Isnin, 12 Oktober 2015

Ku Li rahsiakan alternatif terakhir desak Najib turun

PUTRAJAYA: Krisis kepimpinan yang didakwa berlaku di negara ini boleh diselesaikan dengan mengadakan undi tidak percaya di Parlimen, tetapi langkah itu juga mempunyai beberapa halangan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, walaupun setiap ahli Parlimen mempunyai hak untuk mengusulkan supaya undi tidak percaya dibuat bagi menunjukkan bahawa keyakinan rakyat telah hilang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi langkah itu tetap mempunyai masalah.

"Hak untuk kita bawa usul ke Dewan Rakyat seperti undi tidak percaya kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan atau kerajaan memang ada tetapi ada beberapa masalah.

"Kita jelas diberitahu bahawa Speaker Dewan Rakyat berhak menolak apa sahaja usul kerana ia tak disebut dalam Standing Order yang diguna di Dewan Rakyat," katanya yang hadir pada sidang media khas bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tentang isu semasa dan krisis yang berlaku dalam negara.

Hadir sama, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal; veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Ong Tee Keat.

Menurut beliau, jika usul itu ditolak, terdapat satu lagi cara untuk menunjukkan rakyat telah hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri tetapi enggan memberitahu pemberita tentang langkah alternatif itu.

"Jika awal-awal lagi sebarang usaha untuk mengemukakan usul sedemikian rupa tidak diizin oleh Speaker, tak akan berhasil usaha kita untuk bawa usul sedemikian rupa.

"Tapi ada satu lagi cara lain yang kita kena fikir untuk kepentingan rakyat…apa cara itu…itu kena cakap di forum berbeza," katanya.

Tiada ulasan: