Jumaat, 19 Ogos 2016

‘Berterus Terang’ tak semestinya bercakap benar, Dr Mahathir jawab Musa

tun musa

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bekas timbalannya pada era 1980-an, Tun Musa Hitam hampa kerana Tengku Razaleigh Hamzah dilantik ke dalam Kabinet, menafikan dakwaan wujud konspirasi didalangi beberapa pemimpin Umno ketika itu menjatuhkan Musa.

Dr. Mahathir mengulas dakwaan Musa dalam bukunya "Frankly Speaking" (Berterus Terang), yang menceritakan bagaimana beliau terpaksa meletak jawatan setelah mendapat tahu Dr. Mahathir termakan hasutan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Sanusi Junid dan Tun Daim Zainuddin, kumpulan yang diberi singkatan "AIDS".

"Berterus terang tidak semestinya bercakap benar," kata Dr. Mahathir, yang memimpin kerajaan dari tahun 1981 hingga 2003 dalam catatan terbaru blognya.

Musa, timbalan pertama Dr. Mahathir, meletak jawatan pada 1986, digantikan Tun Ghafar Baba.

Dalam bukunya yang dilancarkan awal bulan ini, Musa menuduh Anwar, Sanusi dan Daim di sebalik konspirasi dengan menuduh beliau mahu menjatuhkan Dr. Mahathir.

Dakwaan Musa itu dinafikan Sanusi, tetapi disahkan benar oleh bekas Kketua Pengarang Utusan Melayu ketika itu, Tan Sri Zainuddin Maidin.

"Tetapi saya tertanya-tanya sama ada Utusan melakukan penyiasatan. Ia selalu melaporkan khabar angin," kata Dr Mahathir menyindir kumpulan media milik Umno itu.

Sebaliknya, Dr. Mahathir berkata, sebab utama Musa berundur adalah kerana kecewa seteru politiknya Razaleigh tidak dipinggirkan dalam Kabinet walaupun tewas dengan Musa untuk jawatan Timbalan Presiden Umno.

Dr. Mahathir berkata, Musa pernah berjumpa dengannya mengharapkan sokongan dalam pertandingannya dengan Razaleigh merebut jawatan nombor dua parti, tetapi beliau memutuskan kekal neutral kerana sesiapa yang menang akan menjadi timbalannya.

"Saya bersedia bersumpah di atas al-Quran yang dia melakukannya," kata Dr. Mahathir.

Tidak lama selepas itu, Dr. Mahathir mendapat tentangan sengit daripada Razaleigh dalam pertandingan Presiden Umno sebelum menang tipis. Ia kemudian menyebabkan perpecahan Umno, dengan Razaleigh dan penyokongnya menubuhkan Semangat 46.

Dr. Mahathir turut mempersoalkan dakwaan beliau seorang yang menuntut kesetiaan mutlak.

Katanya, beliau bersetuju melantik Musa menjadi duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti juga pelbagai jawatan tinggi kerajaan yang diberikan kepada pemimpin Umno yang pernah menentangnya seperti Tan Sri Hamid Albar, Tan Sri Rais Yatim, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Dan Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri selepas saya letak jawatan. Apakah ini cara orang yang tidak boleh menerima pengkhianat melayan mereka yang sememangnya khianat terhadapnya?" soal Dr. Mahathir.

"Saya memimpin negara selama 22 tahun. Parti dan pengundi boleh menjatuhkan saya bila-bila masa. Pemilihan Majlis Tertinggi (parti) sentiasa diadakan. Untuk lima pilihan raya umum, saya memimpin kejayaan parti dengan majoriti 2/3. Saya tidak menggunakan wang. BR1M pun tidak ada.

"Pengundi memilih berdasarkan persepsi, bukan kerana taat setia mutlak," tulis Dr. Mahathir.

Tiada ulasan: