Tetapi, tidak sampai pun 60 hari selepas PRN Melaka,
timbul pula isu, desas desus atau cerita pasal PRN Johor.
Tidak dapat tidak, penulis terpaksa buka
semula buku politik yang tak pernah berkesudahan ini.
Penulis sebenarnya tidak tahu sangat apa yang
berlaku di Johor dan kalau boleh tidak mahu ambil tahu pun.
Tetapi, kerana isu itu hangat dibicarakan pihak-pihak
tertentu sehari dua ini, tidak dapat tidak, penulis kena ambil tahu juga.
Ada yang buat kenyataan, kata Johor tidak
boleh diadakan PRN lagi sebab tempoh penggal PRU 14 sudah matang, sudah melebihi
tiga tahun. Namun, ada yang sanggah pendapat itu, dengan menyatakan, masih
boleh PRN.
Untuk tahu jawapan kenapa heboh pasal PRN Johor,
penulis semak semula berita-berita politik dalam archive dan internet.
Semak punya semak, jumpalah beberapa kenyataan
pasal Johor. Penulis rujuk satu kenyataan dari Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO,
yang minta UMNO Johor terus bekerja, jangan fikir pasal PRN.
Dalam berita itu ada latar belakang yang
berkaitan dengan desas desus itu.
Rupanya dia dikaitkan dengan jumlah kerusi
kerajaan (Perikatan Nasional – PN) dengan kerusi pembangkang (Pakatan Harapan –
PH) yang hanya lebih satu kerusi sahaja selepas kematian bekas Menteri Besar
Johor, Datuk Seri Osman Sapian pada 21 Disember lalu.
Sebelum ini, kerusi PN yang dipimpin oleh
Barisan Nasional (BN) ada 29, manakala PH pula 27. Namun, selepas kematian
Allahyarham Osman, kedudukan itu kini PN 28 dan PH 27.
Lalu pada pandangan dan pendapat sesetengah
pihak, sebelum ada mana-mana ADUN dari kerajaan melompat ke PH, baiklah Dewan
Negeri dibubarkan dan diadakan PRN.
Itulah sinopsisnya kenapa bising sangat Johor
perlu diadakan PRN.
Satu perkara yang penulis rasa penat dengan
politik negara ini ialah mainan politiknya tidak pernah habis. Seolah tidak ada
istilah rehat, berhenti atau tamat.
Durian Musang King pun ada musim rehat.
Politik Malaysia, 24 jam sehari, 30 hari sebulan, 365 hari setahun berpolitik
sampaikan rakyat muak, menyampah dan bosan.
Setiap hari, rakyat disajikan dengan sindir
menyindir, kata mengata, tuduh menuduh dan buruk memburukkan antara satu sama
lain.
Ini berlaku bukan satu dua parti, tetapi boleh
dikatakan semua parti sama, baik parti sekular, parti cauvinis, parti Keluarga
Malaysia mahupun parti yang mendakwa membangun bersama Islam.
Kiranya situasi ini mula dihidu bertabiat
sedemikian sebaik selepas BN kalah pada PRU14 pada tahun 2018. PH yang tidak
pernah mentadbir kerajaan Persekutuan, tiba-tiba diberi mandat.
Tidak tahu, mungkin kerana ghairah atau
disebabkan tidak ada pengalaman memimpin, makanya kerajaan itu mampu bertahan
selama 22 bulan sahaja. Jatuhnya PH kerana berlaku gerakan ‘Langkah Sheraton’.
Satu peristiwa mengejutkan, apabila Mohamed
Azmin Ali bersama beberapa Ahli Parlimen dari PKR bertindak keluar parti,
menyertai Parti Bersatu, yang dikenali Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Tindakan di luar jangkaan Mohamed Azmin dan
rakannya itu menambahkan lagi keyakinan rakyat, bahawa politik memang tidak
boleh dipercayai.
Selama ini Mohamed Azmin dilihat begitu mesra,
akrab dan seperti sedarah sedaging dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim. Tetapi sewenang-wenangnya ditinggalkan.
Semuanya kerana nafsu. Bernafsu apabila melihat
parti lain ada masa depan dan lebih cerah, lalu di situ menjadi tempatnya
berteduh, walaupun terpaksa menikam kawan.
Hilang dan lenyap PH selepas 22 bulan
mentadbir. Kemudian diganti dengan kerajaan PN – kerajaan yang semuanya
melibatkan Ahli Parlimen bergelar katak, kecuali beberapa orang dalam UMNO.
Lalu tertubuhlah kerajaan PN yang dipimpin
oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan kedua dalam tempoh tidak sampai dua
tahun selepas PRU14.
Muhyiddin pula sempat memegang jawatan Perdana
Menteri selama 17 bulan, sebelum baton (bukan butang) diserahkan kepada Naib
Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri.
Ini yang dikatakan penggal PRU14 sebagai penggal
tulah. Tulah ini kalau mengikut Kamus Dewasa Bahasa dan Pustaka memberi erti,
kemalangan yang menimpa kerana melanggar larangan seperti melakukan sesuatu
yang kurang baik terhadap orang-orang tua, menderhaka kepada raja dan
lain-lain.
Penulis tidaklah pasti sangat apa larangan
yang dilanggar oleh tiga kerajaan ini, tetapi apabila orang-orang tua kata,
Malaysia telah tulah, maka penulis pun ajuk benda yang sama.
Kalau bukan tulah, maka tidak akan berlaku
lompat melompat dari satu parti ke satu parti sehingga huru hara dan kucar
kacir politik negara dibuat mereka.
Jadi, itulah sedikit sebanyak jawapan kenapa
ada desas desus minta Johor diadakan PRN. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan