Ahad, 6 Disember 2020

Apa beza Undi Percaya dengan Undi Tidak Percaya?

BAWAH Kolong hari ni terima banyak pertanyaan dari kawan-kawan di luar sana, yang nak tahu apa bezanya Undi Percaya (UP) dengan Undi Tidak Percaya (UTP)?

Biasanya dua perkara ini adalah mainan orang politik dan digunapakai di peringkat Dewan Rakyat (Parlimen) serta Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam kehidupan seharian masyarakat marhaen seperti kita, tidak ada istilah UP dan UTP. Kalau kita tidak mahu pada seseorang, kita terus terang beritahu, “aku tak mahu kamu lagi”. Jadi, terpulanglah pada orang yang kita tak mahu berkawan tu nak dengar atau tidak.

Berbalik kepada pertanyaan perbezaan UP dan UTP, Bawah Kolong hanya boleh jawab, dua-duanya mempunyai maksud yang sama, cuma tajuknya sahaja lain.

UP atau UTP matlamatnya untuk pastikan orang politik yang pegang jawatan Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri letak jawatan. Itu saja motifnya.

Kenapa kedua-dua usul itu perlu dilakukan?

Sebab budaya politik di Malaysia berbeza dengan budaya politik di negara luar.

Di negara lain, kalau pemimpinnya tidak lagi mendapat kepercayaan parti politik ataupun rakyatnya, mereka segera letak jawatan atau mengaku kesalahan.

Di Malaysia lain, kamu desak, buat demonstrasi, buat bantahan sekalipun, pemimpin tetap di kerusi jawatannya. Liat sungguh bab letak jawatan, apatah lagi nak mengaku kesalahan.

Jadi, jalan terbaik untuk nyahkan seseorang pemimpin itu ialah dengan membawa usul UP atau usul UTP ke Parlimen atau ke sidang DUN.

Di situ, biar Ahli Dewan Rakyat atau ADUN buat keputusan secara undian suara teramai atau undian belah bahagi.

Undian suara ramai ialah Speaker Dewan Rakyat atau Speaker DUN akan tanya kepada ahli dewan, “yang setuju kata setuju”, “yang tidak setuju kata tidak setuju”.

Di sini, Ahli Parlimen atau ADUN yang setuju akan jawab “setuju” dengan suara seramai mungkin.

Manakala Ahli Parlimen atau ADUN yang tidak setuju akan jawab “tidak setuju” dengan nada tinggi dan teramai. Bila mendengar kedua-dua jawapan itu, Speaker akan buat sama ada “lebih suara yang bersetuju”, atau “lebih suara yang tidak bersetuju”. Itu kaedah undian suara ramai.

Undian belah bahagi pula, untuk membolehkan undi secara ini dilakukan, kalau di Parlimen, memerlukan sokongan 15 ahli dewan sama ada pembangkang atau kerajaan untuk berdiri sebagai tanda membolehkan undi itu diadakan.

Di DUN hanya 10 ADUN sahaja perlu bangun. Kalau jumlah pembangkang yang bangun kurang dari ditetapkan, maka undi belah bahagi tidak dapat dilakukan. Speaker terpaksa mengumumkan pihak kerajaan mendapat sokongan majoriti.

Begitu sebaliknya, jika pihak kerajaan tidak cukup korum untuk bangun, maka Speaker akan umumkan pembangkang yang dapat suara majoriti atau menang.

Kalau yang bangun itu cukup syarat, maka undi belah bahagi akan diadakan. Kertas undi akan diberikan kepada setiap Ahli Parlimen atau ADUN untuk mereka mengundi.

Sama ada usul UP atau usul UTP memihak kepada pencadang atau pemimpin yang diminta letak jawatan itu, tunggulah sehingga bilangan undi dibilang.

Kalau ditanya apa beza keputusan untuk usul UP dengan usul UTP?

Di Dewan Rakyat atau di DUN, kalau undian dibuat untuk usul UP, Speaker memerlukan jumlah “tidak setuju” atau “tidak menyokong” lebih banyak dari jumlah “setuju” atau “sokong”.

Jika jumlah “tidak setuju” atau “tidak menyokong” majoriti dari jumlah “setuju” atau “sokong”, maka Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak lagi mendapat mandat Ahli Dewan.

Dengan itu, secara automatik mereka perlu letak jawatan. Secara Perlembagaan, jawatan yang disandangnya tidak lagi berfungsi. Dia bukan lagi Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Bagaimana dengan usul UTP? Yang ini Speaker hanya memerlukan jumlah “setuju” atau “sokong” lebih banyak dari jumlah “tidak setuju” atau “tidak sokong”.

Kalau jumlah “setuju” atau “sokong” lebih banyak, maka Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri kena lepaskan jawatan itu.

Mereka boleh segera mengadap Yang di-Pertuan Agong jika seseorang itu Perdana Menteri dan Sultan negeri masing-masing jika seseorang itu Menteri Besar dan Yang Dipertuan Negeri jika seseorang itu Ketua Menteri.

Tujuan mengadap ini untuk memaklumkan situasi yang berlaku kepada baginda berhubung sesi persidangan pada pagi, tengah hari atau petang itu.

Terpulang kepada Tuanku untuk menentukan penggantinya dengan memanggil setiap ahli dewan atau membubarkan Parlimen atau DUN untuk diadakan pilihan raya negeri atau pilihan raya umum.

Itulah yang berlaku di Perak hari ini, Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak lagi mendapat mandat ahli dewan menerusi usul UP yang dikemukakan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Dalam usul itu, berlaku undi belah bahagi, yang mana 48 ADUN mengundi “tidak setuju”, iaitu mereka tidak setuju Ahmad Faizal terus kekal sebagai Menteri Besar Perak.

Manakala 10 ADUN mengundi “setuju”. Maknanya 10 orang ini setuju supaya Ahmad Faizal kekal sebagai Menteri Besar.

Dan seorang ADUN tidak mengundi, atau dengan kata lain, berkecuali.

Dengan keputusan majoriti yang tidak setuju Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar, maka Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (PPBM) itu kena beralah.

Namun, selagi Sultan Perak belum menitahkan apa-apa, atau baginda belum mendapat pengganti, Ahmad Faizal masih Menteri Besar.

Itulah ceritanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Suntikan vaksin, lalui pengalaman mendebarkan

DUA hari lepas Bawah Kolong (BK) terima panggilan dari majikan memaklumkan nama BK sudah naik dalam senarai untuk suntikan dos pertama vaksi...