Dipertua,
40.
Sehubungan itu, pada tahun 2016, dalam perkiraan Kerajaan, sekira dan
seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan sistem SST seperti
yang sebelumnya, hasil negara akan berkurangan sebanyak 21 bilion ringgit.
41. Jika
dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah sekadar 18
bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39 bilion ringgit.
42.
Akibatnya, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus, dan bukan lagi 3.1
peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016.
43. Andai
kata ini berlaku, Kerajaan terpaksa meminjam termasuk untuk membayar gaji
penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman
untuk semua, seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman
perumahan, pastinya meningkat.
Tuan Yang
Dipertua,
44. Di
atas segalanya, bersyukurlah kita kepada Allah, kerana Kerajaan yang ada tetap
bertegas dengan pendirian, mempunyai dengan izin, political will atau
keberanian serta iltizam politik untuk melaksanakan GST… sekalipun,…sekalipun…
keputusan ini ternyata mendapat pelbagai cabaran dan tidak popular.
45. Malah
pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan begitu lantang dan
keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah memasukkannya pula dalam
dokumen bajet mereka.
46. Ini
jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak
konsisten.
Tuan Yang
Dipertua,
47. Oleh
itu, berdiri atas pendirian sedemikian, Kerajaan yang bertanggungjawab ini,
akan terus melakukan keputusan-keputusan yang betul, waima tidak bersifat
populis, demi,… mendahulukan rakyat dan kepentingan negara.
Tuan Yang
Dipertua dan Rakyat Malaysia sekalian,
48. Oleh
yang demikian, ternyatalah, GST ini sebetulnya merupakan satu sistem percukaian
yang efisien. Maka sebab itulah, telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara.
49.
Tampaknya juga, meskipun keadaan kewangan negara terkekang, kita terus
mendengar denyut nadi dan rintihan rakyat.
50.
Kerana itu, setelah menerima maklum balas daripada pelbagai golongan
masyarakat, termasuklah pihak NGO, dengan ini, sukalah saya mengumumkan bahawa,
Kerajaan bersedia, melepaskan lagi pendapatan cukai GST terhadap beberapa
barangan asas kehidupan seharian rakyat.
51. Tujuh
langkah penambahbaikan layanan GST, berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016,
adalah seperti berikut:
52.
Pertama, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di
bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D, serta tambahan sebanyak 95 jenama
ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat
kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan
peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.
53.
Kedua: pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut :
• Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;
• Dhal, atau kata orang utara kacang ‘parpu’, berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih;
• Akar teratai atau lotus root dan sengkuang air atau water chestnut;
• Biji sawi;
• Gula merah; dan
• Untuk orang Sarawak,…mee kolok kering
• Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;
• Dhal, atau kata orang utara kacang ‘parpu’, berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih;
• Akar teratai atau lotus root dan sengkuang air atau water chestnut;
• Biji sawi;
• Gula merah; dan
• Untuk orang Sarawak,…mee kolok kering
54.
Ketiga: Bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari Skim Kadar
Rata di bawah GST, Kerajaan mencadangkan supaya, threshold jualan tahunan untuk
tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada 100 ribu ringgit
kepada 50 ribu ringgit;
55.
Dengan penurunan threshold, ia bererti, lebih ramai petani kecil boleh
mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan 2 peratus ke atas nilai
jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung sebarang GST yang telah
dibayar ke atas inputnya.
56.
Keempat: Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan,
pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa pula akan dibenarkan
menyertai Approved Trader Scheme dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan
barang-barang;
57.
Kelima: Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang
telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau
pameran;
58.
Keenam: Kini, bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST diberikan kepada
pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan
sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung;
serta
59.
Ketujuhnya: Pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan peralatan
mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan
program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.
Tuan Yang
Dipertua,
60.
Kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya daripada
golongan belia, bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi prabayar atau
prepaid card.
61.
Berhubung ini, para pengguna warga Malaysia, akan mendapat kembali rebat
bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam
akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini, adalah mulai 1 Januari 2016
sehingga 31 Disember 2016.
Tuan Yang
Dipertua,
62.
Seterusnya, bagi memantapkan struktur cukai supaya lebih kompetitif dan
progresif, banjaran pendapatan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan
daripada 25 peratus, kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara
600 ribu ringgit dan 1 juta ringgit.
63.
Sementara itu, mereka yang berpendapatan melebihi 1 juta ringgit, kadar cukai
akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28 peratus.
Tuan Yang
Dipertua,
PERUNTUKAN
BAJET 2016
64. Bajet
2016 memperuntukkan 267.2 bilion ringgit berbanding 260.7 bilion ringgit
peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, 215.2 bilion ringgit adalah
untuk perbelanjaan mengurus dan 52 bilion ringgit bagi perbelanjaan
pembangunan.
65. Di
bawah peruntukan mengurus, 70.5 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 36.3
bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala sebanyak 106.6 bilion
ringgit adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula
diperuntukkan sebanyak 761 juta ringgit dan 1 bilion ringgit kepada
perbelanjaan lain.
66. Di
bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak
30.1 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 13.1 bilion ringgit merangkumi
pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat.
67.
Manakala, sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 5.2 bilion ringgit.
Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu sebanyak 1.6 bilion
ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.
68. Bagi
tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak 225.7
bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 3.2 bilion ringgit berbanding 2015.
69.
Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan, defisit fiskal
Kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016.
Tuan Yang
Dipertua,
70. Bajet
ini dan bajet-bajet seterusnya akan berteraskan keseimbangan diantara Capital
Economy dan People Economy. Disamping itu, kita perlu mencapai pertumbuhan yang
bersifat inklusif, sustainable dan membina sebuah negara yang kompetitif,
progresif, bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang
saling berpadu.
Tuan Yang
Dipertua,
71. Lantaran
demikian, saya pohon membentangkan sebuah Bajet yang bertemakan “Mensejahtera
Kehidupan Rakyat”, bertunjangkan 5 Keutamaan.
Tuan Yang
Dipertua,
72. KEUTAMAAN
PERTAMA: MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI NEGARA.
73.
Langkah satu: Aktiviti pelaburan domestik akan terus dirancakkan dengan
jangkaan sumbangan kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi 2016. Ini akan dipacu
oleh pelaburan swasta yang meningkat sebanyak 218.6 bilion ringgit serta
disokong oleh pelaburan awam sebanyak 112.2 bilion ringgit.
74. Dalam
langkah ini, terdapat sembilan projek dan inisiatif yang akan dilaksanakan:
Pertama:
Membangun Malaysian Vision Valley meliputi keluasan tanah seluas 108,000 hektar
dari Nilai ke Port Dickson seperti yang telah dibentangkan pada RMK-11, dengan
unjuran pelaburan permulaan 5 bilion ringgit pada tahun 2016;
Kedua:
Melaksana Cyber City Centre di Cyberjaya dengan nilai pembangunan hampir 11
bilion ringgit dalam tempoh 5 tahun;
Ketiga:
Membangun Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA di kawasan seluas 1,300
ekar dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 7 bilion ringgit;
Keempat:
Pelaburan 6.7 bilion ringgit oleh Khazanah Nasional Berhad, dalam 9 projek
domestik berimpak tinggi seperti dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan,
pelancongan, perisian dan infrastruktur komunikasi;
Kelima:
Khazanah Nasional juga memperuntukkan 500 juta ringgit untuk modal teroka dan
dana ekuiti persendirian termasuk dana teroka modal pelancongan sebanyak 50
juta ringgit;
Keenam:
Pelaburan seterusnya dianggarkan 18 bilion ringgit untuk tahun 2016, bagi
Projek RAPID Complex di Pengerang, Johor;
Ketujuh:
Untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta, antara projek yang sedang
dilaksanakan adalah pembangunan Rubber City di Kedah dengan peruntukan 320 juta
ringgit, Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak sebanyak 142 juta ringgit dan
Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan, Sabah sebanyak 20 juta ringgit; dan
Kelapan:
Tumpuan turut diberi kepada pembangunan industri Kimia, Elektronik dan
Elektrikal, Mesin dan Peralatan, Aeroangkasa, Peranti Perubatan dan
Perkhidmatan. Untuk itu, 730 juta ringgit disediakan kepada dana-dana di bawah
MIDA; dan
Kesembilan:
Bagi terus menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat sedia ada dalam sektor
pengilangan dan pertanian terpilih yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan
Semula atau Reinvestment Allowance, insentif baharu Elaun Pelaburan Semula Khas
akan diberikan.
Kadar tuntutan adalah 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak dan dibenarkan ditolak daripada 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.
Kadar tuntutan adalah 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak dan dibenarkan ditolak daripada 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.
75.
Langkah 2: Dalam mempergiatkan pasaran modal pula, Kerajaan bersetuju untuk
melaksanakan beberapa inisiatif termasuk potongan cukai diberi ke atas kos
penerbitan sukuk Sustainable and Responsible Investments dan Pengecualian duti
setem sebanyak 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk
pembelian rumah.
76.
Langkah 3: Sememangnya, PKS memainkan peranan penting dalam membangunkan
rantaian nilai perniagaan. Ia dijangka menyumbang kepada 41 peratus KDNK
menjelang 2020. Untuk itu, lima tindakan berikut akan diambil:
Pertama:
Tambahan satu bilion ringgit bagi Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah
sehingga 31 Disember 2017, dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada
kadar keuntungan pembiayaan;
Kedua:
107 juta ringgit untuk Pelan Induk PKS bagi pemberian dana di pelbagai
peringkat perniagaan;
Ketiga:
60 juta ringgit untuk Skim Anjakan Usahawan dan Skim Peningkatan Kapasiti serta
Keupayaan PKS;
Keempat:
Menubuhkan dana pinjaman mudah SME Technology Transformation Fund sejumlah 200
juta ringgit, di bawah SME Bank pada kadar faedah empat peratus; dan
Kelima:
18 juta ringgit untuk memperluas Projek Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR,
dan Projek Automative Workshop Modernisation atau ATOM.
77.
Langkah 4: Seperti yang kita tahu, infrastruktur merupakan pemangkin kepada
keseluruhan pembangunan ekonomi dan sosial negara.
78.
Terkini, ingin saya maklumkan, bahawa, Malaysia menduduki tangga ke–25 di
antara 160 negara yang disenaraikan dalam Laporan Indeks Pencapaian Logistik
Bank Dunia 2014.
79.
Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur logistik,
termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan rel, serta lebuhraya
pada 2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara – Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi
– Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Central Spine Road.
80. Untuk
mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota pula, 900 juta ringgit
diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak, yang akan
dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.
81.
Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai Masjid Tanah
ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di Melaka.
82.
Seterusnya, sebanyak 42 juta ringgit disediakan bagi pembinaan Lapangan Terbang
Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu.
Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran landasan di lapangan terbang di
Batu Berendam, Melaka.
Tuan Yang
Dipertua,
83. Demi
keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem Pengangkutan Awam yang efisien
sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan dengan peruntukan yang besar
kerana kita mahu memudahkan kehidupan rakyat di kawasan bandar.
84. Izinkan
saya memberi sedikit status terkini, tentang antara projek terbesar dalam
sejarah negara, iaitu projek pengangkutan awam bersepadu MRT-LRT.
85. Bagi
projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer, akan boleh
kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek sambungan LRT Laluan Kelana
Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 kilometer pula, akan boleh
dinaiki pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai 10
bilion ringgit.
86.
Projek MRT jajaran Sungai Buloh – Semantan pula, juga dapat digunakan pada
tahun 2016, pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2 Semantan – Kajang dijangka
siap pertengahan 2017. Projek ini, dengan jarak 51 kilometer sedang
dilaksanakan dengan kos 32 bilion ringgit.
Tuan Yang
Dipertua,
87. Hasil
daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan
awam lain seperti berikut:
Pertama:
Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang- Putrajaya dengan jarak 52 kilometer,
akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 28 bilion
ringgit. Kerja pembinaan direncana bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka
siap menjelang 2022;
Kedua:
Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36
kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 10
bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap pada 2020. Disamping itu, Kerajaan
juga akan meneruskan rundingan High Speed Rail dengan Kerajaan Singapura; dan
Ketiga:
Bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada kos
melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir 1 bilion
ringgit akan dilaksanakan.
Tuan Yang
Dipertua,
88. Untuk
menambahbaik infrastruktur telekomunikasi pula, Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia menyediakan 1.2 bilion ringgit, antara lain, untuk
meningkatkan kelajuan internet luar bandar 4 kali ganda dari sehingga 5 Megabit
sesaat, kepada 20 Megabit sesaat,. National Fiber Backbone Infrastructure,
Jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut.
89.
Selain itu, 250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional bagi
meningkatkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah kepada kandungan TV
serta transaksi data interaktif.
Tuan Yang
Dipertua,
90.
Memang dari dahulu lagi, semenjak merdeka, kesejahteraan penduduk luar bandar,
menjadi keutamaan kita. Mana mungkin kita meminggirkan mereka. Liputan jalan
luar bandar telah meningkat daripada 46 ribu pada 2009 kepada 51 ribu
kilometer, 98 peratus kawasan luar bandar telah mendapat bekalan elektrik, dan
hampir 95 peratus mendapat bekalan air.
91.
Kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan luar
bandar seperti berikut:
Pertama:
1.4 bilion ringgit bagi membina serta menaik taraf jalan luar bandar sepanjang
700 kilometer di seluruh negara. Selain itu, 200 juta ringgit lagi disediakan
bagi menaik taraf jalan di kawasan penempatan FELDA;
Kedua:
878 juta ringgit untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, yang membabitkan 10
ribu buah rumah. 568 juta ringgit bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar untuk 3
ribu buah rumah;
Ketiga:
60 juta ringgit untuk Program Ameniti Sosial, terutamanya projek perparitan
bagi mencegah berlakunya banjir. Tumpuan diberikan kepada negeri-negeri yang
terlibat banjir seperti Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak;
Keempat:
Sebagai pemangkin keusahawanan di kawasan luar bandar dan komuniti desa, 70
juta ringgit untuk meneruskan Program Rural Business Challenge dan Program Desa
Lestari; serta
Kelima:
67 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Kenderaan Bas MARA, untuk
pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomik di luar bandar.
Tuan Yang
Dipertua,
92.
Langkah Kelima: Sektor pelancongan merupakan sektor yang paling berpotensi
untuk menjana ekonomi negara dalam keadaan kini. Untuk 2016, Kerajaan
mensasarkan 30.5 juta pelancong yang dijangka menyumbang sebanyak 103 bilion
ringgit kepada ekonomi negara. 1.2 bilion ringgit pula diperuntukkan kepada
Kementerian Pelancongan untuk tujuan ini.
Tuan Yang
Dipertua,
93.
Tambahan lagi, permohonan visa secara atas talian atau online application, akan
dilaksanakan bermula dengan negara China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka,
Amerika Syarikat dan Kanada.
94. Di
samping itu, untuk memudahkan pelancong dan pelawat untuk berkunjung ke
Malaysia, Kerajaan akan melaksanakan e-Visa menjelang pertengahan 2016.
95.
Seterusnya, bagi mengambil peluang atas kedudukan Ringgit, kini, dan usaha
untuk menarik lebih ramai pelancong, pengecualian cukai pendapatan sedia ada
sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun diberikan kepada pengusaha
pelancongan dilanjutkan mulai tahun taksiran 2016 sehingga tahun taksiran 2018.
Tuan Yang
Dipertua,
96.
Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian, adalah
sumber makanan negara dan merupakan tempat pergantungan pendapatan bagi petani,
pesawah dan nelayan.
97.
Sehubungan ini, 5.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian
dan Industri Asas Tani. Antara program yang akan dilaksanakan:
Pertama:
450 juta ringgit bagi pelbagai program berimpak tinggi seperti program
penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta geran pemadanan dan penyelidikan
produk herba dan penternakan ikan dalam sangkar;
Kedua: 180
juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur saliran dan pengairan di kawasan
Pembangunan Pertanian Bersepadu;
Ketiga:
190 juta ringgit kepada FAMA, bagi tujuan Program Penurunan Harga, dengan
menambah 50 buah lagi Pasar Tani dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia
atau ABR1M yang baru. 40 peratus daripada barang jualan ABR1M, adalah
barang-barang basah seperti ikan dan sayur yang harganya, dianggarkan 5 hingga
30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran; dan
Keempat:
90 juta ringgit diperuntukkan untuk Program Pembangunan Agropreneur Muda dalam
bentuk geran in-kind, Dana Pembiayaan Usahawan, penjenamaan semula MARDI,
Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan; serta pelaksanaan
Projek Ladang Pengganda untuk penternakan lembu dan ladang ayam kampung.
98. Dalam
mengolah dasar sesuai dengan keadaan ekonomi terkini, Kerajaan mencadangkan
galakan cukai bagi aktiviti pengeluaran bahan makanan dilanjutkan sehingga
2020. Insentif yang disediakan adalah seperti berikut:
Pertama:
Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan projek
pengeluaran bahan makanan, akan diberi potongan cukai bersamaan jumlah
pelaburan yang dibuat;
Kedua:
Syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan pula diberi
pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun; dan
Ketiga:
Syarikat sedia ada yang menjalankan projek pembesaran pula, juga diberikan
insentif yang sama untuk tempoh 5 tahun.
99. Skop
insentif juga akan diperluas kepada ternakan rusa, tanaman cendawan, kelapa,
rumpai laut, lebah madu dan kelulut serta tanaman makanan ternakan seperti ubi
keledek dan ubi kayu.
Tuan Yang
Dipertua,
100.
Sehubungan dengan tindakan-tindakan tadi, Kerajaan akan melipat-gandakan
sokongan untuk memperkukuhkan eksport negara.
101. Dengan
itu, 235 juta ringgit diperuntukkan kepada MATRADE, untuk Program Promosi
1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan Dana Promosi Eksport.
102.
MATRADE dan SME Corp juga akan meningkatkan keupayaan PKS dan syarikat
peringkat pertengahan atau mid-tier, untuk mengeksport barangan dan
perkhidmatan ke luar negara.
103.
Seterusnya, bagi mempelbagaikan penggunaan matawang asing untuk urusan
perdagangan pula, Bank Negara Malaysia menyediakan kemudahan credit swap
Ringgit-Renminbi kepada bank tempatan.
104. Pada
masa ini, PKS boleh menuntut pengecualian cukai pendapatan sebanyak 10 atau 15
peratus daripada nilai peningkatan eksport. Untuk terus meningkatkan eksport,
PKS diberi kelonggaran mematuhi syarat nilai tambah iaitu 30 peratus kepada 20
peratus, dan 50 peratus kepada 40 peratus bagi produk perkilangan. Kelonggaran
ini akan diberikan bagi tahun taksiran 2016 hingga 2018.
105. Bagi
menggalakkan perkhidmatan penilaian dan pematuhan piawaian antarabangsa
dilakukan di dalam negara, Kerajaan akan memberi galakan untuk penubuhan
Independent Conformity Assessment Bodies atau ICAB.
Tuan Yang
Dipertua,
106.
Setakat hari ini, Malaysia telah menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas
atau FTA iaitu 6 secara serantau melalui ASEAN dan 7 secara dua hala.
107. Sebagai
sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan
adalah sekitar 150 peratus melebihi KDNK, Kerajaan telah menerima secara
prinsipnya, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP. Walaubagaimanapun,
pertimbangan secara muktamad akan dibuat di Parlimen kelak.
Tuan Yang
Dipertua,
108. KEUTAMAAN
KEDUA: MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, INOVASI DAN TEKNOLOGI HIJAU. Lonjakan
inovasi dan kreativiti adalah kritikal untuk meningkatkan produktiviti kita.
Penggunaan teknologi hijau akan turut membantu melestarikan sumber-sumber asli
negara.
109. Oleh
yang demikian, Kerajaan mensasarkan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.7
peratus setahun melalui:
110.
Langkah Satu: Bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi yang kompetitif di
rantau ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi.
111.
Lantaran, 2016 akan diisytiharkan sebagai Tahun Pengkomersilan Malaysia, dalam
melonjakkan hasil produk R&D oleh institusi penyelidikan tempatan. Maka,
inisiatif- inisiatif berikut akan dilaksanakan:
Pertama:
PKS yang membuat perbelanjaan untuk projek R&D sehingga 50 ribu ringgit
bagi setiap tahun taksiran, layak menuntut potongan cukai dua kali secara
automatik. Kemudahan ini diberikan bagi tahun taksiran 2016 sehingga 2018;
Kedua:
100 juta ringgit kepada Agensi Inovasi Malaysia;
Ketiga:
200 juta ringgit di bawah Skim Dana Lonjakan Teknologi dan Inovasi oleh
Malaysia Debt Ventures Bhd;
Keempat:
35 juta ringgit kepada MaGIC, sebagai Peneraju Hab Keusahawanan dan Inovasi
Serantau, termasuk 10 juta ringgit sebagai dana permulaan untuk Corporate
Entrepreneurs Responsibility Fund;
Kelima:
30 juta ringgit untuk pelbagai program keusahawanan generasi muda seperti
Global Entrepreneurship Community, BAHTERA, GREAT, 1MET, National Innovation
Competition serta Projek Perintis Coding di sekolah; dan
Keenam:
Bagi menggiatkan aktiviti demand driven innovation, pada tahun 2016, Kerajaan
akan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk Public-Private Research Network.
Tuan Yang
Dipertua,
112.
Langkah Dua: Bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan,
Kerajaan akan menggalakkan lagi penggunaan teknologi Industrialised Building
System atau IBS. Sehubungan itu, Kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat
menggunapakai teknologi IBS.
113. Bagi
tujuan ini, dana khas IBS Promotion Fund sebanyak 500 juta ringgit disediakan
melalui SME Bank, sebagai pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor kategori
G5 dan ke bawah.
114.
Langkah Tiga: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan melaksanakan
pelbagai usaha teknologi hijau termasuk penyediaan bekalan air bersih, melalui
pembinaan loji rawatan air, dengan peruntukan 877 juta ringgit. 515 juta
ringgit pula, diperuntukkan bagi meningkatkan mutu bekalan elektrik di Sabah.
115.
Kerajaan turut mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau
sehingga 40 peratus KDNK pada tahun 2020, melalui:
Pertama:
Pelaksanaan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik termasuk proses audit tenaga
dengan peruntukan 45 juta ringgit;
Kedua:
Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA melaksanakan Skim Pemeteran
Tenaga Bersih, dengan kuota 100 MW setahun, dalam menggalakkan penggunaan solar
photovoltaic; dan
Ketiga:
Melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sehingga 31
Disember 2017, dengan dana sebanyak 1.2 bilion ringgit.
Tuan Yang
Dipertua,
116. KEUTAMAAN
KETIGA: MEMPERSIAGA MODAL INSAN.
Perkara ini amat kritikal untuk masa depan negara. Justeru Kerajaan akan mengambil langkah-langkah seperti:
Perkara ini amat kritikal untuk masa depan negara. Justeru Kerajaan akan mengambil langkah-langkah seperti:
117.
Langkah 1: Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebanyak
41.3 bilion ringgit akan diperuntukkan pada 2016.
118.
Antara lain, Kerajaan akan membina:
• 30 sekolah rendah;
• 27 sekolah menengah;
• 4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh, Tanah Merah, Kelantan, Bagan Datoh, Perak; dan
• 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah, Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang.
• 30 sekolah rendah;
• 27 sekolah menengah;
• 4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh, Tanah Merah, Kelantan, Bagan Datoh, Perak; dan
• 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah, Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang.
119.
Untuk peringkat kelas prasekolah pula, 44.6 juta ringgit diperuntukkan untuk
pelbagai program di 9,113 buah kelas seluruh Malaysia.
Tuan Yang
Dipertua,
120.
Untuk meningkatkan Penguasaaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, 135 juta
ringgit diperuntukkan bagi program Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh
Bahasa Inggeris.
121. Oleh
kerana, Bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan global semasa, maka dua
lagi inisiatif, iaitu Dual Language Programme dan Highly Immersive Programme
akan dilaksanakan secara optional dengan kos 38.5 juta ringgit. Dalam hal ini,
300 buah sekolah telah dikenal pasti sebagai projek perintis.
122. Bagi
meringankan tanggungan ibubapa untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak,
bantuan 100 ringgit akan diteruskan. Mulai Januari 2016, ia hanya dikhususkan
kepada pelajar sekolah dari kalangan isi rumah berpendapatan 3 ribu ringgit ke
bawah. Ini memanfaatkan 3.5 juta pelajar dengan peruntukan 350 juta ringgit.
123.
Selain itu, program rancangan makanan tambahan yang melibatkan 550 ribu pelajar
dari keluarga miskin yang tersenarai dalam eKasih akan ditambah baik.
124.
Program ini, yang sebelumnya hanya tertakluk kepada makanan waktu rehat, akan
diperluaskan dengan kos tambahan 173 juta ringgit untuk sarapan pagi. Kos
keseluruhan program ini sebanyak 423 juta ringgit.
Tuan Yang
Dipertua,
125.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan juga terus menyediakan peruntukan
untuk membangunkan dan menyelenggara Fasiliti Pendidikan untuk Sekolah
Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil;
Sekolah Mubaligh; Sekolah Berasrama Penuh; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan;
MRSM; Sekolah Pondok yang berdaftar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau
Conforming School yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan. Peruntukan bagi
tujuan ini, keseluruhannya berjumlah 500 juta ringgit.
126.
Langkah Dua: Pembiayaan biasiswa diteruskan dengan agihan, antaranya seperti
berikut:
• 1.65 bilion ringgit melalui Jabatan Perkhidmatan Awam;
• 288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan;
• 250 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan Tinggi; dan
• 258 juta ringgit melalui Kementerian Kesihatan.
• 1.65 bilion ringgit melalui Jabatan Perkhidmatan Awam;
• 288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan;
• 250 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan Tinggi; dan
• 258 juta ringgit melalui Kementerian Kesihatan.
127.
Selanjutnya, dalam menggalakkan lagi pendidikan tinggi, sukacita saya umumkan,
had maksima pelepasan cukai ke atas yuran pengajian pendidikan tinggi bagi
pembayar cukai individu, dinaikkan kepada 7 ribu ringgit daripada 5 ribu
ringgit setahun.
128. Ini
dilengkapkan lagi dengan penerusan Program Baucar Buku 1Malaysia yang bernilai
250 ringgit, bagi 1.2 juta pelajar. Untuk mengelakkan salah guna baucar ini,
kaedah penebusan akan diperkemaskan hanya di kedai-kedai buku yang diiktiraf.
Tuan Yang
Dipertua,
129.
Langkah Tiga: Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pekerja, kita
mensasarkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu, adalah pekerja
berkemahiran TVET menjelang 2020. Sejumlah 4.8 bilion ringgit diperuntukkan
kepada 545 Institusi TVET di bawah Bajet ini.
130.
Dalam usaha ini juga, MITI akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kemahiran
Industri bagi menyelaras program TVET dengan kerjasama pihak industri.
131.
Selain daripada itu, lebih 330 ribu pelatih akan mendapat manfaat daripada
inisiatif ini melalui antaranya program-program berikut:
Pertama:
585 juta ringgit untuk peralatan latihan TVET di Politeknik, Kolej Komuniti,
Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan
Perindustrian, GiatMARA dan Kolej Vokasional;
Kedua:
350 juta ringgit untuk membiayai program di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan
Kemahiran; dan
Ketiga:
80 juta ringgit untuk penubuhan Akademi Pelancongan di Kolej Komuniti Kota
Kinabalu, Kolej Vokasional Sandakan serta Institut Latihan Perindustrian
Serian, Sarawak.
Tuan Yang
Dipertua,
132.
Langkah Empat pula, berkenaan Memperkasa Belia, Komuniti dan NGO. Bagi langkah
ini, Bajet 2016 memperuntukkan 930 juta ringgit kepada Kementerian Belia dan
Sukan bagi inisiatif berikut:
Pertama:
280 juta ringgit untuk latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran
Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara;
Kedua: 50
juta ringgit untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan
ekonomi dan keusahawanan;
Ketiga:
145 juta ringgit untuk mempersiapkan atlet negara untuk menghadapi cabaran
Sukan SEA ke 29, dan Sukan Para ASEAN ke 9 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur;
Keempat:
75 juta ringgit untuk terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui
Program Pembangunan Podium Sukan Elit;
Kelima:
22 juta ringgit untuk membina 2 Kompleks Sukan di Bagan Datoh dan Kuantan; dan
Keenam:
360 juta ringgit untuk menambahbaik Program Latihan Khidmat Negara bagi 20 ribu
pelatih. Ia melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif
dan kemahiran teknikal.
133.
Akhir sekali, 160 juta ringgit disediakan untuk NGO-NGO, bagi melaksanakan
program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat,
kesihatan dan keselamatan.
Tuan Yang
Dipertua,
134.
Langkah Lima, memfokus kepada Kualiti Tenaga Kerja.Bagi meningkatkan
kebolehpasaran tenaga kerja, program seperti berikut akan dilaksanakan:
Pertama:
Memperuntukkan 30 peratus daripada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia,
sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan program latihan mengikut keperluan
industri setempat di Sabah dan Sarawak, serta Outplacement Centre bagi melatih
semula pekerja yang telah diberhentikan; dan
Kedua:
Melatih 15 ribu peserta melalui program Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M dengan
kos 250 juta ringgit yang akan dibiayai sepenuhnya oleh GLC.
Tuan Yang
Dipertua,
135.
Untuk Menambahbaik Pengurusan Tenaga Kerja Asing pula, sebanyak 77 juta ringgit
akan diperuntukkan oleh PSMB bagi menjalankan program seperti Train &
Replace dalam bidang terpilih seperti hospitaliti, perkapalan dan pengangkutan.
Tuan Yang
Dipertua,
136.
Kerajaan terus komited dengan hasrat untuk mencapai sekurang-kurangnya 30
peratus penglibatan wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor awam dan
swasta. Ini termasuklah di peringkat Lembaga Pengarah; dan Kerajaan akan
sentiasa memantau pencapaian dasar ini.
Tuan Yang
Dipertua,
137. KEUTAMAAN
KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA. Perlu saya tegaskan, bahawa
pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional dan ini tentunya, merangkumi
pembangunan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
138.
Sebanyak 150 juta ringgit disalurkan kepada TERAJU untuk pelaksanaan pelbagai
program termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Program Syarikat
Bumiputera Berprestasi Tinggi
139. 150
juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk
melaksanakan program Peneraju Tunas, Peneraju Profesional serta Peneraju Skil
dan Iltizam.
140.
Manakala, kepada MARA pula, diperuntukkan 3.7 bilion ringgit, termasuk menaja
pengajian 72 ribu pelajar Bumiputera di peringkat pendidikan tinggi.
141. Bagi
memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebat keusahawanan dan perniagaan
Bumiputera, peruntukan akan diberikan seperti berikut:
Pertama:
400 juta ringgit kepada Dana Ekuiti Nasional Berhad atau EKUINAS;
Kedua:
250 juta ringgit kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad;
Ketiga:
150 juta ringgit kepada Pelaburan Hartanah Berhad; dan
Keempat :
100 juta ringgit sebagai pinjaman kepada UDA Holdings untuk tujuan pembangunan
Kampung Baru Kuala Lumpur.
Tuan Yang
Dipertua,
142.
Manakala, untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak, langkah-langkah
berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Lebuhraya
Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090 km, dijangka siap
sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran kos sebanyak 16.1 bilion ringgit.
Di Sabah
pula, fasa 1 lebuhraya ini, akan mula dibina pada 2016 meliputi 706 kilometer,
bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran kos 12.8 bilion ringgit.
Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi, Lebuhraya Pan Borneo ini akan bebas
daripada sebarang bayaran tol;
Kedua:
Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama pengangkutan bagi
penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan. Maka, perkhidmatan
pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air
Services dikecualikan daripada GST;
Ketiga:
Sebagai satu program baru, 70 juta ringgit disediakan melalui Bank Simpanan
Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, bagi pinjaman
tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah panjang dengan had pinjaman 50
ribu ringgit untuk setiap unit di rumah panjang;
Keempat:
70 juta ringgit sebagai subsidi baja padi huma disediakan untuk meningkatkan
bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, yang meliputi kawasan seluas
65 ribu hektar di Sarawak, dan 11 ribu hektar di Sabah;
Kelima:
260 juta ringgit disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga
1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih di seluruh negara;
Keenam:
115 juta ringgit disediakan khusus bagi Program Khas Bumiputera Sabah dan
Sarawak, seperti untuk projek native customary rights, yang merangkumi
prosedur-prosedur pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, serta melibatkan
kos membina native courts, atau mahkamah-mahkamah adat. Bagi projek native
customary rights, 20 juta daripada jumlah tersebut untuk pemetaan tanah di
Sabah, dan 30 juta ringgit pula, untuk tujuan yang sama di Sarawak; dan
Ketujuh:
Meningkatkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pendalaman Sabah dan
Sarawak, termasuk pembelian bot dan kenderaan baru.
Tuan Yang
Dipertua,
143. KEUTAMAAN
KELIMA: MERINGANKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT. Hal ini, adalah amat dekat di
hati saya dan Kerajaan. Makanya, pelbagai inisiatif akan dilakukan melalui:
144.
Langkah Satu: Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah B40, di mana:
Pertama:
TEKUN akan menyediakan 600 juta ringgit yang meliputi 500 juta ringgit untuk
usahawan Bumiputera, dan 100 juta ringgit untuk 10 ribu usahawan India, melalui
Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Selain itu, 50 juta ringgit
disediakan oleh SME Bank untuk membantu usahawan kecil India;
Kedua:
Tambahan 200 juta ringgit kepada dana sedia ada untuk Amanah Ikhtiar Malaysia,
bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada isi rumah B40;
Ketiga:
100 juta ringgit disediakan di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi
Masyarakat India yang melibatkan kerjasama NGO dengan Institut Latihan
Kemahiran Swasta;
Keempat:
Tambahan 90 juta ringgit sebagai pinjaman mikro kredit kepada penjaja dan
peniaga-peniaga kecil kaum Cina yang termasuk 50 juta ringgit untuk KOJADI.
Seterusnya,
40 juta ringgit bagi melaksanakan projek infrastruktur dan program pinjaman
mudah kepada penduduk kampung-kampung baru Cina bagi pembayaran premium tanah
dan membaik pulih rumah;
Kelima:
50 juta ringgit kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, untuk
Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan.
Melalui kedua-dua program ini, peserta akan mendapat manfaat latihan kemahiran
dan juga bantuan berbentuk aset serta bahan mentah; dan
Keenam:
Menyediakan 100 juta ringgit kepada Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan NGO
bagi meningkatkan kemahiran B40 untuk mereka mendapat pekerjaan atau memulakan
perniagaan.
Tuan Yang
Dipertua,
145.
Sejak dulu lagi, Kerajaan ini sungguh prihatin terhadap kebajikan dan kemajuan
masyarakat Orang Asli. Untuk ini, sebanyak 300 juta ringgit disediakan bagi
melaksanakan:
Pertama: Pembangunan
Perkampungan Bersepadu antaranya di Sungai Siput, Perak yang merangkumi
pembinaan jalan perhubungan, penyediaan bekalan elektrik dan air terawat dengan
peruntukan 80 juta ringgit;
Kedua:
Bantuan makanan tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah sebanyak
45 juta ringgit; dan
Ketiga:
Projek pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman kontan, menerusi
Projek Pembangunan Ekonomi Orang Asli sebanyak 25 juta ringgit.
146.
Untuk golongan B40 lagi, program eRezeki dan eUsahawan akan diperluaskan ke
seluruh negara, untuk menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan
mereka. Kerajaan mensasarkan 100 ribu dari kalangan B40 mendapat manfaat dengan
peruntukan sebanyak 100 juta ringgit, yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi
dan Multimedia Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
147.
Untuk Golongan Pesawah, Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pula, Bajet kali ini
menyediakan 852 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA untuk melaksanakan
pelbagai program peningkatan pendapatan dan produktiviti.
148.
Kerajaan bercadang menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah atau IPG. Untuk ini,
sukacita saya umumkan, paras pengaktifan IPG dinaikkan daripada 4 ringgit 60
sen, kepada 5 ringgit 50 sen sekilogram, bagi getah SMR20 Freight On Board.
Bagi getah skrap atau cuplumps di peringkat ladang pula, dinaikkan daripada 1
ringgit 75 sen, kepada 2 ringgit 20 sen sekilogram.
149.
Sebagai ilustrasi, berdasarkan purata pengeluaran 250 kilogram sebulan bagi
setiap hektar, pemilik kebun seluas 2 hektar dijangka mampu meraih pendapatan
seribu ringgit sebulan. Ini adalah pada harga pasaran getah skrap 2 ringgit
sekilogram.
150.
Kini, dengan bayaran tambahan IPG sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram,
pendapatan keseluruhan pemilik kebun tersebut akan meningkat kepada 1,100
ringgit sebulan.
151.
Dengan penambahbaikan IPG ini juga Tuan Yang Dipertua, jikalau senario tadi
hanya merujuk kepada seorang pemilik kebun, secara keseluruhannya pula, melalui
Bajet ini seramai 300 ribu pekebun getah akan menerima manfaat tambahan
daripada Kerajaan. Jumlah peruntukan yang dianggarkan adalah sebanyak 200 juta
ringgit.
152.
Selanjutnya, bagi menggalakkan petani meningkatkan mutu padi dan hasil tuaian
mereka, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif Pemutuan Sebenar Padi dan menambahbaik
Skim Subsidi Harga Padi, mulai 1 Januari 2016.
153.
Pemutuan Sebenar Padi adalah berasaskan penyeragaman harga padi pada paras
1,200 ringgit setiap tan metrik. Sebagai pelengkap kepada inisiatif ini,
Kerajaan juga meningkatkan kadar SSHP dari 248 ringgit 10 sen, kepada 300
ringgit bagi setiap tan metrik.
154.
Maksudnya, sekiranya seseorang petani itu menghasilkan 6 tan metrik padi, yang
menepati kualiti pemutuan 20 peratus pemotongan, beliau layak mendapat bayaran
hasil jualan sebanyak 5,760 ringgit.
155.
Bukan itu sahaja, petani tersebut juga akan menerima penambahan menerusi
peningkatan kadar SSHP, menjadikan jumlah pendapatannya meningkat daripada
1,190 ringgit kepada 1,440 ringgit.
156.
Maka, secara keseluruhannya, setelah ini, petani tersebut akan mendapat 7,200
ringgit, pada setiap kali penuaian. Suka saya menyatakan di sini, seramai 155
ribu pesawah akan menikmati penambahbaikan skim ini.
157.
Langkah Dua: Seperti kita tahu, isu pemilikan rumah adalah isu yang sering
dibangkitkan semenjak beberapa tahun ini. Pelaksanaannya memerlukan penglibatan
pelbagai agensi.
Tuan Yang
Dipertua,
158.
Bajet 2016, meneruskan pelbagai program pemilikan rumah bagi segenap lapisan
pendapatan seperti berikut:
Pertama:
Membina 175 ribu unit rumah oleh PR1MA, yang dijual 20 peratus di bawah harga
pasaran, dengan peruntukan 1.6 bilion ringgit. Sebanyak 10 ribu unit dijangka
siap tahun hadapan;
Kedua:
Membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad,
dengan pemberian subsidi 20 ribu ringgit bagi seunit rumah dengan peruntukan
200 juta ringgit;
Ketiga:
Membina 100 ribu unit rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M,
menjelang tahun 2018, dengan harga di antara 90 hingga 300 ribu ringgit.
Bantuan Dana Mudahcara sehingga 25 peratus daripada kos pembangunan disediakan;
Keempat:
Membina 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 unit rumah teres di bawah Program
Perumahan Rakyat oleh KPKT dengan peruntukan 863 juta ringgit;
Kelima:
Menyediakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah KPKT, sebagai
sumbangan kepada pembeli rumah pertama untuk rumah mampu milik bagi tujuan
bayaran deposit. Untuk ini, 200 juta ringgit diperuntukan;
Keenam:
Membina 5 ribu unit rumah PR1MA dan PPA1M di 10 lokasi sekitar stesen dan
koridor LRT serta monorel, antaranya di Pandan Jaya, Sentul dan Titiwangsa;
Ketujuh:
Memperuntukkan 60 juta ringgit kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli khusus untuk
pembinaan rumah masyarakat Orang Asli;
Kelapan:
Membina rumah untuk generasi kedua peneroka, iaitu 20 ribu unit rumah oleh
FELDA, 2 ribu unit rumah oleh FELCRA dan 2 ribu unit rumah oleh RISDA.
Bagi
rumah FELDA, harga maksima kini diturunkan kepada 70 ribu ringgit berbanding 90
ribu ringgit sebelum ini;
Kesembilan:
Membina 800 unit rumah mampu milik oleh GLC berhampiran stesen MRT dalam
Kawasan Pusat Bandar Kwasa Damansara oleh Kwasa Land milik KWSP, dan 4,600 unit
rumah mampu milik oleh Sime Darby Property; dan
Kesepuluh:
Memperuntukkan 40 juta ringgit di bawah KPKT, bagi pemulihan projek perumahan
swasta terbengkalai.
Selain
itu, pengecualian duti setem diberikan ke atas surat cara pembiayaan pinjaman
kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai.
Tuan Yang
Dipertua,
159.
Seterusnya, bagi menyediakan persekitaran penduduk yang selesa, langkah berikut
akan dilaksanakan:
Pertama:
150 juta ringgit bagi membina dan membaik pulih 11 ribu rumah daif di kawasan
luar bandar oleh KKLW; dan
Kedua:
155 juta ringgit bagi penyelenggaraan perumahan awam kos rendah, dan Tabung
Penyelenggaraan 1Malaysia oleh KPKT. Antara lain, tabung ini membolehkan
pembiayaan 100 peratus untuk pembaikan lif, railing, serta pendawaian semula.
Tuan Yang
Dipertua,
160.
Langkah Tiga: Sememangnya, negara mana yang tidak mahu kualiti perkhidmatan
kesihatan terbaik dan bertaraf dunia. Inilah yang sentiasa diperjuangkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu, kini dan selamanya. Antara projek yang
akan dilaksanakan adalah:
Pertama:
Membina 5 hospital baru di Pasir Gudang, Kemaman, Pendang, Maran dan di
Cyberjaya;
Kedua: Memulakan
operasi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur, yang bernilai 848 juta
ringgit pada Oktober 2016;
Ketiga:
Projek Pembangunan Semula Hospital Kajang;
Keempat:
260 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf klinik desa, klinik kesihatan
dan klinik pergigian, berserta kuarters di seluruh negara;
Kelima:
52 juta ringgit bagi operasi 328 klinik 1Malaysia sedia ada, dan pembukaan 33
klinik 1Malaysia baharu;
Keenam:
72 juta ringgit untuk bantuan perubatan, termasuk hemodialisis, yang
memanfaatkan hampir 10 ribu pesakit kurang berkemampuan; dan
Ketujuh:
4.6 bilion ringgit untuk bekalan ubat, consumables, vaksin dan reagents kepada
semua hospital dan klinik Kerajaan.
161.
Bermula 1 Januari 2016 juga, Kerajaan akan mengenakan caj penuh rawatan kepada
pesakit bukan warganegara Malaysia.
Tuan Yang
Dipertua,
162.
Langkah Empat: Kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaringan perlindungan
sosial dengan peruntukan hampir 2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk membantu golongan OKU, warga emas dan
keluarga miskin. Untuk tujuan ini, antara program yang akan dilaksanakan
adalah:
Pertama:
445 juta ringgit bagi meneruskan pemberian 350 ringgit sebulan kepada OKU
bekerja dan 200 ringgit sebulan kepada OKU yang tidak bekerja serta untuk
penjagaan OKU terlantar sebanyak 300 ringgit sebulan. Kesemuanya ini, akan
memanfaatkan hampir 150 ribu OKU;
Kedua:
100 juta ringgit disediakan termasuk untuk menambah 20 lagi buah Pusat
Pemulihan Dalam Komuniti; dan
Ketiga:
Bantuan 662 juta ringgit untuk anak daripada keluarga miskin berjumlah 100
hingga 450 ringgit sebulan, serta warga emas miskin sebanyak 300 ringgit
sebulan.
Tuan Yang
Dipertua,
163.
Dalam setahun yang lepas, negara telah dilanda dua bencana yang besar, iaitu
banjir besar pada penghujung 2014, dan gempa bumi di Ranau, Sabah. Musibah dan
tragedi ini, jika tidak diambil langkah yang proaktif, boleh menyebabkan
kerugian berbilion ringgit dan lebih penting lagi, kehilangan nyawa dan
anggota.
164.
Maka, bagi memperkukuh pengurusan bencana alam, 180 juta ringgit disediakan
termasuk untuk penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah JPM.
165.
Seterusnya, 730 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir
di seluruh negara. Manakala, 60 juta ringgit untuk Program Ramalan dan Amaran
Banjir Negara serta membangunkan Sub-Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional di
Sabah.
Tuan Yang
Dipertua,
Ahli-Ahli
Dewan yang mulia serta Rakyat Malaysia Sekalian,
166.
Jelasnya, apa yang pentadbiran Kerajaan sedia ada selama ini, sedang lakukan
dan laksanakan, dengan sehabis baik ini,…Sebetulnya, merupakan tali-temali,
sambung menyambung dasar serta perancangan pimpinan negara, sejak
dekad-berdekad.
167.
Lantas,… ingin saya ulangi,.. Bajet ini,…satu antara langkah dalam rantaian
langkah-langkah besar terakhir,…yang hanya tinggal sedikit masa lagi sebelum
mentari sebagai negara maju, menzahirkan cahayanya.
168.
Pucuk pangkalnya, sebagaimana baik pun perancangan yang dibuat, sedemikian
apapun rencana yang disusun, hukum hakam dan resmi bernegara, seperti tercatat
dalam tawarikh kehidupan, membuktikan bahawa, hatta sebuah tamadun pun akan
gagal jikamana kerukunan, kestabilan dan kebersatuan negara tidak
diperkekalkan.
Tuan Yang
Dipertua,
169. Oleh
sebab itulah, tatkala membicarakan tentang ketenteraman tanahair, tiada kalimah
sebagai ibarat, tiada kata sebagai umpama, yang dapat menunjukkan betapa kita
berterima kasih dan menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan,
mahupun para perajurit dalam menjamin keamanan pertiwi.
170. Oleh
yang demikian, Kerajaan komited untuk melaksanakan pelan pembangunan keupayaan
Angkatan Tentera Malaysia atau ATM secara berperingkat.
171.
Sehubungan itu, sebanyak 17.3 bilion ringgit disediakan untuk Kementerian
Pertahanan. Antaranya, bagi perolehan 6 buah Littoral Combatant Ship, sistem
persenjataan Very Short Range Air Defence, kereta berperisai dan pesawat Airbus
A-400M.
172.
Tambahan lagi, ATM akan diperlengkapkan dengan teknologi terkini, termasuk
penggunaan Unmanned Airborne System untuk meningkatkan keupayaan Intelligence,
Surveillance and Reconnaissance.
173.
Sejumlah 523 juta ringgit pula, diperuntukkan untuk pembangunan kem tentera
darat ESSCOM di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah.
174.
Seterusnya, bagi mengenang jasa dan khidmat bakti wira-wira kita, sebanyak, 160
juta ringgit diperuntuk bagi membina 4 ribu unit lagi kuarters anggota Angkatan
Tentera Malaysia.
175.
Tidak cukup sekadar itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sedang merancang
untuk membina tambahan 2 ribu unit lagi rumah mampu milik, kepada anggotanya
bermula tahun hadapan.
176. Di
samping itu, Kerajaan bersetuju supaya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,
diperuntukkan sejumlah 864 juta ringgit, bertujuan antaranya, perolehan
Offshore Patrol Vessel dan kapal peronda.
177.
Manakala, bagi mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam dalam negeri,
untuk terus mengurangkan kadar jenayah,… sejumlah 13.1 bilion ringgit
disediakan. Inisiatif-inisiatif berikut akan dilaksanakan:
Pertama:
155 juta ringgit untuk pembinaan 2 buah Ibu Pejabat Polis Daerah atau IPD
baharu, iaitu di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, serta 10 buah IPD dan
5 buah balai polis yang masih dalam pembinaan;
Kedua:
Merancang untuk membina 2 ribu unit lagi rumah mampu milik bagi anggota Polis
Diraja Malaysia atau PDRM, antaranya di Rawang dan kawasan-kawasan yang sedang
dikenalpasti;
Ketiga:
36 juta ringgit untuk membina pejabat, kuarters dan menaiktaraf depoh tahanan
imigresen;
Keempat:
50 juta ringgit bagi mempertingkatkan langkah keselamatan penjara; dan
Kelima:
20 juta ringgit untuk Program Bandar Selamat di 60 kawasan hitam, antaranya
melalui pengasingan laluan pejalan kaki dan pencahayaan di kawasan tersebut.
Sukacita
saya mengumumkan, penambahan 500 unit Rondaan Bermotosikal PDRM lagi, dan 500
unit lagi kereta peronda, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 35 juta
ringgit.
Tuan Yang
Dipertua,
178. Bagi
menguatkan lagi usaha integriti dan mengurangkan ketirisan serta rasuah, SPRM
akan terus dimantapkan dengan program-program serta latihan yang relevan.
Dengan ini, bilangan pegawai SPRM akan turut ditambah mengikut keperluan.
179.
Merujuk kepada falsafah Rancangan Malaysia Kesebelas lagi, Tuan Yang Dipertua,
sepertimana yang telah saya nyatakan di awal ucapan tadi, tentang rupawajah dan
warna-warna kemajuan negara serta sahsiah rakyat yang kita dambakan, ketikamana
memasuki gelanggang negara maju kelak, dalam apa jua yang direncanakan, seperti
dokumen Bajet ini,… perihal kebajikan dan kepentingan rakyat, menjadi
keutamaan.
180.
Sepertimana ramai makrufi,… Malaysia kontemporari ini, sudah pun dikenali
sebagai sebuah negara Islam yang progresif lagi dinamik, sehingga disegani di
seantero dunia. Sejak tahun-tahun kebelakangan,… Kerajaan sedang menuju maksud
dalam usaha menepati kerangka Maqasid Syariah dan pengertian wasatiyyah.
181.
Walau apapun, untuk memenuhi tuntutan maqasid syariah, bukanlah sesuatu yang
mudah. Apatah lagi, berkait ciri kemajmukan rakyat di negara ini.
182. Sememangnya
pun, tanpa disedari, sejak meraih kemerdekaan, kita telah mengamalkan objektif
tersebut dengan prinsip kesederhanaan yang begitu tersendiri.
183.
Berdiri di atas asas ini, kita telah berjaya membina sebuah negara yang makmur,
aman dan sentosa.
184. Di
sudut ini,… tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa tunjang dan tonggak
kepada urusan pentadbiran negara adalah para kakitangan awam.
185. Oleh
itu, marilah kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada lebih 1.6 juta mereka
yang berjasa ini.
186. Pucuk
dicita ulam pun mendatang, saat dinanti kini menjelang. Bagi Menghargai
Perkhidmatan Awam, atas segala sumbangan dan khidmat bakti kepada negara,
Kerajaan bersetuju:
Pertama :
Memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut
gred yang akan memanfaatkan 1.6 juta warganya dengan peruntukan 1.1 bilion
ringgit;
Kedua :
Menambah baik sebanyak 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406 ribu
penjawat awam;
Ketiga :
Menetapkan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada 1,200 ringgit
sebulan yang akan memanfaatkan 60 ribu penjawat awam;
Keempat :
Menetapkan kadar pencen minimum sebanyak 950 ringgit sebulan, yang akan
melibatkan hampir 50 ribu pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh
perkhidmatan; dan
Kelima :
Melantik secara tetap pegawai lantikan Contract of Service yang telah
berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun. Ini akan memanfaatkan lebih 10 ribu
pegawai kontrak.
187.
Pelaksanaan kesemua langkah ini Tuan Yang Dipertua, akan berkuatkuasa pada 1
haribulan Julai 2016 dengan peruntukan sebanyak 1.4 bilion ringgit.
Tuan Yang
Dipertua,
188. Bagi
merealisasikan harapan, seperti yang dijanjikan, dalam ikhtiar meringankan kos
sara hidup rakyat pula, Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M akan diteruskan.
189. Saya
tahu benar,… ada pihak yang mengatakan bahawa BR1M tidak perlu diteruskan.
Namun, melalui maklum balas yang diterima, mereka sangat bersyukur dan
berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan ini, kerana terbukti, Bantuan
Rakyat 1Malaysia tersebut telah sedikit sebanyak membantu meringankan beban
hidup mereka.
190.
Sehubungan yang demikian,… selaras dengan Aku Janji Kerajaan Barisan Nasional
juga, sukacita saya umumkan, jumlah BR1M untuk tahun 2016 akan dinaikkan
seperti berikut:
Pertama:
Satu kategori baru diperkenalkan bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih
yang berpendapatan bulanan di bawah 1,000 ringgit, akan menerima BR1M sebanyak
1,050 ringgit;
Kedua:
Bagi isi rumah berpendapatan bulanan 3 ribu ringgit ke bawah, BR1M ditingkatkan
daripada 950 ringgit kepada seribu ringgit;
Ketiga:
Bagi isi rumah berpendapatan antara 3,001 hingga 4 ribu ringgit, pemberian BR1M
ditingkatkan daripada 750 ringgit kepada 800 ringgit;
Keempat:
Bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak seribu ringgit akan
diteruskan; dan
Kelima:
Bagi kategori individu bujang pula, yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta
berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan, kadar bantuan akan
ditingkatkan daripada 350 ringgit kepada 400 ringgit.
Tuan Yang
Dipertua,
191.
Keseluruhannya, kesemua bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 4.7 juta isi
rumah dan 2.7 juta individu bujang, dengan peruntukan 5.9 bilion ringgit.
Tuan Yang
Dipertua,
192.
Jika, dalam RMK-11, saya telah menyebut tentang kelompok B40, dan tafsiran
kumpulan yang terlibat, maka dalam Bajet ini, satu lagi kumpulan besar yang
Kerajaan kini akan turut memberi tumpuan bergelar M40.
193.
Secara statistiknya, tafsiran awal M40 adalah, kelompok isirumah yang
berpendapatan antara 3,860 ringgit hingga 8,320 ringgit. Namun, definisi M40
ini, akan terus Kerajaan perincikan dari masa ke semasa.
194.
Dalam hal ini, sukacita saya umumkan:
Pertama:
Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun mulai taksiran
2016, digandakan daripada 1 ribu ringgit kepada 2 ribu ringgit;
Kedua:
Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak mempunyai
pendapatan, dinaikkan daripada 3 ribu ringgit kepada 4 ribu ringgit;
Ketiga:
Jika buat masa ini, pembayar cukai individu diberi pelepasan sehingga 5 ribu
ringgit setahun bagi tujuan perubatan dan penjagaan terhad hanya kepada ibubapa
mereka yang sakit.
Dalam
Bajet ini, Kerajaan memandang positif sikap anak yang mengambil berat terhadap
kebajikan ibubapa mereka dan mengalu-alukan pengukuhan institusi kekeluargaan.
Sehubungan
itu, buat julung kalinya, anak-anak yang menyara ibubapa mereka, meskipun tidak
tinggal bersama, akan diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak 1,500 ringgit
untuk ibu, dan 1,500 ringgit lagi untuk bapa.
Tapi,…dengan
syaratnya, ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi 2 ribu
ringgit sebulan dan berumur 60 tahun ke atas; dan
Keempat:
Sempena Bajet ini juga, Kerajaan memutuskan, untuk menaikkan had pelepasan
cukai daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, bagi setiap anak berumur
18 tahun dan ke atas, yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian
dalam dan luar negara, mulai tahun taksiran 2016; dan
Kelima:
Bagi ibubapa kepada anak-anak Orang Kurang Upaya-nya, yang sedang melanjutkan
pengajian di institusi dalam dan luar negara, had pelepasan cukai dinaikkan
daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, mulai tahun taksiran 2016.
Ingin
saya tambah di sini, had pelepasan cukai sedia ada bagi ibubapa yang mempunyai
anak OKU adalah 6 ribu ringgit. Ini bermakna, sekiranya anak OKU ini
melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara, jumlah pelepasan cukai yang
boleh dituntut secara keseluruhannya, adalah sebanyak 14 ribu ringgit.
Tuan Yang
Dipertua,
195.
Seterusnya, untuk membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat di bawah
PERKESO, kelayakan caruman wajib dinaikkan daripada gaji 3 ribu ringgit kepada
4 ribu ringgit sebulan. Pengubahsuaian ini, memanfaatkan kepada 500 ribu
pekerja, di mana jika si pencarum meninggal dunia dalam tempoh kerja, waris
akan menerima bayaran bulanan sehingga 90 peratus pendapatan bulanan terakhir
beliau.
Tuan Yang
Dipertua,
196.
Secara kesimpulannya, selama puluhan tahun, Kerajaan Barisan Nasional telah
memikul mandat dan menggalas kepercayaan rakyat. Kerajaan ini juga telah secara
berterusan melunaskan serta melangsaikan janji-janji yang dilafaz dan dicatat.
Ini bererti, Kerajaan yang mentadbir sekian waktu ini jua, terserlah mempunyai
visi dan halatuju yang jelas.
197. Apa
yang mustahak, untuk dinyata dan dipertegaskan sekali lagi, kita terus mendapat
pengiktirafan-pengiktirafan daripada pengabsah-pengabsah berwibawa tinggi di
dunia, antaranya agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings,
Moody’s dan Standard & Poor’s, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang
keadaan serta pengurusan ekonomi Malaysia.
198.
Malah,… pelbagai pencapaian telah kita raih, antaranya yang terkini, kedudukan
Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016 oleh World Economic Forum,
melonjak dua anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 140 negara utama ekonomi
di dunia.
199.
Kepada rakyat sekalian,… usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah. Jelas
sekali,… dengan rekod pencapaian yang cemerlang,… antaranya yang telah saya
tuturkan di awal ucapan tadi, maka letakkanlah keyakinan,… taruhlah harapan,
bahawa,… inilah Kerajaan yang boleh dibergantung harap, demi masa depan hari
muka, anak cucu dan keturunan kita.
200.
Dalam apa jua keadaan, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perancangan ekonomi
negara, dengan mengutamakan serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.
Tuan Yang
Dipertua,
201.
Pokoknya,… bagi Kerajaan ini,… rakyat adalah segala-galanya. Khabar bahagia
sudahpun tiba. Maka, ingin saya umumkan, berkuatkuasa 1 Julai 2016, gaji
minimum negara dinaikkan daripada 900 ringgit kepada 1,000 ringgit sebulan bagi
Semenanjung, dan daripada 800 ringgit kepada 920 ringgit sebulan bagi Sabah,
Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji minimum ini melibatkan semua
sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.
Tuan Yang
Dipertua,
202.
Tidak cukup sekadar itu,… bagi meringankan beban kos sara hidup kepada semua
penjawat awam, Kerajaan bersetuju dengan pemberian khas sebanyak 500 ringgit
kepada semua penjawat awam.
203. Manakala,
bagi 700 ribu pesara Kerajaan pula, bayaran khas 250 ringgit disediakan.
Kedua-dua bayaran ini, yang berjumlah hampir 1 bilion ringgit akan dibuat pada
bulan Januari 2016.
Tuan Yang
Dipertua,
204.
Demikianlah, Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin membuat
kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat. Sejak dulu, kesemuanya tidak
terbina dengan mudah atau dalam sekelip mata. Ia menuntut kesungguhan dan
pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa.
205.
Lalunya, berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya membina Malaysia
tercinta ini,… kita berasa kesal, bahkan sebenarnya, kita amat-amat kesal,
dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam, mahupun
luar, yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.
206. Pada
kita,… perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya memporak-perandakan, sampai
boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini.
207.
Waima, wujud sesetengah orang, yang kita sendiri kadang-kadang tidak
tersangka-sangka, atau terduga-duga, ibarat api di dalam sekam,…menjadi gunting
dalam lipatan.
Tuan Yang
Dipertua serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi sekalian,…
208.
Dalam menghela nafas keinsafan, saya perakui,… benarlah saya ini seorang
pemimpin, tetapi saya juga manusia biasa seperti saudara saudari sekalian. Kita
sama-sama ada kelebihan dan kelemahan di sana sini.
209.
Sayugia,… sambil merujuk-rujuk mafhum tafsir daripada surah Yusuf, bahawa,…
Tuhan tidak menyuruh kita berhenti dari berusaha,… Tuhan juga tidak benarkan
kita sesekali berputus asa dari rahmatNya,… dan apatah lagi sesungguhnya,…
Tuhan juga tetap menjanjikan kepada hamba-hambanya yang berislah dan
beriltizam, bahawa,… kejayaan pasti menjelma jua.
210.
Sebab itu,… Tuan yang Dipertua,… sudah menjadi adat orang berjuang, pasti akan
menempuh rintangan dan dugaan. Namun,… biar pun berjuta gugatan menghalang,
biar menggunung ombak mendatang, kita,…kita tidak akan sesekali berputus
harapan.
211.
Kini,…Tuan Yang Dipertua, saya,… bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,… berserta anggota pentadbiran dan
pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,… sehati sejiwa,… akan tetap tabah dan
bertawakal meneruskan perjuangan yang mulia ini.
212.
Nescaya, dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu,… yang benar tetap
benar,… sejarahnya kelak menjadi bukti.
213.
Akhir kalam,… bak kata para hukama’,… yang indah-indah itu dari Ilahi dan yang
kurang itu sifat insani. Marilah kita berdoa kepada Maha Pencipta, agar tiap
sesuatu akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga Bajet ini dilimpah-limpah
Rahmat-Nya dan membawa sentosa kepada semua.
Tuan Yang
Dipertua,
Saya
mohon mencadangkan.
Wabillahi
Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan