SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini, pada 27 September 2019, memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak
dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad ketika
membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan
Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa
dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian boleh diterima
serta ada asas, selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi
Ab Ghani.
Beliau berkata, pihaknya turut
menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital
Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib
keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan
(EMRS) sebelum dilanggar.
Katanya, keterangan saksi di tempat
kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan
kira-kira 20 hingga 30 lelaki.
“Punca kematian Muhammad Adib bukan daripada dirinya sendiri,” katanya.
Rofiah turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
Berikutan itu, beliau menyerahkan
kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan
dan pendakwaan.
Peguam Syazlin Mansor yang mewakili
keluarga Muhammad Adib menangis sejurus Rofiah selesai membacakan keputusan
mahkamah itu.
Syazlin kemudian dilihat ditenangkan
oleh suaminya dan beberapa peguam lain selepas prosiding tamat.
Prosiding yang bermula kira-kira jam
9.30 pagi tadi selesai pada jam 10.15 pagi.
Sepanjang prosiding inkues bermula
Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar serta bapa
Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid dipanggil memberi keterangan dengan 137
bahan bukti dikemukakan.
Sementara itu, tunang Allahyarham,
Nurul Najihah Mohd Radzi, 26, bersyukur dengan keputusan mahkamah berkenaan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat
dengan keputusan,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas prosiding.
Nurul Najihah yang berbaju kurung
berwarna biru ditemani seorang wanita yang enggan dikenali.
Mereka berdua kemudian berlalu pergi
ke kereta meninggalkan petugas media yang cuba bertanyakan beberapa lagi soalan
lain.
Terdahulu, beliau yang tiba di
mahkamah pada jam 8.45 pagi, masuk ke galeri awam mahkamah bersama Syazlin.
Deraian
air mata ibu ayah Muhammad Adib
“Dari malam tadi hingga pagi ini, perasaan saya
sangat berdebar. Namun sebaik saja dimaklumkan keputusan inkues menyebelahi
arwah, saya berasa sangat lega,” kata Asma Aziz, 52.
Ibu kepada anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib
Mohd Kassim itu berkata, apabila mengetahui keputusan inkues kematian anaknya,
beliau dan suami, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, terus mengucapkan kesyukuran
dengan deraian air mata.
Beliau berkata, doa mereka sebagai ibu bapa
termakbul selepas hampir setahun menanti keadilan ditegakkan untuk arwah.
“Perasaan itu tidak dapat saya gambarkan dengan
kata-kata. Walaupun berasa lega, Adib sudah tiada... Saya berharap selepas ini,
penjenayah yang memukul arwah dapat ditangkap polis.
“Saya mahu melihat sendiri wajah orang yang memukul
anak saya. Saya mahukan keadilan untuk arwah dan si pelaku mesti dijatuhkan
hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau,
Kuala Kedah.
Ibu kepada empat anak itu berkata, beliau sangat
berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk rakyat Malaysia yang
mendoakan dan memberi semangat.
Katanya, beliau dan suami sepatut berada di
Mahkamah Koroner Shah Alam untuk mendengar keputusan inkues.
Bagaimanapun, mereka kemudian membatalkan hasrat
itu kerana perasaan tidak menentu dan risau sekiranya keputusan inkues tidak
memihak kepada Allahyarham.
“Namun petang ini, saya dan suami akan ke Kuala
Lumpur untuk berjumpa dengan anak yang berada di sana,” katanya.
Mohd Kassim pula berkata, keputusan inkues itu
adalah berita gembira untuk dirinya sebagai bapa, selain turut berterima kasih
kepada semua pengamal media yang memberikan liputan baik terhadap kes
berkenaan.
“Alhamdulillah, saya gembira dengan keputusan ini.
Segalanya sudah terjawab,” katanya.
Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, memutuskan
punca kematian Muhammad Adib ialah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih
individu yang tidak dikenali.
Serangan
ganas, berniat jahat bunuh Adib
SHAH ALAM: Mahkamah Koroner memutuskan punca
kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan perbuatan jenayah
membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi
ke-29 yang juga Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr
Shahrom Abd Wahid bahawa Muhammad Adib dihentak dan diseret keluar dari van
Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) boleh diterima dan mempunyai asas
selain formula yang digunakan dalam eksperimen berkenaan pengiraan daya yang
menyebabkan kecederaan trauma tumpul di dada mangsa disokong saksi ke-30, pakar
Fizik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.
Beliau berkata, teori dikemukakan saksi ke-24,
Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi
yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van EMRS dan dilanggar hingga
terhumban ke kiri jalan adalah ditolak selain formula digunakan dalam
kecederaan dada Muhammad Adib, adalah menolak hukum fizik.
Katanya, sekiranya Muhammad Adib turun sendiri,
mungkin mangsa akan jatuh ke belakang dan keadaan itu akan menyebabkan
kecederaan lebih teruk, iaitu mungkin digilis ketika Fire Rescue Tender (FRT)
mengundur dan meninggal dunia di situ.
“Teori saksi ke-29 yang mengatakan Muhammad Adib
dihentak ke jenang pintu dan diseret adalah lebih munasabah serta konsisten
dengan fakta penemuan dua topi keledar dalam van EMRS yang hanya boleh memasuki
ruang van apabila cermin dipecahkan.
“Eksperimen yang dilakukan (Dr Shahrom) jelas
menunjukkan cermin van dihentak berkali-kali dan ini konsisten dengan
keterangan saksi ketiga (Pegawai Perubatan yang juga pemandu van EMRS, Ahmad
Shahril Othman) bahawa dengar ketukan kuat dan bertalu-talu serta merasa
goncangan.
“Ini menunjukkan ada individu yang bertindak ganas
dan berniat jahat kepada Muhammad Adib,” hujahnya.
Rofiah berkata, keputusan yang dibuat bahawa
kematian Muhammad Adib bukan berpunca daripada diri sendiri selepas meneliti
beberapa keterangan saksi yang dipanggil ke mahkamah.
Katanya, saksi ke-10, Mohd Hafizan Nordin, yang
mengejarkan Muhammad Adib untuk rawatan ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC)
dalam keterangannya, berkata ketika terperangkap dalam kesesakan berhampiran
kawasan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada awal pagi, 27 November 2018,
dia ditegur seorang wanita India yang melarangnya pergi ke arah kuil itu kerana
ada orang dipukul.
“Bila seseorang mempunyai niat baik dan tidak mahu
benda tidak elok berlaku, ia terbit dari pengalaman.
“Jadi, boleh rumuskan larangan itu dilihat
mempunyai pengetahuan bahawa ada yang dipukul ketika itu,” katanya.
Beliau juga berkata, keputusan yang dibuat juga
turut dipengaruhi dengan mengambil kira saksi lain di tempat kejadian.
Rofiah berkata, beliau menyimpulkan Muhammad Adib
dipukul kerana beberapa saksi melihat aksi gerakan memukul seperti terajang dan
pijak oleh 20 hingga 30 lelaki.
Katanya, Muhammad Adib menjadi subjek kepada
perlakuan itu, selain saksi bernama S Suresh (saksi kelapan) memberitahu
mahkamah yang dia terdengar perkataan yang disebut dalam bahasa Tamil ‘jangan
pukul. Bomba pun nak pukul ke?’.
Beliau berkata, keterangan Suresh bahawa ketika dia
melindungi Muhammad Adib yang tidak sedarkan diri dalam keadaan bersandar di
bahagian belakang kereta, dia turut menjadi sasaran apabila terkena sepakan
yang mahu ditujukan kepada anggota bomba itu.
Katanya, penelitiannya mendapati dalam rusuhan itu,
Muhammad Adib dipukul oleh dua hingga 30 orang yang tidak dikenal pasti siapa.
Keluarga
Muhammad Adib harap suspek dibawa ke muka pengadilan
SHAH ALAM: Abang Allahyarham Muhammad Adib Mohd
Kassim, Mohd Asraf, berharap suspek yang bertanggungjawab menyebabkan kematian
adiknya segera dibawa ke muka pengadilan.
Beliau berkata, ini kerana keluarga Muhammad Adib
masih menuntut keadilan, selepas hampir setahun insiden menyayat hati itu
berlaku.
“Kami sekeluarga bersyukur dengan keputusan
Mahkamah Koroner hari ini bahawa kematian adik saya bukan akibat dilanggar.
“Mahkamah sebaliknya memutuskan punca kematian
akibat perbuatan jenayah.
“Kami sekeluarga berharap pihak polis dapat segera
menangkap pelaku jenayah dalam kes ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan
Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini.
Mahkamah Koroner hari ini, memutuskan punca kematian
anggota bomba, Muhammad Adib berpunca akibat perbuatan jenayah oleh dua orang
atau lebih individu yang tak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi
ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd
Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa
kejadian boleh diterima dan mempunyai asas selain ia disokong saksi ke-30,
iaitu pakar Fizik dalam pengiraan formula daya.
Beliau berkata, pihaknya juga menolak teori yang
dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL),
Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van
EMRS sebelum dilanggar.
Ketika membacakan keputusan, Rofiah juga
memberitahu keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat
perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.
Rofiah turut merumuskan kegagalan polis dan pasukan
FRU dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad
Adib.