Rabu, 18 November 2020

Kenapa khemah, tidak kontena?

SEDIH dengan laporan berita seorang anggota polis cedera akibat ditimpa khemah ketika sedang berteduh dari hujan dan ribut.

Kejadian itu berlaku di sekatan jalan raya (SJR) Tol Jalan Duta, menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur, semalam (15 November 2020).

Mangsa yang cedera ialah Koperal Nazmi Abdullah dari Bahagian Kawalan Lalulintas, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Ketika kejadian, mangsa dikatakan berteduh di bawah khemah yang disediakan untuk anggota keselamatan berteduh dan berehat ketika bertugas mengawal pergerakan keluar masuk orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Betapa besarnya pengorbanan anggota polis, tentera, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Rela. Mereka diamanahkan menjaga keselamatan pergerakan orang ramai, di samping mengekang wabak Covid-19 yang semakin mengganas.

Bertugas 24 jam sehari semalam di SJR, yang keadaannya hanya Allah sahaja yang tahu. Ada kalanya berpeluh akibat panas terik matahari dan ada tikanya basah kuyup kerana hujan lebat dan ribut petir.

Walaupun berdepan dengan cuaca yang tidak menentu, mereka tidak pernah lari. Mereka tetap kekal di tengah jalan raya atau lebuh raya membuat SJR. Semuanya untuk memastikan Covid-19 tidak merebak sewenang-wenangnya oleh pembawa yang tidak bertanggungjawab.

Kalaulah semua rakyat Malaysia bertanggungjawab, tidaklah anggota polis, tentera dan Rela terpacak di SJR dalam cuaca panas dan hujan. Mereka juga manusia seperti kita, perlu rehat, perlu bersama keluarga.

Tapi disebabkan sikap tidak bertanggungawab segelintir dari kita, membawa virus corona ke sana ke sini, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa bertugas walaupun dalam keadaan panas, hujan lebat dan ribut petir.

Kejadian yang menimpa Koperal Nazmi itu sungguh menginsafkan kita. Bayangkan, khemah yang didirikan untuk mereka berehat, tiba-tiba diterbangkan angin kencang dan besi khemah itu menimpa anggota polis yang bertugas.

Nasib baiklah tidak berlaku kecederaan parah, namun kita doakan semoga Koperal Nazmi yang dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan, segera sembuh.

Kejadian ini bagaimanapun, patut membuka mata kerajaan. Satu kaedah atau alternatif lain patut difikirkan untuk mengantikan khemah. Lebih lagi sekarang musim cuaca tidak menentu.

Mungkin kerajaan boleh menukarkan khemah kepada Balai Bergerak sebagai langkah keselamatan dan keselesaan anggota bertugas.

Atau jika Balai Bergerak tidak mencukupi, kerajaan boleh menyewa kontena yang telah diubah suai dan tempatkan di setiap SJR yang berjumlah lebih 250 lokasi di seluruh negara.

Adanya kontena, sekurang-kurangnya anggota yang bertugas boleh berteduh dengan selamat sekiranya hujan lebat, ribut atau kilat.

Tempoh SJR bukan seminggu dua, ia mengambil masa kadang-kadang satu bulan hingga dua bulan bergantung kepada PKPB.

Jadi, sesuai sangat kerajaan menempatkan kontena di setiap SJR, kerana ia juga mudah diangkut pindah.

Khemah pula terlalu ringan, walaupun ia mudah alih. Tetapi dalam situasi tertentu, khemah juga merbahaya kepada orang yang berteduh di bawahnya, kerana mudah diterbangkan angin, selain cepat rosak.

Lain dengan kontena, strukturnya kuat, kukuh, selamat dan selesa untuk anggota bertugas berehat.

Kerajaan tidak perlu sangat memikirkan apa nanti orang ramai akan kata kalau menempatkan kontena kepada anggota keselamatan.

Mereka juga pada satu-satu ketika, terutama musim tengkujuh perlukan tempat berteduh yang selesa dan selamat. Tidak basah terkena tempias hujan, tidak sejuk ditiup angin.

Lagi pun sewa kontena bukan besar sangat. Kerajaan mampu untuk menanggung kosnya.

Atau mungkin ada syarikat swasta bersedia membiayainya sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada pasukan keselamatan yang berkorban untuk keselamatan semua.

Fikir-fikirlah. Selain menitik beratkan keselamatan rakyat, nyawa anggota keselamatan juga perlu diambil berat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: