KEMPEN pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis dalam daerah Shah Alam, Selangor masuk hari kedua hari ini.
Kedua-dua calon yang bertanding sama-sama hebat, sama-sama berwibawa. Jentera mereka pun sama-sama kuat dan bersemangat tinggi.
Dua parti yang bertanding, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). PH meletakkan calon PKR, Ustaz Mohd. Zawawi Ahmad Mughni manakala BN pula meletakkan calon dari UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.
Kalau mengikut fakta betul, berlaku pertandingan tiga penjuru bagi pilihan raya kecil DUN ini, tapi sengaja saya abaikan kewujudan calon Bebas, K. Murthy kerana ia tidak ada peranan pun dalam perlawanan.
Masa pada hari penamaan calon Sabtu lalu lagi, semua mata, sama ada dari media, penyokong PKR, penyokong BN dan para pemerhati serta pemantau hanya tahu dua calon sahaja akan bertanding, Ustaz Mohd. Zawawi dan Lokman.
Tak sangka pula, sebaik pintu pusat penyerahan kertas calon dibuka tepat jam 9 pagi kelihatan kelibat seorang lelaki berbadan kurus memakai topi turut menyerahkan borang pencalonan.
Hebatnya K. Murthy yang mendakwa pesara penjawat awam itu borang pencalonannya yang diserahkan pada jam 9.09 pagi terus diterima tanpa ada ralat atau bantahan dari penyokong serta pencadang kedua calon lawannya.
Pihak media yang memerhatinya sepanjang satu jam masa diperuntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi proses penamaan dan penyerahan kertas atau borang pencalonan, dia kelihatan steady dan tenang.
Begitu juga ketika namanya diumumkan sebagai calon yang sah yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, dia yang duduk di posisi tengah dengan selamba membiarkan kedua-dua tangannya dipegang dan diangkat oleh Ustaz Mohd. Zawawi dan Lokman.
Memang hebat calon bebas ini tetapi, malangnya, sebaik selesai pengumuman, dia terus ‘ghaib’ hilang dicelah-celah ratusan penyokong PKR dan BN yang herkumpul sejak jam 7 pagi di depan pintu masuk Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam.
Okey, cukuplah setakat itu saya mempromosi K. Murthy. Soal berapa dia bakal dapat undi, sama-samalah kita tunggu jam 10 malam 4 Ogos nanti. Yang pasti, mengikut ramalan saya, dia akan kehilangan wang pertaruhan.
Berbalik kepada kempen Ustaz Mohd Zawawi dan Lokman. Masuk hari kedua hari ini, hanya calon yang bergerak aktif berjumpa pengundi. Pemimpin pusat dan yang ternama dari kedua-dua belah calon belum kelihatan.
Sekurang-kurangnya, Ustaz Mohd Zawawi dibantu juga oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari walaupun nama-nama besar seperti Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan.
Begitu juga dengan calon BN, si Lokman. Beliau bergerak seorang diri. Pembantunya hanya pemimpin cawangan serta sahabat-sahabatnya sahaja.
Penceramah tersohor seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Rahman Dahlan, Datuk Seri Mohamad Hassan juga tidak kelihatan.
Apa pun, saya mahu bersangka baik dengan ketidaknampakan kelibat pemimpin-pemimpin ini. Mungkin mereka sedang bermesyuarat dan berbincang di peringkat pusat untuk bagaimana nak atur dan susun strategi supaya penduduk tempatan Sungai Kandis memberi undi kepada calon masing-masing.
Bahkan, agak menarik pilihan raya kecil kali ini, dan mungkin boleh difikirkan untuk dimasukkan dalam Buku Malaysia of Record ialah suasana sunyi, sepi dan muram dapat dilihat sepanjang DUN ini.
Hari kedua kempen, belum ada satu pun bendera parti atau poster kedua-dua calon disangkut, ditampal atau digantung. Kalau orang luar datang ke DUN ini, mereka mungkin sama sekali tidak jangka, kawasan yang mereka berada itu adalah kawasan pilihan raya kecil.
Dari satu sudut, baguslah begitu. Sekurang-kurangnya kedua-dua parti dapat menjimatkan wang. Lagipun, apa ada pada bendera dan poster.
Dalam keadaan rakyat baru selesai dua raya, pertama, PRU-14 dan kedua Hari Raya Aidilfitri, kali ini mereka akan beraya lagi dalam pilihan raya kecil. Tentu ramai yang muak dengan ‘perayaan’ ini dan kebarangkalian juga, ramai tidak akan keluar mengundi 4 Ogos ini.
Kemungkinan ini yang merisaukan Ustaz Mohd Zawawi dan beliau mengharapkan angka 23,998 yang dimenangi penyandang, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafie pada PRU-14 lalu kekal diperoleh pada pilihan raya kecil ini.
Dan kebimbangan beliau kemungkinan ramai pengundi atau penyokong PH tidak keluar mengundi kali ini amat menebal sekali. Beliau dah mula merasa takut walaupun jumlah majoriti diperolehi penyandang ketika itu sebanyak 12,450 undi.
Bagi Lokman pula, beliau merasa agak selesa kerana menjangkakan memperoleh undi solid dari penyokong BN sebanyak 11,518 (yang diperoleh calon BN terdahulu, Datuk Kamaruzzaman Johari) dan dicampur dengan jumlah undi Pas sebanyak 7,573 (yang diperoleh calon Pas, Ustaz Mohd. Yusof Abdullah).
Beliau hanya ketinggalan sebanyak 4,907 undi sahaja lagi untuk menyamai jumlah undi PKR dan tidak mustahil jumlah itu akan diperoleh Lokman sekiranya kebimbangan ustaz Mohd. Zawawi menjadi kenyataan.
PRKl Sungai Kandis ini adalah kayu ukur kepercayaan rakyat kepada PH yang baharu mengambil alih kerajaan dan BN yang kehilangan pusat pentadiran Putrajaya serta perdana menterinya.
Jika undi diperoleh Ustaz Mohd. Zawawi bertambah bermakna isu kegagalan PH menunaikan janji 100 hari tidak memberi kesan kepada rakyat dan jika jumlah undi berkurangan, maknanya rakyat mula sedar kerajaan PH hanya “cakap tak serupa bikin”.
BN pula, kalau Lokman menang, ia sama sekali tidak dapat membentuk kerajaan baharu Selangor. Dan, jika kalah, ia memang sudah dijangka. – MalaysiaGazette (Siaran 23 Julai 2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan