Khamis, 3 Mac 2022

Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara jawab keputusan prosiding timbang tara di Paris

Penerangan gambar ini adalah sepeti berikut:- Yang Maha Mulia Diraja Sri Paduka Maulana Al Sultan Mohamet Jamal Al Alam bin Sri Paduka Al Marhum Sultan Mohamet Fathlon, Sultan Sulu dengan rombongan Diraja kira-kira tahun 1876. Sultan Sulu telah menyerahkan "untuk selamanya dan berkekalan" semua kawasan dari Sungai Pandasan di pantai Utara-Barat ke seluruh pantai Timur sejauh Sungai Sibuco kepada Baron de Overback dan Alfred Dent.

Pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II (Penuntut) telah membuat satu tuntutan terhadap kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol. 

Tuntutan tersebut berbangkit daripada perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai pada tahun 1878 antara Sultan Mohamet Jamal Al Alam, Sultan Sulu pada masa itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent (Perjanjian 1878), di mana Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara, yang kini merupakan sebahagian daripada Sabah, Malaysia.

Sebagai balasan (token), Sultan Sulu serta warisnya diberikan wang serahan sebanyak RM5,300 setiap tahun.

Susulan daripada serangan bersenjata di Lahad Datu, bayaran wang serahan tersebut telah dihentikan pada tahun 2013.

Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu kerana Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Tambahan pula, hal perkara dalam tuntutan tersebut bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara serta Perjanjian 1878 juga tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Kerajaan Malaysia juga ingin menekankan bahawa identiti penuntut diragui dan belum disahkan.

Pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak (Mahkamah Tinggi Sabah), yang bersidang di Kota Kinabalu telah membuat keputusan yang tidak memihak kepada penuntut dengan memutuskan bahawa Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya, penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan dan Mahkamah Tinggi Sabah merupakan forum yang neutral dan teratur untuk memutuskan apa-apa tuntutan berkenaan dengan Perjanjian 1878 tersebut.

Kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah tersebut di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol. 

Bagaimanapun, permohonan tersebut belum didengar.

Pada 29 Jun 2021, berdasarkan permohonan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi di Madrid, Sepanyol telah memutuskan bahawa serahan notis di bawah prosiding pelantikan penimbang tara bagi maksud tuntutan tersebut tidak diserahkan dengan teratur kepada Malaysia selaras dengan peraturan-peraturan antarabangsa dan undang-undang Sepanyol (Keputusan Pembatalan).

Ia juga tidak selaras dengan keputusan-keputusan kes sebelum ini di bawah Mahkamah Tinggi Madrid bagi maksud proses serahan kepada negara berdaulat.

Akibat daripada Keputusan Pembatalan tersebut, Dr. Stampa bukan lagi seorang penimbang tara dalam prosiding timbang tara tersebut dan oleh itu, semua keputusan Dr. Stampa, termasuk Final Award, adalah tidak sah dan terbatal.

Kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya Final Award bertarikh 28 Februari 2022, yang telah dikeluarkan oleh Dr. Stampa.

Walau apa pun Keputusan Pembatalan oleh Mahkamah Tinggi Madrid, Penuntut, dalam cubaan mereka untuk memintas keputusan ini tanpa pengetahuan Kerajaan Malaysia, telah memperoleh perintah ex parte dari Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis (“Perintah Exequatur”) untuk mengiktiraf Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa pada 25 Mei 2020 (yang telah dibatalkan akibat Keputusan Pembatalan).

Berdasarkan Perintah Exequatur, Dr. Stampa telah menukar tempat timbang tara ke Paris, Perancis untuk mengeluarkan Final Award.

Berikutan daripada tindakan Penuntut, kerajaan Malaysia telah memfailkan satu rayuan terhadap Perintah Exequatur tersebut di Mahkamah di Perancis, di mana kerajaan Malaysia telah berjaya memperoleh Perintah ex parte bertarikh 16 Disember 2021 (Perintah Penggantungan) daripada First President of the Paris Court of Appeal yang menggantung pelaksanaan Perintah Exequatur di Perancis dan menghalang Penuntut daripada bergantung kepada Perintah Exequatur tersebut.

Bertentangan dan bercanggahan dengan Perintah Penggantungan tersebut, Penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur tersebut berkuat kuasa dan Final Award hendaklah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis.

Dr. Stampa bersetuju dengan permohonan Penuntut dengan tidak mengendahkan kesan penggantungan Perintah Exequatur.

Justeru, kesannya adalah Final Award yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa pada 28 Februari 2022 bukan sahaja mencabuli kekebalan kedaulatan Malaysia, malah juga tidak mempedulikan keputusan-keputusan mahkamah di Madrid dan Paris.

Kerajaan Malaysia dengan tegasnya membantah Final Award dan mengekalkan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf kesemua tindakan yang telah diambil oleh Dr. Stampa dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu serta semua keputusannya yang mana adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Dalam hal ini, pihak Pendakwa Raya Sepanyol telah memfailkan suatu aduan jenayah terhadap Dr. Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah yang serius dan gangguan profesional (profesional intrusiveness). Mahkamah Jenayah N.40 di Madrid kemudiannya telah memulakan suatu siasatan jenayah berhubung dengan tindakan-tindakan Dr. Stampa yang tidak sah dari segi undang-undang.

Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala Tuntutan tersebut dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara. - ManzaidiBlogSpot

Tiada ulasan: